Wednesday, March 30, 2016

Bekerja

Sudah lebih lapan belas tahun saya melalui hari-hari sebagai guru. Semakin lama semakin terasa penatnya. Bukan sedikit, tetapi membuak-buak. Penat yang susah mahu saya jelaskan. Penat yang membuat hari-hari saya terasa begitu singkat. Penat yang menjadikan saya kadang kala buntu dan keliru apabila berhadapan dengan tugas dan tanggungjawab. Mahu dahulukan yang mana satu?

Kerjaya ini saya sendiri yang pilih. Tiada siapa yang memaksa, ia datang dari hati nurani saya. Saya tidak nampak diri saya sebagai selain daripada guru, biar pun peluang itu ada. Allah melorongkan saya ke jalan ini tanpa susah payah dan saya amat mensyukurinya. Sungguh-sungguh.

Lalu, apabila penat itu mula meraja, saya enggan tewas pada perasaan. Bukankah saya yang memilih jalan ini dengan izin-Nya? Bukankah saya mahu memberi bakti seikhlas budi dalam mendidik anak bangsa? Bukankah saya mahu menyemai sesuatu yang boleh saya tuai pada akhirnya?

Saya cuba memberi yang sehabis baik. Jika pun saya penat, saya tidak pernah mahu ponteng mesyuarat. Jika pun saya penat, saya tidak rela bercuti tanpa sebab. Jika pun saya penat, melihat wajah anak-anak didik yang dahagakan ilmu itulah menjadi ubat.

Benar saya penat dengan kepelbagaian dasar dan sistem hari ini. Pun selagi nyawa di badan, saya tidak sesekali akan meninggalkan bidang ini kecuali apabila Allah memanggil saya pulang.

Biar penat, saya tetap kuat!


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, March 29, 2016

Kreatif

Kelakar juga apabila saya diberi tugasan yang satu ini. Tidak lena tidur saya dibuatnya.

Kisah bermula pada awal sesi persekolahan tahun ini. Tuan Pengetua meminta saya mencetak gambar semua guru sekolah saya. Tidaklah saya menolak kerana arahan itu mudah sahaja dan gambar mereka semua pun ada dalam simpanan saya.

Rupa-rupanya, ia tidak berakhir di situ.

Dengan membekalkan saya wang RM100, dia meminta saya membina carta organisasi sekolah di papan kenyataan yang baru diletak di lobi. Carta itu mesti cantik berhias dan berwarna-warni. Wang RM100 itu untuk saya membeli kain alas, riben, dan segala keperluan untuk membina carta itu.

Ya Tuhan! Kenapa dia memilih saya untuk melakukan tugas ini? Tahukah dia saya ini tidak kreatif langsung?

Saya mencari sahabat sejati saya, cikgu Meriam. Saya memohon ihsannya membantu saya yang sudah kebingungan. Mujur dia faham dan sudi memberi tenaga meringankan beban. Pun dia tergolong guru yang sibuk juga. Dia hanya boleh menyediakan bahan sedang proses tampal menampal dan hias menghias dia tidak mampu. Apa pun saya sudah berterima kasih banyak kepadanya. Sudah terlalu besar pertolongannya itu.

Lama saya membiarkan kerja ini tidak berkesudahan sehinggalah minggu lepas Pengetua kembali bertanya. Saya yang sibuk dengan pelbagai tugas lain berasa sangat tertekan dengan tugas yang satu ini. Bila mahu saya mulakan? Siapa mahu membantu? Akan menjadikah carta itu seperti yang Pengetua mahu? Aduh! Hebat tekanan ini hingga lena saya terganggu!

Khamis lepas, seorang sahabat guru yang tahu kerisauan saya memberi cadangan. Katanya, kerja begini boleh diberi kepada AJK Chengal Happenings. Saya tanpa lengah terus ke bilik Pengetua dan membawa cadangan itu. Dia setuju.

Hari ini, prosesnya bermula. AJK Chengal Happenings mengambil peranan menyiapkan carta itu dengan saya hanya sebagai penyedia bahan. Leganya hati tidak terkira!

