Thursday, November 27, 2014

Bacalah


Selasa baru-baru ini saya ke HUSM untuk temujanji dengan doktor pakar. Seperti biasa kami akan keluar awal, sekitar 12.30 tengah hari walaupun temujanji itu akan berlangsung pada jam 2.00 petang.

Kami tidak terus ke HUSM tetapi singgah makan tengah hari dahulu di gerai berdekatan. Selepas itu suami saya akan tinggalkan saya di HUSM dan dia pulang menunggu di rumah. Bukan apa, menunggu di HUSM sangat lama dan tentu membuang masa. Lagi pun, saya selesa sendirian. Saya resah kalau ada yang menunggu saya dalam tempoh lama.

Si HUSM, solat zohor boleh sahaja di surau yang sangat dekat dengan klinik pakar sakit puan saya itu. Kemudian menantilah saya untuk dirawat.

Kebetulan saya tiba awal maka saya yang pertama dipanggil. Rawatan masih yang sama. Saya diimbas dan disuntik. Selesai.

Jam baru ke angka 3. Selalunya sekitar jam empat baru selesai. Saya mengambil peluang ini untuk meninjau-ninjau gerai di sekitar situ.

Dan hasilnya, saya berbelanja sebanyak RM130 untuk lima buah buku baru, seperti gambar di atas.

Saya bakal mencari masa untuk membaca buku-buku tersebut. 

Sent from Samsung Mobile

Selamat Bersara

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku.

Berdiri melihat denai-denai kenangan,
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan,
Barangkali terdengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam anak-anak remaja,
Tegur sapa, senyum tawa, rakan sekerja.

Tiba waktunya untuk menyusun jemari,
Membuang segala kerikil bersalut di hati,
Yang terkhilaf dimaafi,
Yang sesal diinsafi,
Yang lebih dibahagi,
Yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang yang bercanggah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka titik berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu rindu,
Selamanya pun bergelar guru

Selamat tinggal suara-suara ceria,
Padang perhimpunan dan dewan perkasa
Bilik darjah dan anak-anak keletah
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas
Bilik guru dan timbunan buku
Ruang kantin tempat mesra terjalin

Selamat tinggal seribu kerenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah
Bercampur gembira bersisip gundah
Bergema didikan beralas madah
Selamat tinggal sebuat tempat bernama sekolah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu
Di sini kami pasti merindu
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu.

Selamat tinggal dalam doa berkat
Senyumlah seindah suria
Setelah mencurahkan segala-galanya
Pasti beroleh keredaanNya

Bak air yang mengalir
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir! 

(Ghazali Lateh)

Selamat bersara buat dua orang guru yang sangat memberi makna kepada SMK Kampong Chengal.

Tuan Pengetua - Tuan Haji Sudin bin Harun yang bersara wajib, genap 60 tahun pada 2 Januari 2015 nanti. Pun kerana tarikh itu tidak memungkinkan sebuah sambutan disebabkan sesi persekolahan 2015 belum bermula maka kami sepakat meraikan beliau pada hari terakhir persekolahan baru-baru ini. Ia meriah sekali. Bermula dengan perarakan guru mengiringi Tuan Pengetua yang segak berbaju melayu songket lengkap bertanjak dan berkeris, dipersembahkan pula acara silat dan seterusnya Tuan Pengetua dibawa bersemayam di singgahsana.

Acara seterusnya tentulah ucapan-ucapan, bacaan biodata, tayangan slaid, penyampaian hadiah dan akhir sekali kami berarak lagi dengan sepuluh buah kereta antik menuju ke rumah beliau dan dihidangkan makan tengah hari di sana.

Semuanya berjalan seperti dirancang, Alhamdulillah.

Empat hari sebelum itu, kami telah pun meraikan persaraan Tuan Haji Mohd Salleh bin Yaacob, seorang guru Fizik yang kami kasihi. Biar cuma sebentar di sini, namun kehadirannya pada tahun 2012 memberi sesuatu yang bersinar indah. Sejak beliau menjadi tenaga pengajar Fizik, pencapaian Fizik SPM sekolah kami meningkat dengan ketara sekali. Begitulah penangan insan berpengalaman ini dalam mendidik anak-anak Kampong Chengal. Terima kasih daripada kami, seikhlas hati.

