Friday, January 28, 2011

Control your anger

Anger is natural, however many people don't recognize anger because it may come out as hurt or fear. Anger is a powerful emotion. These are the ways to deal with those angry emotions.

Identify what made you angry. When you are angry this is a signal that something is not going well. Usually we are being taken for granted, ignored or have lost something precious to us.

Anger is a feeling. Think about what you can do about the feeling of what started the anger. Talk it over with a close friend.

Get rid of the angry feeling in a better way. Go for a walk, exercise, scream into a pillow. Release the pent up energy naturally in a constructive safe way.

When the initial energy is gone, think of how you can constructively communicate to the person or persons who brought on the angry feeling. Find a solution to the problem. In some cases this may not work, as in a situation with a boss. Talk it out with a friend or a therapist.

Thursday, January 27, 2011

The New Perodua Viva

When my mom told me she wanted to buy a new car, it was really a big surprise! At first it made me wonder but eventually I realized she had the right to do so. After a few discussion sessions with her children, she finally made up her mind to buy a new Perodua Viva.

With no driving licence, the process of loan application became a bit complicated. But Alhamdulillah, Ambank has approved my mom's application with my sweet sister Husna acted as a guarantor.

On 25th of January 2011, the Viva arrived safely with the help of our neighbour, En. Sulaiman Jaafar who drove the car home. My cute little sister Ismah was at her happiest when mom gave her the permission to be the driver of that white Viva. She couldn't stop smiling from the very first moment she touched the steering!

Well, to all my siblings out there, please pray for the safety of Ismah and the car. I couldn't believe that she was so brave to drive the car to her office on that Wednesday morning..! I can't wait to see my charming sister Zahidah drives the car as well.

I think, I'm going to drive the car too, soon!






Tuesday, January 18, 2011

Bersyukurlah

Satu perkongsian.... (saya 'kopipes' je ni ya!)

Minggu lepas saya sempat tonton sebahagian dari sebuah filem yang disiarkan di channel Vision Four. Tajuknya Interstate 60. Pelakon utamanya saya tak kenal tapi pelakon tambahannya ramai yang top. Salah satu babak yang saya ingat sangat, ialah di awal cerita yang membabitkan pelakon terkenal, Micheal J.Fox.

Dalam babak tu, Micheal kelihatan seperti seorang businessman yang sibuk. Ketika itu dia sedang bercakap-cakap di handphonenya di dalam kereta. Di belakangnya ada seorang lelaki sedang mengayuh basikal sambil menghisap paip. Tiba-tiba Micheal buka pintu keretanya dan akibatnya lelaki tersebut terlanggar pintu tersebut dan tergolek. Tengah terkocoh-kocoh dan sibuk mintamaaf tu, handphone Micheal terlepas dari tangan. Sampai je ke atas jalan, datang satu trailer lenyek handphone. Apa lagi, menyumpah seranah la dia!

Yalah, sebagai businessman, tentu handphone tu alat penting untuknya. Dalam keadaan marah, terkeluar dari mulut Micheal (lebih kurang la...) "Saya harap ini tak pernah terjadi!"

Rupa2nya lelaki yang bawa basikal tadi ada kuasa magik. Dia mampu ulang balik masa dan mereka kembali ke satu keadaan yang mana Micheal masih dalam kereta dan lelaki tadi masih menunggang basikalnya.

Bila tiba hampir ke kereta Micheal, dia berhenti. Tiba2 Micheal keluar dari kereta. Kali ni lelaki tadi tak melanggar pintunya seperti sebelum ini. Jadi Micheal terus rancak berbual hinggalah tiba-tiba datang trailer dan melanggar Micheal J. Fox. Lelaki tadi, yang berada di belakang kereta Micheal dan memerhatikan segalanya, berkata "Some people just don't know what to wish for.."

Apa kesudahan filem ini saya tak tahu sebab saya tak menontonnya hingga selesai. Tapi saya cukup tertarik dengan perkataan lelaki yang berbasikal tu. Sesetengah orang tak tahu apa yang patut mereka minta. Bukankah hampir kita semua begitu?

Dalam filem tadi, Micheal mengharapkan kemalangan tu (basikal langgar pintu keretanya) tak berlaku supaya handphonenya terselamat. Tapi tanpa kemalangan itu, dia pula yang maut. Perasan tak?

Ini satu telefilem fiksyen. Rekaan semata. Tapi perkara ni sebenarnya berlaku dalam kehidupan harian kita. Seringkali kita meminta perkara yang macam-macam seolah-olah itulah yang terbaik untuk kita. Persoalannya, tahukah kita apa yang terbaik untuk kita? Kalau kita dilahirkan miskin, kita sering berdoa untuk menjadi kaya. Hendak mengubah kehidupan, kita kata. Tapi kita pastikah kekayaan itu yang terbaik untuk kita?

Atau kita dilahirkan pendek, atau terlalu tinggi, atau hitam atau berpenyakit. Tentunya kita mengharap-harapkan keajaiban untuk menjadi manusia yang sempurna atau sekurang-kurangnya 'just nice'. Mungkin juga kita terbabit dalam kemalangan yang mengorbankan orang yang tersayang, tercalit dalam hati keinginan untuk mengembalikan masa itu supaya kemalangan itu dapat dielakkan dan nyawa orang kesayangan kita juga selamat. Kan?
Persoalannya, adakah apa yang kita perolehi sekarang ini bukan yang terbaik? Adakah Allah itu zalim atau pilih kasih dengan memberi sesetengah orang nikmat manakala setengah lagih azab? Bukankah Allah itu Maha Adil? Bukankah Allah itu Maha Mengetahui? Bukankah Allah itu Maha Bijaksana? Jika begitu, mengapakah ada sesetengah dari kita yang bernasib malang manakala sesetengah yang lain bernasib baik sepanjang hidup mereka?

