Tinggal tidak
sampai dua bulan sahaja lagi peperiksaan besar yang dinantikan akan bermula.
Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang kami kenali juga sebagai Sijil Paling Mahal
ini sememangnya sangat penting untuk pendidikan di Malaysia. Tanpa UPSR, tanpa
PMR (atau PT3 sekarang) seorang pelajar masih boleh meneruskan pengajian tetapi
tanpa SPM, hanya institusi swasta yang tidak diiktiraf sahaja yang akan
menerima. Bukankah ia menjadi sesuatu yang mahal? Sekurang-kurangnya di
Malaysia.
Syarat untuk
lulus SPM mudah sahaja, lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah, maka
layaklah pelajar itu menerima sijil. Jika tidak, hanya pernyataan keputusan
sahaja yang akan dikeluarkan dan ia tidak laku di mana-mana pun jua.
Pagi ini,
saya melangkah ke kelas Tingkatan 5 Ibnu Nafis untuk meneruskan tugas saya
menjelang peperiksaan SPM ini. Semua pelajar sudah sedia menanti dan saya
mengedarkan soalan Matematik Model SPM Kertas 2 Bahagian A sebagai latihan
ulangkaji hari ini. Saya beri mereka masa dua puluh minit untuk menjawab lima
soalan tersebut, dan bakinya empat puluh minit lagi untuk perbincangan.
Pun, mereka
ini bukanlah mampu. Saya tahu itu. Semua perlu dibimbing dan ditunjuk ajar
berkali-kali kerana keupayaan mereka sangat terhad. Mereka pelajar kelas kedua
akhir, jadi apalah yang boleh saya jangkakan tanpa bantuan seteliti mungkin?
Sewaktu
perbincangan, saya bukan sahaja memberi mereka kaedah menjawab tetapi juga
kaedah mengira menggunakan kalkulator.
“Ok, kamu
tekan kalkulator macam ni. Lapan kuasa dua tambah lima belas kuasa dua, lepas
tu sama dengan.” Saya memberi arahan penuh terperinci.
“Cikgu, ulang
semula, tak sempat ni!”
Saya ulang.
“Dah dapat
jawapan tu, tekan punca kuasa dua pula,” saya bersuara selantang yang boleh.
“Hah? Apa tu?”
“Punca kuasa
dua! Ada kat button kalkulator kamu tu. Tak nampak?” Geram pula saya bila punca
kuasa dua pun tak tahu.
“Mana? Simbol
dia macam mana cikgu?”
Saya lukis di
papan tulis tanda punca kuasa dua. Tak jumpa juga dia. Aduh! Saya merapati
pelajar ini da menunjukkan simbol itu di kalkulatornya. Dia lantas menekan.
“Syntax error
cikgu!”
Saya mengeluh
dan menggeleng. Jika boleh mahu menggaru kepala tetapi saya bertudung pula. Sudah
satu-satu saya beri arahan, masih salah tekan lagi!
“Tengok sini.”
Saya menekan kalkulatornya satu persatu, dan dia memerhati. Jadi. Jawapannya
tujuh belas.
Dia
tersengih.
Begitulah.
Kadang-kadang benda kecil begini amat mencabar kesabaran saya. Mereka ini
sangat perlahan sehingga menekan kalkulator pun perlu dinotakan dalam buku. Pun
saya tidak pernah mahu berputus asa. Mereka tetap anak-anak didik saya yang
saya kasihi. Saya tidak mahu kekurangan mereka itu mengganggu semangat saya
untuk terus membantu, walaupun ada kalanya saya rasa seperti tidak berdaya.
Semoga mereka
berjaya juga di dunia dan di akhirat, walaupun SPM mereka tidak semegah mana.
Dunia ini luas anak-anakku. Jangan sempitkannya, laluilah jalan pilihanmu dengan
penuh keimanan. Semoga Allah redha.
No comments:
Post a Comment