Monday, September 26, 2016

Berpenat-penatan

Ini kisah semalam. Ahad. 25 September 2016.

Seawal pagi seperti rutin yang selalu, saya tiba di sekolah dihantar suami. Pagi Ahad yang nyaman. Jam 6.47 pagi kad saya dipunch.

Di bilik peperiksaan, saya mula mengatur kerja. Bermula dengan penyediaan jadual relief  untuk tujuh orang guru yang tidak hadir hari ini, yang siap sekitar jam lapan, saya meneruskan agenda saya dengan menyiapkan analisis peperiksaan percubaan SPM. Analisis ini perlu siap sebelum tengah hari ini kerana mesyuarat post mortem akan dijalankan tepat jam 2.15 petang.

Pada saat guru-guru lain berkumpul di perhimpunan, saya memaku diri di meja kerja saya, memuat turun segala yang peru dari laman SAPS ke Excel, dan menganalisis dengan teliti. Kerja ini sudah sebati dengan saya dan saya tidak berasa tertekan. Apa lagi sebahagiannya sudah saya siapkan pada Khamis lalu. 

Jam 8.40 pagi perhimpunan tamat dan saya mesti bergerak ke kelas. Mujur murid-murid saya meminta untuk menyiapkan soalan percubaan Matematik Tambahan SBP Kertas 1 yang tidak sempat mereka siapkan pada hujung minggu lalu. Dapatlah saya kembali semula ke meja saya dan berjanji untuk kembali semula ke kelas dalam masa setengah jam lagi untuk perbincangan. Seronok saya mengajar mereka, yang sentiasa komited dengan tugasan yang saya berikan.

Analisis saya itu akhirnya siap sempurna pada sekitar jam 12.00 tengah hari. Siap dibind  untuk diserahkan kepada tuan Pengetua dan puan PKP, siap juga dicetak untuk diedar kepada para ahli mesyuarat nanti. Alhamdulillah.

Kepala saya mula rasa ketat. Kelas 4IBN saya mohon agar mereka turun ke Pusat Sumber untuk rujukan sendiri. Saya mahu rehat sekejap.

Jam 1.35 tengah hari, kelas saya tamat. Saya membawa diri ke kantin untuk sepinggan mi goreng dan segelas teh o ais. Seterusnya saya kembali ke bilik untuk bersolat sebelum masuk ke bilik mesyuarat.

Tiba-tiba kak Zakiah memberitahu yang saya tidak perlu menyertai mesyuarat itu kerana Pengetua meminta dia dan saya menyiapkan Pelan Strategik untuk dibentang oleh Pengetua esok. Ya, Pengetua perlu melakukan pembentangan tetapi kami yang perlu menyediakan bahan!

Saya akur.

Semuanya memerlukan saya memaku diri kembali di hadapan komputer dan semuanya hanya siap pada jam 5.00 petang. tuhan jua yang tahu betapa penatnya mental saya!

Jam 5.30 petang baru saya tiba di rumah. Usai solat Asar, saya merehatkan diri yang sangat penat ini. Mata sudah tidak mampu lena. Perut pula mula berlagu minta diisi.

Saya ke dapur. Menjerang nasi, dan menyediakan lauk yang ringkas. Sotong rebus, telur masin, ikan bakar, ulam timun dan budu tempoyak.

Selepas Maghrib, saya dan suami menghadap hidangan ringkas itu dengan berselera sekali. Selepas Isyak pula saya memulakan tugas menggosok baju pula. Jam 10.30 saya sudah tidak mampu celik mata lagi. Saya mahu tidur.

Jumpa lagi esok, In Shaa Allah.

Saturday, September 24, 2016

Bangkok - Part 2

Dalam keterujaan kami yang terpilih ke Bangkok ini, tiba-tiba diberitakan yang pihak JPN tidak memberi kelulusan untuk tiga puluh orang guru serentak meninggalkan sekolah selama dua hari persekolahan. Mereka hanya akan memberi kelulusan jika bilangan ahli rombongan dikurangkan kepada dua puluh orang sahaja.

Kami pandang memandang. Akukah yang bakal tercicir? Passport sudah dibuat, kalau tercicir tentu kecewa!

Sebagai manusia yang mahu positif setiap masa, saya tidak mahu memikir lebih. Jika ditakdirkan nama saya Kak Su gugurkan, saya tidak kisah. Tentu ada hikmahnya. Begitu saya memujuk hati. Kak Su pula, tidak mahu mengumumkan siapa dua puluh orang guru itu, kerana dia ada strateginya sendiri. 

Tarikh lawatan juga tiba-tiba ditunda ke hujung September.

Lama kami tertanya-tanya. Akhirnya pada awal bulan ini Kak Su mengeluarkan senarai nama guru yang terpilih.

