Thursday, December 29, 2016

Perasaan

Oh Tuhan! Bagaimana harus saya mulakan?

Saya tidak sesekali menentangnya, malah saya sendiri memahami dengan penuh keimanan kenapa dan mengapa ia dibenarkan. Saya faham. Saya setuju. Saya redha.

Tetapi dalam banyak keadaan, saya tersentuh hati. Saya sebak kerana ia dijadikan sesuatu yang hodoh oleh orang-orang yang tidak mahu mengerti. Dalam keadaan begini, saya tidak tahu bagaimana mahu menjelaskan.

Poligami.

Jika untuk orang seperti saya, silakanlah berpoligami. Dengan segala kekurangan yang ada pada saya, saya sedikit pun tidak akan menghalang hasrat suami saya jika nanti dia mahu berpoligami. Bukan saya tidak sedih, tetapi saya memahami keperluan itu. Sedih saya tidaklah utama berbanding keperluan di pihak suami saya. Sungguh! Dalam hal saya, saya mahu rasional. Dia suami yang mampu dan saya tidak ragu dengan masa depan saya bersama-samanya. Sembilan belas tahun melalui hidup dengannya, saya yakin dengan keupayaannya.

Malangnya, situasi yang saya lihat berbeza amat. Poligami menjadi suatu kebanggaan untuk dicerita-cerita kepada orang. Entah apa keperluan pun saya tidak nampak. Lebih hodoh apabila mereka mencari isteri yang sudah stabil segala segi. Berduit, berharta dan punya segala maka mereka (lelaki bobrok ini) hanya menumpang segalanya.

Semudah itu.

Agamawan yang bernama lelaki pula bagai tidak mahu mencerahkan kekeruhan. Ya, kerana mereka lelaki dan ada selera juga untuk berpoligami. Adakah dalam kalangan mereka yang membuat kajian di peringkat Master atau PhD tentang berapa banyak lelaki berpoligami yang tidak mampu menjadi adil? Sedang itu syarat utama untuk mereka. Ah! Persetan dengan syarat. Yang penting ia halal. Dibenar Tuhan.

Aduhai!

Saya tidak tahu mahu menceritakan bagaimana. Tetapi tolonglah murnikan poligami ini. Biar ia menjadi suatu kemanisan dan keindahan untuk ramai, dan bukan sesuatu yang dicebik, dipandang serong dan langsung tidak menjadi bahan dakwah. 



Saturday, December 24, 2016

Ubat

Sejak April 2016, saya memulakan pengambilan Visanne Tablet 2 mg seperti saranan doktor untuk merawat fibroid dan cyst saya. Sudah sembilan kotak Visanne berharga RM150 sekotak  itu saya habiskan tanpa cicir.

Seperti biasa, seminggu sebelum tamat kitaran Visanne itu, saya akan menghubungi REHAK (tempat pembelian Visanne di Kelantan) untuk memaklumkan tempahan saya. Ubat ini tidak ditempah banyak kerana permintaannya tidak tinggi, jadi saya perlu memaklumkan lebih awal.

Petugasnya memberitahu stok Visanne sudah ditempah tetapi belum sampai. Beliau meminta saya menelefon kembali sehari dua lagi.

Visanne saya itu akan habis pada Selasa. Rabu malam saya perlu memulakan kotak yang baru.

Pagi Selasa, saya menelefon lagi. Jawapannya, masih tidak sampai. Saya mula resah. Bagaimana ya kalau tidak sampai hingga lusa? Saya akan tercicir pengambilannya dan tentu kesannya akan berbeza.

Sungguhlah. Khamis itu ia masih tiada, dan saya sudah tercicir dua hari. Ada gundah juga dalam diri tetapi saya pujuk hati. Saya bukan bergantung kepada ubat itu. Pergantungan saya hanya kepada Allah. Tentu apa yang saya alami ini adalah aturan Allah, dan saya wajib redha.

Bukan saya menyerah bulat-bulat. Saya sudah menelefon pelbagai farmasi, klinik dan hospital bertanyakan Visanne, tetapi tiada. Hanya di REHAK itulah tempatnya, tetapi tidak juga ada. Apa lagi daya saya? Saya cari juga di online, manalah tahu ada jualan sebegitu tetapi yang ada hanyalah nun di Canada!

Jumaat semalam, jam 4.30 petang, saya mula mengalami pendarahan. Baru dua malam saya tinggalkan ubat itu pendarahan sudah berlaku. Saya cuba tabah walaupun rasa sudah seram sejuk.