Sebenarnya, kita adalah apa yang kita minta (we are what we wish for). Kadangkala tatkala kita berdoa, kita sendiri kurang faham dengan apa yang kita minta. Ada orang berdoa minta selamat. Akan tetapi Allah berikan dia dari sihat jatuh sakit. Dari kaya jatuh miskin. Dari jelita jadi huduh. Bagaimana itu? Itu hanyalah sebagai ujian kesabarannya. Seandainya imannya tetap kuat, insyaAllah dia akan selamat di akhirat kelak.

Selamat juga, bukan? Adakah Allah menolak permintaannya? Tidak! Bahkan Allah meletakkannya ke tempat yang lebih tinggi. Begitu juga dengan keadaan saya baru-baru ini. Hidup dikelilingi hutang lapuk. Pening kepala nak bayar. Interest makin meningkat. Ibu mana yang tak kasihan lihat anaknya susah hati? Satu hari tu ibu saya beritahu saya yang dia tiap-tiap hari berdoa minta saya dapat banyak duit. Dia simpati dengan saya katanya.

Saya katakan kepadanya. Kalau banyak duit, tiap-tiap bulan saya dapat, Alhamdulillah. Saya katakan padanya kalau mahu berdoa untuk saya, berdoalah semoga hutang lapuk saya selesai. Saya beritahunya ketika sebelum Zuhur. Zuhur tu juga dia telah tukar doanya dan Alhamdulillah, petang itu juga saya nampak jalan penyelesaiannya. Doa ibu itu berkat. Sekarang, Alhamdulillah ringan rasanya beban di kepala saya. Maha Suci Allah...

Apabila Allah menentukan sesuatu ke atas kita, percayalah itu adalah yang terbaik. Hanya mata kita yang diseliputi dengan nafsu yang tidak dapat melihat kebaikan yang ada pada sesuatu kejadian. Mengapa sukar bagi kita untuk redha kepada kejadian Allah? 'Grass is always greener on the other side'. Kan? Kita sentiasa melihat apa yang ada pada orang lain itu lebih baik dari apa yang kita miliki.

Sedang Nabi saw telah menasihatkan agar kita melihat orang yang di bawah. Jangan melihat orang lebih tinggi kerana itu akan membuat kita tidak bersyukur. Dan itulah masalahnya pada diri kita. Kita sentiasa mengejar peluang yang lebih baik. Sentiasa mahukan yang lebih banyak. Saya sendiri mengalami perkara ini. Dan saya percaya ramai yang turut mengalaminya. Siapa yang taknak gaji besar, kan?

Masa saya grad, ekonomi negara benar-benar sedang menjunam. Saya ke hulu ke hilir mencari kerja. Akhirnya saya bekerja sebagai operator di kilang metal stamping. Gaji RM400 sebulan. Tiada OT. Tolak itu, tolak ini, dapatlah RM350. Hm... Cukup? Dah tentu tidak. Ketika itu saya hanya memiliki sebuah motor Yamaha 110SS hadiah ayah sempena dia dapat EPF. Isi minyak dengan makan dah habis. Ketika itu saya fikir, dapat gaji RM750 pun jadilah.

Kemudian saya bekerja sebagai Lab Technician. Betul2 saya dapat RM750. Cukup? Tak juga. Masa tu saya mula terfikir. Dapat gaji RM1500 pun dah cukup. Allah tunaikan lagi. Bekerja pula di petrochemical plant. Sebagai trainee, dapat la RM1500 sebulan. Ya Allah... tak cukup juga. Sebab masa tu saya dah beli kereta Iswara. Saya fikir, dapat RM2500 cukup la. Tapi bila dapat banyak tu, saya tukar kereta pula. Kesimpulannya tak cukup juga!

Memang takkan cukup. Nafsu itu adalah benda yang paling besar! Sekarang, ketika kawan-kawan saya berlumba masuk syarikat lain yang offer gaji 2 - 3 kali ganda, saya tetap di sini. Kalau ada yang bertanya kenapa saya tak ikut mereka, senang saya katakan, saya selesa di sini. Kalau solat saya panjang, bos tak pernah marah. Sedang rakan2 saya di syarikat baru dibenarkan solat hanya dalam masa 5 minit sahaja.

Kini saya dah pandai mengatakan cukup. Cukuplah sebanyak ini yang Allah beri. Sekiranya diberi lebih, Alhamdulillah. Sekiranya semakin kurang, semoga Allah perkuatkan iman saya menghadapi dugaan mendatang. Yang penting bagi saya, apa yang saya perolehi ini halal dan diberkati. Pesan Nabi saw kepada Saiyidina Ali ra supaya jangan mengira-ngira rezeki untuk hari esok kerana Allah menurunkan rezeki pada tiap2 hari. Ini benar-benar terkesan dalam hati saya.

