Thursday, September 22, 2011

Rindu Makkah

Segalanya terasa masih sangat baru berlalu, namun rindu itu sangat tidak mampu saya hitung. Saat mengetahui sahabat-sahabat yang terpilih menunaikan haji pada musim 1432H ini, rindu itu makin kuat menghimpit. Terasa ingin bersama-sama mereka menuju ke sana juga. Ke Tanah Haram yang sungguh mendamaikan.

Di sana, jiwa saya tenang setenang-tenangnya. Tiada apa-apa yang mengganggu fikiran dan perasaan. Tumpuan dan fokus saya hanya pada ibadat.

Jika di rumah, sukar sungguh untuk bangun jam 3.30 pagi, tetapi di sana ia sangat mudah. Setiap hari saya bangun pada waktu tersebut untuk menyediakan diri bersolat Subuh di Masjidil Haram.

Jika di rumah, saya tidak pernah mampu atau mahu berjalan kaki sejarak 800 meter, tetapi di sana ia bagai tidak terasa. Saban waktu solat, saya berjalan beramai-ramai sejauh 800 m pergi dan 800 m balik. Malahan sewaktu di Mina, saya sangat selesa berjalan bersama-sama suami menuju ke Kompleks Jamrah yang jaraknya 3 km dari khemah kami. Setiap hari, suami akan menunggu saya untuk sama-sama berjalan ke sana. Walaupun kami demam, namun perjalanan sejauh itu tidak pernah menjadi beban.

Jika di rumah, saya sangat selesa membaringkan diri di atas katil dan tilam empuk, tetapi di Arafah dan Mina kami hanya tidur berhimpit-himpit, beralaskan tikar nipis di atas tanah yang berbatu-batu. Namun kami tidak merungut, kerana kami tidak terasa ia membebankan.

Jika di rumah, mandi dan berlama-lama di bilik air sangat mengasyikkan, tetapi di Arafah dan Mina, kami terpaksa beratur berjam-jam hanya untuk membuang air dan berwuduk. Mandi pula jarang sekali. Pun saya tidak kisah, kerana ia satu pengalaman yang mematangkan.

Segalanya berbeza, tetapi nikmatnya tidak mampu saya cerita.

Saya rindu Madinah. Saya rindu Makkah. Saya rindu Arafah. Saya rindu Mina.

Saya rindu kemesraan yang ada di sana.

Semoga Allah menjemput lagi saya menuju ke bumi kecintaan-Nya. Amin.

No comments:

Post a Comment