Monday, December 31, 2012

Wajah Baru

Menjelang 2013 esok, saya tukar wajah blog saya ini daripada merah jambu kepada biru laut. Nampak lebih tenang.

Sejak mula beroperasi pada Julai 2009, sudah beberapa kali saya menukar rupa blog ini. Pun dengan kemahiran yang terhad, saya hanya mampu memilih rupa yang telah siap di design oleh blogger.com. Untuk merekacipta wajah blog yang tersendiri, saya belum berani mencuba.

Semoga wajah baru ini memberi semangat baru untuk meneruskan 2013 dan resolusi-resolusinya.

Hari Terakhir 2012

Pagi ini dimulai dengan hujan renyai-renyai. Sedikit malas rasanya untuk meninggalkan kedinginan tempat tidur, pun masa mesti dimanfaatkan. Alhamdulillah, tidur saya nyenyak sungguh malam tadi.

Sarapan pagi ini, nasi putih berlaukkan ikan cencaru sumbat dan telur itik goreng. Ditemani kopi o panas, saya berselera sekali.

Apabila suami saya keluar bertemu sahabatnya di Kota Bharu, saya meneruskan agenda saya di rumah. Menggosok baju, melipat kain dan memasak. Untuk hidangan tengah hari, saya sediakan gulai ikan kering campur timun dan ikan cencaru sumbat (lebihan pagi tadi..)

Jam 1.00 tengah hari, apabila suami saya pulang, kami sama-sama menikmati hidangan kami itu.

Selesai bersolat zohor, kami keluar ke bandar. Hasrat kami untuk ke Celcom bagi mengadu masalah kredit sentiasa kena telan tanpa sebab. Rupanya tempat mengadu itu sudah berpindah. Sedikit kecewa di hati tetapi kami menuju ke KB Mall pula, untuk mengadu di sana.

Malangnya, manusia berpusu-pusu hingga tempat meletak kereta tiada yang kosong. Kami kecewa lagi, lalu memandu pulang.

Suami saya mengajak ke Kok Lanas untuk menikmati KFC di sana. Saya tentu sekali tidak menolak! Jalan sesak bangat, hujan pula semakin lebat. Pun hajat kami tetap diteruskan.

Jam 4.36 petang, kami tiba di KFC Kok Lanas. Dua snack plate, dua teh o panas dan satu pek kentang goreng menjadi hidangan kami kali ini. Semuanya berharga RM26.60.

Jam 5.11 petang, kami bertolak pulang dan tiba di rumah pada 5.45 petang.

Saya meneruskan agenda menggosok baju, suami pula sibuk melayan karenah kambing ternakannya. Apabila Maghrib menjelang, suami saya ke masjid dan saya berehat sahaja di rumah. Selesai solat dan mengaji, saya berehat sebentar sebelum ke agenda seterusnya, memasak.

Untuk malam ini, saya sediakan bihum goreng sahaja.

Sebelum menamatkan 2012 ini, saya menonton Terlanjur Cinta di TV9 dan melayari internet sebentar. Esok, 1 Januari 2013 saya bakal kembali bekerja untuk meneruskan khidmat bakti pada agama, bangsa dan negara selepas bercuti selama 53 hari.

Semoga Allah redha.

Quotes for you and me...












Sunday, December 30, 2012

2013

Esok hari terakhir berada di sini, di dalam dakapan syahdu 2012. Tamat sudah tempoh bermesra di sisimu 2012. 2013 sedang menanti giliran untuk bertamu, bersama-sama sejuta janji yang bakal terungkai satu persatu.

Perancangan diatur, strategi dicatur. Jika nanti 2013 membawa berita bahagia, syukur didahulukan dari sekarang. Pun, jika rencah hidup nanti berulam rasa hiba, syukur masih tetap dihulur. Dia yang memberi, kita menerima seredhanya.

Doa tetap dipanjat saban hari, pagi dan petang agar kehidupan di sisi 2013 nanti secerah mentari. Agar segala amanah yang disandar di bahu terpikul dengan jaya. Agar kesihatan sentiasa terjaga, dan kemakmuran hidup di sisi keluarga aman berpanjangan.

Buat seluruh penghuni bumi, doa saya tidak pernah padam agar Allah menambah segala rahmat dan berkat.

Amin.

Selamat datang....


