Dua puluh tahun dulu, November 1996.
Kali pertama kaki saya mencecah tanah Johor. Saya bersama-sama beberapa orang kawan seuniversiti dibawa oleh Zila pulang ke rumahnya di Kg Sungai Bunyi, Pontian untuk memeriahkan majlis pertunangan Zila dan kekasih hatinya, Rohaizat seorang pegawai polis.
Saya memang sentiasa teruja untuk berada di tempat yang belum pernah saya kunjungi. Keluarga Zila sangat peramah dan menyambut kedatangan kami dengan hidangan enak Negeri Johor - Asam Pedas.
Sedap sungguh asam pedas itu. Saya sempat melihat bagaimana asam pedas itu disediakan dan apabila saya kembali ke Kelantan, saya cuba memasak mengikut resipi yang saya lihat di rumah Zila itu.
Saya hidangkan pada ayah.
"Gulai apa ni?"
Ayah bertanya sebaik melihat asam pedas yang merah pekat itu di atas meja.
"Bukan gulai, ayah. Asam pedas ikan tenggiri.."
Ayah merasa. Nampak macam berselera.
"Sedap! Ayah ingatkan gulai sebab pekat."
Oh! Pujian ayah itu saya ingat sampai hari ini.
Tengah hari ini, saya mengulang kembali masakan asam pedas itu demi menghilang rindu pada kenangan yang ada. Ikan haruan yang Rahimi beri pada Jumaat lalu masih rapi tersimpan dalam peti sejuk. Sudah lima hari ia di situ, hari ini saya mahu melakukan sesuatu agar asam pedas saya menjadi kenyataan.
Jam 11.30 pagi saya ke dapur. Selepas menjerang nasi, saya mula menyediakan bahan untuk asam pedas ikan haruan. Lima biji cili kering, setengah biji bawang besar, dua biji bawang merah dan seulas bawang putih saya kisar bersama-sama sedikit lengkuas, kunyit, halia dan cili padi. Saya panaskan minyak dan tumis bahan kisar tadi sehingga masak.
Apabila sudah garing dan wangi, saya masukkan air dan kacau. Apabila hampir mendidih, saya masukkan asam keping, garam dan gula juga ikan dan terung. Akhir sekali saya letak bunga kantan, daun kesum dan tomato.
Alhamdulillah, suami saya menerima baik masakan saya hari ini. Kami menikmatinya bersama-sama telur itik dadar dan sayur pucuk paku goreng.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment