Sunday, December 31, 2017

Warna Warni 2017

2017 - tahun keempat puluh lima saya menghuni dunia - berakhir hari ini. Esok, menjelmalah 2018 yang masih misteri tetapi penuh dengan pengharapan. Pengharapan yang indah-indah tentunya. Agar warna dunia kembali ceria.

Bermula 2017 dengan kehadiran Huda Hana, si kembar comel anugerah terindah buat Ismah dan Ridhwan. 
Huda Hana pada 3 Januari 2017
Huda Hana pada 21 Disember 2017
Pahit manis 2017 berterusan dan kami menempuhnya dengan kuat dan tabah, dengan hati penuh redha.

Pada 20 Februari 2017, sepupu kami Rosdi b Lodin meninggal dunia secara mengejut di kediamannya di Panji.

Kami juga kehilangan bapa saudara yang amat dikasihi, Dr Jusoh Kadir yang meninggal di rumahnya di Kajang pada 18 Mac 2017. Semoga Allah merahmati roh mereka berdua.

Pada 8 November 2017, saya diwadkan selama tiga malam kerana hempedu bengkak. Alhamdulillah tiada apa-apa yang membimbangkan dan saya kembali pulih selepas diberi antibiotik.

Di wad kecemasan
Suami setia menemani di wad 3 Utara katil 4


















Pada tahun ini juga, saya ke luar negara sebanyak tiga kali. Dua kali ke Thailand dan sekali ke Arab Saudi.






Menaiki bot di Krabi, 30 Januari 2017





Di rumah Ayah Mat di Kampung tualang, 15 April 2017


Menunaikan umrah dari 4 hingga 14 Disember 2017


Sempat bertemu Ustaz Rifqi, Zahidah, Amin dan keluarga di Masjid Nabawi pada pagi 7 Disember 2017


















































Percutian dalam negara juga tidak terkecuali. Bersama teman-teman sekerja juga keluarga.

Di Villa Daniella, bersama rakan guru berkursus dan bersantai-santai, 4-5 Ogos 2017
Di Cameron Highland, 13-14 Oktober 2017

Bercuti bersama suami tersayang di Terengganu, 15 September 2017
Begitu catatan hidup. Semoga dalam redha Allah selalu.


Friday, December 29, 2017

Sakan

Empat hari tiga malam suami saya bercuti ke Bangkok maka tiga hari empat malam jugalah saya berada di rumah emak.

Ya, saya balik kampung. Bukan mudah nak dapat peluang macam ni!

Bermula Isnin 25 Disember, jam 6.45 pagi suami saya menghantar saya ke rumah emak sebelum dia bergerak ke Bangkok pada jam 8.00 pagi dari YKK Padang Kala menaiki bas ke Sungai Golok. Kak Nurul Afiqah, anak saudara kami yang comel itu ditemani adiknya Husna Adilah bermurah hati menghantar suami saya.

Di rumah emak, saya melayan jiwa yang tenteram. Walaupun batuk saya masih amat mengganggu terutama waktu tidur malam, saya tetap ceria dan bahagia di sisi emak dan adik-adik dan anak-anak saudara. Tentu kebahagiaan akan berganda jika adik-adik yang berada di perantauan ada bersama. Apa kan daya, mereka sudah pulang ke tempat masing-masing demi tugas. Semoga Allah memberkati.

Isnin itu, hanya Aziah dan Muiz yang ada bersama. Kami ke G-Orange Mall pada tengah hari untuk KFC dan Pizza Hut. Malamnya, Muiz bermalam di sini.

Selasa barulah keluarga Husna memeriahi. Sekali lagi kami ke G-Orange Mall untuk KFC dan Pizza Hut. Tetapi malamnya, semua pulang ke rumah masing-masing tinggalkan umi ti sahaja menemani tok ma.

Rabu, paginya kami ke Jelawat menziarah dan selepas Zohor saya keluar dengan Elyn dan kawan-kawan untuk melawat kematian ayahanda Yana di Selising. Jam 6.10 petang baru saya tiba di rumah ma semula.

Khamis, palinglah meriah. Aziah dan Husna kedua-duanya ke sekolah dan anak-anak ditinggal di rumah ma. Alah, bukan ganas sangat pun mereka ini. Umi ti masih sempat lena lagi dalam kebisingan mereka.

Sebenarnya hari ini saya sendiri pun diarahkan ke sekolah untuk pendaftaran. Tetapi saya malas. Saya kecualikan diri sendiri dan bersantaian sahaja di rumah ma. 

Jam 10 malam barulah suami saya sampai dan saya pun pulanglah ke rumah kami di Chenok.

Sekian.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, December 21, 2017

Ujian Ini

Demam dan batuk yang teruk begini, sungguh menguji. Mujur juga ia berlaku sepulang dari umrah, sesudah berada di rumah. Tidaklah terganggu ibadah saya di sana. Alhamdulillah. 

Sebelum berangkat ke tanah suci, saya diuji dengan pendarahan yang tidak mahu berhenti. Tidaklah banyak tetapi sentiasa ada dan saya gusar sungguh. Temujanji di klinik O&G saya mohon percepatkan tarikh tetapi mereka tidak melayan juga. Geram berbaur sedih, memberi saya kekuatan untuk bertindak sendiri. 

Asalnya, saya mengambil Visanne tetapi baru-baru ini doktor menukar kepada Provera kerana pendarahan yang tidak mahu berhenti itu. Lama-lama tidak menjadi juga, saya putuskan untuk kembali kepada Visanne walaupun tanpa nasihat doktor. Kebetulan masih ada bekalan Visanne dalam simpanan saya.

Bermula 29 November, saya hentikan Provera dan mulakan Visanne. Alhamdulillah Allah mengizinkan pendarahan saya berkurang walaupun tidak berhenti sepenuhnya. Selama di tanah suci, saya dapat bersolat dan berumrah dengan selesa kerana pendarahan berlaku sekali sekala sahaja. Ya Allah, syukur pada-Mu!

Bermula Rabu 14 Disember, iaitu hari perjalanan pulang ke Malaysia, saya diserang batuk dan sakit tekak. Tiba di Malaysia, saya demam.

Sungguh teruji lagi tetapi saya mahu redha sentiasa. Apalah ujian ini selain untuk menyucikan dosa. Demam mujurlah tidak melarat, cuma batuk yang menjadi-jadi sampai tidak lena tidur malam. Sakitnya batuk hingga ke kepala dan perut. 

Semalam saya bermesyuarat guru di Hotel Reinassance dalam keadaan yang sangat tidak stabil kerana semalaman tidur terganggu dek batuk yang teruk. Pulang sahaja ke rumah, saya tidur sahaja walaupun tidak berapa lena.

Kawan-kawan menegur badan saya kelihatan kurus. Ya, saya kehilangan berat badan sebanyak 4 kg sejak pulang dari tanah suci. Harap-harap akan berkurang lagu sehingga 10 kg!

Semoga selepas ini saya kembali sihat untuk meneruskan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, December 17, 2017

Berbeza

Alhamdulillah, Allah mengizinkan saya dan suami berumrah lagi. Kali ini bersembilan, dan masih memilih Al-Quds sebagai agensi kami.

Panjang dan meletihkan, perjalanan kami kali ini nian berbeza berbanding sebelum ini. Terpaksa bermalam di lapangan terbang pergi dan pulang, memakan banyak tenaga dan masa. Begitu pun, Alhamdulillah tiada sebarang rungutan yang kedengaran dari kalangan 41 orang ahli rombongan kami.

Mutawwif kami kali ini ialah Ustaz Adni, seorang yang sangat lembut dan berhati-hati. Segalanya berlangsung baik dan lancar dengan kerjasama erat setiap ahli jemaah umrah ini.

4 Disember 2017
Kami tiba di lapangan terbang Madinah pada jam sekitar 12.00 tengah hari waktu Arab Saudi. Selesai urusan, kami bersolat Zohor di surau di situ. Kami seterusnya dibawa ke hotel menaiki bas dan selamat tiba pada jam 3.00 petang di Hotel Al-Salihiyya yang cuma 100 meter dari masjid Nabawi.

Sempatlah ahli rombongan menunaikan solat Asar di Masjid Nabawi.

