Friday, October 31, 2025

Behar

Dia Azhar Sulaiman.
Seorang pelakon.
Lahir pada 1971.

Saya mengenalinya selepas dia menyertai pertandingan Hero Remaja tahun 1990/91 dan mendapat tempat ketiga. Juara waktu itu disandang oleh Esma Daniel (lahir 1970) manakala tempat kedua pula dimiliki oleh Badrul Muhayat (meninggal dunia pada tahun 2023 pada usia 55 tahun).

Saya melihat ketiga-tiga hero ini begitu menarik dan kacak tetapi aura Azhar lebih menyerlah di hati saya. Kenapa?

Kerana pendidikannya. Daripada biodatanya, dia merupakan bekas murid Sekolah Menengah Sains di Pahang, dan sedang melanjutkan pelajaran di UiTM dalam bidang arkitek. Itulah Wow Factor yang dia ada.

Kemudian saya menonton drama-drama lakonannya di TV. Antara yang saya ingat ialah drama bersiri Keluarga Ithnin yang turut dibintangi oleh Nuraina Emir (meninggal dunia pada 1994 kerana kemalangan jalan raya pada usia 20 tahun).

Apabila dia dipilih untuk membintangi filem Abang 92 sebagai watak utama, keterujaan saya berganda-ganda kerana pengarah filem itu ialah Rahim Razali, seorang pengarah hebat yang sangat saya minati. Semua filem arahan Rahim Razali saya suka benar terutama Matinya Seorang Patriot (1984) dan Anak Sarawak (1989) selain filem ulung arahan pertamanya, Abang (1980).

Pada waktu itu saya seperti angau betul dengan Azhar. Saya menulis surat kepadanya menggunakan alamat yang saya dapat daripada majalah. Lama saya menunggu balasannya, tetapi tiada. Saya rasa kecewa.

Saya menulis sekali lagi surat untuknya tetapi kali ini nada saya seperti marah dan kecewa. Selepas surat kedua itu saya pos, barulah saya terima balasan daripadanya untuk surat pertama saya. Sekeping poskad yang berlatarkan wajahnya yang kacak dan bertulisan tangannya sendiri sangatlah menggembirakan hati saya. Rasa bersalah pula kerana saya telah menghantar surat yang tidak berbudi bahasa kepadanya. Lalu sekali lagi saya menulis surat ketiga untuk memohon maaf.

Entah apa-apa kan saya ni!

Kemudian saya terbaca pula satu rencana tentang Azhar dalam sebuah akhbar. Wartawan bertanya Azhar apa pengalaman yang kurang enak pernah dia alami tentang peminat dan jawapannya menyebabkan saya rasa bersalah lagi. Katanya, ada peminat yang menulis surat marah-marah kepadanya kerana lewat membalas surat. Eh, sayakah?

Begitu cerita saya dulu-dulu, sewaktu tahun 1991-1992. Entah apa-apa kan?

Sekarang saya masih mengikuti FB Azhar Sulaiman, tetapi sekadar suka membaca coretannya sahaja. Sekurang-kurangnya saya rasa bangga juga kerana dia memilih Chempaka Emalin binti Pahamin sebagai isteri, kerana Chempaka Emalin ialah seorang anak Kelantan. Tiberrr.... 

Azhar Sulaiman sekarang

Keratan Majalah Remaja


Thursday, October 30, 2025

Pemimpin Yang Paling Kasihan

SUMBER

Maaf kalau merasa terganggu.
This will be the last write up on him.
Lepas ni saya akan kembali kepada ‘niche’ saya seperti sebelumnya.
Ini pandangan peribadi saya.
Tak setuju tak mengapa.

Beliau benar benar memberikan segalanya untuk negara.
Umur beliau tak muda.
Bahkan pangkat ‘datuk’ buat kebanyakan kita.
Tak mungkin beliau secergas dan secerdas ini kalau tidak dipaksa.
Ibu ayah kita yang jauh muda dari beliau saja majoriti sudah tak berdaya, mudah penat dan ambil masa berhari lamanya untuk berehat sebelum kembali seperti semula.
Dari mana datangnya stamina ini sehingga yang muda seperti saya pun rasa sesak, lelah melihatnya kalau bukan kecintaan beliau pada negara.