Kaya

Saya baru sahaja selesai menonton filem "Penarek Becha" di Astro Prima sebentar tadi. Entah kali yang ke berapa filem arahan Allahyarham Tan Sri P Ramlee ini saya tonton, saya sendiri kurang pasti. Sejak kecil, saya memang gemar menonton filem P Ramlee.

Filem keluaran 1955 ini menjadi filem pertama arahan Allahyarham dan amat berjaya pada waktu itu. Kisahnya, berkisar tentang orang kaya yang memandang hina orang miskin tetapi akhirnya menyesal kerana orang miskin itulah yang menyelamatkan keluarganya.

Klise?

Pada zaman itu, kisah begini sangat digemari. Malah P Ramlee mengarahkan tidak kurang daripada tiga buah filem bergenre begini. Antara Dua Darjat dan Ibu Mertuaku turut mendapat sambutan hangat. Filem Hindi pun sama apabila menjadikan perbezaan darjat sebagai plot utama dalam filem Bobby yang popular itu.

Saya sejenak berfikir. Kenapa kaya disinonimkan dengan sombong dan bangga diri? Masih relevankah ia dengan realiti masyarakat pada hari ini? Kerana itukah, orang kita 'malas' menjadi kaya?

Sehingga kini, saya masih belum bertemu jawapannya.

Pun, masih lagi gemar mengangkat tema yang sama, pengarah filem di Malaysia hari ini belum mahu berubah. Lihat sahaja Ombak Rindu, keluarga Haris yang kaya sangat membenci Izzah yang miskin. Teruk sangatkah orang kaya di negara kita?

Saturday, December 29, 2012

SMK Kampong Chengal

Saya mula berkhidmat di sini pada Februari 2009, selepas tiga tahun mencurah bakti di SMK Salor, 7 tahun di SMK Kuala Krai dan setahun di SMK Mahmud, Raub.

Awalnya, saya sudah berasa selesa di SMK Salor kerana persekitaran anak didik, rakan setugas dan beban kerja yang sudah serasi. Pun, suami saya berhasrat untuk beralih arah atas sebab-sebab tertentu lalu saya menurut. Permohonan kami diluluskan, dan kami meninggalkan SMK Salor dengan seribu satu kenangan.

Di sini, saya bermula dengan perasaan sedikit canggung. Berbeza sungguh persekitaran baru saya ini. Bangunannya nampak hebat, guru-gurunya lebih bergaya dan pelajar-pelajarnya sangat berdisiplin. Saya kelu juga, tetapi seperti sebelum-sebelum ini, saya tetap cuba untuk beradaptasi.

Pada tahun kelima ini (2013), saya bakal berdepan dengan amanah yang lebih berat. Tanggungjawab diberi semakin bertambah dan saya berdoa agar Allah beri saya kekuatan melaksanakan segalanya sebaik mungkin.

Sekolah ini dikenali sebagai sekolah 'bestari' di kalangan penduduk sekitar. Hakikatnya, ia hanyalah sebuah sekolah yang memiliki kelas rancangan khas yang menempatkan pelajar-pelajar terpilih berdasarkan keputusan UPSR mereka. Selebihnya, kelas-kelas biasa yang dihuni pelajar-pelajar tempatan.

Keputusan peperiksaan awam di sini ada turun naiknya juga. PMR pertama pada 2008 menghasilkan keputusan luar duga yang menewaskan sekolah-sekolah yang sudah lama dan terkenal. 18 orang pelajar mendapat straight A's telah menaikkan nama sekolah dengan mendadak. Ramai ibu bapa menaruh kepercayaan tinggi pada sekolah ini. Pun, pada 2009 keputusan PMR sangat mengecewakan. Hanya 2 orang pelajar mendapat straight A's. Diikuti 19 orang pada 2010, 21 orang pada 2011 dan yang terbaru, pada 2012 hanya 7 orang sahaja.

Guru-guru masih lagi kelompok yang sama. Apa yang membezakan pencapaian ialah kualiti pelajar. Guru-guru hanya memberi seupaya mereka, sednag kadar serapan pelajarlah yang memberi kesan kepada keputusan.

Saya semakin gembira bekerja di sini. Harapan saya, agar sekolah ini semakin mampu melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang, bukan sahaja dalam akademik tetapi juga dalam aspek sahsiah dan jati diri.

In Shaa Allah.

Tetamu

Lama saya tidak menerima tetamu. Rasanya, sepanjang sebulan setengah bercuti hujung tahun ini, belum ada lagi tetamu yang datang sehinggalah semalam.

Sahabat lama, rakan seuniversiti suami saya yang menetap di Perlis, menghubungi suami saya beberapa hari lepas memaklumkan beliau dan keluarga akan berkunjung ke Kelantan. Tujuannya, untuk berubat. Dia mengalami sakit belakang dan berhasrat menemui pakar di HUSM, Kubang Kerian kerana agak ralat dengan apa yang dilaluinya di Hospital Kangar.

Apabila makluman tentang kehadirannya tiba lebih awal, maka sempatlah kami memikirkan persediaan yang sewajarnya. Saya akan menggelabah jika tetamu tiba tanpa sebarang pemberitahuan. Sungguh menyukarkan kami untuk menyediakan kemudahan kerana rumah kami ini sangat kurang fasiliti!

Pagi Jumaat itu, kami keluar seawal jam 7.00 pagi. Lokasi pertama kami ialah ke airport untuk menghantar adik ipar saya Norhafizah. Dia akan ke Miri meneruskan tugas di sana. Turut bersama-sama kami ialah mek dan kak Rohaini. Sebaik selesai urusan di airport, kami bertolak pulang dan singgah di rumah abang ipar saya yang mengadakan kenduri cukur jambul. Kami dijamu dengan nasi dagang.

Selesai di situ, kami menuju pula ke rumah sahabat lama mek yang sedang terlantar sakit. Sekadar menziarah, dan mendoakan agar Allah merahmati beliau.

Seterusnya, selepas menghantar mek dan kak Rohaini pulang, saya dan suami menuju ke kedai lauk pauk untuk membeli bahan-bahan masakan nanti. Menu yang ada dalam fikiran saya ialah sup tulang, ikan tenggiri goreng, ayam goreng dan pucuk paku goreng.

Tiba di rumah, saya mulakan aktiviti mengemas pula. Menyapu ruang tamu dan tangga rumah, juga di dapur. Apabila suami ke masjid, saya memasak untuk makan tengah hari. Daging goreng kunyit, ikan tenggiri masak lemak dan ulam timun cecah budu.

Lepas makan, saya berehat sebentar.

Jam 4.30 petang, rakan suami saya itu menelefon memberitahu mereka sudah tiba di Kota Bharu. Saya pun bergegas ke dapur untuk memasak sup tulang, menggoreng ikan tenggiri, menggoreng ayam dan sayur pucuk paku. Oh! Penat sungguh!

Jam 7.00 petang mereka tiba di rumah saya, dijemput suami. Selesai solat maghrib, kami sama-sama menikmati hidangan yang serba ringkas itu.

Jam 8.15 malam, mereka bertolak pulang ke hotel, juga dihantar suami. 

Alhamdulillah, usai segalanya, kini tibalah masa untuk saya berehat, selepas sehari suntuk berpenatan.

Thursday, December 27, 2012

Selesai

Hari ini pengakhirannya.

Telah saya maklumkan kepada ketua pasukan saya agar tidak lagi memanggil saya untuk meneruskan tanggungjawab ini pada tahun depan. Saya mahu berhenti. Muktamad.

Berkali-kali juga dia memohon kepastian. Risau mungkin, jika saya masih belum benar-benar memutuskan. Pun saya benar-benar pasti dengan keputusan ini. Ia datang dari dalam hati saya sendiri. Bukan dipengaruhi siapa-siapa.

Sahabat sekumpulan juga bertanya kenapa. Saya sekadar memberitahu, saya ingin berehat. Mereka bertanya, tidak akan rindukah nanti suasana sebegini? Oh! Tentu sekali saya akan rindu! Mereka rakan yang sangat baik, sangat mesra dan mudah bekerjasama. Ketua kami pula sangat tenang, sangat sabar dan peramah. Ya, saya pasti akan rindu!

Namun, saya tetap ingin berhenti. Cukuplah. Ada yang berkata saya sudah banyak duit jadi tak perlu susah-susah lagi menanda kertas. Bukan! Bukan kerana duit. Empat tahun bergelumang dengan beratus-ratus skrip pelajar pada setiap kali, tidak langsung kerana duit. Malah, tidak terlintas sedikit pun saya bekerja kerana duit.

Apa yang saya mahu, adalah ilmu dan pengalaman. Tidak lebih daripada itu. Rasa saya, empat tahun sudah mencukupi. Saya dambakan ruang untuk diri sendiri dan insan-insan yang saya sayang pula. Cukuplah mencurah khidmat dalam cuti. Lagi pun saya tahu, di luar sana ramai yang sudi mengganti kekosongan yang saya tinggalkan.

