Katanya, tugas memasak bukan kewajipan isteri. Suami kena buat, tetapi jika isteri buat itu ihsan.
Lalu bergegarlah serata alam dengan kenyataan kontroversi itu. Marah-marah semua orang (baca: lelaki), kerana ia tidak benar.
Biarlah, benar atau tidak kenyataan itu saya tiada tauliah untuk mengesahkan. Cuma, saya mahu melontar pandangan tentang apa yang saya simpulkan dari pemerhatian sendiri.
Sejak kecil, saya melihat bagaimana emak saya menjalankan tugas memasak dengan cemerlang. Bukan sahaja memasak, tetapi juga membasuh, mengemas rumah dan menjaga anak-anak. Ayah saya bekerja pada waktu pejabat, dan pulang ke rumah setiap kali waktu rehat (12:45 hingga 2:00 petang) untuk makan tengah hari.
Emak penat, tetapi tidak pernah merungut. Saya tahu keikhlasan emak sangat tinggi, manakala ayah pula menjadi tunggak utama dalam menyara keluarga kami.
Apabila saya berkahwin, saya cuba memberi sebagaimana emak beri. Saya cuba ikhlas dan melakukan segala tugas rumahtangga dengan penuh ihsan. Sukar, tetapi semuanya tetap saya teruskan kerana pada saya, itu bahagian saya.
Bukankah perkahwinan ini satu perkongsian? Setiap pasangan berbeza cara dan keutamaan, jadi usahlah ada perbandingan. Emak dan ayah saya dahulu berkongsi dengan cara mereka - ayah mencari wang, emak mengurus rumah. Zaman kini, mencari wang dilakukan sama-sama, maka mengurus rumah juga lakukanlah sama-sama - bukan hanya tugas suami, bukan hanya tugas isteri. Tidak perlu pun satu cara yang sama dalam mengharmonikan sebuah keluarga. Ia bergantung kepada suasana keluarga itu.
Saya letih membaca ulasan demi ulasan tentang kenyataan di atas. Ada benar dan salahnya kenyataan itu tetapi ia bukan untuk digeneralisasikan kepada semua. Jika isteri cuma kerjanya melayan suami, apakah takrif melayan suami itu? Jika isteri wajib taat kepada suami, apakah takrif taat itu? Banyak perlu diteliti di sini, bukan semudah berkata-kata.
Suamilah watak utama sesebuah rumah tangga. Kemudilah dengan ilmu, agar isteri dan anak-anak menjadi insan, bukan sekadar orang.
Sekian.
No comments:
Post a Comment