Malamnya, dalam ketidakselesaan dan rasa seperti mahu senggugut, saya mengajak suami saya keluar mencari pain-killer di farmasi. Kami ke Rima Dex Wakaf Che Yeh untuk sepuluh biji pil Naproxen Sodium 275 sebagai bekalan jika senggugut saya menyerang. Untuk makan malam, kami singgah di Restoran Batu 4 dalam hujan yang lebat itu, untuk sepinggan Kue Teow Kungfu kegemaran saya dan nasi tom yam untuk suami saya.

Sebelum tidur, saya menelan pil Naproxen Sodium itu sebagai usaha menghilangkan sedikit kesakitan. Semoga Allah mengizinkan.

Alhamdulillah, kesakitan saya berkurang dan pagi ini saya rasa segar. Harapnya senggugut saya tidak datang untuk kali ini, dan harapnya Visanne itu akan tiba di REHAK sehari dua lagi.

Segalanya aturan Allah. Saya tahu itu.

Wednesday, December 21, 2016

Asam Pedas

Dua puluh tahun dulu, November 1996.

Kali pertama kaki saya mencecah tanah Johor. Saya bersama-sama beberapa orang kawan seuniversiti dibawa oleh Zila pulang ke rumahnya di Kg Sungai Bunyi, Pontian untuk memeriahkan majlis pertunangan Zila dan kekasih hatinya, Rohaizat seorang pegawai polis.

Saya memang sentiasa teruja untuk berada di tempat yang belum pernah saya kunjungi. Keluarga Zila sangat peramah dan menyambut kedatangan kami dengan hidangan enak Negeri Johor - Asam Pedas.

Sedap sungguh asam pedas itu. Saya sempat melihat bagaimana asam pedas itu disediakan dan apabila saya kembali ke Kelantan, saya cuba memasak mengikut resipi yang saya lihat di rumah Zila itu.

Saya hidangkan pada ayah. 

"Gulai apa ni?"

Ayah bertanya sebaik melihat asam pedas yang merah pekat itu di atas meja.

"Bukan gulai, ayah. Asam pedas ikan tenggiri.."

Ayah merasa. Nampak macam berselera.

"Sedap! Ayah ingatkan gulai sebab pekat."

Oh! Pujian ayah itu saya ingat sampai hari ini.

Tengah hari ini, saya mengulang kembali masakan asam pedas itu demi menghilang rindu pada kenangan yang ada. Ikan haruan yang Rahimi beri pada Jumaat lalu masih rapi tersimpan dalam peti sejuk. Sudah lima hari ia di situ, hari ini saya mahu melakukan sesuatu agar asam pedas saya menjadi kenyataan.

Jam 11.30 pagi saya ke dapur. Selepas menjerang nasi, saya mula menyediakan bahan untuk asam pedas ikan haruan. Lima biji cili kering, setengah biji bawang besar, dua biji bawang merah dan seulas bawang putih saya kisar bersama-sama sedikit lengkuas, kunyit, halia dan cili padi. Saya panaskan minyak dan tumis bahan kisar tadi sehingga masak.

Apabila sudah garing dan wangi, saya masukkan air dan kacau. Apabila hampir mendidih, saya masukkan asam keping, garam dan gula juga ikan dan terung. Akhir sekali saya letak bunga kantan, daun kesum dan tomato.

Alhamdulillah, suami saya menerima baik masakan saya hari ini. Kami menikmatinya bersama-sama telur itik dadar dan sayur pucuk paku goreng.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tugas

Selama cuti, baru sekali saya ke sekolah iaitu pada Ahad 18 Disember untuk analisis PT3.

Ramai yang ada di sekolah hari itu kerana mereka terlibat dengan Mesyuarat Perancang. Saya terkecuali. Hadir saya hanyalah untuk urusan analisis bersama dengan Puan Noor Hanani.

Apabila Kak Hajah Rohana menyapa saya pagi itu, dia membawa berita baru. Saya ditugaskan untuk menjadi Penolong SU Kurikulum menggantikan Puan Suriana yang diberi tugas sebagai Penolong SU Kokurikulum. Terkedu saya. Tidak terkata apa-apa.

Selesai mereka mesyuarat barulah saya suarakan perasaan saya kepada Kak Zakiah.

Kak, kenapa saya diberi tugas Penolong SU Kurikulum? Saya kan dah sibuk di bahagian Headcount dan Analisis. Tak ada orang lain lagikah untuk tugas ini? Kalau betul nak bagi saya pegang PSU tu, boleh je tapi berilah tugas Headcount ni kepada orang lain. Lagi pun macam pelik je, PSU Kurikulum dan Headcount orang yang sama. 