Hotel ini sangat bagus dari segi bilik dan jarak ke masjid, tetapi bersesak-sesak pula di lif dan di restoran. Itu cabaran yang terpaksa kami akur dan sabar. Alhamdulillah kami mampu melaluinya dengan baik.

7 Disember 2017
Kami bergerak ke Mekah pada jam 2.45 petang. Seperti selalu, singgah di Bir Ali untuk berniat dan singgah pula di RnR untuk solat dan makan. Jam menghampiri 10 malam barulah kami tiba di hotel Anjum, tempat penginapan kami kali ini.

Hotel Anjum cukup indah dan selesa, tetapi berjalan kaki ke Masjidilharam dari sini memakan masa 10-12 minit. Urusan umrah pertama kami selesaikan hari ini dengan lancar dan siap pada jam 3.30 pagi. Saya gagahkan diri untuk bersolat Subuh di Masjidilharam pada pagi itu walaupun mata mengantuk dan kaki sakit. Selesai sarapan barulah saya melayan tidur hingga tengah hari.

Sabtu 9 Disember, lawatan ke Taif saya tidak turut serta kerana mahu berehat. 

Ahad 10 Disember kami dibawa ke Tanaim untuk umrah kedua.

Isnin 11 Disember lawatan ke Jabal Rahmah dan manasik haji.

Selasa 12 Disember lawatan ke Hudaibiyah dan saya tidal menyertai.

Rabu 13 Disember kami bersedia untuk pulang.

Semoga ada lagi ruang untuk kami kembali.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, December 15, 2017

Kami Pulang

Perjalanan yang sangat panjang, dan meletihkan. Dihitung-hitung, ia berlangsung hampir 30 jam. Bermula 2.00 petang waktu Mekah dan tamat pada 1.30 pagi esoknya waktu Malaysia.

Mutawif kami meminta kami melakukan tawaf wadak selepas usai makan tengah hari. Dia mahu kami selesaikan enam pusingan dahulu, kemudian berhenti untuk bersolat Asar dan menyambung kembali pusingan terakhir selepas itu. Dan kami tidak lagi dibenarkan naik ke bilik hotel tetapi perlu menunggu di lobi untuk menaiki bas ke Jeddah.

Jam 5.20 petang, bas kami tiba. Bertolaklah kami ke Jeddah dan saya sudah mula tidak selesa. Tekak sakit dan batuk pun mula menyapa.

Jam 6.30, kami berhenti di Masjid Qisas untuk solat Maghrib dan Isyak secara jamak qasar. Lama juga di sini kerana mutawif kami mahu berjemaah Isyak. Kami yang perempuan ini hanya berlegar-legar di sekitar melihat keindahan latar belakang masjid ini. Menurut mutawif kami, di sinilah jasad Hawa dipercayai dikebumikan.

Seterusnya kami dibawa ke restoran untuk makan malam. Mata saya terlalu mengantuk kerana menelan ubat selesema di atas bas tadi. Makan pun tidak sebanyak mana kerana selera merudum.

Kami tiba di lapangan terbang Jeddah sekitar 11.00 malam. Penerbangan kami ialah pada jam 5 pagi. Lapangan terbang ini sangat sesak dan kekurangan tempat duduk. Bayangkan bagaimana sukarnya kami mencari ruang untuk melenakan diri sementara waktu berlepas tiba. Di KLIA mungkin lebih selesa.

Alhamdulillah, walaupun penat dan kurang sihat, kumpulan kami kuat menempuh perjalanan ini.

Sepanjang penerbangan, saya hanya tidur. Tekak saya perit dan berkahak, dan batuk semakin menjadi-jadi.

Jam 6.45 petang waktu Malaysia, kami selamat mendarat di KLIA. Menunggu beg sahaja makan masa berjam-jam dan kami bergerak untuk check in pada jam 9.10 malam.

Jam 10.30, kami terbang pulang ke Kota Bharu dan tiba pada 11.25 malam. Kami bersolat jamak di surau di situ dan pulang menaiki 4 buah kereta yang setia menanti kami.

Tiba di rumah kak Zan, kami dijamu dengan mihun goreng dan sate. Saya memang lapar kerana tidak lalu makan di atas kapal terbang tadi. Mihun sedap, tetapi saya tidak mampu makan banyak kerana selera kurang.

Jam 2.00 pagi barulah saya tiba di teratak Chenok dan merebahkan badan untuk tidur. Jam digera pada 5.45 pagi, dan kali ini saya perlu berhati-hati agar tidak terbabas. 

Alhamdulillah, demi mendengar deringan jam saya terus mengejut suami untuk ke masjid. Saya sendiri bergegas bangun walaupun beratnya mata mahu celik.

Usai Subuh, saya menyambung kembali tidur sehingga 11.00 pagi.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, December 03, 2017

Airport

Nampaknya, termangu kami di sini malam ini. Di KLIA menantikan penerbangan KUL-MED jam lapan pagi esok. Mahu tidur, tetapi mencari keselesaan agak sukar di sini. 

Jam 1.25 tengah hari tadi, perjalanan saya dan suami bermula. Kami turun dari rumah kami di Chenok menuju ke kampung kami di Batu 8. Di sana, tujuh orang lagi ahli rombongan umrah kami menunggu. Jam 2.15 petang, kami bergerak ke airport KB. Memang awal, tetapi begitu yang suami saya mahu. Penerbangan kami jam 6.35 petang dan kami tiba jam 3.00 petang.

Ikutkan saya, saya mahu tiba sekitar 4 petang, tetapi suami saya risau kalau-kalau sesak jalan raya menyebabkan kami tiba lebih lewat. Pada hal, mutawwif kami dan petugas Al-Quds hanya tiba pada jam 5 petang.

Penerbangan kami baik-baik sahaja. Jam 7.50 sudah tiba di KLIA2. Menaiki transit, kami menuju ke KLIA untuk menanti di sana pula.

Jam 9.00 malam baru kami tiba di Anjung Tinjau aras 5 KLIA. Surau ada berdekatan, luas dan selesa tetapi ditutup pada jam 10.00. Terpaksalah kami melepak di kerusi-kerusi di sekitar situ untuk mencari lena.

Cabaran kali ini kelihatan berbeza daripada tiga kali yang pernah saya lalui sebelum ini. Haji 2010, saya menanti di airport Kuala Terengganu dari jam 11.30 pagi hingga 4.00 petang untuk pendaftaran. Penerbangan KT-MED yang kami naiki berlepas pada jam 9.45 malam.

Umrah Jun 2013 bersama emak, lebih pantas. Kami turun sebelum Subuh ke airport KB untuk penerbangan 6.35 pagi ke KL. Dan sebentar sahaja di KL, kami terbang ke Madinah pada jam 10.00 pagi.

Disember 2014, kami bertolak jam 12 tengah hari dari KB ke KL dan terbang ke Jeddah pada jam 6.00 petang.

Semuanya memberi rasa yang berlainan, dan jujurnya saya menyukai rasa yang begini. Walaupun di sini malam ini tiada keselesaan, tetap saya mampu mencari ketenangan.

Alhamdulillah. 





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Kembara

Lagi
Kembara ini berulang

Dan lagi 
Akan terus berulang

Sampai matiku datang
Aku ingin mengulang-ulang

Mencari yang hilang
Memburu yang enggan pulang

Kembara ini
Biar berulang-ulang
Aku tidak pernah mahu membilang

Nanti bila pulang
Akan aku ulang setiap kenangan
Dalam kembara panjang
Di medan juang
Sebuah perjalanan kehidupan



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, December 01, 2017

Tiba Disember

Tiba Disember
Masih di sisi sebuah perjalanan
Belum mahu berhenti

Tiba Disember
Masih menghitung sejuta perasaan
Belum mahu mengerti

Sungguh perjalanan ini
Anugerah yang tidak tersia

Juga perasaan ini
Peneman nurani yang setia

Nanti
Akan berakhir jua
Menuju-Nya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, November 30, 2017

Semua

Sekian tahun, musim tengkujuh hadir menyelimuti sekalian rakyat negeri kami dengan membawa pelbagai rasa. Ada gundah menantinya. Ada resah dan risau. Banjir kini menjadi suatu mimpi ngeri yang ingin dihindari. 

Sejak hari pertama cuti sekolah Jumaat 24 November lalu, hujan belum lagi mahu meminggir. Hari ini barulah kelihatan sinar sang mentari yang masih malu-malu menyapa bumi, pun seketika sahaja. Selebihnya walaupun tanpa hujan ialah mendung dan kesejukan.

Semuanya itu adalah rahmat dari Tuhan. Dalam hujan yang lebat menyiram, huluran doa jangan diabaikan. Memohon dan meminta hanyalah kepada Dia. Setiap masa. Dalam apa jua suasana.

Adinda saya Rifqi bersama-sama isteri Siti Zainab, anak sulungnya Muhammad Amin, ibu mentuanya Siti Rukiah dan adik bongsu kesayangan kami Zahidah semalam bertolak ke Kuala Lumpur untuk mengikuti rombongan Kembara Umrah JDT menuju ke Tanah Suci.

Rancangnya penerbangan mereka ke Jeddah ialah pada jam 1.00 tengah hari ini tetapi dek masalah yang di luar jangka, penerbangan mereka tertunda sehari.

Begitu, rancangan dan ketetapan boleh sahaja terpisah keduanya. Hikmah tetap ada, percayalah. Mereka diberi penginapan hotel oleh pihak agensi untuk satu malam sementara menunggu esok. Semoga tabah dan tenang-tenang semuanya.

Ahad nanti giliran saya, suami dan tujuh lagi ahli keluarga yang akan bertolak ke tanah suci juga. Ada debar, tetapi penuh harap. Semoga kami diterima dan dipermudahkan. Amin.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, November 23, 2017

Gedebuk!

Gedebuk!

Dalam hujan renyai-renyai, aku dan suami berpulang ke rumah pada hari akhir persekolahan ini. Sebenarnya aku dari rumah emak, pulangku dari sekolah tadi menumpang ustazah Siti yang tinggal di Tunjung kerana suamiku bermesyuarat. Sempatlah aku bermesraan dengan emak dan menemani Sufi dan Nasih yang demam sebelum suamiku tiba menjemputku pada jam 4.05 petang.

Sebaik pintu pagar dibuka, tiba-tiba langkah yang kuatur tersalah laluan, kakiku tersadung dan gedebuk!

Aku jatuh di halaman rumahku sendiri. Dengan beg laptop di tangan kiri, kunci dan surat di tangan kanan, tentu gagal kuimbangi badanku apabila kaki tergelincir begitu.

Lutut kiriku luka, kakiku sakit, jalanku jongkang jongkit. Menjelang malam, sakit kaki kananku bertambah-tambah. Berdenyut-denyut.

Suami mahu membawaku ke klinik. Ah tidak! Aku mahu rehat di rumah sahaja. Tramadol HCL 50mg dari HUSM itu masih kupunya. Tentu ia berguna kala-kala begini. 

Benarlah, malang itu baunya tidak pernah ada. Teruji dengan rasa begini, insaflah aku seketika. Betapa jika Tuhan mentakdirkannya, tiadalah daya aku menolaknya.

Mudah-mudahan ia menjadi penghapus dosa.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Pertandingan

Peperiksaan kini sudah menjadi satu pertandingan, bukan lagi kayu ukur pencapaian. Nilainya sudah dimaterialkan, setaraf dengan peraduan yang ada menang dan kalah.

Yang cemerlang dirai umpama pemenang dan yang kurang cemerlang menangis dalam rasa kekalahan.

Bukankah ujian itu untuk mengukur prestasi murid-murid sahaja? Jika cemerlang akademik, teruslah melangkah menuju arah bidang yang diminati. Jika kurang cemerlang pun, masih banyak bidang untuk diterokai selain akademik. Lemah akademik tetapi cemerlang kemahiran lain tentunya sesuatu yang perlu dibanggakan juga. Bidang fesyen, elektronik, mekanik, kulinari, muzik, senilukis, dan pelbagai lagi perlu ada ahlinya juga. Bukan hanya doktor, jurutera, peguam, akauntan dan arkitek sahaja yang negara kita perlukan.

Didiklah anak-anak kita tentang dunia yang luas dengan kepelbagaian kerjaya. Cungkillah minat dan bakat mereka supaya hala tuju pendidikan mereka sesuai dengan keupayaan yang ada.

Beritahu mereka, upsr itu kepentingannya tidak setinggi keindahan akhlak dan budi pekerti. Ia ujian pencapaian sekolah rendah, dan jika tidak cemerlang pun kalian masih boleh melangkah meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya dengan pilihan yang pelbagai. Bukan hanya sbp dan mrsm menjadi tempat kalian memahami asas kehidupan yang penuh dengan jutaan ranjau ini. Yang lebih penting ialah bagaimana kalian menjaga keimanan dan memupuk kekuatan jiwa, tidak kira di ceruk rantau mana pun kalian belajar. Tidak kira bidang akademik atau bidang kemahiran.

Ini tidak. Seawal usia belasan tahun mereka ditekan untuk satu kecemerlangan yang kadang-kadang tidak asli pun. A yang mereka miliki terhasil kerana mereka diminta bertungkus lumus melakukan pelbagai latihan soalan ramalan, teknik menjawab dan kaedah-kaedah lain dan bukan pemahaman konsep dan aplikasi ilmu dalam kehidupan seharian. Tiba di peringkat yang lebih tinggi, mereka semakin terkial-kial untuk terus cemerlang kerana A yang mereka bawa dari upsr bukan A tulen.

Itu yang saya khuatir. Sungguh!

Saya guru di sekolah menengah yang sering berhadapan dengan fenomena murid yang mendapat A lurus dalam upsr tetapi konsep asas matematik pun tidak kukuh. Dari mana datangnya A itu? Musykil juga. Di tingkatan lima, mereka masih perlu diasuh untuk memahami konsep pecahan, perpuluhan, integer, luas, perimeter pada hal itu asas yang dipelajari di sekolah rendah dan mereka lulus gred A dalam Matematik. Pelik?

Bukan mahu bersangka-sangka, tetapi kita sudah ketepikan banyak nilai murni dan integriti demi sebuah kemenangan dalam pertandingan peperiksaan. Kita jadikan A sebagai matlamat, pada hal ilmu bukan diukur dalam masa dua jam menjawab soalan di dewan.

Allahu a'lam.

Begini

Sejuk cuaca pagi ini, mengiringi kami para guru ke hari terakhir persekolahan 2017. 

Jam 6.49 pagi, kad saya diketik. Urusan pertama seperti biasa, menyediakan jadual ganti walaupun hari ini rasanya jadual itu akan diketepi. Murid-murid kelihatan tidak seramai mana yang hadir. Mungkin faktor cuaca dan juga faktor hari terakhir persekolahan.

Perhimpunan pagi berlangsung damai. Murid-murid diberi aktiviti menguruskan kelas dan guru-guru sibuk menyelesaikan tugasan akhir.

Saya meneliti SAPS kerana hari ini akhirnya. Masih berbaki tiga orang guru yang belum menyelesaikan kemasukan markah. Talian SAPS juga bermasalah hari ini. Lambat dan menyakitkan hati. Saya malas peduli. Mujur sempat juga saya membuat pengesahan markah dan memproses analisis. Untuk mencetak, biarlah dahulu. Tunggu talian terang nanti saya akan melakukannya.

Tiba-tiba ramai pula guru datang meminta bantuan untuk memasukkan program I Think ke pen drive dan CD mereka. Kebetulan semalam saya sudah memasukkan aplikasi itu ke komputer peribadi saya dengan menggunakan CD tuan GC selaku penyelaras I Think. Jadinya, Tuan GC meminta guru-guru lain menyalin daripada komputer saya. Semudah itu Tuan GC itu bekerja. Tahniah dan syabas.

Sebentar lagi taklimatnya akan diadakan. Saya hanya menanti.

Hari terakhir ini saya mahu tenangkan hati. Saya malas memikir yang bukan-bukan kerana saya saya mahu ketenangan jiwa dan fikiran. Pulang nanti saya mahu ke rumah ma kerana suami saya ada mesyuarat di sekolahnya. Saya sudah memberitahu Ustazah Siti Meriam untuk menumpang keretanya.

Semoga cuti nanti saya baik-baik sahaja.

