Maka legalah sekalian kakitangan kerajaan apabila hari ini, gaji sudah diterima.
Sejak berminggu-minggu mereka mengeluh, terasa lambat benar gaji bulan ini dek terlalu awal menerima pada bulan lepas. Daripada 12hb Februari sehingga ke 25hb Mac jika dihitung-hitung, tempohnya melebihi empat puluh hari. Memang lama.
Bulan lalu gaji diberi awal kerana ada perayaan Tahun Baharu Cina. Rasionalnya, kerajaan mahu memberi kesempatan kepada mereka yang beraya untuk berbelanja lebih awal walaupun hakikatnya, hujung bulan akan kekeringanlah.
Saya tidak pernah mahu mempersoal atau mempertikai rasional setiap ketetapan oleh kerajaan. Mungkin jika tidak diawalkan, akan ada suara-suara yang meminta. Jika diawalkan seperti ini pun ada yang meronta. Ya, memuaskan hati semua orang itu tidak mudah.
Lalu, apa penyelesaiannya?
Saya kasihan juga kepada yang terpaksa mengikat perut beberapa minggu ini lantaran kesempitan. Apabila melihat jumlah wang dalam bank agak besar dek gaji Januari yang masih berbaki ditambah gaji Februari yang masuk awal, ramailah yang mula lupa diri. Ada-ada sahaja keinginan yang mahu dipenuhi tanpa memikirkan apa yang akan berlaku jika wang sebanyak itu dihabiskan sebelum tempoh yang sepatutnya.
Di sinilah peranan disiplin dan hemah dalam berbelanja.
Saya pernah melalui situasi sulit sewaktu memegang status pelajar dahulu. Walaupun bukan gaji, tetapi wang pinjaman yang saya terima itu situasinya sama sahaja dengan gaji. Saya menerimanya sekali dalam satu semester dan jumlahnya cuma sekitar RM1200 untuk empat bulan.
Perancangan perbelanjaan sentiasa saya buat. Wang untuk makan, wang untuk buku, wang untuk tambang bas dan segala macam saya atur dan susun agar tidak tercicir. Penuh satu buku saya buat pengiraan supaya wang RM1200 itu tidak habis sebelum waktunya.
Pun, saya lupa pada satu item penting iaitu wang kecemasan. Seringnya, di sinilah wang saya tidak dapat diselamatkan menyebabkan saya kekeringan pada hujung semester. Pun, saya tidak pernah kering awal. Wang saya tetap saya urus dengan baik.
Jadi, apabila saya bekerja dan menerima gaji bulan-bulan, tabiat saya untuk mengira dan merancang perbelanjaan tetap kekal berjalan seperti dahulu. Saya atur dan susun semuanya termasuk wang kecemasan dan wang simpanan agar saya tidak menghadapi kesukaran pada kemudian hari. Saya mahu berpandangan jauh, bukan hanya memikir belanja hari ini.
Mungkin anda akan berkata, gaji saya besar dan saya tiada tanggungan maka bolehlah saya berkata begitu.
Percayalah, jika pun gaji anda kecil dan tanggungan anda ramai, perancangan kewangan tetap akan memberi kesan positif yang bakal anda syukuri pada masa depan nanti. Berapa ramai rakan guru saya yang pasangannya tidak bekerja, tetapi bijak merancang kewangan sehingga mampu membina rumah yang selesa dan menunaikan haji pada usia muda, walaupun pendapatannya lebih rendah berbanding saya.
Lalu, berhentilah mengeluh. Mulakanlah perancangan kewangan yang akan memberi anda kesan yang baik untuk masa depan nanti.