Selamat bersara buat kedua-dua insan berjasa ini. Semoga hari-hari mendatang memberi kerehatan yang tiada tandingnya.

Segak sekali Tuan Haji Sudin bin Harun




Tuan Haji Salleh tenang memberi ucapan

Wednesday, November 26, 2014

Penilaian Darjah Lima

1983.

Penilaian darjah 5.

Waktu itu, ia tidak segah sekarang. Bukan semua ibu bapa cakna dengan peperiksaan ini. Jika di bandar, mungkin wujud juga kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke tuisyen tetapi di kampung-kampung kecil seperti kampung saya, kelas tuisyen bagai ada dalam tiada.

Arwah ayah menghantar saya ke kelas tuisyen cikgu Zakaria, dengan bayaran cuma RM20 sebulan untuk enam subjek. Waktu itu kami belajar enam subjek untuk lima kertas kerana Sejarah dan Geografi digabungkan.

Saya masih ingat kelas tuisyen itu berlangsung dia sebuah rumah kayu sahaja. Pelajar pun tidak ramai. Kami sebenarnya lebih kepada bermain, bukannya belajar sangat. Tetapi ia seronok. Cikgu-cikgu yang mengajar pun cuma dua tiga orang dan mereka merupakan jiran-jiran kami juga.

Apabila peperiksaan berlangsung, kami jujur menjawab. Cikgu tidak mengajar kami meniru atau memberi tiru. Apa pun keputusan kami, sememangnya itulah keupayaan kami. Ia benar-benar tulen.

Hari keputusan diumumkan, ada sedikit debar dalam dada. Saya ke sekolah berjalan kaki berdua dengan kawan saya yang juga jiran saya. Ayah dan emak tidak ikut serta. Masih saya ingat lagi pakaian saya waktu itu. Baju kurung dan kain sarung tanpa tudung.

Saya menuju ke pejabat dan Cikgu Wan Yusoff mengusik saya. "Noorhayati, kenapa result awak macam ni?"

Entah kenapa, saya cuma tersenyum. Saya harap dia bergurau. Dan benarlah. Alhamdulillah saya mendapat 5A. Saya tidak lama di sekolah kerana tidak sabar-sabar untuk pulang memberitahu emak.

Di sekolah saya, lima orang berjaya mendapat 5A dan semuanya mendapat tawaran asrama penuh atau MRSM. Cuma, ada yang menerima dan ada yang menolak.

Yang mendapat 4A dan 3A pun ada yang layak ke asrama penuh.

Kini, ia tinggal kenangan. Saya tidak nampak keseronokan saya belajar pada 1983 itu dalam diri pelajar-pelajar UPSR sekarang. Persaingan yang semakin tinggi sebenarnya bukanlah memberi kesan yang positif. Ramai benar yang kecewa dan menangis beria-ia apabila tidak mendapat 5A kerana tidak setimpal dengan usaha yang dilakukan. Kasihan mereka. Ibu bapa, berilah semangat, bukan tekanan kepada anak-anak anda. Ini baru UPSR. Perjalanan mereka masih sangat jauh.

Tahniah kepada semua yang berjaya. Ingatlah, ini baru pembukaan. Pastikan langkah anda selepas ini tidak melencong.

Sent from Samsung Mobile

Sunday, November 23, 2014

Empat Puluh Lima Hari

Bermula Jumaat 21hb November 2014 dan berakhir pada Ahad 4hb Januari 2015. Empat puluh lima hari. 

Kami para guru yang berkhidmat di seluruh negara diizin bercuti selama empat puluh lima hari termasuk hari minggu. Jika ditolak hari kelepasan am dan hujung minggu, jumlah cuti kami yang sebenarnya hanyalah dua puluh sembilan hari. Dan apabila ditolak dengan jumlah hari yang kami perlu ke sekolah dalam cuti itu, ia berkurang kepada cuma lebih kurang dua puluh hari. Tidak panjang pun, tetapi syukurlah.