Monday, November 20, 2017

Menghargai

Adinda Aziah
Adinda Husna
Sendirian emak di rumah, tidaklah bermakna emak sendirian benar. Ada tiga anak perempuan emak yang tinggal berhampiran. Saya paling dekat, cuma tiga minit perjalanan dengan kereta. Mahu jalan kaki pun boleh, tetapi mungkin memerlukan dua puluh minit masa dan tentunya saya tidak mampu melakukan itu. 

Dua lagi adik saya, Aziah di Beta Hilir dan Husna di Nilam Baru. Jarak rumah mereka ke rumah emak rasanya dalam lima ke sepuluh minit perjalanan dengan kereta.

Pun sayalah yang paling jarang mengunjungi emak. Saya sedar itu kerana saya memerlukan suami sebagai pemandu untuk ke sana. Itu kerugian yang sampai kini saya masih tidak berdaya mengatasi. Sedang Aziah dan Husna selesa bergerak sendiri ke sana tanpa perlu dihantar suami.

Lalu apabila emak mahu ke mana-mana, sayalah pilihan terakhir untuk emak memohon pertolongan. Rugi, bukan? Ya, sangat rugi tetapi apalah daya saya yang ada kerana kekurangan yang satu itu belum mampu saya atasi.

Jadi saya amat bersyukur kerana Allah meletakkan Aziah dan Husna kembali bertugas di negeri Kelantan ini sejak lima tahun lalu. Sekurang-kurangnya emak ada pilihan. Dan saya sungguh menghargai kedua-dua adinda saya yang begitu banyak berjasa ini. Sungguh saya amat berterima kasih. 

Semoga Allah memberi sejuta ganjaran kebaikan buat kalian di dunia dan di akhirat.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, November 17, 2017

Catatan

Sambil merenung siling, kotak fikir pun berputar-putar. Ada sesuatu yang singgah di minda, apabila bersepi-sepi di sini. Di tempat yang tidak digemari. Di persekitaran yang penuh dengan resah simpati. 

Di wad 3 Utara. Dari 8 hingga 11 November 2017.

Di sini
aku berbaring dan memerhati
sekitarku yang penuh cerita.

Di sini
aku teruji
bukan hanya sakit dan luka
tetapi terpenjara.

Di sini
aku belajar mengenali
makna hikmah yang tersembunyi

Kisah berbeza
di kamar yang sama
moga memberi rasa
untuk dekat kepada-Nya.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Doa dan Ziarah

Terima kasih sahabat.

Hari ini mereka beramai-ramai datang menziarah saya di rumah. Niswatillaily, Yusniza, Mas Adiera, Norma, Norizan, Noraini, Akhmal dan Kak Rohaya.

Tuhan tahu saya benar-benar terharu. Ada rasa kecintaan yang amat mendalam kepada sahabat-sahabat ini yang sudi bersusah menziarah pada hari yang sepatutnya mereka berehat di rumah.

Sekali lagi, terima kasih sahabat.

Tiada yang mampu saya ungkap selain rasa syukur kepada Allah dikelilingi sahabat yang prihatin begini. 

Di hospital, Kak Zakiah hadir melawat pada petang Jumaat itu. Di rumah pula, Kak Rohana tiba pada Ahad dan pada Isnin Kak Norihan, Kak Safura, Marina dan Hanisah berkunjung.

Terima kasih semua kerana memberi saya rasa yang istimewa. Kalian sememangnya sentiasa akan ada dalam doa dan ingatan.

Teman-teman lain yang sentiasa bertanya khabar dan mengirim doa lewat pesanan WhatsApp pun tetap amat saya hargai. Mungkin dek pelbagai kekangan, mereka tidak mampu menghadirkan kunjungan. Saya faham dan amat mengerti. 

Sungguh. Sakit begini menjadi jambatan penghubung doa sesama sahabat. Kita sama-sama hulurkan doa untuk semua yang kita sayang agar Allah memudahkan segala urusan dan melimpahkan rahmat dan kasih sayang.

Amin.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, November 14, 2017

Insaf

Begitu manusia, sewaktu sihat dan cergas selalu lalai dan leka dengan nikmat dari-Nya. Apabila diberi sakit, barulah tahu betapa besar dan indahnya nikmat kesihatan.

Terlantar di wad setelah kesakitan berhari-hari, banyak menimbulkan rasa keinsafan dalam diri. Apatah lagi di kiri kanan saya adalah mereka yang sakitnya lebih teruk daripada yang saya alami.

Di katil hadapan saya, seorang ibu muda yang baru selesai pembedahan membuang payudara kanannya kerana kanser. Katanya sudah tahap tiga. Wajahnya manis dan sentiasa tersenyum, seolah-olah tidak gentar berdepan segala kemungkinan tentang penyakitnya. Baru sahaja berusia tiga puluh empat tahun dan memiliki tiga anak berusia lapan, empat dan tiga tahun. Benar dia sangat kuat dan tabah dengan ujian sehebat ini. Semoga Allah mengampunkan dan memudahkan segala urusan rawatannya sehingga sembuh.

Saya cuma sakit sedikit. Itu pun saya sudah rasa tidak selesa dan terbayang-bayang betapa indahnya sewaktu sihat. Semua kerja boleh dibuat sendiri tanpa perlu menyusahkan orang lain. Melihat suami saya berulang alik ke wad dari rumah, membawa itu ini mengikut pesanan saya, saya rasa kasihan padanya. Dia tidak langsung merungut apatah lagi berkata kasar dengan saya. Betapa dia menjaga saya dengan baik demi sebuah tanggungjawab, sungguh saya dapat merasakannya.

Doktor dan jururawat juga pada saya adalah kakitangan yang perlu benar dihargai. Penat sungguh melihat mereka bertugas dari pagi membawa ke malam. Bukan sempat pun untuk mereka duduk berehat-rehat seperti mana saya yang sentiasa berbual di kantin atau melayan game di laptop semasa waktu senggang di sekolah. Sungguh mereka kelihatan komited dengan tugas, sehinggakan apabila terkasar sedikit sewaktu menyuntik sehingga saya mengaduh, jururawat itu meminta maaf. Tersentuh hati saya.

Hidup dan kesakitan. Sesekali biarlah ada detik-detik sebegini sebagai satu peringatan indah dari Tuhan buat hamba-Nya yang alpa.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, November 13, 2017

Pulang

Malam kedua, Alhamdulillah saya dapat tidur lena. Bangkit pagi dengan rasa segar dan kesakitan juga berkurang. Sarapan saya pagi ini nasi goreng dan air milo.

Jam 9 pagi suami saya tiba dengan sebungkus nasi berlauk ayam kampung. Sedap sungguh dan saya habiskannya.

Tengah hari, suami saya pulang untuk solat dan makan. Saya pula meneruskan rehat tanpa sedikit pun terganggu. Doktor yang datang memeriksa hari ini tidak memberi apa-apa cadangan rawatan pun kerana saya masih belum sempat diimbas untuk pengesahan penyakit saya. Terpaksalah saya menanti di wad untuk sehari lagi.

Esoknya, Sabtu. Masih belum ada doktor yang boleh memberi keputusan rawatan kerana Kelantan sedang bercuti Keputeraan. Selalunya begitulah, bila cuti umum akan banyak hal tertangguh walaupun melibatkan rawatan.

Jam 10 pagi, doktor datang dan memaklumkan saya dibenarkan pulang. Cuak juga saya. Ujian darah belum, imbas belum, tiba-tiba boleh pulang. Tetapi bukankah di rumah lebih menyeronokkan?

Diringkaskan cerita, jam 2 petang saya tiba di rumah dan dibekalkan cuti sakit sehingga Khamis 16 November.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, November 09, 2017

3 Utara

Kira-kira jam dua, doktor membawa keputusan ujian darah saya. Katanya baik-baik sahaja cumaan bacaan sel darah putih saya tinggi, tujuh belas. Tidak pula saya tahu apa petanda atau petunjuk dengan bacaan sebegitu. Saya sekali lagi diimbas dan kali ini doktor itu menyatakan ada batu dalam hempedu dan saya perlu diwadkan untuk rawatan selanjutnya.

Maka akurlah saya walaupun tidak suka. Suami saya pulang mengambil barang keperluan untuk saya berada di wad dan tiba kembali pada jam 5.45 petang.