Walaupun hanya alas kain dan bingkai riben sahaja yang berjaya dipasang hari ini, sekurang-kurangnya nampak sudah perubahan wajah pada papan kenyataan itu. Esok, bolehlah saya memberi gambar-gambar guru untuk mereka susun atur dan tampal dengan penuh kreativiti yang tidak saya miliki!


Sent from Samsung Mobile

Wednesday, March 23, 2016

Panas

Dunia sudah semakin panas. Panas dalam segala segi. Mungkinkah kita kini sudah di ambang pengakhiran sebuah kehidupan yang fana?

Suhu pada siang hari di sini membawa ke 35 darjah Celcius. Peluh di dahi saya sentiasa memercik. Berada di bilik peperiksaan ini bahangnya tidak terperi. Terpaksa saya mencari suasana sejuk di Perpustakaan untuk sedikit kenyamanan.

Pun saya masih mampu bertahan. Cuaca sebegini walaupun mengurangkan keselesaan tetapi saya tidak pernah mahu merungut. Ini hanyalah ujian kecil buat kita sedang ada lagi insan-insan lain di serata pelosok dunia diuji dengan kesukaran yang tidak tergambar di minda. Mereka lebih memahami keperitan hidup dan lebih tabah menempuh cabaran. Janganlah hanya kerana cuaca sebegini kita sudah goyah.

Doa saya mengiringi setiap perjalanan hidup yang saya tempuhi. Semoga apa pun yang datang, kita tetap tabah dan redha.

Saturday, March 19, 2016

Langkawi

Pernah suami saya berkata, saya ini tidak suka berjalan. Sering sahaja ajakannya untuk bercuti saya abaikan. 

Ada benarnya juga. Rehat bagi saya hanyalah berada di rumah sendiri. Bersantai di bilik sendiri sambil melayan angan dan khayalan sendiri. Pun sampai bila saya mesti mementingkan diri sendiri?

Awal Januari lalu, dia bersuara mahu ke Langkawi dan meminta saya menyemak tiket kapal terbang di internet. Saya menurut sahaja. Kata saya, jika benar-benar mahu pergi, jangan fikir lama-lama. Janga tanya itu ini. Kita tempah sahaja dengan rasa tawakal. Jika ada hal kecemasan pada waktu penerbangan itu dan kita tidak jadi bercuti, anggap sahaja kita tiada rezeki. Dia menerima kata-kata saya itu dan saya tanpa ragu menempah tiket Firefly pergi balik KB-Langkawi untuk tarikh 15-17 Mac 2016. Selang beberapa hari kemudian, saya menempah pula bilik hotel untuk dua malam di Hotel Langkasuka, Kuah.

Percutian itu sudah pun berakhir dua hari lepas.

Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sekitar jam dua petang Selasa itu. Ada banyak kaunter kereta sewa yang melambai-lambai kami ke arah mereka. Suami saya memilih kaunter yang bertulis diskaun 60% dan meminta sebuah kereta Viva auto. 

Di luar, kami menanti kereta dihantar kepada kami. Selepas lebih kurang sepuluh minit, seorang pemuda menghampiri dan melihat resit kereta kami. Katanya Viva tiada, kami akan menerima Sentra.

Dengan Sentra itu kami menuju ke pekan Kuah. Tempat pertama tentulah kedai makan kerana perut kami sudah kelaparan. Selesai makan baru kami menuju ke hotel. Untung apabila sudah menempah. Kami tidak perlu menunggu lama kerana kunci bilik kami sudah disediakan di kaunter.

Kami mendapat bilik bernombor 5502 yang begitu besar dan selesa. Bagai tidak padan pula dengan harga yang kami bayar. Pun Alhamdulillah. 

Seketika sahaja kami berehat. Belum pun jam empat petang kami turun ke Langkawi Parade yang hanya terletak bersebelahan hotel kami. Selesai meninjau-ninjau di situ, kami bergerak ke Ulu Melaka, ke rumah Karim sepupu kami. Dia sendirian sahaja di rumah kerana kak Adibah pulang ke kampung. Dia membawa kami ke makam Mahsuri dan saya sempat membeli kain batik beberapa helai. 

