Thursday, November 27, 2014

Selamat Bersara

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Perpisahan mengimbau makna sebuah rindu,
Pada jejak-jejak yang lalu, seribu liku.

Berdiri melihat denai-denai kenangan,
Berbunga mesra dalam jambangan ingatan,
Barangkali terdengar nanti,
Suara bisikan melankolia,
Ucap salam anak-anak remaja,
Tegur sapa, senyum tawa, rakan sekerja.

Tiba waktunya untuk menyusun jemari,
Membuang segala kerikil bersalut di hati,
Yang terkhilaf dimaafi,
Yang sesal diinsafi,
Yang lebih dibahagi,
Yang kurang dilengkapi,
Agar saat perpisahan ini indah,
Terlerai segala durja gundah,tersirna cebisan amarah,
Terurai segala yang yang bercanggah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu,
Pasti tersisa kenangan yang terindah,
Berhias luka titik berdarah,
Kesementaraan waktu mengutus seribu rindu,
Selamanya pun bergelar guru

Selamat tinggal suara-suara ceria,
Padang perhimpunan dan dewan perkasa
Bilik darjah dan anak-anak keletah
Pejabat tugas dan pembantu ikhlas
Bilik guru dan timbunan buku
Ruang kantin tempat mesra terjalin

Selamat tinggal seribu kerenah,
Datang dan pergi pelbagai wajah
Bercampur gembira bersisip gundah
Bergema didikan beralas madah
Selamat tinggal sebuat tempat bernama sekolah.

Bak air yang mengalir,
Tiba jua kiranya di muara waktu
Di sini kami pasti merindu
Jelinglah kami jika rindu masih bertamu
Sapalah kami andai mesra akrab berpadu.

Selamat tinggal dalam doa berkat
Senyumlah seindah suria
Setelah mencurahkan segala-galanya
Pasti beroleh keredaanNya

Bak air yang mengalir
Sampai di sini kenangan indah pasti terukir! 

(Ghazali Lateh)

Selamat bersara buat dua orang guru yang sangat memberi makna kepada SMK Kampong Chengal.

Tuan Pengetua - Tuan Haji Sudin bin Harun yang bersara wajib, genap 60 tahun pada 2 Januari 2015 nanti. Pun kerana tarikh itu tidak memungkinkan sebuah sambutan disebabkan sesi persekolahan 2015 belum bermula maka kami sepakat meraikan beliau pada hari terakhir persekolahan baru-baru ini. Ia meriah sekali. Bermula dengan perarakan guru mengiringi Tuan Pengetua yang segak berbaju melayu songket lengkap bertanjak dan berkeris, dipersembahkan pula acara silat dan seterusnya Tuan Pengetua dibawa bersemayam di singgahsana.

Acara seterusnya tentulah ucapan-ucapan, bacaan biodata, tayangan slaid, penyampaian hadiah dan akhir sekali kami berarak lagi dengan sepuluh buah kereta antik menuju ke rumah beliau dan dihidangkan makan tengah hari di sana.

Semuanya berjalan seperti dirancang, Alhamdulillah.

Empat hari sebelum itu, kami telah pun meraikan persaraan Tuan Haji Mohd Salleh bin Yaacob, seorang guru Fizik yang kami kasihi. Biar cuma sebentar di sini, namun kehadirannya pada tahun 2012 memberi sesuatu yang bersinar indah. Sejak beliau menjadi tenaga pengajar Fizik, pencapaian Fizik SPM sekolah kami meningkat dengan ketara sekali. Begitulah penangan insan berpengalaman ini dalam mendidik anak-anak Kampong Chengal. Terima kasih daripada kami, seikhlas hati.

Selamat bersara buat kedua-dua insan berjasa ini. Semoga hari-hari mendatang memberi kerehatan yang tiada tandingnya.

Segak sekali Tuan Haji Sudin bin Harun




Tuan Haji Salleh tenang memberi ucapan

No comments:

Post a Comment