Friday, September 30, 2011

Takdir

Sampai bila-bila pun, takdir itu bukan milik kita. Ia kepunyaan Allah, yang mengetahui segalanya. Yang telah menetapkan segala ketetapan. Yang lebih tahu baik buruk sesuatu perkara, sesuatu kejadian. Dia yang mencipta saya, maka saya ini milik-Nya.

Sejak kecil, saya diasuh begitu. Diajar untuk berusaha, namun redha dengan ketentuan. Diajar untuk terus gagah berjuang, namun tidak akan iri dengan kejayaan orang lain. Arwah ayah pernah berpesan, iri itu ada dua. Jika iri melihat orang memiliki kelebihan lalu kita berusaha menjadi sepertinya, itu iri yang positif. Jika iri diikuti dengki dan mula mencari jalan menjatuhkannya, maka itu negatif, dan tentu sekali berdosa.

Benarlah kata ayah itu.

Saya sedang belajar menerima takdir saya dengan redha. Masa depan saya dalam genggaman Tuhan. Siapa pun boleh menelah, tetapi hakikatnya hanya Dia yang tahu. Saya tidak mahu terus mencemburui kerana ia membawa punah. Mungkin sukar, kerana saya hanyalah manusia kerdil yang punya hati kecil dan iman yang sering pasang surut. Saya lemah, sungguh. Tapi saya ingin berusaha untuk menjadi kuat kerana saya sekarang dalam perjalanan menuju akhirat. Akhirat yang abadi. Bahagia di sanalah matlamat saya.

Semoga saya terus kuat. Terus positif. Buang segala dengki dan cemburu. Hargai setiap kurnia dan menjadi insan yang bersyukur. Insan yang mendapat maghfirah-Nya.

Amin.

Perjalanan Hidup

Aku yang masih
di perjalanan hidup ini
Begitu lama berlegar
di persimpangan dunia
Menempuh jarak dan titian
Rimba dan lautan
Mencari sesuatu yang abadi

Aku yang masih
di perhentian hidup ini
Begitu jauh mengembara
ke serata dunia
Mengejar siang dan malam
Surut dan pasang
Mencari sesuatu kebebasan
Mencari sesuatu kedamaian

Di mana berakhirnya
Perjalananku ini
Esok dan lusa bukan milikku

Oh Tuhanku
Lindungilah hambamu yang hina ini
Aku setia hanya pada-Mu

Saturday, September 24, 2011

Prestasi Sekolah vs Hak Murid

ISU tiga murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Bintangor, dalam Bahagian Sarikei, Sarawak yang tidak dibenarkan menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), walaupun masih belum selesai, sudah mendapat pembelaan Kementerian Pelajaran. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran kelmarin mengarahkan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) membenarkan calon berkenaan menduduki UPSR dalam tempoh empat minggu lagi. Murid berkenaan yang dianggap lemah oleh guru masing-masing, minggu lalu tidak dapat mengambil UPSR kerana didakwa dikurung pentadbir sekolah terbabit.

Pentadbir sekolah dikatakan bertindak demikian kerana tidak mahu prestasi keseluruhan sekolah itu terjejas berikutan mereka dijangka gagal dalam ujian berkenaan. Kita bersimpati dengan ketiga-tiga calon berkenaan dan memahami perasaan ibu bapa mereka. Ibu bapa mana yang tidak kecewa dan marah jika anak diperlakukan sedemikian. Peristiwa ini tidak sepatutnya berlaku dan pastinya masyarakat mempersoal keikhlasan guru serta sekolah berkenaan dalam menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pendidik tulen. Sebagai guru, mereka sepatutnya lebih mengetahui mengenai pentingnya setiap pelajar diberi peluang dan hak membuktikan potensi masing-masing, lebih-lebih lagi dalam ujian penting seperti UPSR. Jika peluang ini disekat, ia menutup terus potensi yang kemungkinan dimiliki pelajar ini, sekali gus menggelapkan masa depan mereka.

