Saturday, March 21, 2015

Gulai Lemak Telur Itik


Ini kegemaran saya. Tetapi begitulah, sering sahaja kegemaran saya tidak dikongsi suami. Jika telur itik, dia lebih suka digoreng sahaja. 

Sudah dua kali saya menggoreng telur itik dalam minggu ini. Memanglah sedap sebab saya tumbuk rencahnya. Bukan apa sangat, cuma bawang merah, halia dan kunyit sahaja. Kemudian dicampur garam dan lada sulah. Dikepuk-kepuk hingga sebati dan digoreng dalam minyak yang betul-betul panas. Hasilnya, telut itik dadar yang wangi dan menyelerakan! 

Hari ini saya berpuasa. Puasa ganti yang kedua daripada sembilan hari. Suami saya pula ada dua jemputan kenduri dan tentunya saya hanya perlu memasak untuk diri sendiri kali ini.

Apa lagi, gulai lemak telur itiklah yang terbit dalam fikiran saya.

Tidak susah, kerana saya menggunakan santan kotak. Rempahnya pun mudah sekali. Hanya perlu bawang merah, bawang putih, lengkuas, halia, kunyit dan cili padi.

Saya kisar sahaja semuanya dengan pengisar Panasonic saya dan masukkan ke dalam santan yang sudah sedia menanti dalam periuk di atas dapur. Saya masukkan garam dan kacau.

Apabila menggelegak sedikit, api saya kecilkan dan saya pecahkan telur itik satu persatu. Tidak banyak, tiga biji sahaja untuk saya seorang. Ya lah, saya cuma masak satu lauk ini sahaja. Sedang eloklah tu..

Saya letak sekeping asam gelugur untuk menyeimbangkan rasa.

Tadaaa! Bila azan berkumandang nanti, santaplah saya makanan kegemaran ini bersendirian.

Tak mengapa, saya tetap berselera.

Sent from Samsung Mobile

No comments:

Post a Comment