Buat rakan-rakan yang masih meneruskan usaha, saya doakan yang baik-baik buat kalian. Kita masing-masing ada pandangan tersendiri. Teruskan berjuang.

Semoga Allah redha.

Friday, December 21, 2012

Wujud



Kau terasing
di jiwaku bermimpi
setiap nadiku
kau wujud
selalu

kau syurga
seindahnya dirimu
hanya kerana cinta-Nya
kau wujud

Kau adalah diriku
dan aku
adalah dirimu
hanya Tuhan tahu
apa ada
depan nanti

Telah lama aku nantikan
dari saat aku 
dipisahkan dari sinar bintang
yang menghilang


Kuakui
dia memang buat kunyatakan
harap aku kan selalu denganmu

 Kumenanti
saat hadirnya aku semula
yang seakan hilang
ditelan masa

Maafkan aku
kerana diriku
tak pernah sempurna
untukmu

Kau yang satu
kau teragung

Hidup matiku
kerana cinta
cinta ada hanya untukmu
bila tiba saatnya
kan bertemu


Saya sedang menanda kertas pada malam itu. Sambil di tv, tersiar rancangan Idola Kecil 5. Saya tidak terlalu memerhati kerana fokus saya pada kertas yang bertimbun ini yang perlu perhatian penuh. 

Sehinggalah saya terdengar lagu ini.

Mata saya terpaku di kaca tv. Jiwa saya tersentuh dengan indah bait-bait liriknya. Hati saya teringat pada emak, dan air mata saya tiba-tiba mengalir.

Lagu Wujud yang asal saya cari di internet, tetapi sentuhan suara Farra ini lebih mendalam. Lagu asalnya tenggelam, kerana saya jatuh hati dengan versi Farra ini. Entah, tidak tahu kenapa. Mungkin kerana lagu ini bercerita tentang kasih ibu terhadap anaknya yang tidak akan pudar walau apa pun perlakuan anak itu terhadapnya.

Saya kongsi di sini, kerana ia bagai ada sesuatu untuk kita renungi.

Kiamat

Sibuk mereka meramal tarikh kiamat. Dan yang mempercayainya, berada dalam ketakutan. Sedang sebagai orang Islam, kita diwajibkan mempercayai adanya hari kiamat, bukannya wajib mempercayai ramalan tarikh kiamat itu!

Tarikh itu, hanya Allah yang tahu.

Teringat saya kisah dua puluh lima tahun lalu, saat saya berusia lima belas tahun, sedang menuntut di MRSM Kuala Terengganu dalam Tingkatan Tiga. Rasa saya, ia berlaku sekitar Februari atau Mac 1987.

Rakyat Malaysia ketika itu dikejutkan dengan misteri lenyapnya tulisan dalam naskhah Al Quran. Ia berlaku di beberapa tempat di Malaysia, termasuk di sekolah saya. Seorang senior sedang membaca Al Quran di biliknya, tiba-tiba ayat-ayat yang dibacanya lenyap sebaris demi sebaris. Naskhah Quran itu diserah kepada ustaz dan ustaz mempamernya di papan kenyataan.

Kami semua bagai tersedar daripada lena. Takut menguasai diri hingga ada yang belum bertudung waktu itu, tiba-tiba tampil bertudung. Semua rajin bersolat dan tidak lagi mengumpat mengata. Kami sangat takut kerana kata ustaz, itu tanda kiamat!

Berdasarkan hadis sahih Bukhari, antara tanda-tanda Kiamat ialah apabila Al-Quran diangkat ke langit.



Seorang guru Perdagangan menyedari ketakutan kami lalu menempelak dengan jayanya. Kata beliau, "kenapa takut sangat dengan hari kiamat? Kalau kiamat lambat lagi, kamu seronoklah? Pada hal kamu boleh mati bila-bila masa! Tak payah kiamat, kalau dah sampai masa, kamu mati juga. Dah bersedia?"

Kami tersedar kembali. Betul juga. Kenapa bila tahu kiamat itu dekat, kita menggelabah? Pada hal, kematian itu lebih dekat! Kesimpulannya, silalah bersedia kerana kita tidak akan tahu bila kita akan mati.

Lama-lama, kisah itu hilang begitu sahaja. Takut itu sementara rupanya. Malah, pelajar yang bertudung tiba-tiba itu, telah membuka tudungnya semula tidak lama selepas itu.