Itu antara isi rintihan saya kepada Kak Zakiah yang juga Guru Kanan Sains Matematik. Kebetulan Kak Hajah Rohana masuk ke tempat saya pada masa saya merintih-rintih itu.

Kata Kak Hajah Rohana, betul juga tu Ti. Kak Na terlepas pandang. Nantilah, bila guru baru melapor diri nanti, tugas PSU Kurikulum ini akan diberi kepadanya. Ti pegang buat sementara ya!

Lega sedikit sahaja dalam jiwa saya. Saya sudah pun menerima arahan untuk menguruskan Mesyuarat Kurikulum pada 27hb nanti. Saya perlu menyiapkan minit mesyuarat lepas untuk edaran, dan mencatat minit mesyuarat itu nanti. 

Tuhan, bantulah aku!




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, December 20, 2016

Apa?

Dah lama tak bersembang, Cuti sekolah dah nak habis, idea pun tak berapa nak banyak tapi rasa nak menulis. Kita tengoklah apa yang mampu saya sembangkan di sini.

Hujan sedang mencurah-curah di luar jendela. Jam Astro sedang ke angka 13:07, dan saya bersendirian. Suami saya baru sahaja turun untuk bersolat Zohor di Masjid Batu 8, dan kami sudah pun menikmati hidangan tengah hari pada jam 12.40 tadi. Awal, sebab saya lapar.

Jam 10:45 tadi, adik saya Rifqi menelefon. Dia kata rumah ma tiada air jadi nak tumpang mandi kat rumah saya. Saya ok je. Bilik air rumah ini ada empat. Boleh je nak guna mana-mana.

Lama, tak datang-datang. Saya dah tertidur. Kemudian kelaparan. Suami saya tiada, dia keluar mencari barang. tiba-tiba Samsung Galaxy A9 Pro saya berbunyi. Rifqi. Dia kata tak jadi datang sebab semua orang dah ke rumah Husna.

Ok.

Saya masuk dapur, memasak. Singgang daging, goreng ikan kering dan telur dadar. Dekat-dekat nak masak suami saya balik. Terus kami makan dengan berseleranya. Siap makan dia bersiap ke masjid. Saya membaringkan diri di katil, meriba laptop. Sampai sekarang ini lah.

Sembang seterusnya.

30hb November baru-baru ini, saya menunaikan hasrat dan impian saya untuk membeli telefon baru. Di KB Mall, hasrat itu tercapai. Sebuah telefon berjenama Samsung Galaxy A9 Pro berwarna hitam saya beli dengan harga RM1888.  Pada masa yang sama, saya menukar plan saya kepada Celcom First dengan 10GB inernet untuk hari biasa dan 10GB pada hari minggu. Panggilan percuma ke mana-mana talian dan SMS dicaj 20 sen. Nampak amat berbaloi dengan bayaran cuma RM84.80 sebulan berbanding plan saya sebelum ini yang bernilai RM98.00 hanya untuk 3GB internet.

Sembang seterusnya.

Cuti cuma tinggal sebelas hari sahaja lagi. Jujurnya, ada rasa tidak sabar untuk saya kembali ke sekolah. Entah, mungkin saya rindu untuk bekerja agaknya. Lagipun, sekolah saya itu begitu memberi keselesaan buat saya dan saya berdoa agar keselesaan itu berterusan dan saya enggan pindah ke sekolah lain sehinggalah saya pencen. Amin.

Sekian dahulu. Saya mahu solat Zohor.






Friday, December 16, 2016

Drama

Lama benar saya tidak melayan drama tv. Bukan tiada masa, tapi tiada selera.

Apabila terlihat promo Isteri Tuan Ihsan di kaca tv, saya berazam (?) untuk menontonnya sebab drama-drama sebelum ini (Abang Bomba, Suri Hati Mr Pilot, Awak Sangat Nakal dll) saya tidak langsung mengikuti. Hanya tertengok tanpa memahami langsung jalan cerita. Entah, tidak tahu ke mana selera saya pergi.

Pada malam episod pertama drama itu ke udara, saya sudah tertidur. Tak apa, nanti saya tengok ulangannya. 

Episod kedua, saya gagah menunggu. Episod ketiga saya tidur lagi. Episod keempat macam terlepas. (Eh, sekarang dah episod ke berapa ek?)

Benarlah, saya sudah berusia. Tidak lagi tertunggu-tunggu untuk menonton drama bersiri seperti dulu. 

