Thursday, December 13, 2012

Wang Bekerja

Setiap hari kita bekerja, berusaha bersungguh-sungguh untuk mengumpul wang demi masa depan. Demi anak-anak, demi keluarga. Pun kadangkala kita lelah memikir. Wang yang ada, seringkali tidak dapat dikesan ke mana perginya. Beribu-ribu ringgit sebulan, hujung bulan tiada yang tinggal. Kita masih seperti dulu-dulu juga. Dan, kita terus berpenatan bekerja lagi.

Dahulu, saya pun begitu. Wang gaji saya sering habis apabila hujung bulan. Bukanlah boros sangat pun, sekadar membeli keperluan dan sesekali melayan keinginan. Seperti orang lain juga.

Lama-lama, saya mahu berbuat sesuatu. Saya mahu menyimpan, dan membiarkan simpanan saya ada pulangan. Melabur, itu maksud saya.

Tetapi masalahnya, di mana dan bagaimana? Melabur ini, perlu ilmu dan pengetahuan juga. Perlu yang berlandaskan syariah. Tidak mungkin boleh melabur di mana-mana sesuka hati!

Akhirnya, saya memutuskan untuk memilih Tabung Haji. Walaupun pulangannya tidak setinggi mana, tetapi pernah mencapai sehingga 8% setahun setelah ditolak zakat sebanyak 2.5%. Agak menarik, rasanya. 

Ada lagi tempat-tempat pelaburan yang memberi pulangan sehingga 15% peratus, tetapi saya meragui statusnya. Tabung Haji, biarpun rendah sedikit, ia masih berbaloi. Malah pada masa yang sama, saya boleh mendaftar dan merancang perbelanjaan untuk menunaikan Haji juga.

Awal saya menyimpan dahulu, ekonomi negara sangat gawat. Pulangannya tidak seberapa, apatah lagi simpanan saya juga sangat sedikit. Sekadar RM100 sebulan, berapalah sangat jika dikali dengan setahun. Namun semangat saya sentiasa berkobar-kobar untuk meneruskan perancangan saya ini.

Seiring kenaikan gaji, saya menambah simpanan saya. Pernah ia luak saat membina rumah dahulu, tetapi saya tidak jemu menyimpan kembali.

Daripada sifir pengiraan saya, kos saya ke Tanah Suci mengerjakan Haji pada 2010 lalu, sebahagian besarnya adalah daripada dividen simpanan saya itu. Memang berbaloi!

Kini, saya mendapat pulangan hampir empat ribu setahun. Lebih kurang RM300 sebulan, tanpa perlu berbuat apa-apa. Rasa saya, inilah kaedah menjana duit yang senang dan selamat. Daripada membiarkan ia beku tanpa hasil, melabur di Tabung Haji sekurang-kurangnya memberi pulangan yang tidak meragukan. 

Jika orang lain membeli emas dan tanah sebagai pelaburan, saya kurang menggemarinya. Apa perlunya tanah buat saya, kerana apa yang ada sekarang sudah mencukupi. Emas pula, saya takut memikirkan risikonya. Banyak sudah kedengaran cerita yang ngeri apabila diragut atau dipecah rumah, juga betapa sukarnya si pemilik emas hendak bergerak ke mana-mana kerana tidak tahu kepada siapa perlu diamanahkan emas yang berkilo-kilo itu!

Buat adik-adik yang bakal bekerja dan menerima gaji nanti, perancangannya mudah sahaja. Sebaik mendapat kerja, ketepikan sejumlah 15% - 30% daripada gaji yang diperoleh untuk tujuan ini. Contohnya, jika gaji RM2000 sebulan, potonglah sebanyak RM300 untuk tujuan ini. Semakin gaji bertambah, tambahlah juga nilai simpanan. Kata orang-orang tua, sikit sikit, lama lama jadi bukit. Pastikan simpanan itu benar-benar untuk tujuan pelaburan. Jangan diusik kecuali jika benar-benar terdesak. Apabila mendapat bonus atau apa-apa wang di luar jangka, simpanlah sedikit sebelum membelanjakannya. Contoh, jika menerima bonus sebulan gaji, simpanlah 20% daripadanya, dan bakinya bolehlah diguna untuk tujuan peribadi. Mudah, bukan?

Insya Allah, dalam usia empat puluh tahun, jumlah simpanan pelaburan kita bakal menjadi ratusan ribu. Waktu itu, dengan dividen menjangkau lima hingga enam ribu setahun, kita mampu menggunakannya untuk tujuan-tujuan santai, seperti melancong atau melayan hobi kita. Bukankah membiarkan wang bekerja untuk kita itu lebih baik daripada kita bekerja untuk wang?

No comments:

Post a Comment