Apa pun, ini bukan bererti kita tak boleh mengejar yang lebih baik. Kejarlah dunia seperti akan hidup 1000 tahun lagi. Tapi ingatlah, dunia ibarat bayang-bayang. Makin dikejar makin ia lari. Kejarlah akhirat seperti akan mati esok hari. Kerana akhirat itu umpama matahari. Makin kita kejar akhirat (matahari), dunia (bayang-bayang) akan mengejar kita. Rezeki itu hak Allah maka bermohonlah kepada Yang Memiliki rezeki itu. Kerana tiada rezeki untuk kita tanpa ada izin dariNya.

Terjadi kepada kenalan saya. Dengan gaji RM1000 sebulan, nak bayar ansuran rumah, nak isi minyak motor yang makin naik, duit lampin anak, duit makan, tinggal pula di JB, memang tak cukup. Sering dia mengeluh. Di tempat kerjanya pula dah lama hadkan OT. Kesian dia. Selalu dia cakap dia nak cari kerja lain. Dah banyak dia apply tapi tak dapat-dapat sebab tiada kelulusan dan umur pun dah makin lanjut.

Saya katakan padanya, besar periuk besarlah kerak. Sekarang dia pakai motor. Kalau gaji besar lagi, mungkin dia pakai kereta. Besar mana pun tetap tak cukup. Tapi... Masuk telinga kiri keluar telinga kanan. Akhirnya Allah tunaikan permintaannya. Tiba-tiba dia dapat banyak sangat OT. Hari-hari balik rumah sampai tengah malam. Langsung tak rehat. Main dengan anak pun 2 -3 minit masa pagi sebelum ke tempat kerja.

Bila jumpa, dia cakap dah penat. Tak larat nak OT. Saya ketawakan dia. Bukankah ini yang dia minta? Ya, katanya. Tapi dia dah tak larat. Hari Ahad je dia dapat rehat. Bila nak main-main dengan anak? Kesian anaknya. Ke masjid pun hari Jumaat saja sekarang ni... Saya katakan padanya, kita tak boleh dapat segala-galanya. Dia nak duit, Allah bagi duit. Tapi dia hilang kehidupan dan masa dengan anaknya. Itu adalah permintaannya. Bersyukurlah Allah telah menunaikan...

Kalau nak dikongsi, terlalu banyak rasanya apa yang saya lalui. Saya pasti, saudara semua juga ada lalui perkara yang sama. Di sini, bukan niat saya nak mengajar. Bukan juga nak menunjuk pandai. Saya hanya mengajak saudara-saudara sekalian terutamanya diri saya sendiri untuk berfikir. Apa yang kita buru? Apa yang kita cari? Apa yang kita dapat? Berapa kali pernah kita bersyukur dan berapa kali pernah kita katakan cukup?

Cukup atau tidak apa yang kita ada, bergantung kepada cukup atau tidak kita bersyukur ke hadrat Allah. Juga bergantung cukup atau tidak kita tambat nafsu kita. Yang penting tiap kali selepas solat, berdoalah pohonkan Allah berikan yang terbaik buat kita. Nabi saw pernah memberitahu, orang yang tidak berdoa selepas solat adalah orang yang sombong. Dalam hadith yang lain, Baginda saw berkata orang yang sombong adalah syirik kerana hanya Allah yang layak untuk bersifat sombong. Wallahu'alam...

Ya Allah! Ampunkanlah kami ya Allah. Selama ini kami leka. Selama ini kami lalai dalam mengejar nikmat dunia hingga kami lupa janji nikmat syurga Mu. Cukupkanlah kami dengan apa yang Kau beri. Dan jadikanlah kami insan yang tahu bersyukur. Amin... Ya Rabbal 'Alamin...

Akhir kata, belajarlah untuk berkata CUKUP, ALHAMDULILLAH...."

Friday, January 14, 2011

Hipertiroidisme

Hipertiroidisme adalah keadaan di mana kelenjar tiroid mengeluarkan hormon tiroid secara berlebihan. Keadaan ini sering disebut sebagai "tiroid yang terlalu aktif."

Punca
Kelenjar tiroid adalah organ penting dalam sistem endokrin. Kelenjar ini terletak di bahagian depan leher tepat di bawah kotak suara. Ia menghasilkan hormon tiroksin (T4) dan triiodothyronine (T3), yang mengendalikan cara setiap sel dalam tubuh menggunakan tenaga. Proses ini disebut metabolisme.

Hipertiroidisme terjadi ketika tiroid melepaskan terlalu banyak hormon dalam tempoh yang singkat. Keadaan yang boleh menyebabkan masalah ini antaranya:

* berlebihan yodium
* Keradangan tiroid akibat jangkitan virus atau penyebab lain
* Bersifat kanser pertumbuhan dari kelenjar tiroid atau kelenjar pituitari
* Mengambil sejumlah besar hormon tiroid
* Tumor testis atau indung telur

Gejala
* Sukar memberi tumpuan
* Keletihan
* Kerap buang air besar
* Gondok (tampak pembesaran kelenjar tiroid) atau nodul tiroid
* Tidak tahan panas dan mudah berpeluh
* Nafsu makan meningkat
* Tempoh menstruasi tidak teratur pada wanita
* Gementar
* Gelisah
* Kehilangan berat badan yang banyak