Alhamdulillah. Saya tersenarai.

Bangkok - Part 1

Suatu hari pada pertengahan Julai. Saya sedang bekerja di meja saya apabila Kak Su (PKP) tiba-tiba datang menyapa.

"Ti mahu ke Bangkok?"

"Bangkok? Ada apa Kak Su?" Saya memohon kepastian. Ayat Kak Su tadi mengundang tanda tanya.

"Lawatan. Pergi dengan Kak Su."

Dalam hati saya semakin tertanya-tanya. Lawatan apa? Rombongan para pentadbirkah? Bercampur dengan guru-guru sekolah lainkah?

"Siapa lagi yang pergi. Berapa bayarannya?" Tanya saya.

"Cikgu-cikgu sekolah kita je. Yang terpilih. Mungkin dalam tiga puluh orang. Percuma, ada sponsor."

"Oh... best tu! Nanti saya balik tanya suami dululah!"

Saya teruja, pada hal belum tahu apa-apa pun lagi tentang detail lawatan itu. Cuma kata Kak Su, tarikhnya pada hujung Ogos.

Alhamdulillah, suami saya mengizinkan. 

Lalu datanglah maklumat bertubi-tubi daripada sumber-sumber yang pelbagai. Rupanya lawatan itu adalah usaha Kak Su yang mahu membawa guru-guru SMK Kg Chengal yang di bawah seliaannya (kurikulum) untuk ke sekolah-sekolah antarabangsa di Bangkok selaras dengan transformasi yang diwar-warkan di sekolah kami.

Saya antara insan terpilih. Alhamdulillah.

Laptop

Ini komputer riba a.k.a laptop terkini yang saya miliki. Sudah dua bulan saya menggunakannya (dibeli di G-Orange pada 22 Julai lalu) dan prestasinya memberangsangkan.

Sesungguhnya, sudah empat biji laptop menjadi kepunyaan saya sejak 2005. Memang saya mengidamkan laptop sejak di universiti lagi tetapi waktu itu saya tiada kemampuan. Saya hanya memandang sayu rakan-rakan yang diberi ruang memiliki laptop sendiri seperti Rose, Tena dan Zali. Terliurnya usah dicerita. Kerana itu kini, apabila ruang kemampuan diberi Tuhan, saya tidak mahu mensia-siakannya.

Pada Mac 2005, saya membelanjakan lebih RM3000 untuk laptop pertama saya. Jenamanya Acer. Malangnya ia tidak bertahan lama kerana selepas tiga tahun, tengkuknya patah. Mahu menggunakannya perlu disandar pada dinding atau apa-apa sahaja yang mampu menahan tengkuknya dari jatuh ke bawah. Usianya di dalam jagaan saya juga tidak panjang apabila dikebas pencuri pada Disember 2014. Sayang memang sayang, tetapi saya redha. Kejahatan pencuri itu biar Allah sahajalah membalasnya.

Saya membeli laptop kedua saya pada tahun Disember 2008 apabila sudah tidak mampu lagi mencari dinding setiap kali mahu menggunakan laptop. Harganya lebih murah daripada yang pertama iaitu RM2100 sahaja. Jenamanya juga Acer. Saya memang menggunakan laptop itu sepenuh hati dan ia masih elok sehingga kini.

Laptop ketiga sebenarnya hanyalah sebuah netbook yang saya beli pada Januari 2010. Harganya murah sahaja, RM950. Masih lagi saya mengekalkan jenama Acer dan tujuan laptop ini dibeli ialah untuk kegunaan suami saya. Pun, tujuan itu hanya tinggal tujuan dan laptop itu jarang-jarang saya guna dek keupayaannya yang terhad.

Dan dua bulan lepas, saya tergerak hati untuk membeli laptop baru kerana sudah jemu dengan laptop lama. Bukan jemu sahaja alasannya, tetapi lebih kepada meneroka sesuatu yang baharu dan terkini di samping mengambil langkah proaktif sekiranya laptop yang berusia hampir lapan tahun itu padam tanpa isyarat. Ya, begitu.

Alhamdulillah, dengan harga RM2200, saya membeli laptop keempat ini dan seronok saya menggunakannya kerana ciri-ciri baru yang ada padanya.

Semoga dengan adanya laptop ini akan memberi saya lebih ruang untuk berkarya.

In Shaa Allah.

Friday, September 23, 2016

Tempoyak

Asal namanya tempoyak, saya memang suka. Letak dalam budu, gaul dengan sambal atau masuk dalam gulai. Sedapnya! Pada hal emak saya tidak pernah mengajar saya menggemari makanan ini kerana emak tidak suka tempoyak!

