Sunday, July 29, 2018

Mama

Mama, ibu yang kami kasihi. Lahir pada 1952 di Kampung Chabang Dua, Golok, Selatan Thailand. Dinamakan Rahmah, mama lahir sebagai anak kelima arwah datuk Che Idris (1906 - 1978) dan anak sulung arwah nenek, Tuan Kembang (1936 - 1967). Sebelum menikahi nenek kami, arwah datuk sudah memiliki empat orang cahaya mata dari isteri pertamanya yang meninggal dunia sekitar 1950.

Pendidikan awal mama ialah di sekolah rendah Temaju di kampungnya sehingga berusia dua belas tahun. Pada Ogos 1965, ketika baru berusia tiga belas tahun, arwah datuk menghantar mama menyambung pengajian di sekolah agama di Rantau Panjang. Mama belajar di situ sehingga hujung tahun 1967. Pada tahun 1968, mama berpindah ke sekolah agama Naim Lilbanat di Kota Bharu, dan hanya sempat berada di situ selama setahun setengah kerana pada Julai 1969, mama bernikah.

Usia mama baru tujuh belas, sudah bergelar isteri orang. Walaupun mama tidak sempat menamatkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, saya yakin dan benar-benar percaya mama adalah seorang wanita yang bijak. Jika diberi peluang, mama tentu akan menjejakkan kaki ke universiti juga. Apalah daya, persekitaran waktu itu tidak meletakkan pendidikan untuk anak gadis sebagai sesuatu yang penting. Lebih penting ialah menjadi isteri. Apabila usia mencecah dua puluh tahun sudah dianggap lewat jika belum berkahwin.

Kenapa saya katakan mama saya bijak?

Mama boleh membaca dan menulis dengan baik, dan mama pandai mengaji Quran dengan tajwid yang betul. Mama mudah memahami dan suka belajar. Jika menonton TV, mama sukakan rancangan berbentuk informasi. Mama tidak suka menonton drama dan hiburan. Rutin mama setiap pagi tentunya menonton TV rancangan agama dan juga rancangan  bual bicara. Buletin Utama juga tidak pernah mama kesampingkan. Mama tahu banyak maklumat dan isu semasa.

Dalam usia sekarang - 66 tahun - mama mampu mengendali telefon pintar dengan cemerlang. Malah lebih cemerlang daripada rakan-rakan saya yang lebih muda. Mama tahu menggunakan Facebook, Instagram dan WhatsApp. Mama boleh menonton Youtube mencari video-video kegemarannya, dan mama mengaji Quran dengan aplikasi dari Google Play.

Itu mama saya yang tidak sempat menghabiskan pengajian menengahnya pun. Mama saya yang hebat dan amat saya kasihi. Mama saya yang bukan sahaja cantik, peramah, rajin tetapi juga bijak dan berdikari.

Mama ialah contoh yang baik buat kami adik beradik. Saya bersyukur sungguh memiliki mama sebagai ibu. Setiap hari saya mendoakan kesejahteraan mama di dunia dan akhirat. Semoga mama bahagia selalu, walaupun bersendirian. Semampu mungkin saya mahu memberi yang terbaik buat mama, selagi hayat dikandung badan.

Saturday, July 28, 2018

Pergi

Hari ini Sabtu 28 Julai 2018, Saipul Bahri bin Ismail @ Wahab, anak saudara sulung suami saya akhirnya dijemput pulang menemui Tuhan setelah hampir tujuh bulan bertarung dengan kesakitan akibat kanser hati yang dikesan sudah pada tahap empat. Perginya meninggalkan isteri tercinta dan seorang anak perempuan yang baru berusia lapan tahun.

Begitu tulisan takdir. Semoga rohnya digolongkan dalam kalangan hamba yang beriman dan semoga keluarga yang ditinggalkan diberi ketabahan dan kekuatan untuk meneruskan perjalanan yang masih bersisa.

Tinggal kenangan

Friday, July 27, 2018

Tadabbur

Sempena bulan bahasa di sekolah saya, Kedai Buku Banggol datang berkampung selama dua hari untuk pameran buku. Sambutan boleh tahan juga, cuma buku-buku yang dibawa tidaklah sebanyak mana. Mereka tahu sasaran ialah pelajar sekolah jadi buku-buku PT3 dan SPM dilebihkan. Buku-buku lain pun ada, tetapi terhad.

Sambil mencuci mata, saya terbeli juga tujuh buah buku yang pada pandangan pertama saya mempunyai sesuatu yang boleh diterokai. Kebanyakannya tulisan anak-anak muda kelahiran 90-an. Tidak salah untuk menyokong, bukan?

Buku-bukunya:
1. "Tadabbur" tulisan Misiah Bayani, terbitan Mustread.

2. "Cikgu Bukan Ultraman" tulisan Mohd Zamri Husaini, terbitan NAQ Publication

3. "Ujian Tanpa Henti" tulisan Effi Aizat & Farah Fakhira, terbitan Effi n Farah Global

4. "Up To You" tulisan Bonda Nor, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

5. "Pantang Menyerah" tulisan Bonda Nor, Farizah Shamsuddin, Ammar Kamilin dan Abdul Muiez Ruslee, terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

6. "Semusim Dalam Jahilliah" tulisan Nuridhzuan Alfarikh, terbitan Aqada Institute

7. "Aku Bukan Wahabi" tulisan Dr. Mohammad Nidzam Abdul Kadir, terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.

In shaa Allah saya akan fokus membaca kesemuanya untuk satu kepuasan yang tidak terucapkan.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sihat vs Sakit

Menjadi orang, kenalah melalui fasa-fasa sihat dan sakit. Tiada orang yang sihat selamanya tanpa pernah sakit walau sekuman. Cuma mungkin tahap sakit itu yang berbeza.

Seiring usia, kesihatan amatlah perlu dipantau selalu-selalu. Menjadi orang yang tiada anak seperti saya ini lagilah perlu menjaga kesihatan. Logiknya dah tua-tua nanti kalau sakit teruk siapa yang mahu jaga? Tapi tak kisahlah. Doa saya semoga Allah memberi yang terbaik untuk saya agar tidak menyusahkan siapa-siapa.

Empat puluh enam tahun sebenarnya sudah boleh dianggap tua untuk seorang wanita. Walaupun Rozita Che Wan masih jelita pada usia ini, saya bukanlah dia. Badan yang membelon tanpa rasa bersalah ini menyebabkan kaki saya cepat sakit. Bukanlah saya ini kuat makan sangat tetapi pengambilan hormon untuk melawan penyakit endometriosis saya ini kesannya begitu. Saya redha aje lah.

Akhir-akhir ini saya lebih kerap memantau bacaan gula dalam darah saya kerana bimbangkan diabetes. Sudah lebih setahun saya membeli glukometer True  Result di Lazada, dan menggunakannya sepenuh hati. Alhamdulillah bacaan gula saya masih terkawal walaupun di tahap persempadanan. Semoga diabetes tidak berminat dengan saya walaupun ciri-ciri ke arah itu ada.

Nasihat saya untuk semua, pantaulah kesihatan selalu-selalu. Jangan kedekut duit untuk membeli alat menguji tekanan darah dan glukometer kerana ia memudahkan kita mengawal dan menjaga kesihatan. Sering-seringlah ke klinik juga, lakukan ujian darah secara berkala untuk mengenalpasti penyakit yang ada. Jika cepat dikesan, in shaa Allah mudah diubat.

Apa pun semuanya dalam genggaman Allah jua. Jangan lupa untuk terus memohon agar Allah memberi kesihatan yang baik dan kekuatan untuk kita meneruskan hidup dalam perjuangan menuju syurga-Nya.

Amin.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Thursday, July 26, 2018

Sayu

Ujian adalah anugerah. Redha dan tabahlah, walaupun payah. Mata yang memandang tidak sama bahu yang memikul. Saya tahu itu, lalu saya hanya mampu mengirim doa.

Dia tahu dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi selain memberi jagaan terbaik buat suami tersayang yang sudah lemah terbaring. Dia setia menemani siang dan malam, penuh ketabahan.

Waktu saya tiba di katil 3 wad 29 HRPZ petang tadi, suaminya sedang dikelilingi doktor dan jururawat kerana tiba-tiba menjadi tidak sedar. Doktor menyuntik air gula untuk tenaga dan dia menggosok-gosok badan suaminya penuh kasih. Saat mata kami bertentang, saya nampak pandangannya yang sayu. Sebak di hati saya tidak tertanggung. Simpati saya melimpah ruah.