Manusia, begitulah. Sekali teringat, sekali insaf.

Semoga Allah mengampuni kami.

Tuesday, December 18, 2012

Ulangkaji

Sedikit ringkasan tentang ibadat umrah. Sekadar ulangkaji, kerana manusia sentiasa lupa.

Umrah dari sudut bahasa ialah ziarah. Apabila dikatakan seseorang itu melakukan umrah, maksudnya dia  melakukan ziarah. Atau maksudnya, pergi ke tempat yang dimakmurkan. Dari sudut syarak umrah bermaksud pergi ke Baitullah al-Haram pada bukan waktu haji untuk menunaikan ibadah tertentu dengan syarat-syarat tertentu.

Haji berbeza dengan umrah dari sudut masa dan beberapa hukum. Dari sudut masa haji ditentukan pada bulan tertentu, tidak boleh dilakukan pada bulan yang lain dan tidak sah niat haji kecuali pada bulan tersebut. Bulan-bulan haji ialah Syawal, Zulkaedah dan sepuluh pertama bulan Zulhijah. Manakala umrah, masa melakukannya ialah sepanjang tahun kecuali hari-hari mengerjakan haji bagi orang yang berniat melakukannya. Dari sudut hukum, haji mempunyai wukuf di Arafah, bermalam di Muzdalifah dan Mina dan melontar Jamrah. Di dalam umrah, semua ini tidak ada. Ia hanyalah: Niat, tawaf, melakukan sa’ ie dan bercukur ataupun bergunting sahaja. Dari sudut lain, berlaku ijmak ulama' terhadap kewajipan menunaikan haji, manakala umrah, para ulama' berselisih pendapat tentang kewajipannya.

Secara ringkasnya, amalan-amalan umrah ialah:
(1) Ihram
(2) Tawaf
(3) Sa'i e
(4) Cukur/gunting rambut kepala. ( Dengannya selesai ibadat 'umrah).
(5) Melakukan Tawaf Wada' sebelum meninggalkan kota Makkah.

Secara praktikalnya, selepas tiga hari berada di Madinah, jemaah akan dibawa ke Makkah. Ketika ini, jemaah perlu berpakaian ihram kerana bas akan berhenti di Bir Ali, dan para jemaah akan berniat umrah di situ. Selepas berniat umrah, jemaah kini tertakluk kepada larangan-larangan dalam ihram.

Setiba di Makkah, para jemaah akan ke Masjidil Haram untuk melaksanakan tawaf umrah, saie umrah dan akhirnya bercukur. Selesailah satu umrah.

Untuk umrah-umrah seterusnya, bolehlah dilakukan mengikut jadual pihak agensi, atau pergi sendiri dalam kumpulan. Terpulang kepada keupayaan jemaah ingin berumrah berapa kali. Jika tidak mampu, lakukan sahaja tawaf sunat dan juga bersolat jemaah lima waktu di masjidil haram.

Semoga umrah kita diterima Allah. Amin.

Saturday, December 15, 2012

Minda Percuma

Lama saya memikir tentang perkara ini. Saya nampak, ia amat mendarah daging dalam masyarakat dan saya risau. Risau kerana minda percuma tidak memberi apa-apa manfaat. Tidak langsung!

Rasa ingin sekali saya menyeru sekalian umat, buanglah sifat buruk seperti ini.

Jika percuma, berbondong-bondonglah mereka keluar meski bakal menyusahkan ramai orang. Contoh mudah, apa yang saya alami baru-baru ini saat dalam perjalanan menghantar Afiqah ke stesen bas Kota Bharu. Dia akan ke Kuala Terengganu menaiki bas pada jam empat petang.

Jam 3.05 petang, saya dan suami membawanya ke sana. Selalunya, perjalanan cuma 15 - 20 minit sahaja. Setiba di Tunjung, kereta kami tiba-tiba bergerak perlahan. Terperangkap dalam kesesakan rupanya. Hati tertanya-atanya, ada kemalangankah?

Rupa-rupanya, kedai perabot dan elektrik G-Orange mengadakan promosi. Tidak silap saya, kedai itu menjual handphone Samsung pada harga rendah, dan percuma lagi beberapa item. Promosi bermula jam 3 petang dan hanya sehari itulah.