Mereka kata wad masih penuh dan saya perlu menunggu di wad sementara. Berada di wad sementara sememangnya amat selesa tetapi pada jam 7.45 malam saya ditolak dengan kerusi roda ke wad 3 Utara di katil nombor dua. Saya cuba menyelesakan diri di situ dengan menyediakan diri untuk tidur. Malas saya hendak berfikir macam-macam. Suami saya sudah pulang ke rumah kerana saya tidak mahu penjaga. Dia selesa dan saya pun selesa.

Jam 10 lebih doktor datang memeriksa. Katanya saya demam dan kena pindah ke katil yang lebih dekat dengan misi. Berpindahlah lagi saya walaupun rasa terganggu.

Malam menjadi sangat panas dan tidur saya mula tidak lena. Panas yang amat, sehingga saya rasa mahu menjirus badan di bilik air. Jika tidak kerana ada wayar terlekat di tangan ini tentu saya sudah melakukan itu. 

Menanti pagi terasa panjang benar!

Jam 5.30 saya bangun untuk mandi dan bersolat subuh. Doktor mahu saya puasa hari ini kerana akan diimbas lagi sekali. Berpuasalah saya. Selang beberapa jam saya disuntik ubat penahan sakit dan antibiotik.

Suami saya tiba pada jam 8.30 dengan bekalan yang saya pesan. Doktor sudah memeriksa dan menemuramah saya berkali-kali. Doktor pelatih juga. Semuanya saya terima dan memberi kerjasama walaupun ada ketikanya rasa terganggu juga.

Jam 11.30 doktor memaklumkan saya hanya akan diimbas minggu hadapan dan tidak lagi perlu berpuasa. 

Apabila misi datang mengagihkan makanan, saya meminta untuk saya walaupun dalam senarainya makanan untuk saya tiada. Saya maklumkan baru sebentar tadi doktor menamatkan puasa saya. Mujur dia tidak bertanya banyak dan terus memberi semangkuk hidangan tengah hari. Nasi putih, kuah sup, sayur campur dan kurma ayam terlalu sedap rasanya untuk saya yang kelaparan sejak tadi. Alhamdulillah. 

Suami saya sudah pulang dan petang nanti akan datang kembali bersama kipas. Semoga tidur saya malam ini lebih lena.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, November 08, 2017

Wad

Ahad lalu, perut saya rasa kembung semasa di sekolah. Kebetulan saya makan macam-macam hari itu. Steamboat di bilik guru, nasi lemak dan koktail di jamuan tingkatan tiga. Pulut kuning pun. Apabila perut tidak selesa, tentunya saya menyalahkan diri sendiri yang makan ikut suka. 

Sehingga malam, barulah perut saya rasa lega sedikit dan saya boleh tidur lena. Terjaga pagi Isnin itu saya rasa selesa dan seperti biasa bergerak ke sekolah untuk bertugas.

Jam 5 petang, sewaktu selesai bersolat Asar, perut saya meragam kembali. Kali ini saya tidak tahu apa silapnya kerana saya makan elok-elok sahaja. Kesakitan mula menyerang dan membawa sehingga malam. Tidur saya tidak lena kerana asyik terjaga bila sakit tidak tertahan.

Pun saya gagahkan juga diri untuk ke sekolah pada Selasa itu. Sepanjang di sekolah saya berada dalam ketidakselesaan.

Pulang ke rumah, saya cuma berehat. Sakit masih begitu tanpa mahu berkurang. Suami tersayang memicit-micit badan saya untuk mengeluarkan angin tetapi masih enggan hilang. Badan juga sudah mula panas, dan saya demam. Tidur malam pun tidak lena.

Pagi ini suami saya mengambil cuti dan membawa saya ke HUSM. Mula-mula kami ke Klinik Rawatan Keluarga tetapi misi di kaunter meminta saya dibawa ke Unit Kecemasan.

Mujur tidak perlu menunggu lama. Saya diimbas, dan doktor kata hempedu saya kelihatan tebal. Dia mengesyaki ada jangkitan kuman dan mahu darah saya diambil untuk diuji. Jika tiada masalah lain, saya akan diberi antibiotik dan boleh pulang ke rumah. Jika tidak, saya perlu ditahan di wad. Saya dibawa ke wad sementara untuk berehat sehingga keputusan ujian darah saya keluar. Katanya dalam dua tiga jam.

Sekarang saya masih menanti keputusan ujian darah itu, dan rasanya sudah hampir empat jam di wad ini. Saya berharap agar keputusan ujian itu tidak memerlukan saya ditahan di wad.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, November 06, 2017

Kasut

Apabila badan semakin membesar, tentunya kaki pun membesar sama. Awal bekerja dahulu, saiz kasut saya cuma lapan. Seronok benar menempah kasut dari pelbagai katalog popular masa itu. Alfio Raldo, Satinni, Cael Deon dan semualah. Asal saiz lapan sahaja, muat elok dengan kaki saya.

Sekarang sudah tidak lagi begitu. Sejak dua belas tahun lalu saya sudah tidak layak membeli kasut di katalog. Kaki saya tiba-tiba membesar tanpa segan silu. Dari saiz lapan ia menjadi sembilan, sepuluh dan sekaranv sebelas!

Susahnya mencari kasut, Tuhan sahaja yang tahu. Hanya kedai-kedai tertentu yang ada menjual kasut saiz besar dan harganya lebih mahal. Rekaannya juga tidak banyak pilihan. Saya perlu akur pada saiz sahaja kini, bukan lagi rupa.

Berkali-kali juga saya menempah di Lazada dan Zalora tetapi tidak muat. Tetapi saya ini jenis yang payah serik. Beberapa minggu lepas saya menempah lagi.

Alhamdulillah. Semalam saya menerima kasut yang dihantar terus dari China itu dan hari ini saya boleh menggayakannya. Saiznya sebelas dan sedang elok dengan kaki saya. Cantik dan selesa pula. Puas hati saya kali ini.

In shaa Allah saya akan memakainya ke tanah suci nanti.




Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, November 04, 2017

Hujan dan Aku


Sejenak hujan menyapa
ada rindu yang menyala
menyanyikan lagu rasa
dalam dada yang gelora

Sejenak hujan menyapa
dingin menyentuh jiwa
mendendang syair lara
cerita pilu seorang hamba

Sejenak hujan menyapa
aku merenung sayu
kanvas masa laluku
yang kelam dan kelabu



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, November 01, 2017

Hati

Seperti janji saya semalam, pamphlet itu tidak langsung saya cetak. Jam sudah menghampiri 2 petang sewaktu laptop saya dipulangkan dengan kata-kata, esok nak pinjam lagi ya! Saya tidak langsung membuka laptop itu sehingga ke jam ini, 8.20 pagi. Saya biarkan laptop itu di meja saya dan bila mereka mahu nanti, ambillah sendiri!

Setiap hari saya ke sekolah tanpa pernah meninggalkan laptop di rumah. Ada kerja atau tidak, laptop saya tetap akan berada di sisi saya. Saya tahu hanya saya seorang sahaja yang membawa laptop ke sekolah setiap hari. Guru lain tidak. Mereka hanya membawa laptop jika ada keperluan dan jika keperluan itu datang tiba-tiba, mereka memilih melakukan kerja di komputer sekolah.

Saya tidak begitu. Kerja saya hanya di laptop saya. Tidak pernah saya mahu meminta belas dan simpati daripada sesiapa kerana saya mampu membeli sendiri. Saya tahu ada guru yang begitu kedekut untuk menggunakan wang membeli laptop sendiri kerana mahu menggunakan kemudahan di sekolah. Ada juga yang berkongsi laptop dengan suami atau isteri kerana berjimat cermat menyimpan duit gaji untuk membeli tanah kebun harta simpanan untuk anak-anak mereka nanti.

Saya bukan bercakap kosong. Ini realiti. Rela mereka susah-susah demi kesenangan anak cucu tujuh keturunan nanti.

Prinsip saya lain. Demi kerja yang Allah kurnia kepada saya ini untuk berbakti kepada anak bangsa dan menghadirkan rezeki-Nya, saya tidak lokek duit saya untuk membeli segala kemudahan untuk bekerja. Laptop, printer, kipas dan peti sejuk di bilik peperiksaan ini adalah kepunyaan saya untuk kemudahan saya. Tidak salah jika ada yang mahu menggunakannya tetapi biarlah berhemah.