Kejadian ini tidak boleh dibiarkan berulang dan Kementerian Pelajaran harus menjalankan siasatan menyeluruh bagi memastikan tidak ada sekolah yang bertindak sama. Apakah ia berpunca daripada tekanan untuk memastikan prestasi UPSR meningkat setiap tahun sehingga ada sesetengah pentadbir sekolah sanggup melihat pelajar dicatatkan sebagai TH (tidak hadir) dalam keputusan ujian Tahun Enam ini? Catatan TH itu difahamkan tidak diambil kira dalam prestasi keseluruhan sekolah, memungkinkan sekolah terbabit mengekalkan laporan prestasi baik. Selain tindakan berkenaan, difahamkan ada juga segelintir guru sengaja menasihatkan pelajar yang tidak ada harapan langsung untuk lulus, memangkah saja jawapan tertentu dalam ujian format objektif, seperti jawapan B atau C yang dianggap kerap muncul sebagai jawapan betul.

Isu murid SK Bandar Bintangor ini sekali lagi menyerlahkan kepincangan pengukuran prestasi sekolah sekarang yang mana pencapaian 5A dalam UPSR menjadi ukuran utama. Bukan hanya guru, tetapi ibu bapa juga menjadi terlalu taksub dalam pencapaian ini sehingga memberi tekanan kepada calon. Kita berpendapat peningkatan dalam pencapaian UPSR ini penting, tetapi janganlah sampai menidakkan hak pelajar lemah. Mereka sepatutnya dibantu dan mendapat perhatian guru melebihi pelajar cemerlang. Kejayaan sekolah tidak sepatutnya dinilai dari segi keupayaan melahirkan pelajar cemerlang, tetapi keupayaan memulihkan pelajar lemah juga patut diambil kira.

[Minda Pengarang BH 22/9/11]

Friday, September 23, 2011

Jangan Bosan Lagi

Saya sering sendirian. Tetapi saya tidak bosan. Saya hargai kebersendirian saya sepenuhnya.

Teman-temanku yang kebosanan saat ini, jangan bosan lagi. Mari bersama-sama saya memikirkan apa menu yang perlu dimasak untuk tengah hari ini.

Suami saya, telah dinasihatkan oleh doktor untuk mengurangkan pengambilan makanan berminyak dan berlemak kerana penyakit batu dalam hempedunya itu. Maka saya tidak boleh menyediakan sebarang gulai, sebarang makanan bergoreng kecuali rebus dan bakar sahaja. Lalu saya agak buntu.

Malam tadi saya celur kacang bendi, makan dengan budu dan saya bakar ikan kerisi. Berselera juga dia.

Hari ini?

Saya berhajat menyediakan sup ayam kampung istimewa.


Ini resepinya.

Bahan-bahan

5 ketul bahagian ayam
1 inci halia (diketuk)
4-5 ulas bawang putih
2-3 cili api (diketuk)
2 ulas bawang kecil (ditumbuk)
1 sudu makan serbuk/rempah sup
1 biji limau kasturi
garam secukup rasa

Cara memasak:

Basuh ayam bersih-bersih dan jerang dalam periuk. Air tu biar penuh menutupi ayam. Kemudian masukkan halia dan bawang putih dan masak dengan api sederhana kuat. Selepas 15 minit, masukkan rempah sup dan kacau.

Sambil tunggu ayam tu agak-agak empuk, tumbuk bawang kecil dan masukkan ke dalam periuk bersama-sama cili api yang telah diketuk.

Kemudian perahlah limau kasturi, dan masaklah hingga ayam betul-betul lembut. Perasakan garam dan masukkan hirisan daun sup, daun bawang dan bawang goreng.

Seterusnya, hidangkan dan makanlah dengan keluarga tersayang.......

Eh, itu sahajakah? Apa lagi saya nak masak tengah hari ini?

Tolong!!

Online Shopping

Nampak gayanya cara hidup manusia ini sentiasa berubah-ubah. Sentiasa ada penambahbaikan. Saya juga begitu.