Maka berkejar-kejarlah semua orang, merebut peluang hebat ini hingga bersesakan di atas jalan raya! Tahukah mereka kami perlu cepat? Malah, bukan kami sahaja, mungkin ada yang sedang menuju ke airport untuk penerbangan jam 5.00 petang. Mungkin ada yang mahu ke klinik atau hospital kerana kesakitan. Tetapi mereka ini - yang bersesak-sesak di atas jalan raya ini - hanya mengejar Samsung! Kalau saya kata gila, bolehkah?

Hati menggelegak sungguh. Malu dengan prioriti masyarakat di negara ini.

Apa sahaja yang percuma, sambutannya sungguh luar duga. Memang miskin belaka orang kita ya! Atau kedekut. Jika menderma, sebeginikah sambutannya?

Apabila datang pengutip-pengutip derma, wang dihulur bagai berat sekali. Malah siap dengan ulasan, betul ke derma untuk masjid tu? Entah-entah dia tipu! Betul ke pakcik ni nak kena operate? Entah-entah berlakon je sakit. Betul ke itu? Betul ke ini? Alahai, jika kita ikhlas, persoalan sebegitu tidak akan timbul!

Pada hal, kita ini orang Islam. Islam mengajar untuk kita memberi. Bukankah tangan yang di atas itu lebih mulia? Tetapi ramai yang memilih untuk hanya menerima. Bangganya mereka menjadi penerima, sehingga tidak lagi berusaha menjadi pemberi.

Pendakwah sekalian, ubahlah minda masyarakat kita ini!

Tenat sungguh!

Friday, December 14, 2012

Ikhtiar Umrah

Insya Allah, pada cuti sekolah bulan Mei dan Jun nanti saya, suami, emak, Ismah dan Zahidah akan mengerjakan umrah di Makkah. Selepas lebih dua tahun menyimpan rindu, harapan saya besar sungguh agar rindu itu bakal terubat dan dapat melaksanakan ibadah umarah dengan penuh kekhusyukan.

Beberapa hari lalu, saya dan suami telah pun mendaftar nama-nama kami dengan agensi Umrah Al-Quds. Kos mengerjakan umrah ini sekitar RM7000 seorang. Saya berdoa agar tiada sebarang aral melintang nanti.

Cuma, sebagai wanita tentu sekali kekangan kami ialah keuzuran kerana haid. Di sini saya berkongsi tentang ikhtiar untuk melambatkan haid yang dipetik daripada Buku Panduan Umrah tulisan Ustaz Haji Daud Che Ngah.

Bagi mereka yang mahu mengerjakan umrah dan dijangka akan haid semasa berada disana, sebaiknya cubalah amalan yang diajar kepada saya semasa menghadiri kursus umrah di Andalusia. Sayang sekali sekiranya kita tak dapat beramal semasa berada di sana.

Pengambilan ubat-ubatan untuk menahan haid yang boleh di ambil dari klinik dan hospital tidak di galakkan kerana bimbang akan memberikan kesan sampingan. Saya percaya dan amat yakin bahawa apa jua langkah dan ikhtiar yang kita buat, tak akan berjaya jika Allah tak izinkan.

Allah tempat kita meminta, Allah tempat kita mengadu, lalu dengan panduan dari mereka yang berilmu, sebaiknya kita cuba berikhtiar dengan apa yang di cadangkan ini. Semoga kita dapat memaksimumkan masa kita di Tanah Suci dengan beribadat kepada Allah.

Amalan ini boleh diamalkan semasa dalam ihram atau selepas haid. Jika mereka yang mahu mengerjakan umrah, sebaiknya selepas haid terakhir sebelum tarikh yang dijadualkan untuk bertolak.


Caranya:

1. Diamalkan selepas haid yang terakhir.

2. Baca lepas setiap kali solat 5 waktu (elok ditiupkan doa ini ke dalam air kemudian diminum.)

3. Apabila membaca ayat no 2, 3 dan 4 hendaklah menekan lidah ke langit-langit dan menahan nafas 5 saat kemudian hembus di air.

InsyaAllah semoga mujarab. Harus sentiasa ingat bahawa segalanya berlaku dengan izin Allah lalu memohonlah dengan hati yang ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Selepas habis ibadah, untuk membukanya, bacalah doa dalam ayat 80 Surah Isyrak.


