Mesin basuh mek itu sudah uzur benar. Seingat saya, suami saya belikan mek mesin basuh itu sebaik rumah mek siap, lebih kurang pada tahun 2006. Bayangkan, sudah hampir dua puluh tahun mesin basuh semi automatik jenama Panasonic itu bekerja, tentulah prestasinya sudah merudum.
Saya rasa penat menggunakannya. Semua proses kita perlu atur sendiri. Buka tutup paip air, bilasan perlu berapa kali, dan untuk spin juga perlu ditukar tubnya. Renyah, dan penat.
Kepada suami, saya suarakan cadangan untuk membeli mesin basuh baru sebagai hadiah untuk mek. Dia setuju. Tanpa lengah terus saya menempah sebuah mesin basuh automatik muatan 8kg berjenama Hisense dari Senheng di Shopee. Harganya cuma RM600. Agak lama menanti, selepas sepuluh hari baru ia sampai.
Dengan sedikit pengubahsuaian paip air, terpasanglah mesin itu dengan rasminya pada minggu pertama Ramadan baru-baru ini. Lega saya, apabila dapat membasuh dengan tenang. Hanya perlu menekan dua punat sahaja dan tunggu ia selesai.
Walaupun saya rasa ia memudahkan, tetapi ipar saya mengadu yang tempoh basuhannya sangat lama. Baginya, menggunakan mesin semi automatik lebih cepat siap. Saya terdiam. Apa yang lebih kita perlukan sebenarnya, senang mengurus basuhan atau mahu cepat selesai? Mari kita bincang.
Pada saya, walaupun mesin semi automatik itu cepat siap (kerana kita boleh ejas masa sendiri) tetapi ia perlu ditunggu (tidak boleh buat kerja lain) dan memakan tenaga seorang perempuan yang lemah seperti saya ini. Mesin automatik pula, walaupun ia lambat, saya boleh biarkan sahaja ia bekerja sendiri dan saya boleh siapkan kerja lain. Bukankah itu lebih amali?
No comments:
Post a Comment