Gejala lain yang boleh berlaku dengan penyakit ini:
* Payudara membengkak (pada lelaki)
* Lembap kulit
* Cirit birit
* Rambut gugur
* Tangan terketar-ketar
* Tekanan darah tinggi
* Gatal - keseluruhan
* Kurangnya tempoh menstruasi pada wanita
* Mual dan muntah
* Denyutan jantung tidak teratur
* Menonjol mata (exophthalmos)
* Rapid kuat, atau tidak teratur denyut jantung (jantung berdebar)
* Kulit memerah
* Sukar tidur

Ujian dan Pemeriksaan
Pemeriksaan fizikal boleh mendedahkan pembesaran tiroid, tremor, refleks hiperaktif, atau peningkatan denyut jantung. Tekanan darah sistolik (nombor pertama dalam pembacaan tekanan darah) mungkin tinggi.

hipertiroidisme subklinis adalah bentuk hipertiroidisme ringan yang didiagnosis dengan kadar hormon tiroid abnormal, sering tidak adanya gejala.

Ujian darah juga dilakukan untuk mengukur kadar hormon tiroid.

* TSH (thyroid stimulating hormone) level biasanya rendah
* Tingkat T3 dan T4 tidak biasanya quality

Penyakit ini juga boleh mempengaruhi keputusan ujian berikut:

* Ujian kolesterol
* Ujian glukosa
* Serapan yodium radioaktif
* T3RU
* Trigliserida
* Vitamin B12

Rawatan
Rawatan hipertiroidisme bergantung pada penyebab dan beratnya gejala. Hipertiroidisme biasanya dirawat dengan satu atau lebih hal berikut:

* Ubat-ubatan antitiroid
* Radioaktif yodium (yang menghancurkan tiroid dan menghentikan kelebihan pengeluaran hormon)
* Pembedahan
Jika tiroid harus dihilangkan dengan pembedahan atau dihancurkan dengan radiasi, anda harus mengambil pil hormon gantian thyroid untuk sisa hidup anda.

Beta-blocker seperti propanolol digunakan untuk mengubati beberapa gejala, termasuk denyut jantung yang cepat, berpeluh, dan kecemasan sampai hipertiroidisme dapat dikawal.

Thursday, January 13, 2011

Karamah Pulang Dari Makkah

(Petikan dari Majalah Solusi Isu # 27)

Pulang dari masjid malam itu perasaan saya berkecamuk pelbagai rasa. Fikiran ligat berputar mencari suatu pencerahan. Masih terngiang-ngiang apa yang dibualkan oleh sekumpulan ahli kariah yang baru pulang dari Makkah.

"Banyak keajaiban berlaku semasa aku di sana. Kau macam mana? Berapa kali dapat kucup Hajarul Aswad?"

"Aku dapat sekali sahaja. Itu pun puas berasak-asak dan bertolakan. Kalau tidak, tak merasalah. Aku dengar kau dapat banyak kali. Betulkah?"

"Dah rezeki aku. Bila aku bergerak sahaja menujunya, macam ada sahaja orang yang menolak aku dari belakang. Aku teruskan saja. Mudah. Kucup berapa kali yang aku hendak." Jawabnya agak bangga.

Tak lama kemudian dia menambah, "Insya Allah, tahun hadapan aku akan sekali lagi ke sana."

Mereka berdua memang kaya. Saya tidak berapa pasti apa profesionnya. Sekali sekala sahaja mereka muncul di masjid. Tidak sempat mengenali lebih dekat. Namun perbualan yang singkat itu mengingatkan pengalaman sendiri bagaimana saya melihat "pergaduhan" di tepi Kaabah akibat berebut-rebut untuk mencium batu hitam itu.

Dalam hati saya tertanya-tanya, bagaimana agaknya jika golongan Muhajirin dan Ansar melihat perlakuan umat yang menggadaikan soal ukhuwwah yang wajib hanya kerana amalan sunat mencium Hajarul Aswad. Teringat pula teguran Dr. Yusuf Al-Qaradawi tentang susunan keutamaan amal dalam 'Fiqh al-Awlawiyyat'nya. Betapa tidak tepatnya sikap kebanyakan orang yang mengerjakan haji berkali-kali sedangkan masih ramai umat Islam miskin yang melarat, pelajar yang kekurangan dana dan institusi Islam yang goyah kerana ketandusan biaya. Itu lebih utama dibantu!

Aneh
"Aku mengalami satu kejadian ajaib. Ketika aku letih dan haus selepas tawaf, tiba-tiba ada seorang lelaki berwajah jernih menghulurkan aku segelas air zam zam. Peliknya dia kemudian hilang secara tiba-tiba."

"Tentu itu wali Allah. Kau bertuah dapat minum air zam zam yang diberikan wali Allah itu," balas kawannya.

"Kalau kau pergi lagi tahun depan, tunggulah di tempat minum air zam zam selepas tawaf. Mana tau rezeki kau pula dapat jumpa wali macam aku," balas kawannya itu.

Dialog itu saya dengar beberapa tahun yang lalu. Terasa aneh dalam hati. Betapa tersilapnya pemahaman masyarakat tentang kebaikan. Seringkali apa yang didakwa "keajaiban" menenggelamkan kebaikan yang didasarkan oleh nas yang lebih jelas dan sahih. Bukankah Rasulullah s.a.w. menegaskan tangan yang di atas (memberi) itu lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima)?