Destinasi seterusnya ialah ke Dataran Lang di Jeti Kuah. Manusia yang terlalu ramai menyebabkan kami tidak jadi turun di situ lalu berpatah ke Pantai Cenang. Rupanya di situ juga sama. Manusia berpusu-pusu sehingga kami tidak mendapat tempat parking. 

Entah kenapa tiba-tiba kereta Sentra kami meragam. Rancangan kami untuk berpatah pulang ke hotel tergendala. Suami saya menelefon agen dan mereka berjanji untuk datang membawa kereta lain.

Dari jam 7.25 petang membawa ke 8.30 malam barulah mereka tiba bersama Vios untuk menggantikan Sentra itu. Lama kami menghabiskan masa tanpa apa-apa aktiviti di sini.

Kami selamat tiba di hotel pada jam hampir sepuluh malam. Usai solat kami keluar makan di kedai di hadapan hotel kami. Penat mula terasa dan tanpa apa-apa masalah saya tidur lena sungguh malam ini.

Pagi Rabu itu saya bangun dengan rasa segar.

Aktiviti kami hari ini bermula dengan meronda melihat alam sekitar, makan tengah hari di Pantai Cenang, minum petang di Padang Matsirat dan bertandang sekali lagi ke Ulu Melaka untuk bertemu kak Adibah yang baru sampai dari Kelantan pada tengah hari.

Malamnya, kami makan di restoran Sajian Aki's milik kak Hasanah sambil beramah mesra dengan mereka sekeluarga. Terima kasih melayan kami sebegini istimewa. 

Khamis, kami bersedia untuk pulang. Jam sepuluh pagi kami sudah tiba di balai berlepas walaupun penerbangan kami hanya pada jam 1.30 nanti.

Alhamdulillah, jam 2.40 petang kami selamat tiba kembali di Kota Bharu.

Sent from Samsung Mobile

Thursday, March 10, 2016

Gerhana

Pagi Rabu 9 Mac 2016. Fenomena gerhana matahari yang jarang-jarang berlaku dapat disaksikan di seluruh negara pada jam antara 8.00 pagi hingga 9.00 pagi. Begitu kuasa Allah, dan umat Islam disunatkan untuk bersolat gerhana pada waktu itu.

Hampir semua sekolah di sekitar sini melakukan solat itu secara berjemaah di dataran perhimpunan. Para pelajar dan guru sudah dimaklumkan seawal hari Selasa lagi untuk bersedia.

Terkecuali sekolah saya.

Entah kerana apa pihak pentadbir terlepas pandang tentang fenomena ini walaupun sudah riuh rendah dibincang dalam segala media sosial. Pihak panitia Pendidikan Islam pula rupanya ada terdetik tentang perkara ini tetapi memikirkan pelajar-pelajar sedang menghadapi peperiksaan, mereka tidak menyuarakan pada pihak pentadbir.

Gegerlah seketika dengan reaksi guru-guru memperkatakan hal ini. Ramai benar yang kesal dan marah. Kenapa perkara begini boleh diambil ringan?

Saya juga ada rasa yang begitu. Rasa terkilan kerana pentadbir tidak peka. Tetapi sekadar itulah. Tidak pula saya tega menulis ayat-ayat kesal saya di grup WhatsApp sekolah. Saya tahu pihak pentadbir juga sebenarnya rasa terkilan dengan ketidakpekaan mereka. Lalu mereka membenarkan mana-mana guru yang percuma waktu untuk berjemaah di surau sekolah. 

Terkejut saya apabila ada yang menulis betapa sedihnya mereka kerana ada kelas pada waktu itu dan tidak dapat bersama-sama berjemaah. Saya ini kurang arif tetapi bukankah masuk kelas itu wajib dan solat gerhana itu sunat? Tidak perlulah sedih kerana kita sedang melaksanakan kewajiban kita kepada para pelajar. Bukankah itu pun pahala?

Cukuplah marah marah. Setiap orang ada khilafnya dan untuk kali ini kita maafkanlah. Allah sedang memerhati bagaimana kita menangani keutamaan. Jangan sampai yang wajib itu keciciran pada waktu mencari yang sunat.

Betulkan saya jika saya silap.




Sent from Samsung Mobile

Wednesday, March 09, 2016

PIBG

Sekalian warga Chengal pun kesibukanlah menjelang hari perhimpunan agung PIBG yang bakal berlangsung Khamis ini.

Sebagaimana biasa, tugas tetap dan berpencen saya ialah bahagian menyediakan sijil Anugerah Kecemerlangan untuk pelajar-pelajar dan guru-guru jua. Dan sesungguhnya saya tidak rasa terbeban pun dengan tugas ini malah menggemarinya kerana saya hanya perlu berhadapan dengan komputer dan pencetak sahaja tanpa disibukkan oleh insan-insan lain. Malah juga, saya sudah pun selesai mencetak lebih seratus keping sijil pelbagai anugerah itu siang tadi. Lega rasanya kerana esok saya sudah lapang.

Semoga perjalanan perhimpunan agung yang kami rancang itu berlangsung lancar tanpa cela. Amin.


Sent from Samsung Mobile

Monday, March 07, 2016

Ganti

Allah berfirman: Katakanlah wahai Muhammad, sesungguhnya Tuhanku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya, dan Dia juga yang menyempitkan baginya, dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dialah jua sebaik-baik Pemberi rezeki. 
(34:39)

                                يخلفه: menggantikannya
Iaitu memberikan nilai tambah bagi mereka yang bersedia untuk menafkahkan sebahagian rezeki yang diperoleh ke jalan Allah dengan perolehan kurnia yang lebih bernilai daripada sesuatu yang pernah dinafkahkan pada jalan Allah.

Sedekah yang bermanfaat di dunia dan akhirat ialah sedekah yang berciri seperti berikut.

Pertama, memberi yang terbaik dan berguna.

 Kedua, ikhlas dan tiada unsur riak.

Ketiga, wajar iaitu tidak berlebihan dan tidak pula kikir.

Keempat, tidak bertujuan mendapatkan balasan kembali.

Bukanlah apabila kita bersedekah kepada seseorang sebanyak RM10, kemudian tiba-tiba ada insan mulia yang lain datang menghulur pula pada kita RM100, maka kita pun bercerita Allah telah membalas sedekah kita itu tadi dengan segera. Tidakkah itu kita seumpama mengharapkan balasan secara tidak langsung?

Saya tidak pandai menyusun ayat tetapi wahai para pendidik yang bergelar ustaz, elakkanlah bercerita kisah- kisah seperti ini biar pun anda berniat baik mahu menjemput umat untuk gemar bersedekah.  Kisah ini mengikis rasa ikhlas kerana pada penghujungnya ada balasan.

Saya mahu sedekah itu biarlah benar-benar ikhlas. Apa pun balasan itu biarlah hanya Allah yang menentukan. Tidak semestinya dalam bentuk material yang boleh dihitung dikira. Ia boleh sahaja berbentuk abstrak dan kerohanian. Biarlah kita tidak tahu itu.

Jika dalam bentuk material balasannya, saya pasti sayalah yang paling tiada balasan. Siapa pun tidak akan pernah sudi bersedekah material pada saya kerana saya tidak layak menerimanya. Jadi berhati-hatilah wahai pendidik dalam memberi ajaran agar pengajarannya tidak hilang. Yang penting ialah memberi. Memberi. Dan memberi. Tekankan itu. Abaikan balasan di dunia kerana matlamat kita akhiratlah jua.

Bukankah erti hidup pada memberi?

Sent from Samsung Mobile

Sunday, March 06, 2016

Faktor

Apabila keputusan SPM 2015 merudum jatuh, maka mereka pun mulalah mencari-cari faktornya.