Jika dahulu, apabila hendak berbelanja kena keluar ke bandar. Kena cari kedai. Nak beli kain, cari kedai kain. Nak beli buku cari kedai buku. Tapi sekarang ia tidak lagi begitu - sekurang-kurangnya buat saya.

Kali pertama saya membeli secara atas talian ialah sekitar tahun 2008 (selain tiket kapal terbang Air Asia yang telah kerap saya beli sejak 2006 lagi). Produk pertama yang saya beli ialah buku di e-kedai.net. Ia sangat mengujakan. Ya, sangat mudah. Segalanya di hujung jari anda!

Seterusnya, saya menjadi semakin ralit menempah di internet. Selain buku, ia menjalar kepada tudung dan kain pasang. Apabila saya memiliki internet banking, saya sudah tidak perlukan kad kredit lagi. Bagi saya, internet banking sebenarnya lebih mudah daripada kad kredit.

Awalnya, saya menggunakan alamat rumah untuk penghantaran tetapi ia agak menyusahkan. Apabila barang tiba sewaktu saya tiada di rumah, tentunya notis akan ditinggalkan dan saya perlu ke pejabat pos untuk mengambil barang tersebut. Bagi mengatasi masalah ini, saya guna sahaja alamat sekolah. Mudah. Jika saya tiada pun, kerani tentu akan menerimanya bagi pihak saya.

Di sini, saya sarankan kepada wanita-wanita, tak kiralah suri rumah atau bekerjaya, untuk memiliki internet banking dan biasakan diri membelibelah atas talian. Ia tentu tidak menyusahkan siapa-siapa dan kita bebas memilih apa sahaja sekehendak kita, selagi ia dalam kemampuan kita.

Sekadar panduan, berikut saya senaraikan 'kedai-kedai' yang kerap saya kunjungi.

Tudung bawal - www.ctredzuan.com
Kain sutera - www.suteraterengganuonline.com
Kain sulam - www.mmlycollection.com
buku - www.mphonline.com
dan juga beberapa 'rakan' di facebook yang menyediakan perkhidmatan ini.

Selamat berbelanja. Pastikan berhemah.

Thursday, September 22, 2011

Rindu Makkah

Segalanya terasa masih sangat baru berlalu, namun rindu itu sangat tidak mampu saya hitung. Saat mengetahui sahabat-sahabat yang terpilih menunaikan haji pada musim 1432H ini, rindu itu makin kuat menghimpit. Terasa ingin bersama-sama mereka menuju ke sana juga. Ke Tanah Haram yang sungguh mendamaikan.

Di sana, jiwa saya tenang setenang-tenangnya. Tiada apa-apa yang mengganggu fikiran dan perasaan. Tumpuan dan fokus saya hanya pada ibadat.

Jika di rumah, sukar sungguh untuk bangun jam 3.30 pagi, tetapi di sana ia sangat mudah. Setiap hari saya bangun pada waktu tersebut untuk menyediakan diri bersolat Subuh di Masjidil Haram.

Jika di rumah, saya tidak pernah mampu atau mahu berjalan kaki sejarak 800 meter, tetapi di sana ia bagai tidak terasa. Saban waktu solat, saya berjalan beramai-ramai sejauh 800 m pergi dan 800 m balik. Malahan sewaktu di Mina, saya sangat selesa berjalan bersama-sama suami menuju ke Kompleks Jamrah yang jaraknya 3 km dari khemah kami. Setiap hari, suami akan menunggu saya untuk sama-sama berjalan ke sana. Walaupun kami demam, namun perjalanan sejauh itu tidak pernah menjadi beban.

Jika di rumah, saya sangat selesa membaringkan diri di atas katil dan tilam empuk, tetapi di Arafah dan Mina kami hanya tidur berhimpit-himpit, beralaskan tikar nipis di atas tanah yang berbatu-batu. Namun kami tidak merungut, kerana kami tidak terasa ia membebankan.