Pada pandangan saya, tentulah menghulur air kepada manusia lain yang keletihan dan kehausan itu lebih utama berbanding menerima daripada orang lain (tidak kira siapa pun) yang menghulurkan untuk kita.

Sepatutnya kita berazam untuk menjadi pemberi, bukan penerima.

Misteri di Tanah Suci
Di kedai-kedai buku sekarang ini masih terjual majalah atau buku yang memuatkan pelbagai kisah misteri yang berlaku di Tanah Suci. Kisah penzina yang tidak nampak Kaabah. Kisah orang ego yang tersesat dalam masjid Nabawi. Insiden orang celupar kehilangan suara. Cerita orang yang makan rasuah terasa panas membahang dan meminta pulang. Macam-macam cerita lagi.

"Aku takut hendak ke Makkah," kata kenalan saya seorang usahawan yang berjaya satu ketika dahulu.

"Kenapa? Bukankah semua orang bercita-cita hendak ke sana?"

"Kau tahulah aku dulu. Hidup bergelumang macam-macam maksiat."

"Pergilah ke sana. Baiki diri sekarang dan bila di sana nanti, perhebatkan langkah taubat. Insya Allah, Allah akan ampunkan dosa-dosa kita."

"Aku takut... aku takut tak nampak Kaabah nanti!"

"Masyaallah! Inilah akibatnya terlampau banyak baca kisah misteri. Kau mesti 'delete' semua anggapan itu. Baca al-Quran dan hadis-hadis yang mendorong kita ke Makkah dan Madinah."

Itu satu cerita. Seorang kenalana saya membawa satu cerita lagi. Tetapi cerita ini berlawanan dengan cerita tadi.

"Aku kenal seorang ahli perniagaan yang kaki rasuah. Dapat projek ikut jalan tak betul. Macam-macam hal negatif yang dia buat. Baru-baru ini dia pergi mengerjakan haji setelah bertahun-tahun berhujah yang dia belum sampai seru."

"Alhamdulillah, dia sampai seru akhirnya," balas saya sambil tersenyum.

"Tapi malang..."

"Apa yang berlaku? Dia tak nampak Kaabah?" kata saya sekadar memeriahkan perbualan dengan input-input yang selalu dikatakan orang apabila orang "seumpama itu" pergi ke Makkah.

"Dia nampak. Segala-galanya macam biasa saja. Balik dari Makkah dia semakin 'confident' dengan perbuatan negatifnya. Sikap buruknya malah makin menjadi-jadi."

"Kenapa dia jadi begitu?"

"Dia kata, kau tengok aku. Aku nampak Kaabah. Tak terasa panas, tak pernah sesat macam orang yang aku baca dalam kisah-kisah misteri dan aneh itu. Itu menunjukkan aku ok lah.. Tuhan pun merestui aku. Kalau aku jahat dah tentu aku ditimpa macam-macam insiden malang seperti yang diceritakan dalam kisah-kisah misteri itu. Ini tidak. aku ok... ok saja!"

Saya menggeleng kepala. Inilah gugusan kisah misteri yang sepatutnya dikupas dan dijelaskan berdasarkan wahyu dan sunnah. Betapa roh ibadah dan tujuan sesuatu amalan sudah terlalu kabur akibat diselubungi pelbagai kepercayaan, kecenderungan dan amalan yang jauh tersasar. Maka terciptalah "topeng-topeng" agama yang menyembunyikan wajah kejahatan dan kemungkaran yang semakin sukar dikesan dan dikenali.

Dan itu semua membenarkan apa yang pernah ditegaskan oleh Rasulullah s.a.w. ketika menjawab soalan seorang sahabatnya Abu Huzaifah tentang kebenaran yang akan muncul semula pada akhir zaman. Rasulullah menjawab: "Ya, tetapi ketika itu terdapat kekurangan dan perselisihan." Maksudnya kebenaran akan muncul buat kali kedua tetapi kali ini di tengah-tengah banyaknya kesamaran!

Demikianlah kisah-kisah 'karamah' dari Makkah. Manusia ghairah mencari yang luar biasa sehingga terlupa yang luar biasa itu sebenarnya adalah sikap ikhlas, istiqamah, sabar, khidmat dan iltizam dalam beragama. Ramai yang lupa bahawa roh daripada mengerjakan haji dan umrah di Tanah Suci adalah bangunnya jiwa perjuangan untuk menyucikan semua tanah yang kita pijak sekembalinya kita dari sana.

Ulama tersohor zaman ini, Dr. Yusuf al-Qaradawi pernah berkata: "Setiap inci tanah di muka bumi ini ialah tempat yang subur untuk menanam benih syurga!"

Tanamlah benih itu di sini, di sana dan di mana-mana jua. Itulah semangat jihad tiga perempat daripada 124 ribu sahabat Rasulullah yang meninggal dunia di luar Makkah dan Madinah!

(Imam Global)

Wednesday, January 12, 2011

Dia

Saya sedang mencari-cari diri, yang terasa bagai hilang. Ada waktu-waktunya terasa sukar menempuh ujian walau diri sangat sedar, ia bukan datang tanpa hikmah di sebaliknya.