Waktu inilah peluang buat kami para guru untuk bercuti sesungguhnya. Biarpun tidak akan mungkin ia berlaku begitu. Esok, Isnin saya perlu ke sekolah juga. Rabu nanti pun. Kemudian mesyuarat setiap unit bersusun-susun dalam cuti. Belum lagi dikira hari pendaftaran pelajar. Begitulah cuti kami yang tidak serupa cuti ini, tetapi syukurlah.

Selamat bercuti semua. Bersyukurlah kerana dalam tekanan kerja yang tidak pernah mahu luak ini, kita masih mampu mengisi masa cuti kita dengan apa yang kita suka. Ikhlaskanlah segalanya. Moga Allah redha.

Tuesday, November 18, 2014

Di Rumah Ma

Apabila suami saya memberitahu dia diarahkan berkursus di Hotel Seri Malaysia, Genting Highlands dari 15hb November (Sabtu) hingga 17hb November (Isnin), saya tahu saya bakal berada di rumah ma selama tempoh itu.

Saya tidak mahu bersendirian di rumah saya. Bukan takut atau bosan, tetapi saya tidak akan mampu bergerak ke mana-mana kerana kegagalan saya memberanikan diri memandu kereta. Akhir-akhir ini, saya jadi jemu dan malas memikirkan kekurangan saya yang satu ini. Sejujurnya, saya menyerah. Bukan menyerah kalah, tetapi menyerah segalanya kepada takdir. Jika tiba waktu yang dikira terdesak, saya berharap saya mampu membina kekuatan itu.

Di rumah ma, saya tentu sekali akan menyusahkan pemandu wanita kesayangan saya, adinda Ismah untuk menghantar saya ke sekolah. Jika suami saya mendapat arahan itu lebih awal, rasanya saya akan mengisi borang cuti dan berehat sahaja selama dua hari ketiadaan suami itu. Apakan daya, surat arahan hanya tiba pada Khamis, dan saya hanya diberitahu sebaik pulang dari sekolah.

Sememangnya, berada di rumah ma adalah peluang untuk saya mencari kerehatan. Kebetulan, minggu terakhir persekolahan ini menghadirkan situasi yang berbeza untuk saya lalui. Majlis persaraan, kelas tambahan SPM, menanda kertas, menyediakan slideshow, menyiapkan buku rekod dan buku kedatangan, adalah perkara-perkara yang perlu saya lalui pada minggu ini.

Dua hari di rumah ma, saya lapang sekali. Ada anak-anak saudara yang memberi keriuhan, juga makanan-makanan kegemaran yang lama tidak ditemui. Ma memasak putu halba dan kuih poli, yang sesungguhnya sangat saya gemari.

Alhamdulillah, dua hari sudah mencukupi. Terima kasih ma dan Ismah atas bantuan dan kesediaan memberi apa yang saya perlu.


Friday, November 14, 2014

Nasi Goreng

Pagi ini hujan mencurah-curah lagi. Kedinginan mencengkam hingga ke tulang hitam, sejuk menikam-nikam dan selimut saya yang nipis itu tidak mampu menghalang tubuh saya daripada digigit kesejukan itu.

Suami saya bangun sebaik azan berkumandang. Dia bersiap untuk berjemaah Subuh di surau. Saya pula, rasa mahu menyambung lena tetapi apakan daya, waktu untuk berbakti kepada-Nya sudah tiba. 

Sebaik suami saya turun ke surau, saya menyuci diri dan bersedia mengadap Ilahi. Sempat saya mengaji beberapa muka surat Al Quran sebelum suami saya pulang.

Rupanya dia dijemput ke majlis cukur jambul pagi ini. Mulanya dia mahu keluar membeli sarapan dahulu buat saya dan mek sebelum dia ke majlis itu, tetapi hujan renyai-renyai yang belum mahu berhenti itu membataskannya.