Maaflah Tuan Ihsan. Masa untuk saya berkhayal sudah lama berlalu. Nampaknya melayan tidur itu lebih enak!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, December 13, 2016

Makan

Nampaknya, cuti akhir tahun ini tidak memberi kesempatan untuk saya berlibur bersama suami di mana-mana tempat peranginan. Entah kenapa bagai ada yang tidak kena dengan susun atur jadual kami kali ini.

(Tapi percayalah, saya tidak ralat sedikit pun. Berada di rumah saya, dan sesekali bersantai di rumah ma sebenarnya lebih membahagiakan. Apatah lagi pada cuti-cuti begini adik beradik saya yang berjauhan mula berkumpul di rumah ma. Kesempatan yang boleh dikatakan jarang-jarang ada kerana tanggungjawab mereka tertumpah di negeri orang.)

Dek kekangan yang tercipta sebegitu, maka demi mengisi cuti yang ada ini, saya dan suami mula merangka episod jalan-jalan cari makan kami sendiri. Hanya berkisar di sekitar sini sahajalah nampaknya.

Sabtu baru-baru ini, episod pertama jalan-jalan cari makan kami bermula. Suami membawa saya makan tengah hari di Selera Tepi Sungai, Tanah Merah. Jam 11.00 pagi kami turun, dan tiba di sana sekitar jam 12.00 tengah hari. Sedang elok dengan perut yang sudah mula berbunyi.

Banyak lauk pauk di sini. Semuanya menyelerakan. Saya memilih paru goreng, ayam goreng, asam pedas ikan patin dan sayur lemak nangka. Suami pula mengambil ikan bawal goreng sambal, telur dadar dan sayur campur. Bertemankan air teh o beng untuk suami dan limau nipis ais untuk saya, kami berselera sekali. Harganya cuma RM23.00 sahaja.



Ahad pula, kami keluar berurusan di Bank Muamalat Kok Lanas yang membawa ke tengah hari. Kami mengambil kesempatan untuk makan tengah hari di kedai makan berdekatan Kem Desa Pahlawan yang agak terkenal juga di sini. Nama kedainya saya lupa.

Saya mengambil nasi dengan lauk ikan keli goreng, sambal bilis petai dan sayur terung. Suami pula memilih lauk kegemarannya puyuh bakar, telur dadar dan sayur goreng. Air kelapa menjadi penghilang dahaga kami dan harga yang kami bayar hanyalah RM17.00 sahaja.

Cuti Maulidurrasul menjelang pada Isnin, dan kebetulan suami saya ada jemputan kenduri maka saya memilih untuk berpuasa. Tiada JJCM pada hari ini kerana menu berbuka puasa saya masak sendiri. Daging goreng, ikan selar masak kicap dan sayur goreng sudah mencukupi apatah lagi saya hiasi hidangan saya dengan bubur kacang merah yang dimasak sendiri juga.

Hari ini, Selasa. Sejak pagi saya mengadap peti televisyen menyaksikan upacara pertabalan Agong ke-15. Rencana kami kali ini, jam 11.00 pagi mahu ke Penarik, Setiu untuk menikmati celup tepung di sana. Tidak sempat habis acara pertabalan itu saya saksikan, kerana ICT Penarik memanggil-manggil.




Kami tiba di sana pada jam 12.45 tengah hari. Cuaca panas terik, tekak pun mula dahaga. Tidak banyak yang kami pesan kali ini, cuma dua ekor ikan celup tepung, lapan keping keropok lekor, dua biji cucur udang dan dua gelas air kelapa. Dengan harga RM20.00 kami kekenyangan. Alhamdulillah.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah bersolat Zohor di Masjid Kg. Anak Ikan sebelum meneruskan perjalanan pulang dan singgag pula di Warung Bukit Jawa untuk dua mangkuk mi celup, semangkuk ABC dan segelas air kelapa. Semuanya cuma RM9.50.

Jam 3.55 petang barulah kami tiba di teratak kami, dan sedang mencari-cari idea seterusnya untuk episod JJCM kami ini.

Tuesday, December 06, 2016

Keperibadian

Tuhan telah memberikan saya satu kehidupan yang amat saya senangi. Memiliki hampir kesemua ciri-ciri keperibadian introvert, saya tahu saya tidak akan betah untuk berada dalam keramaian. Maka berada di rumah sendiri memberi saya seribu ketenangan yang tiada di mana-mana.

Pada Ahad dua hari lepas, satu majlis makan laksa diadakan di kedai kopi berdekatan rumah saya. Tentunya saya dan suami dijemput sama. Majlis bermula selepas Zohor dan saya berjalan kaki beriringan berduaan dengan suami menuju ke kedai itu. Tuhan tahu betapa kekoknya saya berada dalam kelompok yang saya tidak biasa. Semangkuk laksa untuk saya habiskan rasanya bagai sebesen! Apatah lagi ramainya lelaki berbanding perempuan di situ. Saya terkebil-kebil, tiada butir bicara untuk saya tuturkan.