Setiap tahun pun begitu. Mana-mana subjek yang jatuh akan disoal siasat serapi mungkin mencari di mana salah silapnya. Cuma kali ini semua subjek jatuh, tiada yang naik. Bolehkah saya simpulkan secara umum mengapa ini terjadi?

Kami guru-guru adalah manusia. Kami berdepan dengan pelajar yang juga manusia. Manusia fitrahnya bukan seperti mesin yang boleh dijangka itu dan ini. Yang boleh disenggara bila tiba masanya. Manusia ini kaya emosi. Manusia ini perlukan sentuhan, bukan sekadar arahan.

Apabila pelajar-pelajar dibiar begitu sahaja dan tekanan hanya diletakkan pada guru, di manakah keseimbangan? Bukan kami yang akan masuk ke dewan menjawab soalan tetapi pelajar-pelajar kami. Berilah sentuhan yang lebih kepada mereka, bukannya menekan guru untuk berusaha. Fahamkah maksud saya?

Biar program yang diatur menjurus kepada pelajar. Selidik dan tapis apa masalah mereka. Kami guru sudah terlatih maka tidak perlu kami yanv dicerap. Kami pernah menjana kecemerlangan pada tahun-tahun sebelum ini, bukankah itu menjadi bukti?

Saya mahu pelajar yang diberi fokus. Bukan guru.


Sent from Samsung Mobile

Saturday, March 05, 2016

Ayam Goreng Halia

Santai benar saya hari ini. Usai sarapan pagi dengan nasi berlauk ayam goreng yang suami saya beli, saya menggolekkan diri di atas katil tanpa peduli apa-apa. Sambil menghadap Note 2 saya itu, lama-lama saya lena. Suami saya sudah keluar sejak tadi.

Jam hampir sepuluh pagi, suami saya pulang. Saya masih enggan bangun dan dia membiarkan saya terus tidur. Ah! Syurganya rasa bila dapat melayan diri seperti ini!

Pun, mana boleh terus bermalas-malasan. Cukuplah setakat 10.30 sahaja, itu pun sudah seronok benar.

Macam biasa,  saya meneruskan agenda hujung minggu dengan membasuh kain, menjemur kain dan menggosok kain. Melipat kain aje yang belum. 

Menjelang tengah hari, saya ke dapur. Menu saya hari ini ikan kerisi goreng, ayam goreng halia dan tumis air sayur. Menu yang mudah dan cepat.

Ayam goreng halia saya memang istimewa kerana ia resipi yang saya hentam sendiri. Sejak dulu bila ke kedai makan, lauk ini tak pernah ketinggalan. Waktu internet belum menguasai saya, saya hanya menggunakan kepakaran merasa sahaja untuk mencipta resipinya. Dan itulah yang berlaku. Resipi ini menjadi juga.

Isi ayam saya potong kecil-kecil dan digaul dengan garam, serbuk lada putih dan halia. Saya panaskan minyak, dan terus campakkan isi ayam tadi ke dalam kuali. Sedikit air ditambah untuk menerbitkan kuah. Saya masukkan pula sos tiram dan sos ikan sesuka hati saya.

Seterusnya saya campak halia yang dipotong memanjang, beberapa ulas bawang putih yang diketuk, bawang besar yang dihiris, cili padi yang diketuk, dan tomato. Kalau ada bunga kubis saya campakkan sekali tetapi hari ini ia tiada. Biarkan beberapa minit dan angkat. 

Percayalah, sedap!


Sent from Samsung Mobile

Friday, March 04, 2016

Ruang Rehat

Rasanya saya sudah penat berminggu-minggu. Penat fizikal dan mental. Hujung minggu bagai tidak wujud apabila saya terpaksa bergegas ke sana ke mari.

