Nampaknya, hanya Kelantan dan Terengganu sahaja yang menikmati cuti sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Yang di-Pertuan Agong pada setiap kali.
Apa tidaknya, sejak lama Hari Keputeraan ini diletakkan pada Sabtu yang sudah sedia menjadi cuti umum di seluruh negara. Bagi Kelantan dan Terengganu, jika cuti umum jatuh pada hari Sabtu maka ia dibawa ke Ahad. Bagi Kedah dan Johor, jika cuti umum jatuh pada Jumaat, ia akan dibawa ke Ahad. Bagi negeri-negeri lain (yang hujung minggunya Sabtu dan Ahad), jika cuti umum jatuh pada Ahad maka ia akan dibawa ke hari Isnin.
Saya tidak pasti siapa yang menetapkan peraturan begitu, tetapi ia berpihak kepada kami di Kelantan dan Terengganu.
Sewaktu saya masih di sekolah rendah, saya berasa pelik kerana tarikh Hari Keputeraan tidak sama pada setiap tahun. Pada 1981, tarikhnya ialah pada 3 Jun, tetapi pada 1982 ia menjadi 2 Jun. Kenapa begitu? Saya pun bertanya pada arwah ayah.
Kata ayah, Hari Keputeraan bukan ikut tarikh, tetapi ikut hari. Ia akan disambut pada hari Rabu pertama bulan Jun pada setiap tahun tanpa mengira siapa Agongnya. Oh begitu, baru saya faham.
Beberapa tahun kemudian (saya tidak pasti tahun bila), kerajaan Malaysia meminda harinya daripada Rabu kepada Sabtu pertama setiap Jun. Tujuannya supaya cuti itu tidak mengganggu hari persekolahan. Pada ketika itu, hari Sabtu merupakan hari bekerja tetapi bukan hari persekolahan. Jadi cuti itu hanya melibatkan jabatan-jabatan selain daripada sekolah. Pada ketika itu juga, bulan Jun bukan bulan cuti persekolahan.
Ketetapan hari dan bulan untuk sambutan Hari Keputeraan itu kekal sehingga 2016 sebelum diubah menjadi pada 9 September pada tahun ini. Harinya masih lagi Sabtu. Untuk tahun depan, ia masih lagi misteri.
Apa pun, mimggu hadapan kami di Kelantan dan Terengganu akan menerima cuti seperti ini lagi sempena Hari Malaysia pula. Alhamdulillah. Mungkin ruang itu nanti akan saya gunakan untuk bercuti bersama suami di tempat-tempay menarik sekitar sini. In shaa Allah.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment