Tuesday, October 28, 2025

Sesekali Teringat

Laluan hidup ini ranjau dan likunya sungguh kita tidak pernah terduga. Sewaktu kecil kita selalu memikirkan mahu cepat dewasa dan lepas bebas dari genggaman keluarga. Apabila dewasa, ia tidak semudah itu.

Sekurang-kurangnya bagi saya.

Aturan hidup kita selalu perlu mengikut 'flow' yang ditetapkan dalam persekitaran. Belajar, bekerja, berkahwin, mengandung, bersalin, bla bla bla.... Jika alirannya berbeza, kita perlu bersiap dengan satu jawapan yang selalunya tidak akan memuaskan hati yang bertanya.

Saya diuji dengan sakit yang berkali-kali tetapi saya bersyukur Allah hadirkan insan-insan hebat di sekeliling saya, yang ikhlas meluang masa untuk saya, yang ikhlas mendoakan kesembuhan saya dan tidak pernah jemu mengasihi saya. Saya mohon agar Allah memberi ganjaran sebaiknya buat insan-insan ini.

Juga, saya tidak akan pernah lupa pada jasa perawat-perawat saya yang sentiasa lemah lembut dan bersopan setiap kali memberi rawatan. Saya kagum dengan ketabahan mereka ini - para doktor dan jururawat - kerana saya tidak pernah dilayan kasar dan tidak sopan. Mereka begitu memahami perasaan pesakit dan memberi sebaik-baik layanan. Semoga Allah memberi ganjaran sebaiknya buat kalian.

Alhamdulillah, nafas saya masih tersisa sehingga ke usia ini, 53 tahun 9 bulan 18 hari. Saya mohon agar Allah tidak menguji saya dengan ujian yang tidak mampu saya lalui. Semoga apa jua yang Allah beri, dapat saya terima dan tempuhi dengan penuh kesabaran. 

No comments:

Post a Comment