Kenapa saya sebut pemimpin yang paling kasihan?
Bukan sebab tohmahan, fitnah dan cercaan para ‘haters’ dari kalangan oposisi atau musuh politik beliau.
Itu masih boleh difahami.
Tapi justeru kerana kurangnya sokongan dari pendukung beliau sendiri.
That’s why.

Saya tak tahu ‘inferiority complex’ apa yang pendukung beliau ada.
Sampai kebaikan demi kebaikan, pencapaian demi pencapaian yang beliau lakukan, kalau nak puji seolah olah, beraattt sekali.
Senyap. Krikk Krikk.
Kalau puji pun penuh dengan “unneccessary disclaimer” seperti;
-beliau tak sempurna tapi…
-walaupun ada yang saya tak setuju…
-dalam hal ini….
-yang salah kita tegur yang baik kita sokong…
dan banyak lagi ayat acah acah terpaling adil, rasional yang lain.
Kenapa?
Takut sangat digelar taksub ?

Dia begini.
Kalau dalam ‘keluarga’ sendiri kita pun, memang kita tetap akan tegur kalau pun ada salah atau tak setuju.
Tapi itu tak perlu diwar warkan keluar.
Sampaikan secara kekeluargaan.
Biar orang luar nampak yang baik baik sahaja.
Ini bukan taksub, tapi the ‘bare minimum’ yang mesti diberikan oleh seorang ‘saudara’.

Kadang ayat ayat disclaimer kita yang bagi gambaran sebaliknya.
Orang luar tanya kita ok ke ;dari pasangan/ibu bapa kita.
Mana lagi baik- jawab “ok alhamdulillah (sambil sebut kebaikan kita)
atau mereka mulai dengan “dia memang ada kekurangan” “dia memang tak sempurna, iyalah nama pun manusia”, lepas tu baru cerita pasal kebaikan kita?
Trust me, those insecurities speak/heard louder.

Dalam hal ini mungkin kita kena belajar dari beberapa kelompok oposisi.
Mereka bukan tak tahu pemimpin mereka juga manusia ada khilaf,keburukan, tapi at least mereka tak war warkan. 
Bab ada tidaknya teguran secara dalaman itu isu lain.

Bila ada isu fitnah, tohmahan kepada kerajaan, yang kita sibuk salahkan JKOM la, Jabatan Penerangan lah…
Padahal insecurity inferiority kita yang menghalang kebaikan, kebenaran, pencapaian PMX atau kerajaan memenuhi feeds media massa.
Social media algorithm isn’t rocket science ; yang negatif akan memenuhi media seandainya yang positif memilih berdiam diri, atau bersuara tapi penuh inferioriti.

PMX is a very rare breed.
Let’s embrace the fact first.
Punyalah rare sampai pelapis dari kalangan gerobak beliau juga tak nampak lagi yang sama, not even close.
Secondly, mustahil pemimpin nombor satu negara kita boleh custom ikut kehendak dan kepercayaan kita- tak kisahlah apa ideologi politik, fahaman agama, wajihah dakwah dan lain lain kerencaman kita. 
Kita pilih dari pilihan yang ada. So tak perlu ulang ulang mengumbar perbezaan yang ada. 
Maklum dan mafhum.
Terakhir; kepada penumpang gerobak reformasi dan keadilan; tampuk kekuasaan ini takkan selamanya ada. 
Bukan para pemimpin saja yang belajar realiti mengendalikan kerajaan dengan berkesan.
Para penyokong juga mesti mengambil peluang belajar menjadi pendukung kerajaan yang baik dengan menjadi agen agen yang mencerahkan sekaligus menyebar kebaikan.

Terima kasih PMX atas usaha, penat lelah tuan.
Meski ada yang menutup mata, membenci,
Percayalah masih jauh lebih ramai yang sayang
Yang berkata dari lubuk hati yang paling dalam;
“Tak pernah sebangga ini jadi rakyat Malaysia”…
🥲🫡

Alhamdulillah ‘ala kulli hal.