Apabila mesin fotostat di bilik cetak meragam sejak berbulan lalu, saya rasa mahu sahaja membeli mesin fotostat sendiri. Susah saya mahu memberi latihan ulangkaji kepada pelajar saya tanpa mesin fotostat itu. Kerap saya mencetak sahaja dengan printer tetapi cetakannya sangat perlahan. Untuk soalan sebanyak lima muka surat dan dua puluh salinan, saya menunggu hampir sejam!

Jikalah saya mahu, boleh saja saya menempah mesin fotostat untuk bilik peperiksaan daripada Lazada atau Mudah.my tetapi saya bimbang dicop keterlaluan. Pun begitu perasaan saya apabila berdepan dengan kerja. Saya mahu yang terbaik walaupun dengan belanja sendiri. 

Dan mereka, mudahnya memanipulasi saya dan memberi hadiah pahala kepada saya, kerana pahala itu milik mereka!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, October 31, 2017

Laptop

Ikhlas itu pun perlu bertempat sebenarnya.

Ini cerita saya hari ini.

Sedang saya mengajar di Tingkatan 5 Ibnu Rushd tadi, iaitu sekitar jam 10 pagi, Puan Guru Kanan menelefon mahu meminjam laptop saya sebentar. Saya yang tidak mahu berlama-lama di telefon kerana sedang mengajar terus mengizinkan dan meminta dia mengambilnya di meja saya. Sangka saya ia hanya akan digunakan untuk menayangkan power point atau apa-apa dokumen dalam mesyuarat yang dihadiri pegawai JPN itu. Mungkin untuk sejam dua sahaja.

Tamat kelas saya pada jam 12.10, saya bergegas ke bilik mesyuarat untuk mengambil semula laptop itu. Ya, saya mahu selesaikan banyak benda. Pamphlet rasmi sekolah untuk esok (pemantauan dari pegawai Kementerian) belum siap lagi. Saya mahu murnikan dan cetak warna supaya ia kelihatan menarik.

Bilik mesyuarat sudah ketiadaan orang. Mereka sudah selesai bermesyuarat dan sedang makan di bilik Singgah Tamu. Yang tinggal cuma Puan Yusniza dan En Hairoul yang sedang menggunakan laptop saya.

Rupanya, mereka menjadikan laptop saya tempat diletakkan perisian berkaitan PBS yang sepatutnya dimasukkan pada laptop sekolah. Saya benar amat terkejut kerana itu laptop peribadi saya yang saya mahu guna pada bila-bila masa. Mengapa mesti saya membiarkan ia menjadi hak milik sekolah?

Oh! Saya seorang yang berkira rupanya!

Ya, saya perlu berkira dalam hal seperti ini. Saya hairan bagaimana pihak pentadbir tergamak menggunakan laptop peribadi seorang guru biasa seperti saya untuk meletakkan perisian yang nanti akan dicapai oleh guru-guru lain dari laptop itu. Maka nanti laptop itu akan dinaiktaraf menjadi laptop public dan sesiapa sahaja perlu menggunakan laptop itu untuk pengisian data!

Saya bertindak berani dengan menelefon Puan Guru Kanan dan meminta laptop saya semula. Nada saya entah bagaimana kedengarannya tetapi Puan Guru Kanan itu begitu lembut memujuk agar saya membenarkan laptop saya digunakan.

Saya bertanya tiadakah laptop lain, dan alihkanlah perisian itu ke situ. Jawabnya, sudah banyak maklumat diisi dan jika diinstall ke laptop lain, maklumat itu akan hilang dan perlu diisi semula.

Apa semua ini?

Tuhan tahu saya benar-benar marah. Bukan kepada Yusniza atau Hairoul tetapi kepada Guru Kanan yang mengarahkan mereka untuk meletakkan perisian itu dalam laptop saya. Bukan tidak mahu ikhlas, tetapi di sini bukan tempatnya. Saya hanya guru biasa. Mengapa mereka tidak mencari laptop para pentadbir? Sengkek benarkah mereka sehingga tiada laptop sendiri?

Saya betul sakit hati! Tetapi saya tidak mampu berbuat apa-apa. Sejak lama mereka begitu, entah bila akan berubah demi sebuah sekolah yang kononnya sekolah transformasi. Saya rasa sebentar lagi mereka akan datang meminta untuk menggunakan pencetak saya pula kerana pencetak lain tidak boleh diguna dengan laptop saya.

Saya sedang menunggu.

Dan pamphlet itu tidak akan saya siapkan kerana laptop saya tiada. Saya tidak mampu untuk membuatnya di komputer lain kerana sudah hampir selesai saya siapkan di laptop saya. Esok kalau mereka bertanya, saya ada jawapannya!





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Keberadaan

Dari semalam saya sudah resah memikirkan penyediaan jadual ganti hari ini. Apa tidaknya, maklumat yang sampai kepada saya ialah ramai guru tiada di sekolah pada Selasa kerana pelbagai agenda. Penskoran PT3 untuk empat mata pelajaran yang sekurang-kurangnya dua belas orang guru akan terlibat. Lawatan penanda aras ke SMK Kubang Bemban juga menyaksikan empat belas orang guru diarah untuk ke sana. Belum lagi dicampur dengan yang bercuti sakit, yang terlibat sukan dan yang meminta pengecualian relief.



Daya sayakah untuk menyelesaikan semua itu?

Ya. 

Saya kan guru jadual ganti. Tiada guru lain yang boleh dipertanggungjawabkan selain saya dan hanya saya.

Memang mustahil untuk merelief semua 32 orang guru yang tiada itu. Bilangan guru yang tinggal cuma 42 orang dan ditolak pula dengan beberapa orang yang memohon pengecualian atas sebab-sebab tertentu. Lalu saya berkira-kira.

Saya menelefon puan PKP memaklumkan situasi yang saya depani ini dan meminta izin beliau untuk membenarkan saya menyediakan relief untuk kelas tingkatan 4 sahaja kerana mereka sedang menduduki peperiksaan akhir tahun. PKP membenarkan.

Lalu terhasillah jadual relief untuk sejumlah 33 masa bagi tingkatan empat sahaja. Itu sahaja yang saya mampu.



Untuk kelas lain, pandai-pandailah kamu menjaga diri sendiri.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Monday, October 30, 2017

Jamuan Tahunan

Dahulu sewaktu di SMK Kuala Krai, jamuan tahunan kami cumalah makan tengah hari di kantin sekolah. Sekali sahaja kami meraikannya di Hotel Al-Ansar pada tahun 2002, tetapi sambutan kurang menggalakkan dan ramai guru yang tidak dapat hadir. 

Apabila saya bertukar ke Kota Bharu, barulah saya merasa jamuan tahunan yang lebih gah. Tiga tahun di SMK Salor, jamuan tahunan kami diadakan dua kali di Restoran Horizon Garden dan sekali di Restoran Ala Yummy. Semuanya jamuan tengah hari dan kami bergerak dari sekolah.

Tahun 2009, saya berpindah ke SMK Kampong Chengal. Tahun pertama itu jamuan tahunan diadakan di Restoran Horizon Garden juga, tetapi makan malam. Restoran itu dekat sahaja dengan rumah saya jadi saya dihantar dan dijemput oleh suami. Pakaian saya waktu itu biasa sahaja, blaus oren berkain hitam dan bertudung oren juga. Tiada apa-apa tema pun yang diberi. 

Horizon Garden, 2009
Tahun 2010 saya tidak merasa jamuan tahunan kerana ia diadakan pada waktu saya menunaikan haji. Jamuan masih lagi diadakan di Restoran Horizon Garden (popular sungguh restoran ini) untuk makan tengah hari dan guru-guru diarah berpakaian batik sekolah.

2011, jamuan diadakan di sekolah sahaja tetapi dengan hiasan hebat seperti kenduri kahwin. Saya berkurung merah kerana temanya kali ini ialah merah. Jamuan diadakan pada waktu malam dengan menu yang lazat.

SMK Kampong Chengal, 2011
2012, Restoran Al-Kahfi di Wakaf Bharu pula menjadi pilihan. Kali ini saya menumpang Kak Zakiah dan kami masih diberi tema merah. Tahun ini paling tidak bertuah bagi saya kerana tidak mendapat apa-apa hadiah cabutan bertuah. Tidak mengapa, saya ok sahaja.
Restoran Al Kahfi, 2012
Tahun 2013 saya tidak menghadiri jamuan tahunan kerana bertembung dengan program lawatan ke Cameron Highland sekolah suami saya yang mana saya turut menyertai. 