Jika di rumah, mandi dan berlama-lama di bilik air sangat mengasyikkan, tetapi di Arafah dan Mina, kami terpaksa beratur berjam-jam hanya untuk membuang air dan berwuduk. Mandi pula jarang sekali. Pun saya tidak kisah, kerana ia satu pengalaman yang mematangkan.

Segalanya berbeza, tetapi nikmatnya tidak mampu saya cerita.

Saya rindu Madinah. Saya rindu Makkah. Saya rindu Arafah. Saya rindu Mina.

Saya rindu kemesraan yang ada di sana.

Semoga Allah menjemput lagi saya menuju ke bumi kecintaan-Nya. Amin.

Saturday, September 17, 2011

Hari ini

Hari ini hari Sabtu. Saya kepanasan. Kenapa? Kerana pendingin hawa a.k.a air cond bilik saya rosak. Huhuhuhu!!!

Lepas solat Subuh saya memasak sarapan. Nasi putih, telur itik goreng, ikan kering keropok dan nuget ayam berserta minuman kopi o ais. Selesai makan, saya berhajat nak mengemas bilik sebab petang nanti nak pergi beli air cond baru. Kalau bilik bersepah, jatuhlah maruah kami di mata pemasang-pemasang air cond itu, kan?

Apakan daya, tiba-tiba perut saya sakit macam kembung gitu. Angin kus kus kah? Saya terbaring dan tertidur. Suami pula asyik menonton tv. Hinggalah jam 11 pagi, saya gagahi diri bangun untuk mengemas bilik. Mujur sakit tak teruk mana, bolehlah saya bertahan. Satu jam juga mengemas. Jam 12 tengah hari, saya terbaring kembali!

Jam 1 tengah hari, suami saya keluar ke masjid dan pulang bersama dua bungkus nasi dari restoran baruh. Selesai solat zohor dan makan tengah hari, kami bersiap untuk ke kedai elektrik di Ketereh.

Di sana, kami berkenan dengan air cond jenama Mitsubishi 1.5 cc. Harganya RM1350 tetapi ditambah dengan kos pemasangan maka jadilah ia RM1600. Malang, besok baru mereka akan datang memasang kerana hari ini jadual mereka sudah penuh. Nampaknya sehari lagi saya akan kepanasan.

Keluar dari kedai elektrik tersebut, jam baru menunjukkan pukul 2.55 petang. Awal lagi ni. Takkan nak terus balik rumah. Apa kata kita pergi makan-makan? Suami cadangkan kami ke Pantai Irama Bachok menikmati air kelapa dan udang tepung. Hmmm, best tu!

Kami tiba di sana jam 3.45 petang dan selesai makan pada jam 4.00 petang. Sekejap saja, sebab pasangan tua ini sudah tidak berminat untuk berjalan berdua-duaan di tepian pantai seperti mana waktu awal-awal kahwin dulu. Alaa, bukan seronok sangat pun. Panas!

Kami pun pulang ke rumah untuk aktiviti di rumah pula.

Selesai solat Asar, saya menggosok baju dan melayari internet. Maghrib, suami ke masjid dan saya memasak di rumah. Malam ini saya sediakan nasi goreng dan ayam goreng berempah.

Seterusnya, selepas solat Isya' saya tidur untuk menanti hari esok.

Friday, September 16, 2011

Demam


Sejak malam Khamis lagi saya rasa tidak sedap badan. Ia tiba-tiba. Awalnya, pada pagi Rabu itu tekak saya perit, lalu lepas sekolah saya terus ke Farmasi Nilam untuk membeli lozenge. Alhamdulillah keperitan itu berkurang tetapi badan saya mula panas. Suhu meningkat.

Saya enggan menelan paracetamol kerana tidak tahan kesan berpeluhnya. Lalu saya cuma berehat dan tidur awal pada malam itu. Bila terjaga pada pagi Khamis, panas badan masih belum surut. Suami bertanya, mahu mc kah? Saya serba salah juga. Baru Rabu lepas saya mc, takkan minggu ni nak mc lagi. Suami saya kata, "Alah, demam sikit je tu.. Pergi jelah sekolah."