Tuesday, October 28, 2025

Sesekali Teringat

Laluan hidup ini ranjau dan likunya sungguh kita tidak pernah terduga. Sewaktu kecil kita selalu memikirkan mahu cepat dewasa dan lepas bebas dari genggaman keluarga. Apabila dewasa, ia tidak semudah itu.

Sekurang-kurangnya bagi saya.

Aturan hidup kita selalu perlu mengikut 'flow' yang ditetapkan dalam persekitaran. Belajar, bekerja, berkahwin, mengandung, bersalin, bla bla bla.... Jika alirannya berbeza, kita perlu bersiap dengan satu jawapan yang selalunya tidak akan memuaskan hati yang bertanya.

Saya diuji dengan sakit yang berkali-kali tetapi saya bersyukur Allah hadirkan insan-insan hebat di sekeliling saya, yang ikhlas meluang masa untuk saya, yang ikhlas mendoakan kesembuhan saya dan tidak pernah jemu mengasihi saya. Saya mohon agar Allah memberi ganjaran sebaiknya buat insan-insan ini.

Juga, saya tidak akan pernah lupa pada jasa perawat-perawat saya yang sentiasa lemah lembut dan bersopan setiap kali memberi rawatan. Saya kagum dengan ketabahan mereka ini - para doktor dan jururawat - kerana saya tidak pernah dilayan kasar dan tidak sopan. Mereka begitu memahami perasaan pesakit dan memberi sebaik-baik layanan. Semoga Allah memberi ganjaran sebaiknya buat kalian.

Alhamdulillah, nafas saya masih tersisa sehingga ke usia ini, 53 tahun 9 bulan 18 hari. Saya mohon agar Allah tidak menguji saya dengan ujian yang tidak mampu saya lalui. Semoga apa jua yang Allah beri, dapat saya terima dan tempuhi dengan penuh kesabaran. 

Saturday, October 25, 2025

Me Time

Weh, saya baru lepas baca tulisan seorang lelaki di Facebook yang mempertikaikan me time dalam kalangan wanita (baca: isteri).

Baca di sini

Saya rasa hairan, kenapa dia menganggap me time tu sesuatu yang tak perlu? Oh, sebab dia lelaki.

Rupanya lelaki sangat susah nak faham betapa perlunya seorang isteri itu mencari ruang melayan diri sendiri tanpa gangguan DIA. Sudahlah penat mengurus rumah tangga, kena pula mengurus suami. Mana ruang mengurus diri sendiri? Tak kisahlah isteri itu bekerja atau suri rumah, me time sangatlah diperlukan kerana pada,waktu itu fikiran terasa lapang daripada memikirkan segala perkara berkaitan orang lain.

Contohnya saya. Di sekolah saya banyak memikirkan kerja, pulang ke rumah perlu fikirkan urusan rumah tangga dan seterusnya urusan menjaga mek pula. Penat! Bila ada me time, saya boleh buang semua itu dari fikiran dan melayan diri sendiri dengan melakukan aktiviti kegemaran. Online shopping, membaca majalah, menonton tv dan menulis sudah cukup untuk memberi saya rasa segar dan seronok. Bukan lama pun, sejam dua sudah mencukupi.

Syukur saya sentiasa mendapat me time yang berkualiti kerana suami saya sentiasa memahami dan tidak pernah mempersoalkan kenapa saya mahu begitu. Selagi tanggungjawab saya terhadapnya tidak terabai, ambillah me time sebanyak mana yang saya mahu. Saya boleh sahaja memberitahunya, "hari ini saya mahu berada di rumah sahaja, tak nak keluar ke mana-mana..." dan itulah me time saya, mengurung diri di rumah (baca: bilik). Tiada gangguan. Dia? Dia akan keluar melayan hobinya dan tidak mengganggu saya.