Melihat insan yang dekat dengan diri saya melalui kesakitan dan kesulitan, mengundang rasa sayu dan pilu yang tidak mampu diungkap dengan kata. Dia umpama diri saya. Berbelas tahun berkongsi segala yang sulit dan rahsia dengannya, bukanlah tempoh yang singkat. Saya bagai ada dalam dirinya, sebagaimana saya merasai dirinya di dalam saya. Kini dia berperang dengan kesukaran. Simpati saya padanya melimpah. Saya jadi buntu kadang kala, kerana tidak tahu tindak laku yang sewajarnya tatkala dia menahan diri dimamah ketidakselesaan yang semakin menular hari ke hari.

Saya tidak jemu memanjat doa agar dia pulih dan kembali mewarnai hari-hari saya dengan senyum dan tawa.

Saturday, January 08, 2011

Banjir

Sejak petang Rabu, hingga hari ini hujan masih belum mahu berhenti. Matahari menyembunyikan dirinya di balik awan kelabu. Sejuk mencengkam, menikam hingga ke tulang hitam.

Pagi Khamis 6hb Januari, hujan sungguh lebat. Di sekolah, air hujan bertakung di depan bangunan, di koridor juga di sekitar bilik guru. Cuaca begini bukan sekadar menyejukkan luaran, malah mengundang kebekuan dan kelembapan dalaman yang menghadirkan keinginan berhibernasi yang tinggi! Mujurlah esok Jumaat, bolehlah keinginan itu direalitikan.

Hmmm.... Januari tiba bersama banjir rupanya. Apa pun, alhamdulillah!


Pemandangan di hadapan SMK Kadok, pada jam 3.00 petang, 6hb Januari 2011.

Bekerjalah wahai wanita!

Seorang wanita mengadu kepada seorang kaunselor.

“Puan, saya bermasalah dengan suami saya. Tidak berapa lama lagi, sekolah akan bermula tetapi dia masih enggan membeli pakaian sekolah, beg dan kasut untuk anak-anak saya. Saya kasihankan budak-budak. Baju lama sudah lusuh sangat. Kasut apatah lagi. Suami saya bukan tidak berduit tetapi terlalu berkira dengan isteri dan anak-anak. Padahal, pakaiannya selalu berganti baru. Saya tidak bekerja dan tiada pendapatan sendiri. Apa harus saya lakukan?”
Saya terbaca luahan ini di status seorang rakan facebook saya yang juga seorang kaunselor.

Jawapan yang diberi ialah, “Sebab itulah saya sentiasa mengingatkan, wanita kena ada pendapatan sendiri!”

Saya terdiam, dan berfikir sejenak.

Benar, menyediakan segala keperluan anak-anak dan rumahtangga adalah kewajipan suami. Tetapi pada era ini, siapa pun tidak berani menjamin sejauh mana lelaki sekarang peka dan sedar dengan tanggungjawabnya. Jika mendapat suami yang baik dan beriman, alhamdulillah. Tetapi siapa yang mampu meramal masa depan?

Saya sedih mengenang situasi begini. Lelaki yang tidak terdidik dengan ilmu, meletakkan ego diri sebagai raja. Mereka juga memandang wanita sebagai makhluk kelas kedua. Konon wanita lemah, tidak kuat emosi dan suka membesarkan perkara remeh. Mereka anggap isteri sebagai orang suruhan - diguna bila perlu, dibuang bila jemu. Padahal semua manusia sama di sisi Allah, yang berbeza ialah ketakwaan diri. Mereka lupa, tanggungjawab mendidik isteri dan anak-anak adalah milik mereka. Jika isteri dan anak-anak mereka tidak berada pada landasan syariah, bersedialah menjawab di padang Mahsyar nanti!

Justeru, beringatlah wahai wanita. Sediakan diri anda secukupnya dengan bekalan. Walaupun Allah telah menetapkan wanita sebagai jagaan lelaki tetapi lelaki zaman sekarang sangat sukar ditelah. Berdasarkan bancian terbaru negara kita, bilangan lelaki lebih ramai daripada bilangan wanita tetapi kenyataannya, di manakah mereka semua? Jika kita ke universiti, yang ramai ialah pelajar wanita. Mungkin jika kita ke pusat serenti barulah nampak ramai lelaki. Sungguh, lelaki Malaysia kurang yang berkualiti. Kenapa agaknya? Kerana mereka dirajakan keluarga, dan merajakan ego diri. Wanita tidak begitu.

Lalu saya berpesan di sini, bersedialah selengkapnya wahai wanita. Bekerjalah, carilah pendapatan sendiri kerana sekarang bukan waktunya untuk kita bergantung pada lelaki. Seterusnya, bijaklah dalam mengurus diri dan keluarga. Jangan biar kita dipijak, diperbodoh dan diperguna. Jangan sampai segala harta benda kita menjadi harta benda mereka juga.

Bukan maksud saya untuk menghasut wanita membenci dan tidak mempercayai lelaki. Saya tidak begitu kerana saya tahu masih ramai lelaki yang baik dan bertanggungjawab di luar sana. Cuma saya tekankan tentang persediaan diri bagi wanita yang masih mencari dan menanti kehidupan berkeluarga. Andai bertemu lelaki yang tidak seperti dihajati, sekurang-kurangnya kita punya persiapan diri.

Satu lagi, jika anda seorang ibu yang memiliki anak lelaki, didiklah mereka dengan betul mengikut ajaran Islam yang sebenarnya, supaya mereka tergolong lelaki bertanggungjawab yang tahu menghormati wanita.