Arwah ayah pula memang peminat tempoyak tetapi seingat saya ayah hanya makan sambal tempoyak untuk dicecah dengan ulaman. Jadi tidak pernah ada resepi lain untuk ayah berkaitan tempoyak selain sambal tempoyak.

Tekak dan lidah saya ini pula sangat mudah dilazimi dengan segala macam makanan. Sebab itu saya mudah hidup di mana-mana. Masakan berasaskan tempoyak hanya saya temui semasa belajar di universiti tetapi saya begitu menyukainya sehingga kini.

Hari ini, saya mahu makan gulai udang tempoyak. Resepinya hanyalah sendiri-sendiri hentam. Santan kotak, bawang, lada, serbuk kunyit dan tempoyak saya satukan di dalam periuk dan dikacau di atas api dapur selama sepuluh minit. Siap.

Sedap weh!



Sent from Samsung Mobile

Friday, September 16, 2016

Salman

Dengan ibunya, bonda Asma' saya agak rapat. Sejak kecil dia mendekati saya penuh mulus hingga saya rasa dia ibu saudara saya yang terbaik.

Kini lebih enam tahun bonda Asma' hilang di mata. Pulang ke pangkuan Pencipta. Selama enam tahun itu, jarang saya bertemu anak-anaknya. Rasanya hanya sekali dua dan itu pun tanpa sapaan yang mesra.

Hari ini anak sulung bonda Asma', Salman melangsungkan pernikahan dengan gadis impian hatinya. Majlis berlangsung sederhana di dewan Tanjung Chat. Saya tidak mahu melepas peluang untuk sama-sama meraikan majlis ini.

Ada sebak melingkari ruang hati saat menyaksikan majlis yang indah tetapi tiada bonda Asma' di sini. Saya berilusi sendiri, membayangkan sosok bonda Asma' turut sama berada bersama kami. Saya bagai ternampak-nampak, kerana ini kenduri sulungnya.

Kenyataannya, dia telah tiada.

Dan saya kembali berpijak di bumi nyata.

Semoga roh bonda Asma' dalam rahmat-Nya jua.

Dan buat sepupu saya Salman, walaupun kita bukanlah sepupu yang mesra, tetapi kasih sesama saudara utuh sentiasa. Semoga Allah merahmati rumah tangga yang dibina ini hingga ke syurga.

Amin.


Sent from Samsung Mobile

Tuesday, September 13, 2016

Salam Pengorbanan

Aidiladha tiba lagi. Tepat pada tanggal 10 Zulhijjah 1437 Hijrah bersamaan 12 September 2016, seluruh umat Islam merayakan sambutan Hari raya korban ini dengan penuh rasa kerendahan hati dan mengagumi kebesaran Ilahi.

Kali ini emak dan adik-adik saya pulang beraya di kampung Cabang Dua, Golok. Seawal pagi mereka bertolak untuk bersolat raya di sana.

Saya dan suami seperti biasa hanya meraikannya di sini, di Batu 8 Nilam Puri. Usai solat raya, kami singgah di rumah adik beradik suami saya satu persatu. Kak Zan menyediakan nasi minyak, Kak Ni pula menghidangkan mi kari dan Kak Imah menjamu kami dengan nasi dagang. Sedap-sedap semuanya dan kami kekenyangan. Alhamdulillah.

Korban saya tahun ini diserahkan sepenuhnya kepada adinda ustaz Rifqi untuk menguruskannya di Kampung Cabang Dua. Saya tidak dapat menyertai mereka di sana biar pun keinginan itu ada. In shaa Allah pada kali lain saya akan ke sana juga.

Salam Aidiladha. Salam pengorbanan yang suci buat semua.


Sent from Samsung Mobile

Thursday, September 01, 2016

Marissa Haque

Tiba-tiba nama ini menerjah kembali setelah lama ia sepi dari ingatan. Pelakon terkenal Indonesia pada sekitar lapan puluhan yang sering menggamit saya menonton filem-filemnya.

Entah kerana apa, saya menggelintar tajuk Serpihan Mutiara Retak di Youtube pada Rabu cuti hari Kebangsaan itu, dan saya menonton sehingga selesai. Ada rasa yang tertinggal, sama seperti saat saya menonton filem ini sewaktu ia ke udara di TV Malaysia pada tahun 1990.

Saya tidak berniat untuk menulis ulasan kisah yang mengharukan itu, cuma saya mahu menukilkan minat saya pada Marissa Haque yang menjayakan watak Pratiwi dalam filem itu.

Nanti bila ada masa, saya mahu menonton lagi lakonannya dalam filem Yang Kukuh Yang Runtuh dan juga Tinggal Landas buat Kekasih.


Marissa Haque dan suami, Ikang Fawzy. Gambar sekitar tahun 1986
Marissa Haque sekeluarga, terkini.