Tuhan, Engkau permudahkanlah untuk dia.

Saya menyalaminya sebaik doktor dan jururawat beredar. Dia cuba memberi senyuman menyambut kehadiran saya. Tawar. Ada pilu tergambar. 

Suaminya dibelai-belai tanpa jemu sepanjang kami berada di situ. Suara lemah suaminya yang mahu berbual dengan kami menambah sebak di dada saya. Air mata saya sesungguhnya tidak mampu diseka lagi.

Sewaktu masih sihat, suaminya yang merupakan anak saudara sulung suami saya selalu membawa dia dan anak perempuan tunggal mereka bertandang ke rumah kami. Mereka berdua peramah dan mesra walaupun kami jarang-jarang berjumpa. Mereka tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur dan hanya pulang sekali sekala ke kampung. Dan setiap kali pulang mereka tidak lupa datang ke rumah kami.

Kini suaminya terlantar dan dia tabah menerima. Semoga ujian yang tiba ini memberi nilai yang tidak terhingga.





Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Tuesday, July 24, 2018

Kembali Mengenang

Apabila musim haji tiba, kenangan sewaktu berada di sana pada 18 Oktober sehingga 8 Disember 2010 kembali menerpa. Biar pun sudah tiga kali menunaikan umrah selepas haji, sungguh pengalaman itu tidak serupa. Musim haji lebih luar biasa rasanya berbanding umrah yang boleh dilakukan pada bila-bila masa. Rindu di hati kini ialah untuk berhaji sekali lagi. Semoga Allah mengizinkan.

Sewaktu di sana pada 2010 itu, saya tidak terlalu teruja untuk bergambar. Hati dan jiwa lebih terarah untuk menyempurnakan ibadah sebaik mungkin, dan gambar hanya diambil apabila teringat sahaja. Apabila pulang ke tanah air barulah terasa sedikit menyesal kerana gambar yang ada entah apa-apa. Gambar yang elok tidak banyak mana.

Pun, saya sudah pun gemar berselfie waktu itu. Walaupun telefon yang saya guna ialah telefon biasa yang tiada kamera hadapan, selfie tetap berjaya saya lakukan. 

Hari kedua di Madinah. Sedang menanti untuk program ziarah luar di luar hotel Movenpick.

Dalam bas, saya bersama kak Zaiha. Suami saya sudah menaiki bas yang lebih awal.

Di perkarangan masjid Quba'

Masjid Quba'

Ladang Tamar

Restoran Hotel Movenpick

Di perkarangan masjid Nabawi. Waktu ini tidak berani mengambil gambar di dalam masjid kerana telefon tidak dibenarkan dibawa masuk. Bimbang nanti kena rampas masa tengah selfie.

Perkarangan masjid Nabawi

Di dalam MasjidilHaram

Di lobi hotel Abraj Reeman, tempat kami menginap selama di Mekah

Di dalam khemah Arafah

Di dalam khemah Mina

Membeli belah dan mencuci mata di kedai-kedai di bawah hotel Safwa

Balik Kampung

Di sisi satu-satunya bapa saudara sebelah ayah yang masih ada. Ayah Mat sekeluarga di Kg. Tualang

Semoga Allah menjaga kalian dalam sebaik-baik jagaan

Durian menyambut kami dengan cerianya

Banyak sungguh durian di sini. Tidak rugi kami ke mari

Ayah Mat masih kelihatan gagah walaupun sudah menjangkau 90 tahun

Dari Tualang, kami ke Cabang Dua menikmati manggis pula.

Durian pun ada juga. Banyak sungguh kami makan!

Menuju ke rumah Pakda Mat yang tidak berapa sihat
Masih mendurian di sisi Mak Ah yang begitu bersungguh-sungguh melayan kami makan

Ma agak emosi bila bertemu Mak Pah.

Mak Pah yang kami kasihi

Pak Su Usin juga gembira menyambut kedatangan kami
Mok sudah lama sakit, semoga Allah memudahkan urusan Mok

Pakda Mat juga tidak sihat. Kami hanya mampu mendoakan agar Allah memberi kemudahan dan menyembuhkan.

Saturday, July 21, 2018

Selera

Saya selalu juga memasak nasi lemak. Suami saya penggemar nasi lemak dan nasi lemak di kedai tidak memenuhi seleranya. Seringkali jika saya perlu memasak sarapan, dia akan meminta nasi lemak.

Benar, saya kini semakin jarang memasak sarapan. Setiap pagi minggu suami saya akan membeli sarapan di kedai sebaik dia selesai mendengar kuliah Subuh di masjid. Dia akan menghantar sebungkus dua ke rumah mek, dan pulang bersarapan dengan saya di rumah. 

Jumaat semalam, kami mahu pulang ke kampung dengan emak. Emak pula mahu turun awal. Jam lapan katanya. Jadi suami saya tidak sempat membeli sarapan dan saya tiada pilihan selain menyediakan sarapan untuk pagi itu. Saya bertanya dia mahu makan apa? Seperti dijangka, nasi lemak.

Sebenarnya saya bukanlah penggemar nasi lemak. Saya lebih suka nasi putih dengan lauk pauk biasa. Nasi lemak seperti sesuatu yang menjemukan. Seperti nasi dagang juga, cepat muak.

Tetapi entah kenapa, nasi lemak saya semalam rasanya sedap sangat. Tanpa ditemani sambal dan ulam pun, saya boleh menikmatinya begitu sahaja. Rasanya cukup. Ada lemak, ada masin, ada aroma yang wangi walaupun saya tidak meletakkan daun pandan. Ia benar-benar menjadi!

Saya sungguh tidak tahu resepinya. Saya cuma mencampur gaul bahan-bahannya sesuka hati. Beras yang dicampur dengan santan kotak, bawang merah, halia, serai dan garam. Seperiuk juga saya masak sebab suami mahu menghantar sedikit untuk mek. Sambal tumis ikan bilis, telur rebus dan udang goreng menjadi lauknya.

Memanglah jika Chef Wan melihat nasi lemak saya itu akan berbakul-bakul dikomennya. Mana hirisan timun dan kacang goreng? Kenapa tiada daun pandan? Kenapa bilis tidak digoreng dahulu? Dan macam-macamlah. Saya tahu nasi lemak saya itu tidak memenuhi piawai.

Tetapi sungguh ia sedap sangat! Sebaik pulang dari Golok semalam, saya terus ke dapur untuk menikmatinya sekali lagi. Tanpa sambal pun, saya makan begitu sahaja.

Hari ini, saya teringat-ingat.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, July 15, 2018

Kasih



Saya ini pengasih orangnya, terutama kepada ahli keluarga. Mereka umpama nyawa saya dan saya rela apa sahaja demi mereka. Jika mampu, saat susah mahu pun senang, saya sentiasa mahu berada di sisi keluarga. Emak, adik beradik, ipar duai dan anak-anak saudara adalah kebahagiaan saya. Mereka kurnia Allah yang amat indah, tidak terbanding apa jua.

Jumaat 13 Julai, adik Ismah sekeluarga dan adik Zahidah berpulang untuk bercuti. Ismah sehingga Isnin, dan Zahidah cuma setakat Sabtu. Tentunya saya tidak sabar mahu berjumpa dan bermesra.

Alhamdulillah kesempatan untuk itu Allah beri juga. Pagi Sabtu jam sepuluh, saya tiba di rumah ma dihantar suami. Sempatlah saya berada di sisi mereka sehingga jam lima petang. 

Kebetulan ada kenduri di rumah Cik Ros, sepupu ma. Dapatlah kami pergi ke sana bersama-sama.

Sungguh ia amat bermakna buat saya yang susah untuk ke rumah ma jika tidak berhantar dan berjemput. Dan meminta untuk dihantar dan dijemput itu adalah sesuatu yang sukar pula bagi saya.

Semoga nanti saya boleh memandu sendiri dan dapat ke rumah bila-bila masa yang saya suka.

Hmm.. begitulah.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Sunday, July 08, 2018

Terhentinya Doa

Malam ini saya sendirian di rumah kerana suami saya keluar makan dengan rakan-rakannya. Dia keluar sebelum maghrib lagi dan katanya akan pulang lewat malam. Sungguh saya menyukai waktu-waktu sendirian sebegini kerana saya punya ruang untuk diri sendiri.

Tahu apa saya buat?