Kebetulan, persekolahan hari ini sangat ringan. Masa mengajar saya cuma tiga, dan kelas tingkatan lima pula sedang bergelut dengan peperiksaan percubaan SPM di dewan. Saya tentu tidak perlu mengerah tenaga yang banyak. Jadi kesudahannya, saya ke sekolah walaupun demam.

Jam 6.55 pagi saya tiba di sekolah. Selepas men'thumb print' di pejabat, saya terus ke bilik saya. Saya baring dan merehatkan diri. Tak lama, kerana bilik saya ini bakal dikunjungi ramai orang selepas ini. Tepat jangkaan saya. Tak sampai lima minit tetamu pertama tiba. Kak Razian. Sekadar ingin berbual dengan saya kerana guru-guru lain masih belum sampai.

Lima belas minit kemudian, Kak Zainon pula datang. Berbual lagi. Saya beritahu mereka saya demam hari ini dan mereka biarkan saya berbaring.

Hari ini 160 orang pelajar dari tingkatan 1, 2 dan 4 akan bertolak ke AgroResort, Setiu untuk aktiviti perkhemahan pada jam 10 pagi nanti. Maka kebanyakan kelas kosong tanpa pelajar termasuk kelas 4 IBB yang sepatutnya belajar Add Maths dengan saya pada pagi ini. Bagus juga, dapatlah saya berehat lagi.

Begitulah sepanjang hari ini di sekolah. Saya betul-betul berehat di bilik.

Jam 1.55 petang, suami saya tiba dan kami pulang ke rumah. Kami membeli nasi di Nilam Puri untuk santapan tengah hari ini tetapi saya sangat tidak berselera. Sedikit sahaja saya makan. Lepas solat Zohor, saya tidur.

Jam 5.30 baru saya bangun untuk solat Asar. Badan masih tidak selesa, sakit-sakit dan lenguh-lenguh. Saya berehat lagi. Nasi tengah hari tadi yang masih berbaki saya habiskan bersama secawan teh o panas.

Bila malam menjelma, saya menyelimutkan badan dan meneruskan tidur selepas sebiji pil Uphamol 650 saya telan.

Pagi ini, Jumaat Hari Malaysia, saya bangun dengan rasa yang lebih baik. Demam saya sudah hilang. Alhamdulillah!


Thursday, September 15, 2011

Sahabatku, tabahlah...

Malam tadi, saya keluar makan dengan suami di kedai makan Purnama di Batu 4. Saya makan mi goreng dan laici kang. Suami saya pun sama. Tengah sedap makan, saya dapat sms daripada kawan saya. "Tie, suami saya telah selamat dikebumikan selepas asar tadi".

Saya terkejut. Serta merta saya tak lalu makan. Mi goreng tak habis, laici kang pun tak habis. Saya memang terkejut.

Kawan saya ni, sebaya dengan saya. Kami mula kenal masa berkursus KPLI di MPKT Batu Rakit sesi 1996/97 dahulu. Kami sangat rapat, dan kebetulan kami sama-sama berasal dari Kelantan. Kampung kami pun tak jauh, saya di Nilam Puri, dia di Melor. Ramai yang menyangka kami adik beradik kerana rupa kami ada iras. Kebetulan saja, kami tiada apa-apa pertalian darah pun. Cuma saudara seIslam.

Tamat kursus, saya kena posting ke Sabah (tapi saya tak pergi pun!) dan dia pula, di Johor. Kami jarang berjumpa sejak itu kerana faktor jarak dan masa.

Kami berkahwin pada tahun yang sama. Saya bulan Januari 1998, dan dia pada bulan Jun 1998 (kalau tak silap sayalah) tapi dia tak datang kenduri saya, saya pun tak datang kenduri dia. Tak tau apa silapnya. Mungkin faktor jarak dan masa juga.

Selepas kahwin, dia pindah ke Perak mengikut suaminya yang bekerja sebagai pengajar di ILP. Saya pula menetap di Kuala Krai. Sejak itu kami berhubung hanya melalui telefon dan sms sahaja. Itu pun bukan selalu. Maklumlah, kekangan jarak dan masa!

