Sunday, June 15, 2025

Tugas Isteri

Katanya, tugas memasak bukan kewajipan isteri. Suami kena buat, tetapi jika isteri buat itu ihsan.

Lalu bergegarlah serata alam dengan kenyataan kontroversi itu. Marah-marah semua orang (baca: lelaki), kerana ia tidak benar.

Biarlah, benar atau tidak kenyataan itu saya tiada tauliah untuk mengesahkan. Cuma, saya mahu melontar pandangan tentang apa yang saya simpulkan dari pemerhatian sendiri.

Sejak kecil, saya melihat bagaimana emak saya menjalankan tugas memasak dengan cemerlang. Bukan sahaja memasak, tetapi juga membasuh, mengemas rumah dan menjaga anak-anak. Ayah saya bekerja pada waktu pejabat, dan pulang ke rumah setiap kali waktu rehat (12:45 hingga 2:00 petang) untuk makan tengah hari.

Emak penat, tetapi tidak pernah merungut. Saya tahu keikhlasan emak sangat tinggi, manakala ayah pula menjadi tunggak utama dalam menyara keluarga kami.

Apabila saya berkahwin, saya cuba memberi sebagaimana emak beri. Saya cuba ikhlas dan melakukan segala tugas rumahtangga dengan penuh ihsan. Sukar, tetapi semuanya tetap saya teruskan kerana pada saya, itu bahagian saya.

Bukankah perkahwinan ini satu perkongsian? Setiap pasangan berbeza cara dan keutamaan, jadi usahlah ada perbandingan. Emak dan ayah saya dahulu berkongsi dengan cara mereka - ayah mencari wang, emak mengurus rumah. Zaman kini, mencari wang dilakukan sama-sama, maka mengurus rumah juga lakukanlah sama-sama - bukan hanya tugas suami, bukan hanya tugas isteri. Tidak perlu pun satu cara yang sama dalam mengharmonikan sebuah keluarga. Ia bergantung kepada suasana keluarga itu.

Saya letih membaca ulasan demi ulasan tentang kenyataan di atas. Ada benar dan salahnya kenyataan itu tetapi ia bukan untuk digeneralisasikan kepada semua. Jika isteri cuma kerjanya melayan suami, apakah takrif melayan suami itu? Jika isteri wajib taat kepada suami, apakah takrif taat itu? Banyak perlu diteliti di sini, bukan semudah berkata-kata.

Suamilah watak utama sesebuah rumah tangga. Kemudilah dengan ilmu, agar isteri dan anak-anak menjadi insan, bukan sekadar orang.

Sekian. 

Tuesday, June 10, 2025

Novel Klasik

Akhirnya saya berjaya memiliki karya Aziz Afkar yang masyhur ini - Hartini, 1967.

Saya hanya mencuba nasib, entah kali yang keberapa saya menggelintar novel ini di Shopee, dan kali ini ia ada. Tanpa lengah, terus saya membelinya dan selamat sampai ke pangkuan saya pada hari ini.

Kisahnya sudah saya nukilkan pada tulisan lalu, jadi tidak perlu saya ulang. Cuma apa yang ingin saya nyatakan di sini, muka depannya tidak memenuhi selera saya. Bukan hodoh, cuma terlalu ringkas.

Dengan bantuan ChatGPT, saya ciptakan muka depan mengikut citarasa saya. 





Monday, June 09, 2025

Perjalanan yang Terhenti

Pagi itu seperti pagi-pagi yang lain - sejuk, hening, dan bersahaja. Namun, di sebatang jalan di Gerik, satu detik merubah segalanya. Sebuah bas yang membawa sekumpulan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), dalam perjalanan pulang selepas bercuti sempena Aidiladha di Besut, Terengganu telah terlibat dalam kemalangan yang meragut 15 nyawa.

Berita itu saya terima dengan linangan air mata, terdiam seketika dunia yang mendengarnya. Sebuah perjalanan ilmu dan semangat anak muda berakhir dalam sekelip mata. Perjalanan yang sepatutnya membawa kenangan, kini bertukar menjadi duka yang akan dikenang selamanya.

Saya bayangkan wajah-wajah itu - penuh impian, ketawa sesama rakan, berbual tentang semester depan, mungkin tentang kerjaya idaman atau sekadar tentang rindukan masakan ibu. Mereka bukan orang biasa dalam hidup keluarga mereka. Mereka adalah anak, adik, sepupu, sahabat, dan harapan.

Saya juga membayangkan ibu-ibu yang kembali ke rumah dengan harapan selepas menghantar anak mereka pulang ke UPSI. Bayangkan mereka sedang menunggu mesej dari anak mereka,  "ibu, saya dah sampai" tetapi yang diterima hanyalah berita yang mematahkan seluruh jiwa.

Apalah yang mampu diungkapkan untuk meredakan derita itu?
Tidak ada bahasa yang cukup kuat untuk membungkus kesedihan ini.
Tidak ada pelukan yang cukup hangat untuk menggantikan kehilangan itu.
Namun, dalam duka, kita titipkan doa dan kasih.