Untuk makan malam, saya memasak sup sayur yang ringkas tetapi lazat. Hanya tumisan bawang putih dan halia yang dimasukkan isi ayam, sawi dan suhun serta sedikit bawang besar dan serbuk lada sulah dimakan begitu sahaja tanpa nasi. Sedap sangat!

Usai makan, saya menggosok, melipat baju dan menonton tv. Rasanya lama benar saya tidak menonton cerekarama. Malam ini adalah peluang terbaik kerana saya suka menonton sendirian tanpa gangguan. Lebih fokus, lebih emosi.

Jam 9 malam, ke udaralah cerekarama berjudul Terhentinya Doa produksi Sheila Rusly. Penuh perasaan saya menonton kisah kehidupan yang penuh pengajaran ini. Bagaimana seorang ibu tua yang terabai menghadapi hidup dalam resah dan rindu. Mungkin begitulah kita juga nanti. 

Pelakon-pelakonnya ada yang saya kenal dan ada yang baru kali pertama saya tonton. Watak ibu tua memang cemerlang sekali di tangan Normah Damanhuri. Azri Iskandar dan Sheila Rusly sebagai pasangan suami isteri, Syarul Riduan sebagai cucu yang baik, Niena Baharun sebagai jururawat yang dibayar untuk menjaga ibu tua itu, juga Ozlynn sebagai anak perempuan yang tidal menghiraukan ibunya.

Bagus juga cerita begini, yang tidak ada langsung kisah cinta atau kahwin paksa. Tidaklah membosankan walaupun ada ruang untuk kritikan.

Waktu sudah pun 11.22 malam. Dia masih belum pulang. Saya sudah mengantuk.

Selamat malam. Assalamualaikum. 

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Saturday, July 07, 2018

Terengganu

Alhamdulillah sudah selamat kami kembali ke teratak kasih kami di Kampung Chenok pada jam 5.16 petang tadi selepas berpergian semalaman ke Terengganu.

Menyambung kisah, sebaik selesai solat Jumaat semalam, kami menuju ke Batu Buruk dan menjamah hidangan tengah hari di medan selera di situ. Saya sebenarnya sudah kenyang kerana semasa menanti suami bersolat, saya sudah mengisi perut di kedai makan di Pasar Payang. Jadi saya cuma menemani suami saya sahaja. 

Jam menghampiri 3 petang, kami ke Batu Buruk Beach Resort untuk menginap di sana. Pengunjung tidak seramai mana, dan kami diberi bilik Superior bernombor 112 berharga RM120. 

Tanpa lengah kami menuju terus ke bilik di tingkat satu itu untuk merehatkan diri. Biliknya biasa sahaja. Sempit, dan agak tidak tersenggara dengan baik. Katilnya bergoyang agak kuat apabila badan saya berpusing. Siaran TV nya tidak banyak malah saluran RTM pun tiada. Kecewa juga kami yang mahu menonton France menentang Uruguay malam nanti.

Saya mendail nombor Kak Zaiha, tetapi Afnan yang menjawab. Emaknya sedang ada majlis di Tanjong Vista, kata Afnan. Tidak sempat berbual lama baterinya habis. Aduhai!

Jam 4.15 petang saya dan suami turun menuju ke Tanjong Vista kalau-kalau tersua mereka di situ, tetapi tiada. Telefon pun tidak berjawab. Kami langsung ke Kedai Payang dan melayan durian di sana. Sebiji musang king seberat 1.3 kg kami beli dengan harga RM50. Enam ulas sahaja isinya dan kami habiskan dengan sekali hadap sahaja. Kami menuju ke pantai untuk bersiar-siar tetapi orang sangatlah ramai pada hujung minggu begini. Sudahnya kami ke Food Court yang baru dibuka di sebelah hotel kami untuk minum petang. Suami saya memesan kambing bakar Guangzhou berharga RM15 dan saya pula memilih western food, roti bawang putih dan sup cendawan berharga RM7. Air teh o ais seperti biasa tidak dapat kami abaikan.

Sambil menikmati hidangan, saya seronok mendengar lagu-lagu yang dinyanyikan live oleh kumpulan muzik busking di situ. Menghiburkan, dan merdu pula. Mereka menerima derma secara sukarela daripada pengunjung.