Seterusnya pada tahun 2014, jamuan diadakan di Ansar Inn Kota Bharu. Saya menumpang kereta Kak Razian dan tahun ini tiada apa-apa tema. Jamuan ini juga sempena persaraan Tuan Pengetua kami, Haji Sudin Harun.
Ansar Inn, 2014

Tahun 2015, saya menjadi AJK Kelab Guru maka jamuan tahunan tentulah di bawah kendalian kami para AJK. Saya diminta menyediakan kad jemputan, kad menu dan video untuk tayangan sewaktu jamuan. Juga, daya menyediakan beberapa video karaoke (muat turun dari Youtube) untuk guru-guru yang ingin menyanyi pada malam itu. Jamuan diadakan di Hotel Perdana pada waktu malam.

Hotel Perdana, 2015
Tahun 2016, Hotel Reinassance pula dipilih. Kali ini walaupun saya bukan lagi AJK Kelab Guru, tetapi saya diminta menyediakan video untuk tayangan sempena persaraan Puan Hajah Wan Shuraya, Guru PKP kami. 
Hotel Renaissance, 2016

Tahun ini, kami berjamuan lagi di Hotel Grand Riverview pula. Awalnya saya diminta menyediakan video juga tetapi saya menolak. Bukan tidak mahu memberi kerjasama, tetapi saya sudah penat untuk memaku diri berjam-jam di hadapan komputer demi sebuah video. Bukan mudah sebenarnya. Saya tidak sanggup lagi.
Grand Riverview, 2017

Untuk tahun-tahun seterusnya, saya nantikan sahaja bagaimana.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, October 29, 2017

Catatan Hujung Minggu

Khamis –  26 Oktober
Hari yang saya lalui masih seperti biasa. Jika dua hari lepas kami keluar dari rumah untuk ke sekolah agak awal kerana mengambil Lina dahulu, pagi ini tidak lagi. Kak Rohaini sudah pulang (menghadiri konvo Aiman di UPSI) semalam dan Lina sudah boleh bersama-sama dengan emaknya untuk ke sekolah.

Jadual saya untuk hari Khamis Alhamdulillah sangat lapang. Hanya dua kelas sahaja dengan jumlah empat masa. Bermula jam 8.00 untuk 5 Ibnu Nafis dan jam 9.00 untuk 5 Ibnu Rushd pula.

Usai kelas, saya meluangkan masa untuk diri sendiri. Kerja yang ada kali ini tidaklah sebanyak mana, dan saya tenang melakukannya.

Jam 12.30 tengah hari, saya bersama-sama cikgu Makelsom, Safura, Hanani dan Siti Noor keluar ke SMK Long Gaffar menghadiri majlis jamuan laksa mewakili sekolah kami. Di sana, kami bertemu dengan bekas guru Chengal, Puan Zurainey yang kelihatan semakin ceria dan bahagia.

Puan Zurainey ini seusia saya, dan senasib saya juga. Kami tiada anak. Berkali-kali dia melakukan rawatan kesuburan tetapi gagal. Masalah yang ada ialah pada suaminya sedangkan dia normal. Sebaliknya saya, suami saya normal tetapi saya yang bermasalah.

Begitu ujian Tuhan. Tiada yang melalui jalan hidup yang sama dan serupa.

Awal tahun ini, Puan Zurainey mengambil seorang anak angkat perempuan yang baru lahir. Sekarang anak itu – Nur Amni Zahra – sudah pun berusia lapan bulan. Nampak benar bahagianya Puan Zurainey dengan kehadiran cahaya mata penyeri rumah tangganya.

Saya?

Mungkin akan terus berdua begini kerana saya rasa saya tidak mampu menjadi ibu yang baik. Saya bersyukur seadanya dengan segala anugerah lain yang tidak terhingga Allah beri kepada saya. Keluarga yang baik, suami yang bertanggungjawab, kerja yang menyeronokkan, sahabat dan rakan yang membahagiakan. Dunia saya sudah terlalu berseri-seri dengan semua itu. Alhamdulillah.
Pulang dari SML Long Gaffar, saya meneruskan tugas untuk hari ini – kelas tambahan. Jam 2.30 hinggan 3.30 sahaja, tidaklah lama.

Seterusnya suami saya menjemput pulang dan dapatlah saya berehat di rumah pula. Malam ini saya tidak memasak banyak. Hanya mi goreng dan telur mata sebagai hidangan kerana saya sudah kekenyangan menikmati nasi kukus ayam berempah pada jam 4.00 petang tadi sebaik pulang dari sekolah.

Jumaat – 27 Oktober
Terjaga pagi dengan fikiran yang tenang dan lapang. Sebenarnya saya ada kelas tambahan di sekolah pagi ini tetapi saya sudah memaklumkan kepada murid saya yang saya tidak dapat hadir kerana urusan peribadi. Saya meminta mereka menyertai kelas cikgu Hjh Rohana atau cikgu Hj Rusok.

Saya sedikit terganggu dengan kelas tambahan pada hujung minggu sebegini. Mungkin kerana saya ini bukanlah guru yang rajin, maka saya mahu hujung minggu itu sepenuhnya milik saya. Tetapi apa daya, sekolah menetapkan untuk menjadualkan kelas tambahan pada setiap Jumaat dan Sabtu bagi mata pelajaran kritikal termasuklah Matematik Tambahan. Sebagai guru mata pelajaran tersebut, saya wajib akur.

Hakikatnya, saya nampak program sebegini hanya menambah beban kepada guru. Sejauh mana kesannya kepada murid, saya tidak pasti. Jiwa saya lebih mengutamakan kualiti, bukan kuantiti. Murid-murid pula menjadi terlalu bergantung kepada guru sehinggakan tanpa guru, mereka langsung enggan mentelaah. Apa salahnya jika hujung minggu begini ruang diberi kepada murid untuk belajar sendiri. Atau mungkin untuk mereka melakukan aktiviti-aktiviti lain bersama keluarga mereka selain belajar. Hidup bukanlah untuk SPM semata-mata!

Suami saya pula terlibat dengan gotong royong kampung kami. Jadi saya hanya bersendirian di rumah menguruskan apa yang patut. Dan inilah yang saya mahu. Bersendirian. Bahagianya!

Hidangan tengah hari, saya menyediakan asam pedas ikan pari (sekali lagi!) ditemani sayur bayam dan telur dadar. Alhamdulillah.

Selepas Asar, kami keluar untuk menziarah guru SMK Kadok yang kematian suami semalam. Rumahnya dekat sahaja, berhampiran pejabat KADA Nilam Puri. Semoga Allah mencucurkan rahmat ke atas roh suaminya. Amin.

Seterusnya kami menuju ke rumah ibu kami di seberang jalan sana. Di rumah ma, ma hanya bersendirian. Katanya Aziah dan Muiz baru pulang sebentar tadi. Begitulah. Apabila usia menginjak tua, anak-anak semua bekerjaya, si ibu tua ditinggal sepi tidak berteman. Tuntutan kehidupan, demi sebuah kelangsungan perjalanan. Apa lagi nak dikata. Masa depan saya nanti? Saya bersedia seadanya. Sekurang-kurangnya ma walaupun bersendirian, anak-anak masih datang menziarah. Saya nanti entah bagaimana.

Malam ini kami hanya menikmati sate sebagai hidangan kerana kami sudah dijamu mihun sup sewaktu singgah di rumah kak Rohaini tadi.

Sabtu – 28 Oktober
Suami saya ada majlis bersama Tan Sri Annuar Musa di SMK Kadok pagi ini. Saya pun bersendirian lagi di rumah. Alhamdulillah.

Tidak perlu memasak tengah hari kerana suami saya akan makan di majlis itu, lalu saya biarkan diri saya ditemani semangkuk mi segera sahaja. Sebenarnya pagi tadi saya sudah sarapan dengan sebungkus nasi berlauk ayam kampung dan saya juga mengudap bubur kacang merah yang saya buat sendiri pagi semalam. Jadi perut saya tidaklah selapar mana.