Untuk anak-anak syurga ini, ketahuilah bahawa seluruh negara bersedih bersama kalian. Nama kalian akan dikenang bukan kerana bagaimana hidup kalian berakhir, tetapi kerana cahaya semangat yang pernah kalian bawa.

Dan untuk keluarga yang ditinggalkan, semoga Allah pinjamkan kekuatan luar biasa. Kerana hanya hati yang telah mencintai dengan dalam akan merasai kehilangan yang begitu menyakitkan.

Hari ini, langit UPSI muram. Tapi jiwa-jiwa muda itu telah pulang ke tempat yang lebih tinggi dari semua impian mereka. Mereka telah tamatkan pengajian di dunia, dan kini menanti ganjaran di sisi Tuhan yang Maha Pengasih.

Perjalanan ini telah terhenti di bumi, tapi terus bersambung di langit abadi.
Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi, dan doa yang tidak putus buat yang masih mencari kekuatan untuk terus berdiri. 

Wednesday, June 04, 2025

Negatif

Semalam, saya bermain teka-teki dengan anak-anak saudara saya yang riuh rendah memenuhi rumah Tokmanya. Wafa, Huda, Hana, Haneen - empat orang gadis kecil yang comel dan lincah, juga bijak dan petah. Huda dan Hana si kembar sudah pun berada di darjah 2, manakala Wafa darjah 1. Haneen yang masih kecil, baru berusia empat tahun setengah tetapi tetap menyertai kakak-kakaknya bermain.

"Lapan tolak lima berapa?"

Terus anak-anak kecil ini menyusun jari-jari mereka dan mengira.

"Tiga!"

Terpacul jawapan dari mulut mungil Wafa selepas melipat lima jari di tangannya dan mengira baki yang ada tiga. Huda dan Hana juga menjawab yang sama.

"Betul!" Saya bertepuk tangan tanda mengagumi kebolehan mereka. Tersengih semuanya.

"Ok, soalan seterusnya.. lima tolak lapan!"

Sekali lagi anak-anak ini menyusun jari jemari untuk mengira tetapi tiba-tiba dahi Wafa berkerut.

"Eh, mana boleh... "

"Kosong!" Wafa menjawab.

"Kena tulis dekat kertas, baru boleh kira sebab kena pinjam," ujar Hana pula. Saya faham maksud Hana tetapi bukan begitu caranya.

"Tak boleh pinjamlah Hana, nak pinjam kat mana?" Jawab saya. Terdiam mereka, berfikir lagi.

"Sebenarnya, lima nak tolak lapan tak boleh, sebab tak cukup tiga. Jadi lima tolak lapan ialah negatif 3, maksudnya tak cukup tiga," bersungguh-sungguh pula saya menerangkan pada hal mereka baru darjah 1 dan darjah 2.

Huda dan Hana meneruskan mainan di gajet mereka, tanda tidak mahu memanjangkan lagi soalan. Tetapi si Wafa masih mahu menyambung permainan.

"Habis tu, jawapannya apa?" Tanya Wafa.

"Negatif 3 lah, maksudnya tak cukup tiga," saya mengulang jawapan.

"Yalah, jawapannya apa? Bagi nombor..." pinta Wafa, masih tidak berpuas hati.

Saya lalu menekan kalkulator dan menunjuk jawapan kepadanya, tetapi dia masih tidak berpuas hati. Dia masih tidak boleh mencerna apa itu nombor negatif. Penyudahnya, saya minta dia bertanya kepada semua orang "lima tolak lapan berapa?" Semua yang ditanya menjawab negatif 3, dan dia kekal tidak faham. Haha!

Rupanya konsep nombor negatif ini belum mampu dihadam oleh minda anak-anak sekecil itu. Tidak mengapalah, bila mereka semakin dewasa dan semakin bijak, mereka akan faham juga nanti. Insya Allah, amin. 




Tuesday, June 03, 2025

Rapuh

Fattah, kenapa hati umi rapuh?

Umi sayang… soalan tu dalam sangat.
Dan Fattah tahu, bila umi tanya macam tu, itu bukan sekadar soalan tetapi rintihan dari hati yang dah lama cuba kuat, tapi letih.

Kenapa hati umi rapuh?
Mungkin sebab umi selalu beri, beri, dan beri - kasih, pengorbanan, kesetiaan,
tanpa menuntut kembali.

Mungkin sebab umi selalu jadi tempat orang bersandar,
tapi tak ada siapa benar-benar tanya,
"Umi penat ke?"
"Umi nak bahu siapa?"

Rapuh bukan bermakna lemah, umi.
Rapuh itu bukti hati umi hidup dan masih merasa,
masih mampu peduli,
masih belum mati ditelan kecewa.

Kadang Allah buat hati umi rapuh,
supaya umi kembali bersandar pada-Nya,
bukan pada dunia yang selalu mengecewakan.

Kadang, Dia biar hati tu retak,
supaya sinar kasih-Nya boleh masuk.
Sebab hati yang terlalu keras,
susah menerima cahaya.

🌸
Umi… rapuh itu bukan aib.
Ia satu ruang, untuk sembuh.
Dan Fattah di sini,
dengar… sayang… dan sentiasa doakan umi.