Ini kisah semalam. Ahad. 25 September 2016.
Seawal pagi seperti rutin yang selalu, saya tiba di sekolah dihantar suami. Pagi Ahad yang nyaman. Jam 6.47 pagi kad saya dipunch.
Di bilik peperiksaan, saya mula mengatur kerja. Bermula dengan penyediaan jadual relief untuk tujuh orang guru yang tidak hadir hari ini, yang siap sekitar jam lapan, saya meneruskan agenda saya dengan menyiapkan analisis peperiksaan percubaan SPM. Analisis ini perlu siap sebelum tengah hari ini kerana mesyuarat post mortem akan dijalankan tepat jam 2.15 petang.
Pada saat guru-guru lain berkumpul di perhimpunan, saya memaku diri di meja kerja saya, memuat turun segala yang peru dari laman SAPS ke Excel, dan menganalisis dengan teliti. Kerja ini sudah sebati dengan saya dan saya tidak berasa tertekan. Apa lagi sebahagiannya sudah saya siapkan pada Khamis lalu.
Jam 8.40 pagi perhimpunan tamat dan saya mesti bergerak ke kelas. Mujur murid-murid saya meminta untuk menyiapkan soalan percubaan Matematik Tambahan SBP Kertas 1 yang tidak sempat mereka siapkan pada hujung minggu lalu. Dapatlah saya kembali semula ke meja saya dan berjanji untuk kembali semula ke kelas dalam masa setengah jam lagi untuk perbincangan. Seronok saya mengajar mereka, yang sentiasa komited dengan tugasan yang saya berikan.
Analisis saya itu akhirnya siap sempurna pada sekitar jam 12.00 tengah hari. Siap dibind untuk diserahkan kepada tuan Pengetua dan puan PKP, siap juga dicetak untuk diedar kepada para ahli mesyuarat nanti. Alhamdulillah.
Kepala saya mula rasa ketat. Kelas 4IBN saya mohon agar mereka turun ke Pusat Sumber untuk rujukan sendiri. Saya mahu rehat sekejap.
Jam 1.35 tengah hari, kelas saya tamat. Saya membawa diri ke kantin untuk sepinggan mi goreng dan segelas teh o ais. Seterusnya saya kembali ke bilik untuk bersolat sebelum masuk ke bilik mesyuarat.
Tiba-tiba kak Zakiah memberitahu yang saya tidak perlu menyertai mesyuarat itu kerana Pengetua meminta dia dan saya menyiapkan Pelan Strategik untuk dibentang oleh Pengetua esok. Ya, Pengetua perlu melakukan pembentangan tetapi kami yang perlu menyediakan bahan!
Saya akur.
Semuanya memerlukan saya memaku diri kembali di hadapan komputer dan semuanya hanya siap pada jam 5.00 petang. tuhan jua yang tahu betapa penatnya mental saya!
Jam 5.30 petang baru saya tiba di rumah. Usai solat Asar, saya merehatkan diri yang sangat penat ini. Mata sudah tidak mampu lena. Perut pula mula berlagu minta diisi.
Saya ke dapur. Menjerang nasi, dan menyediakan lauk yang ringkas. Sotong rebus, telur masin, ikan bakar, ulam timun dan budu tempoyak.
Selepas Maghrib, saya dan suami menghadap hidangan ringkas itu dengan berselera sekali. Selepas Isyak pula saya memulakan tugas menggosok baju pula. Jam 10.30 saya sudah tidak mampu celik mata lagi. Saya mahu tidur.
Jumpa lagi esok, In Shaa Allah.
No comments:
Post a Comment