Rasanya sudah pernah saya berbicara tentang kenduri pada musim cuti begini.
Setiap kali cuti sekolah tiba, akan bersusun-susunlah jemputan kenduri yang kami terima. Apalah daya, sudah menjadi budaya. Lagi pun, ramai benar anak beranak yang bekerja sebagai guru maka cuti sekolahlah masa yang terbaik untuk berkenduri. Barulah tidak ada sanak saudara yang tertinggal.
Seminggu ini, saya menerima sepuluh jemputan kenduri. Ada kenduri kahwin, ada kenduri aqiqah, ada kenduri arwah dan ada juga kenduri sempena naik rumah baru. Tidaklah sebanyak mana, dan saya berusaha untuk memenuhi kesemuanya biar jauh atau dekat.
Hari ini, seawal pagi saya memenuhi jemputan adinda kesayangan saya untuk bersarapan di rumahnya. Oh ya, yang ini tidak termasuk dalam sepuluh jemputan yang saya terima kerana majlis ini istimewa dan berbeza. Ia majlis keluarga yang objektifnya lebih berfokus dan saya suka.
Roti jala kuah kari dan bihun goreng menjadi menu utama ditemani puding triffle dan dadih jagung yang enak sekali. Kami seronok melayan bual dan karenah anak beranak sambil bergambar untuk mengabadi kenangan.
Seterusnya, menjelang tengah hari saya menuju ke tiga lagu tempat kenduri. Satu di Perol, satu di Tunjung dan yang terakhirnya di Kor. Alhamdulillah.
Pulang ke rumah, jam sudah menghampiri empat petang. Cuaca memang sangat panas dan saya keletihan. Di bilik, saya menghidupkan pendingin hawa ke angka maksimum dan merebahkan diri di katil untuk rehat yang padu. Mata saya lena, sehingga ke jam 5.44 petang!
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment