Pernah suami saya berkata, saya ini tidak suka berjalan. Sering sahaja ajakannya untuk bercuti saya abaikan.
Ada benarnya juga. Rehat bagi saya hanyalah berada di rumah sendiri. Bersantai di bilik sendiri sambil melayan angan dan khayalan sendiri. Pun sampai bila saya mesti mementingkan diri sendiri?
Awal Januari lalu, dia bersuara mahu ke Langkawi dan meminta saya menyemak tiket kapal terbang di internet. Saya menurut sahaja. Kata saya, jika benar-benar mahu pergi, jangan fikir lama-lama. Janga tanya itu ini. Kita tempah sahaja dengan rasa tawakal. Jika ada hal kecemasan pada waktu penerbangan itu dan kita tidak jadi bercuti, anggap sahaja kita tiada rezeki. Dia menerima kata-kata saya itu dan saya tanpa ragu menempah tiket Firefly pergi balik KB-Langkawi untuk tarikh 15-17 Mac 2016. Selang beberapa hari kemudian, saya menempah pula bilik hotel untuk dua malam di Hotel Langkasuka, Kuah.
Percutian itu sudah pun berakhir dua hari lepas.
Kami tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi sekitar jam dua petang Selasa itu. Ada banyak kaunter kereta sewa yang melambai-lambai kami ke arah mereka. Suami saya memilih kaunter yang bertulis diskaun 60% dan meminta sebuah kereta Viva auto.
Di luar, kami menanti kereta dihantar kepada kami. Selepas lebih kurang sepuluh minit, seorang pemuda menghampiri dan melihat resit kereta kami. Katanya Viva tiada, kami akan menerima Sentra.
Dengan Sentra itu kami menuju ke pekan Kuah. Tempat pertama tentulah kedai makan kerana perut kami sudah kelaparan. Selesai makan baru kami menuju ke hotel. Untung apabila sudah menempah. Kami tidak perlu menunggu lama kerana kunci bilik kami sudah disediakan di kaunter.
Kami mendapat bilik bernombor 5502 yang begitu besar dan selesa. Bagai tidak padan pula dengan harga yang kami bayar. Pun Alhamdulillah.
Seketika sahaja kami berehat. Belum pun jam empat petang kami turun ke Langkawi Parade yang hanya terletak bersebelahan hotel kami. Selesai meninjau-ninjau di situ, kami bergerak ke Ulu Melaka, ke rumah Karim sepupu kami. Dia sendirian sahaja di rumah kerana kak Adibah pulang ke kampung. Dia membawa kami ke makam Mahsuri dan saya sempat membeli kain batik beberapa helai.
Destinasi seterusnya ialah ke Dataran Lang di Jeti Kuah. Manusia yang terlalu ramai menyebabkan kami tidak jadi turun di situ lalu berpatah ke Pantai Cenang. Rupanya di situ juga sama. Manusia berpusu-pusu sehingga kami tidak mendapat tempat parking.
Entah kenapa tiba-tiba kereta Sentra kami meragam. Rancangan kami untuk berpatah pulang ke hotel tergendala. Suami saya menelefon agen dan mereka berjanji untuk datang membawa kereta lain.
Dari jam 7.25 petang membawa ke 8.30 malam barulah mereka tiba bersama Vios untuk menggantikan Sentra itu. Lama kami menghabiskan masa tanpa apa-apa aktiviti di sini.
Kami selamat tiba di hotel pada jam hampir sepuluh malam. Usai solat kami keluar makan di kedai di hadapan hotel kami. Penat mula terasa dan tanpa apa-apa masalah saya tidur lena sungguh malam ini.
Pagi Rabu itu saya bangun dengan rasa segar.
Aktiviti kami hari ini bermula dengan meronda melihat alam sekitar, makan tengah hari di Pantai Cenang, minum petang di Padang Matsirat dan bertandang sekali lagi ke Ulu Melaka untuk bertemu kak Adibah yang baru sampai dari Kelantan pada tengah hari.
Malamnya, kami makan di restoran Sajian Aki's milik kak Hasanah sambil beramah mesra dengan mereka sekeluarga. Terima kasih melayan kami sebegini istimewa.
Khamis, kami bersedia untuk pulang. Jam sepuluh pagi kami sudah tiba di balai berlepas walaupun penerbangan kami hanya pada jam 1.30 nanti.
Alhamdulillah, jam 2.40 petang kami selamat tiba kembali di Kota Bharu.
Sent from Samsung Mobile
No comments:
Post a Comment