Thursday, December 13, 2012

Wang Bekerja

Setiap hari kita bekerja, berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpul wang demi masa depan. Demi anak-anak, demi keluarga. Pun kadangkala kita lelah memikir. Wang yang ada, seringkali tidak dapat dikesan ke mana perginya. Beribu-ribu ringgit sebulan, hujung bulan tiada yang tinggal. Kita masih seperti dulu-dulu juga. Dan, kita terus berpenatan bekerja lagi.

Dahulu, saya pun begitu. Wang gaji saya sering habis apabila hujung bulan. Bukanlah boros sangat pun, sekadar membeli keperluan dan sesekali melayan keinginan. Seperti orang lain juga.

Lama-lama, saya mahu berbuat sesuatu. Saya mahu menyimpan, dan membiarkan simpanan saya ada pulangan. Melabur, itu maksud saya.

Tetapi masalahnya, di mana dan bagaimana? Melabur ini, perlu ilmu dan pengetahuan juga. Perlu yang berlandaskan syariah. Tidak mungkin boleh melabur di mana-mana sesuka hati!

Akhirnya, saya memutuskan untuk memilih Tabung Haji. Walaupun pulangannya tidak setinggi mana, tetapi pernah mencapai sehingga 8% setahun setelah ditolak zakat sebanyak 2.5%. Agak menarik, rasanya. 

Ada lagi tempat-tempat pelaburan yang memberi pulangan sehingga 15% peratus, tetapi saya meragui statusnya. Tabung Haji, biarpun rendah sedikit, ia masih berbaloi. Malah pada masa yang sama, saya boleh mendaftar dan merancang perbelanjaan untuk menunaikan Haji juga.

Awal saya menyimpan dahulu, ekonomi negara sangat gawat. Pulangannya tidak seberapa, apatah lagi simpanan saya juga sangat sedikit. Sekadar RM100 sebulan, berapalah sangat jika dikali dengan setahun. Namun semangat saya sentiasa berkobar-kobar untuk meneruskan perancangan saya ini.

Seiring kenaikan gaji, saya menambah simpanan saya. Pernah ia luak saat membina rumah dahulu, tetapi saya tidak jemu menyimpan kembali.

Daripada sifir pengiraan saya, kos saya ke Tanah Suci mengerjakan Haji pada 2010 lalu, sebahagian besarnya adalah daripada dividen simpanan saya itu. Memang berbaloi!

Kini, saya mendapat pulangan hampir empat ribu setahun. Lebih kurang RM300 sebulan, tanpa perlu berbuat apa-apa. Rasa saya, inilah kaedah menjana duit yang senang dan selamat. Daripada membiarkan ia beku tanpa hasil, melabur di Tabung Haji sekurang-kurangnya memberi pulangan yang tidak meragukan. 

Jika orang lain membeli emas dan tanah sebagai pelaburan, saya kurang menggemarinya. Apa perlunya tanah buat saya, kerana apa yang ada sekarang sudah mencukupi. Emas pula, saya takut memikirkan risikonya. Banyak sudah kedengaran cerita yang ngeri apabila diragut atau dipecah rumah, juga betapa sukarnya si pemilik emas hendak bergerak ke mana-mana kerana tidak tahu kepada siapa perlu diamanahkan emas yang berkilo-kilo itu!

Buat adik-adik yang bakal bekerja dan menerima gaji nanti, perancangannya mudah sahaja. Sebaik mendapat kerja, ketepikan sejumlah 15% - 30% daripada gaji yang diperoleh untuk tujuan ini. Contohnya, jika gaji RM2000 sebulan, potonglah sebanyak RM300 untuk tujuan ini. Semakin gaji bertambah, tambahlah juga nilai simpanan. Kata orang-orang tua, sikit sikit, lama lama jadi bukit. Pastikan simpanan itu benar-benar untuk tujuan pelaburan. Jangan diusik kecuali jika benar-benar terdesak. Apabila mendapat bonus atau apa-apa wang di luar jangka, simpanlah sedikit sebelum membelanjakannya. Contoh, jika menerima bonus sebulan gaji, simpanlah 20% daripadanya, dan bakinya bolehlah diguna untuk tujuan peribadi. Mudah, bukan?

Insya Allah, dalam usia empat puluh tahun, jumlah simpanan pelaburan kita bakal menjadi ratusan ribu. Waktu itu, dengan dividen menjangkau lima hingga enam ribu setahun, kita mampu menggunakannya untuk tujuan-tujuan santai, seperti melancong atau melayan hobi kita. Bukankah membiarkan wang bekerja untuk kita itu lebih baik daripada kita bekerja untuk wang?