Pada 2008, dia datang bertandang ke rumah saya. Waktu itu dia ingin melihat-lihat tanah dan rumah di sekitar kampung saya kerana dia berhajat untuk membina rumah sendiri di Kelantan. Dia sudah punya rumah di Perak, tetapi rasa tidak lengkap jika tiada rumah di Kelantan pula. Dia datang bersama suami dan lima orang anaknya yang comel-comel belaka.

Sekitar pertengahan 2009, dia menelefon saya dan memberitahu suaminya sakit. Kata doktor jangkitan kuman di otak tetapi dia lebih merasakan suaminya terkena santau. Memang peringkat teruk, kerana suaminya tidak mampu mengurus diri sendiri lagi.

Dia memohon bertukar ke Kelantan dan atas alasan suami sakit, permohonannya berjaya. Awal 2010 dia mula bertugas di Kelantan.

Dari hari ke hari, sakit suaminya tidak menunjukkan tanda-tanda untuk sembuh.

Sewaktu kenduri saya baru-baru ini dia datang bersama-sama anak-anaknya. Bila saya tanya tentang suaminya, dengan nada sedih dan wajah sugul dia berkata, "Dah tak boleh buat apa-apa Tie, terlantar begitulah.."

Dan malam tadi, segalanya berakhir. Saya tahu dia sedih. Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Suaminya pergi meninggalkan dia dan lima orang anak yang masih kecil (berusia antara 3 tahun hingga 12 tahun), tentu sekali memberi kesan yang mendalam.

Saya ingin mengunjunginya, tetapi hari ini saya demam. Insya Allah pagi esok saya dan suami akan menuju ke Melor, menziarahi sahabat saya ini di rumah ibunya.

Semoga Allah memberi kekuatan kepada Mahani bt Ibrahim menempuh ujian ini.

Monday, September 12, 2011

Menghargai Sunyi


Kerapkali persoalan tentang sunyi dilontar pada saya.

“Tidak sunyikah berseorangan?”
“Oh..! Sunyi sungguh rumah awak. Tidak bosankah?”
“Boleh pula awak duduk seorang diri di bilik ni, tak sunyikah?”

Dan pelbagai lagi, seolah-olah sunyi itu boleh membunuh dan mematikan saya tanpa bicara!

Tahukah mereka, saya dan sunyi ibarat kembar siam? Saya bahagia dengan kesunyian yang saya miliki. Bahkan bersyukur, sungguh! Saya malah bangga dan gembira kerana bukan semua orang tahu menghargai sunyi dan kesunyian ini, seperti mana saya.

Cukup-cukuplah berasa risau bagi pihak saya. Saya tidak pernah bosan dengan kesunyian. Saya punya banyak aktiviti pengisi waktu, yang menjadikan sunyi saya tidak pernah sunyi. Saya punya waktu dan punya ruang untuk diri sendiri. Ya, untuk diri sendiri.

“Tidak risaukah hari tua nanti, tanpa sesiapa menjaga? Jika ada anak, walaupun anak angkat, tentu lebih terjamin.”

Begitukah?

Oh! Masa depan saya biarlah Allah yang tentukan. Siapalah kita untuk meramal. Jika terpaksa menghabiskan masa tua saya di rumah orang-orang tua pun apa salahnya. Saya tidak pernah risau memikirkan semua ini. Sedikit pun tidak. Pergantungan saya seratus peratus pada-Nya. Hanya pada-Nya.

Janganlah kerana saya ini berbeza dengan anda dan orang lain, maka saya diberi seribu satu persoalan dan kebimbangan yang sebetulnya tidak perlu pun. Janganlah menganggap jalanan hidup manusia itu hanya satu hala dan satu cara, kerana sememangnya Allah mencipta manusia ini berbeza-beza, untuk saling kenal mengenal sesama kita.

