Monday, September 10, 2012

Sunat

Syawal semakin berkurang. Hanya enam hari berbaki dan tentu sahaja bagi mereka yang belum memulakan ibadah puasa enam, esoklah menjadi hari terakhir untuk memulakannya.

Setinggi-tinggi tahniah buat sahabat dan saudara yang berjaya menamatkan puasa enam ini dengan jayanya. Saya akui, kali ini saya gagal lagi. Memang sukar menahan diri dalam suasana Aidilfitri yang masih bersisa. Jangan kata puasa sunat, qadha' puasa wajib pun sering tertangguh dek nafsu yang merajai. Astaghfirullah, saya mohon keampunan Allah atas kegagalan dan kelalaian saya itu. Bukan saya mahu menyalahkan siapa-siapa, selain diri sendiri juga.

Merenung jauh-jauh ke dasar diri, saya sedar saya masih terlalu liat dalam melaksanakan ibadah sunat. Tak perlulah saya senaraikan panjang berjela apakah kegagalan saya itu kerana ia bukan dianjurkan. Sekadar satu perkongsian sahaja, juga peringatan untuk diri sendiri agar lebih kuat menentang hawa nafsu seiring pertambahan usia.

Semoga Allah mengampuni saya. Semoga waktu-waktu mendatang, menghadirkan kekuatan jiwa untuk saya meningkatkan ibadah sunat saya.

Pun, ada sedikit rasa ralat di hati apabila puasa enam inilah yang sering dicanang dan ditanya kepada semua orang. Dah berapa hari? Dah habis ke? Bila nak mula?

Biarlah kita berdiam diri apabila melaksanakan perkara sunat begini. Bukan hanya untuk puasa enam, untuk amalan sunat lain pun sama. Bangun solat malam, baca Quran sampai khatam, bersedekah, solat Dhuha, apa sahaja yang sunat-sunat itu bukan untuk dikongsi ramai-ramai. Walaupun kadang-kadang kita tiada niat untuk menunjuk-nunjuk, tetapi cara begitu masih kelihatan kurang manis. Kalaupun ingin mengajak orang lain turut sama melakukan ibadah sunat, bukanlah dengan menceritakan amalan-amalan sunat kita kepada mereka.

Kadang-kadang, perkara sunat ini ada khilaf juga. Mungkin sahabat-sahabat kita yang tidak berpuasa enam itu (contoh) mengikut pendapat imam Malik dan imam Abu Hanifah. Mana kita tahu, kan?

Lebih baik kita mengutamakan seruan melaksanakan perkara wajib. Serulah sahabat-sahabat kita untuk menjaga solat lima waktu, berzakat, menunaikan haji, menutup aurat dan berbakti kepada ibu bapa. Bukankah yang wajib itu lebih aula? Serulah berkali-kali, berulang-ulang dan beramai-ramai, tiada siapa pun yang akan marah.


Apa pun, ini hanya pendapat peribadi saya sahaja. Anda bebas untuk tidak bersetuju.

Wallahua'lam...

No comments:

Post a Comment