Pagi hari Rabu, 12hb September 2012, seorang putera yang menjadi generasi keempat dalam keluarga mentua saya, Pn. Hjh. Siti Ra’ana bt Omar selamat dilahirkan. Putera comel itu yang lahir sebagai anak sulung kepada Norul Anisrasheeda bt Sulaiman dan pasangannya Mohd Zaki, turut menceriakan keluarga ipar saya, Pn. Hjh. Rohaizan bt Salleh dan suaminya Tn. Hj. Sulaiman b Jaafar kerana akhirnya menimang cucu sulung dalam usia 52 dan 56 tahun. Nama dipilih ibu bapanya, Mohammad Afiq Darwisy.
Mek, sewaktu menerima berita kehamilan Anis pada Januari lalu, berkata, “entahlah sempat ke tidak Mek nak tengok cicit…” Biasalah, seorang tua sepertinya tentu tidak mampu menyimpan harapan untuk terus menghirup udara dunia walaupun dalam tempoh sembilan bulan cuma. Mek seumpama menghitung hari-hari terakhirnya meskipun usia 74 tahun itu masih belum terlalu tua untuk dinisbahkan dengan jangka hayat manusia. Apa tidaknya, Tun Mahathir masih mampu membuahkan pelbagai idea dan buah fikiran pada usia menjangkau 88 tahun. Prof Ungku Aziz juga, malah Mek sendiri masih punya abang yang berusia 88 tahun.
Apabila Anis bersalin, Mek kelihatan teruja. Selalunya dia tidak berapa sanggup berjalan kaki atau memanjat tangga, namun kehadiran cicit pertama ini memberi semangat berbeza. Saat suami saya bertanya, mahukah Mek melawat Anis di KBMC, Mek setuju sahaja. Sedikit pun tidak menolak walau hari kelihatan redup, hampir hujan.
Saat menatap wajah Afiq, Mek nampak bahagia sekali. Terus diriba dan diusapnya anak kecil itu sambil bibir tersenyum senang. Mek jarang mengungkap perasaannya namun jelas terpancar di wajah Mek yang dia sangat bahagia.
Alhamdulillah, Mek diberi kesempatan oleh Allah untuk menerima kehadiran cicit dalam tempoh hidupnya. Semoga Allah melimpahkan kesihatan yang baik buat Mek untuk terus melihat cicitnya membesar dan mungkin apabila Afiq dewasa dan berumahtangga, Mek masih ada lagi di sisi. Siapa tahu?
Mohammad Afiq Darwisy pada usia 7 hari. |
No comments:
Post a Comment