Saturday, September 10, 2011

Cerita Buku-Buku 2


Indahnya Hidup Tanpa Derita, tulisan Noor Laila Aniza Zakaria, diterbitkan pada 2010 oleh Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

Menarik juga buku ini. Ia sebenarnya himpunan 40 kisah kehidupan rumah tangga yang penuh dengan pelbagai masalah. Penulis memberi ulasan dan cadangan penyelesaian bagi setiap satu kisah yang dipaparkan. Menariknya, penulis sendiri masih belum berumahtangga sewaktu buku ini dihasilkan!

Saya suka dengan pendekatan penulis dalam menyelesaikan masalah-masalah yang dipaparkan dalam buku ini. Ia penuh dengan tip dan nasihat, juga sangat Islamik. Ini buku pertama beliau, dan ia tidak mengecewakan.

Tahniah kepada Puan Noor Laila Aniza Zakaria, dan saya berharap untuk memiliki lagi karya-karya anda.



Buku seterusnya ialah Bukti-Bukti Sains Dan Sejarah Kerasulan Muhammad SAW yang ditulis oleh Dr. Danial Zainal Abidin dan diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd

Sebagai seorang yang sangat cetek ilmu, saya mengharap input yang besar dari buku ini. Alhamdulillah, saya memperolehinya dan sangat menggemarinya.

Kita sedia maklum dan amat tahu yang Nabi Muhammad adalah rasul akhir zaman yang diutus kepada seluruh manusia. Namun, ramai manusia menafikan kerasulan beliau tanpa usul periksa walaupun terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan kebenaran beliau.

Buku ini cuba membahaskan bukti-bukti ini secara mendalam. Antara perkara yang difokuskan adalah penyataan yang menunjukkan Nabi Muhammad adalah rasul akhir zaman yang terdapat di dalam kitab-kitab terdahulu iaitu kitab Perjanjian Lama, Perjanjian Baru, Vedas, Purana serta kitab suci agama Budha. Di dalam Bible, beliau dikenali sebagai Paradetos. manakala di dalam kitab Vedas dan Purana, beliau dikenali dengan empat gelaran iaitu Narashangsa, Antim Rishi, Kalki Avatar dan Ahamiddi.

Di dalam kitab agama Budha pula beliau dikenali sebagai Maitreya. Adakah gelaran-gelaran ini berkaitan dengan peribadi yang sama? Mungkinkah peribadi itu sebenarnya adalah Nabi Muhammad? Inilah antara isi penting yang difokuskan di dalam buku ini.

Bacalah buku ini, anda akan tahu keistimewaannya.

Friday, September 09, 2011

Cerita Buku-Buku


Sebenarnya sudah lama saya tidak memanjakan diri di kedai buku. Hobi yang satu ini jarang dapat diladeni dek tuntutan hidup yang pelbagai. Jika masa saya luang, saya gemar benar berlegar-legar di kedai buku melihat dan menganalisa buku-buku baru, juga mencari dan mengintai karya-karya lama.

Teringat saya sewaktu masih belajar di UKM dahulu. Tempat yang paling saya gemari di Pusanika ialah kedai buku UNIKEB. Jika saya memasukinya, saya akan berlama-lama di situ kerana saya suka membaca tanpa membeli! Untungnya, mereka tidak marah. Saya tidak punya wang yang banyak, sedang harga buku bukanlah murah. Kerana itu, membaca secara percuma cukup memberi kepuasan. Saya tidak pasti adakah UNIKEB masih seperti itu sekarang – membenarkan kami pelajar miskin ini mencari ilmu secara percuma.

Rabu baru-baru ini, saya mendapat ruang waktu yang tidak tersangka. Saya menuju ke Kota Bharu dengan adinda Ismah, dan kami tiba pada jam 9.45 pagi. Mulanya saya dan Ismah singgah di kedai kain Laila Rawas. Sekadar mencuci mata, tetapi terbeli juga sepasang kain berharga RM60. Ismah masuk kerja jam 10 pagi, maka saya pun sendirianlah membawa diri di bandar ternama ini.