Monday, January 03, 2011

Hari pertama di sekolah tahun 2011

Bermulalah hari pertama persekolahan bagi tahun 2011 ini.

Jam sudah berbunyi seawal 5.30 pagi tetapi kantuk saya masih bersisa! Entah mengapa malam tadi sukar benar melelapkan mata. Berpusing ke kiri, ke kanan masih enggan lena. Baru sahaja terlena sekejap, sms pula berbunyi. Hmm, Celcom ini tak mengira masakah? Jam 3.45 pagi menghantar sms kredit percuma! Lambat pulalah mata saya mahu lena kembali…

Apa pun, tanggungjawab wajib dilaksanakan. Jam 6.45 pagi saya dan suami bergerak ke sekolah. Memang suasana masih gelap dan sejuk. Awal tahun begini subuh memang lambat, maka tentu sekali matahari hanya muncul menjelang 7.30 pagi. Tiba di sekolah, saya menuju ke bilik saya dan mengemas apa yang patut. Bersandar di kerusi, fikiran menerawang ke serata alam. Mencari dan menaakul, menimbang dan mengukur. Semoga kali ini saya lebih cekal, berwawasan dan positif dalam tugas. Amin.

Jam 7.40 pagi, perhimpunan berlangsung di Dewan Chengal Perdana. Sekejap sahaja, hanya 40 minit. Memang Tuan Pengetua kami sangat menepati masa. Pesanan beliau, agar pengajaran dan pembelajaran berlangsung seperti biasa walaupun hari ini hari pertama persekolahan.

Akur dengan arahan, saya menuju ke kelas pada jam 9.00 pagi sebaik selesai sarapan di kantin. Kali ini saya berdepan dengan pelajar tingkatan 5 Ibnu Sina, mengajar mereka Matematik Tambahan. Sebagai permulaan, saya perkenalkan tajuk-tajuk yang bakal mereka pelajari pada tahun ini. Seterusnya saya kemukakan sembilan soalan sebagai ulangkaji tajuk-tajuk tahun lepas.

Kelas mereka tamat pada 10.20 dan saya punya waktu cuma 20 minit untuk berehat sebelum kelas seterusnya. Saya ke pejabat, mengbil buku rekod 2011 dan buku kedatangan pelajar 4IBN.

10.40 pagi, saya menuju ke kelas 5 Ibnu Rushd pula untuk subjek Matematik. Tanpa banyak cerita, saya meminta mereka menjawab soalan kertas 2 SPM 2004, dari nombor 1 hingga nombor 7, dan juga nombor 9 sebagai latihan awal. Bukan apa, lama bercuti tentu memberi sedikit impak kepada kecekapan memori mereka. Saya sekadar ingin mendiagnos sahaja.

Alhamdulillah, mereka tekun menurut arahan saya, dan tepat jam 12 tengah hari saya tamatkan kelas dan berjanji untuk memberi jawapan soalan-soalan tersebut pada esok hari.

Kelas seterusnya untuk masa 12.00 hingga 12.40 tengah hari ialah tingkatan 4 Ibnu Khaldun tetapi semua pelajar tingkatan empat terlibat dengan orientasi di Dewan, maka saya bolehlah buat kerja lain.

Saya mengambil ruang waktu yang ada ini untuk mengagihkan cenderahati yang saya beli sewaktu di Makkah baru-baru ini kepada guru-guru di sini. Tidak mahal, hanya seutas tasbih, seutas rantai kunci dan sebotol kecil minyak attar sebagai tanda ingatan. Buat kaki tangan di pejabat dan makmal pula, saya merancang untuk mengagihkannya pada esok hari.

Jam 12.45, bersama-sama dengan cikgu Haslinah saya ke kantin untuk makan tengah hari. Suami saya akan datang menjemput saya agak lewat hari ini kerana dia terpaksa menghantar Toyota Camrynya untuk diservis. Mungkin sekitar jam 3 petang baru saya dapat pulang, maka saya selesaikan makan tengah hari saya di sekolah sahaja. Menunya, nasi putih dengan sup tulang dan telur mata lembu, beserta segelas teh o ais. Hanya RM5.00, dan saya kekenyangan.

Sekarang, jam sudah pun menunjukkan pukul 2.19 petang. Saya bersendirian di bilik saya ini kerana rakan-rakan sebilik sudah pulang ke rumah masing-masing. Alhamdulillah, saya tidak bosan bersendirian kerana ditemani laptop kesayangan saya ini…

Saturday, January 01, 2011

Kamera Digital

Pertama kali saya memiliki kamera digital ialah pada Jun 2004. Saya di Langkawi waktu itu, dan berhajat sangat untuk memiliki satu kamera digital. Ketika itu saya belum begitu kenal dan faham tentang spesifikasi kamera digital ini menyebabkan saya beli sahaja apa yang ditawarkan oleh kedai kamera di sana.Kodak Easyshare. Itulah kamera pertama saya dan ia langsung tidak memuaskan hati saya. Harganya RM400, tetapi kualiti gambarnya sangat teruk. Rasa menyesal juga kerana membeli tanpa ilmu! Tapi nak buat macam mana jika sudah rezeki saya mendapat kamera sedemikian rupa.