Saya Suka Hujan

Sudah menghampiri separuh bulan Disember, baru hari ini hujan menyapa.

Saya suka hujan.

Lama sudah saya menanti suasana seperti ini. Gelap, sejuk dan nyaman. Kerana saya sangat suka hujan.

Dahulu, waktu remaja, bila hujan begini saya akan berdiri di jendela bilik dan melihat titik-titik hujan menimpa bumi. Lagu yang menjelma dalam fikiran - Sekeping Hati Yang Luka - dendangan Alleycats. Ia menyentuh rasa. Terasa kena sekali suasana hujan dan lirik lagu itu. Syahdu!

Hujan yang turun di senja ini
Dinginnya mengingatku pada dirimu
Titisan air yang membawa
Seribu pengalaman nan indah
Seribu kehampaan nak duka

Begitulah. Rangkap pertama sahaja yang masih ada dalam ingatan saya buat masa ini. 

Dahulu juga, bila hujan turun, saya akan menyanyi dengan suara kuat. Terutama bila di dapur. Bunyi hujan yang menimpa atap asbestos itu sangat kuat hingga tiada siapa pun boleh mendengar suara saya menyanyi. Ini kesempatan untuk saya melepas perasaan. Menyanyi lagu kegemaran saya sekuat hati. Penuh penghayatan. Emak tak tahu, ayah tak dengar. Adik-adik tak perasan. Saya sendirian di dapur. Konon memasak, sebenarnya menyanyi..

Saya suka hujan.

Walaupun sejuknya mencengkam tetapi saya sering lena didakapnya. Walaupun kain bakal lambat kering tetapi stok baju saya tetap ada. Bukan berpeluh pun, boleh saja diulang pakai baju sama berhari-hari. Tak perlu risau.

Saya suka hujan.

Hujanlah lagi, wahai hujan!

Hujung Tahun

Setiap kali hujung tahun tiba, beginilah rutin saya. Berkurung di rumah untuk menyelesaikan tanggungjawab negara.

Awalnya, saya sangka tahun ini saya tidak lagi terpilih kerana tiada surat tawaran saya terima. Rancangan saya, apabila menerima surat tawaran itu, saya akan memilih untuk menolak. Saya rasa mahu melayan cuti saya dengan lebih bebas tanpa rasa bersalah.

Rupanya, tahun ini tiada surat tawaran diberi kerana yang tiba ialah surat lantikan. Automatik! Saya terkedu juga kerana batin bagai tidak bersedia. Pun, untuk menarik diri pada minit kecederaan begini, saya bimbang bakal menyusahkan ramai orang. Dalam keterpaksaan, saya rela.

Dan kini, tanggungjawab itu terhidang di hadapan saya. Dengan sifir saya sendiri, saya menyasarkan untuk selesai menelaah semuanya pada 19hb Disember ini.

Masih ada enam hari lagi. Saya enggan terkejar-kejar. Biarlah saya bekerja dengan tenang.

Harapnya, ini kali penghabisan saya mengikat diri dengan tanggungjawab ini. Mulai tahun depan, saya mahu memberi ruang kepada bakat-bakat baru pula.

In shaa Allah.

Amin.

Sunday, December 02, 2012

Kehilangan

Betapa peritnya melalui sebuah kehilangan. Kehilangan insan yang dekat di hati kita, yang banyak berjasa dan yang amat kita kasihi. Saya tahu itu, kerana dua belas tahun lalu saya merasainya. Walaupun sudah dua belas tahun, pedihnya masih terasa hingga hari ini. Bukan tidak redha, tetapi pedih menanggung rindu yang tidak terucap.

Hari ini, saya menyaksi dan merasa satu kehilangan lagi.

Al Marhumah Siti Aminah Haji Walong, ibu saudara saya, pergi menemui al-Khaliq pada jam 11.55 malam tadi setelah lebih empat tahun bertarung dengan kanser. Innalillahi wainna ilaihi raaji'uun.

Melihat kesedihan di wajah-wajah suami, anak dan ahli keluarganya, mengundang pilu di hati saya. Arwah seorang ibu yang baik, dan memiliki enam orang anak yang baik-baik belaka. Saya tahu sukar untuk mereka menempuh hari-hari seterusnya tanpa ibu tersayang, namun hakikatnya, dia pergi ke tempat yang lebih indah. Keindahan yang abadi.

Semoga kita nanti akan berkumpul bersama-sama, di tempat yang indah itu. Amin.