Bukanlah me time itu sehingga mengabaikan tugas dan tanggungjawab, ia sekadar ruang peribadi untuk seorang wanita berkarya melayan dirinya sendiri.



Friday, October 24, 2025

Cerai

Memang akhir-akhir ini dinding Facebook saya penuh dengan berita dua pasangan artis ini. Mereka sedang popular kerana isu cerai.

Nubhan dan Dr. Afifah sudah pun sah bercerai pada 26 Ogos lalu, manakala Kamal dan Uqasha pula masih dalam proses. Uqasha memfailkan perceraian pada 1 Oktober tetapi Kamal tidak hadir pada prosiding pertama pada 22 Oktober lalu menyebabkan kes ditangguh ke tarikh 28 Oktober. Kamal mengatakan beliau akan mempertahankan perkahwinan ini.

Itu faktanya. Tetapi yang ditulis oleh netizen ada macam-macam. Mereka seperti tinggal serumah dengan semua orang kerana tahu segala cerita luar dan dalam.

Saya penat.

Kadang-kadang saya mengharapkan agar segala kisah artis ini biarlah hanya boleh dibaca sahaja, tanpa perlu dibuka ruang ulasan oleh khalayak. Ya, seperti zaman surat khabar dan Melodi dulu. Segala ulasan hanya sesama kita sahaja, tidak perlu disebar untuk tatapan umum. Barulah aman. Aman perasaan, aman jiwa.

Ulasan netizen betul-betul di luar kotak. Segala yang tak nampak pun mereka boleh beri ulasan penuh sensasi. Entah di mana letaknya integriti, apatah lagi dosa pahala.

Letih!

Saya simpati juga pada pasangan-pasangan artis ini. Susah mahu menjaga privasi dan sangat terdedah kepada fitnah.

Semoga ada sinar buat mereka.

Monday, October 20, 2025

Dekcok

Alahai indahnya bila teringat masa kecil. Sikit pun tak ada risau apa-apa. Yang ada hanya seronok sahaja!

Jom, main dekcok...

Kami pun turunlah ke halaman rumah. Ranting pokok kami guna untuk melukis petak pada tanah. Serpihan tempurung kami jadikan 'kor'. Kami lempar kor dan tentukan siapa yang akan mula dulu.

Kami lompat dari satu petak ke satu petak. Hati-hati, jangan sampai terpijak garisan, nanti batal. Bergilir-gilir kami melompat. Penuh riang dan tawa.

Sekarang saya sudah tua. Nak lompat pun dah sakit lutut. Nak tengok budak-budak kecil main dekcok pun dah tak ada.

Mengenang sajalah yang saya mampu.

Vocabulary hari ini:
Dekcok = teng teng = hopscotch 

Friday, October 17, 2025

Ketawa

Ajarlah saya untuk ketawa lebih kerap. Setiap hari saya mencari bahan jenaka untuk saya ketawa.

Kenapa saya mahu ketawa?

Sebab selepas ketawa saya rasa jantung saya lebih normal. Apabila saya ketawa, saya membuang segala tekanan dalam jiwa saya.

Tetapi bagaimana saya mahu ketawa sentiasa? Sedang di sekitar saya penuh dengan pelbagai kisah yang menghilangkan rasa ingin ketawa. Kisah yang menakutkan, yang saban hari dilaporkan dan memberi rasa yang tidak enak dalam jiwa saya.

Saya menjadi risau dan tidak mampu untuk ketawa lagi.


Sunday, October 12, 2025

Moral

 Semalam geger satu kes yang melibatkan anak-anak bawah umur melakukan perbuatan salahlaku di sekolah. 

Rujuk di sini.

Maka bertebaranlah pandangan-pandangan dari segala lapisan manusia, dan ramai yang mengatakan betapa gagalnya KPM dalam mendidik anak-anak remaja di Malaysia.

Sistem Pendidikanlah yang salah.

Wahai manusia, bukankah kamu yang beranak? Kamu yang bangga kerana pandai membuat anak tetapi moral dan akhlak anak kamu serahkan pada KPM? Kebejatan apakah ini?

Sekian.