Lama saya menyimpannya. Diguna jarang-jarang. Sakit hati melihat gambar yang terhasil. Akhirnya pada Ogos 2005, sewaktu mengikuti kursus di Kuala Lumpur saya meronda-ronda kedai kamera di sekitar hotel saya. Waktu itu saya sudah tahu apa itu megapixel, apa itu optical zoom, digital zoom, AF assist dan macam-macam lagi. Saya juga rajin membaca forum di internet tentang kamera digital yang bagus, murah dan berkualiti. Saya sudah pun tahu jenis kamera yang saya ingini sebelum saya membelinya. Canon PowerShot A400. Itulah yang saya cari berdasarkan maklumat dalam internet. Dengan penuh keyakinan saya melangkah ke kedai kamera, dan meminta kamera tersebut. Waktu itu ia berharga RM650 dan saya mendapat kad memori, camera stand dan payung percuma. Kali ini saya sangat berpuas hati. Kamera itu memang bagus. Gambarnya jelas, saiznya sederhana dan senang dioperasi. Saya turut membeli kamera yang sama untuk adik saya Husna.

Saya menggunakan kamera ini semaksimumnya dan ia tidak pernah meragam. Walaupun sudah bertahun-tahun, ia tetap setia berkhidmat pada saya dan saya rasa sangat sayang untuk mengabaikannya. Pada waktu orang lain memiliki kamera yang lebih terkini, saya masih menggunakan Canon saya. Saya rasa kualiti gambarnya masih yang terbaik berbanding kamera jenama lain, yang terbaru di pasaran yang diguna oleh adik-adik saya.

Masa berubah. Kamera juga turut berubah. Kini, ada rasa segan juga bila menggunakannya di khalayak kerana rupanya yang tidak secanggih kamera sekarang. Ia kelihatan tebal, berat dan out of date.

Kasihan Canon saya itu, dia tidak bersalah.

Tetapi saya cuma manusia biasa yang punya keinginan mencuba sesuatu yang baru. Saya mahu perubahan. Sudah lama saya membaca tentang Canon IXUS dan mengimpikannya. Pun, harganya mahal. Lebih seribu ringgit.

Rabu baru-baru ini, di KB Mall bersama-sama Ismah, kami melewati kedai kamera Foto Mesra. Tiba-tiba hati saya tergerak untuk berhenti di situ dan meninjau-ninjau kamera yang ada. Hmm. Canon IXUS impianku ada di situ. Rupanya kedai tersebut mengadakan jualan penghabisan stok dan kemera Canon IXUS 200 IS itu cuma berharga RM899 berbanding harga asal RM1299. Aduh! Saya tergoda...

Walaupun tidak merancang, tetapi saya nekad membelinya. Oh! Gambarnya sungguh cantik. Skrinnya lebar, malah skrin sentuh lagi. Mengoperasinya juga senang kerana saya sudah biasa menggunakan Canon. Dengan kad memori 4GB, saya mampu menyimpan beribu-ribu keping gambar. Sungguh, saya sangat puas hati.

Kini, saya memiliki dua buah Canon dan saya sayang kedua-duanya. Semoga mereka setia berkhidmat dengan cemerlang pada saya untuk tempoh yang lebih lama lagi!

KB Mall 29 Disember

Hari Rabu.
Hujan turun renyai-renyai, sekejap lebat sekejap berhenti. Suami saya ada mesyuarat guru di sekolahnya, yang tentu sekali memakan masa berjam-jam. Saya bakal keseorangan di rumah, bakal kesunyian tanpa teman. Saya pohon keizinan suami untuk keluar ke KB Mall bersama-sama adik Ismah saya yang juga kebosanan di rumah emak. Alhamdulillah, dia tidak melarang malah memberi galakan... hehe!!

Jam 8.30 suami menghantar saya ke rumah emak. Hujan masih belum berhenti, namun saya berdoa agar ia tidak terlalu lebat. Saya ingin benar ke KB Mall, ingin meredakan tekanan dan kepenatan berhari-hari dengan membeli-belah. Hm, wanita tipikal!

Jam 9.35 saya dan Ismah keluar ke KB Mall menaiki teksi. Jalan agak sesak, dan kami tiba pada jam 10.25 pagi.

Kami mula meronda ke sana ke mari, melihat dan memantau apa yang perlu. Di kedai buku, kedai CD, kedai makanan segera, kedai komputer, kedai kamera, kedai pakaian, farmasi dan juga pasar raya pacific.

Memang melegakan sekali!

Jam 2.30 petang kami pulang menaiki kereta prebet yang bertaburan di hadapan KB Mall.


Januari tiba lagi...

...untuk kali yang ke-39 dalam hidup saya. Dua peristiwa penting mengisi bulan ini, hari jadi dan hari ulangtahun perkahwinan yang berselang seminggu cuma. Tetapi bukan itu yang ingin disentuh, kerana ia telah disentuh berkali-kali.

Saya mengharap Januari ini membawa sinar nan gemilang.

Isnin ini saya akan memulakan tugas saya sebagai guru SMK Kampong Chengal untuk tahun 2011, tahun ketiga di sekolah ini. Berbekalkan semangat yang membara, saya akan meredah Januari dan bulan-bulan seterusnya dengan keazaman yang tinggi. Saya sudah menerima senarai tugas saya untuk sesi kali ini dan saya bersedia. Bersedia mental, bersedia fizikal. Semoga perancangan saya pada tahun ini direstui Allah.

Januari, satu permulaan. Moga ada peningkatan. Insya Allah.