Saya tidak kisah. Memasak untuk diri sendiri sebenarnya sangat mudah. Saya menyediakan nasi goreng daging pagi ini.

Saya jerang nasi dengan air yang kurang dari biasa supaya nasi itu tidak lembik. Nasi lembik apabila digoreng rasanya kurang sedap.

Sementara menunggu nasi masak, saya mencuci pinggan mangkuk yang memenuhi sinki itu sambil menanti daging yang saya rendam itu lembut.

Saya kupas bawang merah dan bawang putih, dan menumbuknya bersama-sama serbuk cili Baba's. Daging pula dipotong kecil, dan sedikit sayur sawi sebagai pelengkap hidangan.

Saya panaskan minyak dan menumis bahan tumbuk tadi. Wanginya! Apabila garing sedikit saya masukkan daging, dan kacau hingga empuk. Tak lama pun sebab daging itu dipotong kecil-kecil.

Nasi pun sudah masak. Saya masukkan sayur sawi dahulu, sedikit garam dan sos ikan. Seterusnya saya sendukkan nasi yang masih panas itu ke dalam kuali. 

Sekejap sahaja, tidak sampai sejam, nasi goreng daging saya siap untuk dinikmati bersama teh o panas.

Biar sendirian, lazatnya tiada berbeza.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, November 13, 2014

Sunyi

Yang ingin saya ceritakan, tentang sebuah kesunyian. 

Hujan sudah mula mencurah menandakan tengkujuh kian menghampiri. Sejuk dan nyaman adalah suasana yang saya nanti-nantikan. Sentiasa saya menggemari suasana sebegini kerana ada ketenangan di sisinya.

Sendirian lagi saya malam ini. Selalunya begitulah. Apabila malam Jumaat terisi dengan majlis tahlil, suami saya akan bersama-sama menyertainya. Hakikatnya, saya tidak apa-apa ditinggal sendiri malah terasa lebih relaks. Tenang. Bebas. Walaupun sunyi.

Kesunyian bagi kebanyakan orang adalah satu penyeksaan tetapi tidak pada saya. Saya tenang menyendiri dan harapnya akan sentiasa tenang begini.

Biar sunyi, saya tidak sepi.


Sent from Samsung Mobile

Monday, November 10, 2014

Emosional

"Saya hairan mengapa orang kita suka pergi umrah berkali-kali. Yang wajib cuma sekali saja."

Setiap kali lelaki ini bersuara, saya sentiasa tidak sudi menyampuk. Saya biarkan dia berkata-kata. Memandang wajahnya pun saya enggan.

"Di luar sana, berapa ramai orang miskin yang nak beli baju anak pun tak mampu. Bersedekah kepada mereka itu pahalanya lebih besar. Orang kita silap, tak tahu cara nak dapat pahala yang banyak. "

Sambungnya lagi, tetapi saya masih diam. 

Sahabat di sebelah saya menjawab acuh tak acuh  "sedekah kita sedekah juga.." Ringkas.

"Ya lah." Katanya, dan berlalu.

Begitu manusia. Mudah benar menjatuh hukum. Pada hal perkara sebegini pada saya tidak perlu digegerkan. Islam itu kan luas, mengapa nampak yang sempit sahaja?

Jika dia mahu panjangkan lagi syarahannya tadi, tentu saya akan angkat punggung dan berlalu pergi. Saya tidak teruja pun untuk mendengar, apatah lagu berbahas dengannya. Sejak dulu, saya cukup pantang dengan manusia yang gemar menilai orang lain tetapi diri sendiri hancur. Saya sedikit emosional, maafkanlah.

Saya tidak pernah mahu menilai dia. Walaupun saya nampak cara dia bekerja bagaimana, tetap saya tidak mahu menilai. Itu kerja Tuhan, bukan kerja saya memberi dosa atau pahala. Dan dia pula lebih alim tentang ini kerana status yang dipegangnya bukan calang-calang.

Cuma, apabila dia berkata begitu saya jadi semakin enggan mendekatinya. 

Saya emosional, ya.

Sent from Samsung Mobile