Selesai makan, saya bersalam-salaman dan pulang. Terasa lega benar dapat pulang ke rumah menikmati segala yang saya sukai. Pun, di pertengahan jalan, jiran sebelah rumah pula menghulur jemputan. Katanya selepas Zohor esok, jemputlah makan tengah hari di rumahnya. Saya menghulur kesudian.

Tetapi siapa tahu apa ada dalam hati saya? Ah! Mengapa dia menjemput saya? Tidak bolehkah jika menjemput suami saya seorang sahaja? Perasaan tidak tenang itu berlanjutan sehingga ke tengah hari esoknya.

Pun saya akur dengan apa yang saya janjikan. Saya berjalan kaki ke rumahnya untuk makan tengah hari, juga bersama suami. Seperti dijangka, saya kekok dan hanya tahu melempar senyum. Tiada bicara seadanya jua.

Pulang ke rumah, saya lega sungguh.

Mujur hari ini saya tiada apa-apa jemputan lagi. Dapatlah saya menenangkan jiwa dengan aktiviti-aktiviti peribadi di rumah sendiri.

Saturday, December 03, 2016

Majlis

Jumaat, 2 Disember 2016.

Hujan masih mencurah-mencurah sejak pagi lagi. Sejuk mencengkam ke seluruh tubuh. Saat azan Subuh berkumandang, mata saya masih mahu memejam.

Pun demi sebuah tanggungjawab, saya bingkas juga. Banyak perancangan yang sudah disusun untuk hari ini. Semuanya perlu diselesaikan seperti yang dirancang agar tiada hati yang bakal terluka.

Sepagi hari ini saya hanya menyelesaikan tugasan rumah tangga. Selesai sarapan saya membasuh kain, mengemas rumah dan mencuci bilik-bilik air. Dek tengah hari nanti kami akan memenuhi jemputan kenduri di rumah sepupu suami saya di Repek, Pasir Mas, maka saya hanya menyediakan mihun goreng untuk mengalas perut sebelum suami turun solat Jumaat.

Jam 2.15 petang, kami bergerak ke sana. Alhamdulillah tiada kesesakan dan hujan juga sudah berhenti. Majlis berlangsung sederhana dan kami selesai sekitar jam 3.30 petang. Suami saya akan ke Rantau Panjang untuk menjemput saudara-saudara kami dari Golok yang akan bermalam di rumah ma sebelum bergerak ke Besut untuk majlis pernikahan Fattah esok. Maka saya pulang menumpang kereta Kak Zan.

Segalanya cemerlang, Alhamdulillah. Jam 6.05 petang suami saya tiba di rumah ma bersama-sama Pak Ngah, Mak Ngah, Kak Shamsiah, Kak Faridah, Munirah dan anaknya Hambali. 

Sabtu, 3 Disember 2016.

Masih lagi hujan membasahi bumi, tetapi agenda yang diatur tetap akan kami cuba penuhi. 

Jam 8.15 pagi kami bergerak ke rumah ma dan jam 9.15 pagi kami bertolak ke Kampung Lak Lok, Besut, Terngganu untuk menghadiri majlis pernikahan Abdul Fattah bin Jusoh, sepupu kami yang baru berusia 24 tahun itu. Perjalanan sangat damai, walaupun saya sedikit kepeningan. Jam 10.15 kami tiba di Masjid Kampung Lak Lok dan acara akad nikah berlangsung sekitar jam 10.45 pagi.




Selamat Pengantin Baru.

Jam 12.00 kami berarak ke rumah pengantin, dan selsai menikmati santapan tengah hari, kami bertolak pulang pada jam 1.15 tengah hari. Sekitar 2.20 petang, kami tiba di rumah ma.

Saya pulang bersolat Zohor di rumah. Mata saya sudah layu dan kantuk mula menyapa. Jam 3.45 petang, saya tidur dengan lenanya hingga tidak sedar langsung suami saya keluar ke masjid untuk solat Asar. Jam 5.15 petang suami saya pulang, barulah saya terjaga. Aduhai! Nikmat sungguh saya melayan tidur dek kepeningan dan kepenatan agaknya!

Malam ini, suami saya ada jemputan. Saya meneruskan acara saya sendiri-sendiri dan bakal menanti ketibaan esok hari dalam debar dan harap yang tiada berkesudahan.