Jumaat dan Sabtu minggu lepas dipenuhi pelbagai agenda yang tidak memberi ruang langsung untuk saya melayan diri sendiri. Bermula dengan bertugas di Kem Potensi Diri pelajar Tingkatan Lima, menemani mek menziarah saudaranya, menyertai Hari Keluarga sekolah suami, menghadiri kenduri dan melawat abang ipar yang kurang sihat. Semua berlaku sepanjang dua hari itu ditambah pula dengan urusan rumah tangga yang memang menanti waktu pada hujung minggu, saya penat amat.

Kebetulan persekolahan minggu ini menghadirkan pelbagai tugas dan acara yang bertindih lapis. Saya perlu menyiapkan soalan peperiksaan Matematik Tingkatan Lima, menyediakan tapak analisis SPM yang bakal diumum pada Khamis, mencetak sijil, mengurus wang untuk pengagihan RM100 kepada pelajar yang layak dan menyiapkan analisis headcount.

Hari Rabu pula majlis pengagihan wang bantuan awal persekolahan berlangsung sebelah petang. Apabila saya ditugaskan di bahagian agihan wang, terpaksalah saya menunggu sehingga majlis tamat untuk memastikan wang yang diagih dan baki wang yang tinggal seimbang. Jam lima petang baru saya pulang ke rumah dengan fikiran yang masih belum tenang dek soalan peperiksaan yang belum siap dan esok saya bakal sibuk dengan analisis SPM pula.

Pagi Khamis itu saya rasa mahu bercuti sakit! Tetapi saya gagahkan diri untuk terus mencurah bakti di SMKKC kecintaan saya ini. Jika saya bercuti, pelajar-pelajar saya tidak dapat ambil periksa Ahad nanti kerana soalan mereka belum siap. Sudahnya, jam empat baru saya pulang.

Alhamdulillah, hari ini barulah saya ada ruang yang luas sedikit untuk merehatkan fikiran. Ikutkan hati saya mahu berehat sampai Ahad, tetapi pada Ahad itulah peperiksaan kertas Matematik saya berlangsung. Agak tidak sopan jika saya selaku penyelaras menyembunyikan diri di rumah pada saat sebegini.

Cukuplah dua hari. Semoga rehat saya ini tidak terganggu dek perkara-perkara luar jangka.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, March 03, 2016

Merudum

Selalunya ada debar di hati saya setiap kali menanti keputusan SPM diumumkan. Debar kerana mengharapkan kecemerlangan yang saya usahakan bersama murid-murid saya menjadi nyata. Tetapi untuk tahun ini debar itu tidak terasa. Langsung tidak!

Berhari-hari saya mencarinya tetapi ia tidak tiba. Tutur saya pada rakan guru yang lain, debaran saya hilang entah ke mana!

Rupanya, debar yang tiada itu adalah disebabkan naluri saya sudah boleh menebak keputusan SPM tahun ini akan jatuh. Pun, tidak pula saya sangka ia akan jatuh seteruk itu. Saya nampak layu dan sayu di wajah para pentadbir dengan keputusan yang diterima, sedang saya rasa mahu ketawa.

Jahatkah saya?

Sebagai guru, saya kenal potensi anak-anak didik saya. Apabila saya sudah bersama mereka hampir dua tahun, saya tahu sisi mana yang boleh saya gilap dan sisi mana yang boleh saya abaikan. Murid-murid saya tahun lepas ada beza yang ketara dengan apa yang saya temui pada tahun-tahun sebelum ini. Beza dalam segala segi dan hanya guru yang mengajar mereka nampak perbezaan ini. Para pentadbir tidak tahu kerana mereka tidak mendekati murid-murid ini sebagaimana kami.

Lalu saya tidak mengharap apa-apa keajaiban. Saya sudah mencuba sehabis daya dan upaya, dan natijahnya ini sudah amat padan dengan apa yang mereka usahakan. Saya tidak sedih sedikit pun kerana usaha saya tidak pernah berbeza, cuma mereka yang tidak optimum menerima.

Saya bukan menyalahkan murid saya seratus peratus, tetapi faktor lain kelihatannya tidak signifikan. Apa lagi hujah yang boleh saya berikan selain menyatakan kebenaran?



Sent from Samsung Mobile