Banyak juga tempat saya kunjungi. Saya ke A&W menikmati ayam goreng, kemudian ke The Store mencari beg tangan. Seterusnya saya menuju ke Muda Osman Bookstore, untuk melayan hobi sendiri.

Di tingkat atas, saya berlegar-legar sendirian. Banyak buku yang menarik perhatian tetapi saya teruskan mencari dan mencari.

Saya terpandang buku “The Quran and I” pada rak buku agama. Ia kelihatan menarik. Saya berkenan dan mengambilnya. Saya bergerak ke rak lain yang dipenuhi buku-buku terbitan PTS. Di situ saya mengambil buku karya Dr. Danial Zainal Abidin, seorang ilmuwan hebat yang sangat saya kagumi. Bukunya berjudul “Bukti-Bukti Sains dan Sejarah Kerasulan Muhammad”.

Akhir sekali, tatkala berpaling ke rak di hadapan saya, saya terpandang buku yang telah lama saya hajati iaitu tulisan Noor Laila Aniza Zakaria berjudul “Indahnya Hidup Tanpa Derita”.
Ketiga-tiga buah buku itu hanya berharga RM72.60.

Jam 11.30 tengah hari, saya pulang ke rumah ibu dengan menaiki teksi.

Hari ini, Jumaat. Saya berhujung minggu dan berhasrat membaca buku-buku tersebut. “The Quran and I” telah pun saya tamatkan dengan jayanya malam tadi. Ia karya liberal, mungkin isi kandungannya agak misleading dalam sesetengah perkara berkaitan Islam (seperti pandangannya tentang zakat, tentang memelihara anjing) tetapi saya tetap menggemarinya.

Walaupun ia tersasar daripada sangkaan saya (saya menyangka ia sebuah buku yang menceritakan tentang pengaruh Al Quran dalam hidup penulis tetapi ia lebih kepada kisah-kisah penulis sejak dari kecil hingga dewasa, dengan meletakkan petikan-petikan dari Al Quran yang sesuai dengan celotehnya) ia tetap sebuah karya yang boleh dibanggakan. Saya seronok membaca kisah masa kecil beliau, terutama tentang umi dan datuknya. Bahasa Inggerisnya juga mudah, dan diselit juga dialog-dialog dalam bahasa Melayu.

Untuk buku-buku yang dua buah lagi itu, beri saya sehari dua lagi untuk mengulas.

Monday, September 05, 2011

Takziah dan Al Fatihah

Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor

Sekali lagi hati saya dirobek-robek. Melihat wajah sayu seorang ibu memeluk jasad anak yang sudah tidak bernyawa, saya menjadi sebak. Melihat wajah anak-anak yang masih kecil dan belum mengerti apa-apa, sedang menyaksikan ibu mereka menyiram air mawar di pusara bapa mereka, air mata saya tidak mampu ditahan lagi!

Dunia tidak kejam. Ini sememangnya suratan. Tetapi hati siapa-siapa pun akan terhiris pilu dengan kejadian ini.

Saya hulurkan doa, agar rohnya bahagia di alam sana, dan keluarganya tabah menerima kenyataan.

Amin.


Friday, September 02, 2011

Akhirnya....

Tamat juga proses menge'SAPS' saya. Aduh! Rasa sakit seluruh urat saraf. Seharian menghadap komputer riba ini, kepala pun berpusing-pusing rasanya.

Bukan semua guru memasukkan markah dengan betul. Ada yang jumlah pelajar tak sama dengan jumlah markah. Ada yang lupa nak masukkan tov dan etr. Ada yang langsung tak daftar untuk subjek pj dan sivik.

Maka sayalah yang kena menyelesaikan semua itu. Semak satu demi satu, dari satu tingkatan ke satu tingkatan. Dari satu guru ke satu guru. Dari satu peperiksaan ke satu peperiksaan. Bila dah selesai semua, saya hantar data-data tersebut, dan seterusnya proses markah pula.

Fuh!!

Alhamdulillan, pada tarikh 2/9/11 iaitu tarikh akhir pengisian SAPS, derita saya berakhir...