Saturday, December 24, 2016

Ubat

Sejak April 2016, saya memulakan pengambilan Visanne Tablet 2 mg seperti saranan doktor untuk merawat fibroid dan cyst saya. Sudah sembilan kotak Visanne berharga RM150 sekotak  itu saya habiskan tanpa cicir.

Seperti biasa, seminggu sebelum tamat kitaran Visanne itu, saya akan menghubungi REHAK (tempat pembelian Visanne di Kelantan) untuk memaklumkan tempahan saya. Ubat ini tidak ditempah banyak kerana permintaannya tidak tinggi, jadi saya perlu memaklumkan lebih awal.

Petugasnya memberitahu stok Visanne sudah ditempah tetapi belum sampai. Beliau meminta saya menelefon kembali sehari dua lagi.

Visanne saya itu akan habis pada Selasa. Rabu malam saya perlu memulakan kotak yang baru.

Pagi Selasa, saya menelefon lagi. Jawapannya, masih tidak sampai. Saya mula resah. Bagaimana ya kalau tidak sampai hingga lusa? Saya akan tercicir pengambilannya dan tentu kesannya akan berbeza.

Sungguhlah. Khamis itu ia masih tiada, dan saya sudah tercicir dua hari. Ada gundah juga dalam diri tetapi saya pujuk hati. Saya bukan bergantung kepada ubat itu. Pergantungan saya hanya kepada Allah. Tentu apa yang saya alami ini adalah aturan Allah, dan saya wajib redha.

Bukan saya menyerah bulat-bulat. Saya sudah menelefon pelbagai farmasi, klinik dan hospital bertanyakan Visanne, tetapi tiada. Hanya di REHAK itulah tempatnya, tetapi tidak juga ada. Apa lagi daya saya? Saya cari juga di online, manalah tahu ada jualan sebegitu tetapi yang ada hanyalah nun di Canada!

Jumaat semalam, jam 4.30 petang, saya mula mengalami pendarahan. Baru dua malam saya tinggalkan ubat itu pendarahan sudah berlaku. Saya cuba tabah walaupun rasa sudah seram sejuk.

Malamnya, dalam ketidakselesaan dan rasa seperti mahu senggugut, saya mengajak suami saya keluar mencari pain-killer di farmasi. Kami ke Rima Dex Wakaf Che Yeh untuk sepuluh biji pil Naproxen Sodium 275 sebagai bekalan jika senggugut saya menyerang. Untuk makan malam, kami singgah di Restoran Batu 4 dalam hujan yang lebat itu, untuk sepinggan Kue Teow Kungfu kegemaran saya dan nasi tom yam untuk suami saya.

Sebelum tidur, saya menelan pil Naproxen Sodium itu sebagai usaha menghilangkan sedikit kesakitan. Semoga Allah mengizinkan.

Alhamdulillah, kesakitan saya berkurang dan pagi ini saya rasa segar. Harapnya senggugut saya tidak datang untuk kali ini, dan harapnya Visanne itu akan tiba di REHAK sehari dua lagi.

Segalanya aturan Allah. Saya tahu itu.

5 comments:

  1. Saya baru sebulan mkn vissane..sekarang ada darah dah 7 hari..tak byk sgt tapi ada..risau jugak..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada kesan sampingan tak semasa mkn vissane. Saya baru start makan mlm ni. Doc suruh saya mkn sbb saya ada cyst.

      Delete
    2. Mcm mna dgn cyst awk slpas ambik visanne ni? Ada perubahan Tak?

      Delete
  2. betul ke bila ambil vissane berat bdn naik n rasa loya2?

    ReplyDelete
  3. Boleh x share keadaan semasa & selepas amik visanne. Sy dh hari yg ke21 still bleeding.

    ReplyDelete