Ini komputer riba a.k.a laptop terkini yang saya miliki. Sudah dua bulan saya menggunakannya (dibeli di G-Orange pada 22 Julai lalu) dan prestasinya memberangsangkan.
Sesungguhnya, sudah empat biji laptop menjadi kepunyaan saya sejak 2005. Memang saya mengidamkan laptop sejak di universiti lagi tetapi waktu itu saya tiada kemampuan. Saya hanya memandang sayu rakan-rakan yang diberi ruang memiliki laptop sendiri seperti Rose, Tena dan Zali. Terliurnya usah dicerita. Kerana itu kini, apabila ruang kemampuan diberi Tuhan, saya tidak mahu mensia-siakannya.
Pada Mac 2005, saya membelanjakan lebih RM3000 untuk laptop pertama saya. Jenamanya Acer. Malangnya ia tidak bertahan lama kerana selepas tiga tahun, tengkuknya patah. Mahu menggunakannya perlu disandar pada dinding atau apa-apa sahaja yang mampu menahan tengkuknya dari jatuh ke bawah. Usianya di dalam jagaan saya juga tidak panjang apabila dikebas pencuri pada Disember 2014. Sayang memang sayang, tetapi saya redha. Kejahatan pencuri itu biar Allah sahajalah membalasnya.
Saya membeli laptop kedua saya pada tahun Disember 2008 apabila sudah tidak mampu lagi mencari dinding setiap kali mahu menggunakan laptop. Harganya lebih murah daripada yang pertama iaitu RM2100 sahaja. Jenamanya juga Acer. Saya memang menggunakan laptop itu sepenuh hati dan ia masih elok sehingga kini.
Laptop ketiga sebenarnya hanyalah sebuah netbook yang saya beli pada Januari 2010. Harganya murah sahaja, RM950. Masih lagi saya mengekalkan jenama Acer dan tujuan laptop ini dibeli ialah untuk kegunaan suami saya. Pun, tujuan itu hanya tinggal tujuan dan laptop itu jarang-jarang saya guna dek keupayaannya yang terhad.
Dan dua bulan lepas, saya tergerak hati untuk membeli laptop baru kerana sudah jemu dengan laptop lama. Bukan jemu sahaja alasannya, tetapi lebih kepada meneroka sesuatu yang baharu dan terkini di samping mengambil langkah proaktif sekiranya laptop yang berusia hampir lapan tahun itu padam tanpa isyarat. Ya, begitu.
Alhamdulillah, dengan harga RM2200, saya membeli laptop keempat ini dan seronok saya menggunakannya kerana ciri-ciri baru yang ada padanya.
Semoga dengan adanya laptop ini akan memberi saya lebih ruang untuk berkarya.
In Shaa Allah.
No comments:
Post a Comment