Sendirian di rumah, saya melayan diri sendiri sepenuh hati. Selain kerja-kerja rumah, saya hiburkan hati dengan menonton Youtube episod akhir Lom Sorn Ruk kerana tidak sabar menanti kesudahannnya di TV 133 Astro Bella.

Jam 2 petang baru suami saya pulang dan kami bersiap-siap untuk turun ke Kota Bharu pula. Kami menuju ke Maxis Jalan Kebun Sultan untuk menghentikan langganan Broadband Maxis kami yang sudah tidak diguna itu, dan seterusnya ke Pasar Raya Pantai Timur untuk membeli belah. Suami saya membeli dua helai kemeja lengan pendek berharga RM123.50 dan saya membeli pakaian dalam Triumph sejumlah RM253.80.

Pakaian dalam Triumph memang menjadi pilihan saya dan saya tidak kisah harganya yang mahal kerana keselesaan dan ketahanannya begitu berbaloi. Saya pernah membeli jenama lain yang lebih murah tetapi tidak memuaskan hati saya kerana tidak selesa.

Kami tiba di rumah pada jam 4.55 petang bersama-sama sebungkus cakoi dan roti gireng yang kami beli di Nilam Puri. Cukuplah untuk hidangan petang ini.

Malam ini, saya hanya memasak nasi dan menggoreng ayam untuk santapan sendiri kerana suami saya ada jemputan solat hajat selepas Isyak. Kenyang sungguh saya makan kerana kelaparan dek hanya menelan mi segera tengah hari tadi.

Pakaian sekolah esok sudah selesai bergosok, dan suami saya pulang pada jam 9.45 malam. Tiada apa lagi yang perlu saya lakukan malam ini. Selepas menelan dua biji pil Provera jenama Ravimed, saya menidurkan diri dengan penuh rasa syukur ke Hadrah Ilahi atas segala kurnia buat kami.

Selamat malam.

Sunday, October 22, 2017

Cemerlang

"Tiada Hasil Kecuali Kecemerlangan"

Ini motto yang dilaungkan dalam dunia pendidikan yang saya berada di dalamnya. Memang bagus, sangat baik dan indah sekali bunyinya. Malah ia kedengaran seperti motivasi buat kami.

Cuma, yang memusykilkan saya ialah takrif kecemerlangan yang dibawa. Apa itu sebenarnya kecemerlangan?

Tentu sekali keputusan peperiksaan yang tertulis deretan A+ yang banyak. Itulah kecemerlangan. Aspek lain tidak lagi perlu diukur dan diambilkira kerana A+ itu memenuhi segala kriteria.

Sedih, sangat sedih. 

Lalu kami guru diminta melakukan apa sahaja untuk memastikan seramai mungkin murid kami memunculkan A+ yang banyak. Jika boleh, biar nilai Gred Purata kami sifar, kerana itu menunjukkan semua murid mendapat A+ untuk semua mata pelajaran. Dan sekali lagi, itulah kecemerlangan. Murid cemerlang lalu sekolah pun hebat!

Dan kesedihan itu pun berpanjangan dalam hati saya.

Sesungguhnya, jiwa guru saya tidak pernah memandang deretan A+ sebegitu. Bukan menafikan kepentingan akademik, tetapi saya mengutamakan keseimbangan dalam segenap segi. Saya lebih mahukan kemenjadian, bukan kecemerlangan yang palsu.

Bilakah mereka akan sedar?


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, October 21, 2017

Dunia

"Carilah dunia sampai engkau dapat
Tuntutlah akhirat walaupun di mana
Kedua-duanya perintah Tuhan

Hayati hidup dengan sempurna.."

Saya masih ingat dengan lirik nasyid ini. Tajuknya "Hayati" dan didendangkan dalam pertandingan nasyid sewaktu darjah enam (1984) di SK Mulong dahulu, di bawah tunjuk ajar Pn. Naaimah Ahmad, guru Bahasa Inggeris yang kami sayangi. 

Sungguh maknanya memberi siratan erti yang dalam.

Sering kita diajak untuk menuju akhirat, dan apabila usia menginjak tua, kita diminta agar "lupakanlah dunia, mati nanti kena tinggal semua, tak boleh bawa bersama kita ke sana."

Lupakanlah dunia.

Pada hal, dunia inilah jambatan untuk ke akhirat sana. Tanpa dunia, hitungan kita di hadapan Allah nanti berkaitan dengan apa?

Sahabat, dunia bukan untuk kita lupakan tetapi untuk kita gunakan. Saya bukan ustazah tetapi saya tahu tentang ayat 77 dalam surah Al-Qasas dan saya rasa Allah sudah memberitahu kita semua tentang ini sejak lama. 

Carilah dunia, tetapi pastikan segala usahamu dalam mencari itu bernilai ibadah supaya ia menjadi pahala buatmu di sana nanti. Hartamu menjadi ibadah. Anakmu menjadi ibadah. Kerjamu menjadi ibadah. Jamgan ditinggalkan ia, tetapi tambah nilai yang ada. Sama seperti kami menambah nilai dalam solatmu, puasamu dan sedekahmu.

Begitu seruan saya.

Sekian.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, October 17, 2017

Santai Guru

Semuanya terbit secara spontan. Waktu itu awal September, saya dan rakan-rakan sedang bersarapan di kantin. Perbualan kami tentulah tentang tekanan yang kami hadapi dalam memenuhi tuntutan tugas. Tekanan demi tekanan yang tidak mampu kami ketepikan begitu sahaja. Tempuh jua segalanya, dalam rasa yang pelbagai.

Apa kata kita bercuti ramai-ramai sesama kita je ke Cameron Highland?

Tiba-tiba seorang sahabat bersuara. Kami menyambut dengan gembira. Ya! Apa salahnya. Kita tinggalkan sekejap kalut yang ada, di sekolah juga di rumah. Kita riangkan hati-hati kita dengan agenda santai-santai.

Saya ditugaskan untuk memaklumkan kepada guru-guru lain dalam WhatsApp guru wanita. Kak Zahiran dilantik sebagai ketua untuk menguruskan bas dan penginapan.

Semuanya menjadi sangat mudah. Sambutan pun agak memberangsangkan. Tarikh yang dipilih tentunya seusai PT3 iaitu pada 13-14 Oktober tanpa menyedari yang waktu itu adalah juga permulaan cuti seminggu sempena Deepavali. 

Seperti biasa, dalam setiap perkara tentu ada dugaannya. Beberapa orang guru menarik diri atas urusan-urusan yang tidak dapat dielakkan. Rumah tumpangan juga sukar diperoleh kerana hari itu sudah bermula cuti di beberapa negeri. 

Tiba-tiba diumumkan pula 14 Oktober itu sebagai hari Sukan Negara dan sekolah-sekolah di Kelantan diarah untuk menyambutnya. 

Ada yang bertanya; Kak Ti, apa cerita Cameron Highland ni? Jadi ke tak?

Eh! Jadi!

Saya tetap mahu ia berlaku. Saya mahu bercuti beramai-ramai dengan rakan-rakan guru saya. Biar cuma 17 orang yang mahu pergi, biarlah. Biar terpaksa bayar mahal, biarlah. Saya mahu pergi juga!

Mujur Pengetua memahami kami. Dia membenarkan kami 17 orang tiada di sekolah pada hari 14 Oktober itu. Alhamdulillah dan terima kasih. 

Ahli rombongan kami sebenarnya ramai juga. 17 orang guru SMK Kampong Chengal, seorang guru SMK Ketereh, seorang kerani sekolah kami dan 13 orang anak-anak guru yang turut serta. Semuanya seramai 32 orang dan sedang elok dengan muatan sebuah bas. Kami menyewa bas dengan harga RM2300 dan rumah tumpangan RM450. Setiap guru membayar RM150 dan untuk anak-anak, kami meminta RM50 sahaja.

Nampaknya Allah memberi ruang kemudahan begini untuk kami. Perjalanan bermula jam 7.30 pagi Jumaat dari SMK Kampong Chengal dan tiba di rumah tumpangan di Tanah Rata pada jam 5.00 petang. Lama juga, tetapi kami sudah berhenti di Taman Lavender di Tringkap, berhenti makan di Kea Farm dan berkali-kali juga berhenti di Stesen Minyak untuk keperluan fisiologi. 

Bersambung 



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.