Saya menghubungi Kak Zaiha sekali lagi dan kali ini berjawab. Saya memaklumkan ingin menziarah ibunya yang baru dibedah, esok. Tidak sangka pula dia dan anak-anak datang ke hotel kami selepas Maghrib. Terima kasih atas kunjungan. Terlepaslah rindu pada semua tetapi Afnan tidak bersama kerana ada tuisyen.

Malam ini kami ke warung Pak Maidin di hadapan hotel kami untuk makan malam. Sengaja kami turun agak lewat kerana perut masih kenyang dan mahu menonton bola di situ. Sempatlah melihat aksi France dan Uruguay untuk 20 minit pertama sambil menikmati mi goreng mamak dan mi tom yam.

Seterusnya kami mengucapkan selamat malam dunia, untuk menanti hari esok pula.

Sabtu, 7 Julai.

Bangkit pagi ini dengan rasa yang masih kantuk kerana malam tadi lena saya tidak seberapa. Agenda tetap diteruskan seperti yang dirancang. Sarapan pagi kami nasi dagang Terengganu di Kedai Kak Pah yang masyhur itu. Terserempak dengan rakan lama kami di situ, Ustazah Raihan sekeluarga.

Jam 11 kami keluar ke Kedai Payang untuk membeli belah dan pada jam 12.30 kami menuju ke Pulau Kambing untuk menziarah emak Kak Zaiha. Kebetulan adik Kak Zaiha, Noni dan anak-anak juga ada dan dia sedang bersedia untuk terbang Ke Mekah menunaikan haji minggu depan. Semoga semuanya dipermudahkan.

Selesai sudah agenda yang kami susun, seterusnya kami menuju ke jalan pulang. Jam 2.15 kami singgah makan tengah hari di Hasnik Seri Menanti, Jalan Penarek. Nasi ayam, ikan dan sotong celup tepung dan air kelapa amat menyelerakan saya yang kelaparan. Harganya cuma RM39.50.

Jam 3.20 kami singgah bersolat di Masjid Kg Anak Ikan, dan meneruskan lagi perjalanan sehingga selamat tiba di rumah pada 5.16 petang.

Begitu perjalanan kami kali ini.

Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Friday, July 06, 2018

Cuti-cuti Malaysia

Tenang menyusuri jalan
Warung Nasi Dagang Kak Yah, 10.35 pagi



Hujung minggu yang tidaklah sepanjang mana ini, ada ketikanya perlu juga diisi dengan aktiviti luar rutin. Jika setiap kali hujung minggu menjengah, aktiviti yang diatur sentiasa sama maka kali ini saya mahu ia berbeza, walaupun cuma dua hari.

Sejak bulan puasa lagi suami saya merancang dan mengajak saya keluar berjalan-jalan untuk bercuti dan berehat di luar Kelantan untuk beberapa hari selepas raya nanti. Dia mahu kami mengambil cuti rehat sehari supaya percutian itu lebih lama tetapi saya pula keberatan. Saya seorang yang sangat cintakan sekolah saya, dan terlalu sukar mahu mencutikan diri. Saya memberitahu suami, kita ke tempat dekat-dekat sahajalah. Semalaman pun cukup, tak perlu bercuti rehat.

Kami ada dua pilihan untuk tempat yang dekat begini iaitu Camepn Highland atau Terengganu. Kedua-dua tempat itu sudah terlalu kerap kami pergi sebenarnya malah boleh dikatakan setiap tahun itulah destinasi wajib bagi kami tetapi masih lagi belum jemu-jemu mengunjunginya.

Saya memilih ke Terengganu kerana ada Pasar Payang. Dan saya memilih tarikh 6-7 Julai kerana ia bukan waktu puncak. Semua orang sudah penat beraya selama tiga minggu dan poket pun sudah tidak berapa basah maka tentunya lengang sahaja Pasar Payang nanti. Harap-harap begitulah. 

Suami saya menerima setiap apa yang saya rancang tanpa bantahan. Alhamdulillah. Terima kasih kekasih!

Dan pagi ini, jam 9.34 pagi, Hilux kami meluncur membawa kami keluar seketika dari Tanah Serendah Sekebun Bunga ini untuk berehat di Negeri Penyu itu.

Saat ini, saya sudah berada di Pasar Payang sementara menanti suami saya bersolat Jumaat di Masjid Abidin. Sendirian saya meronda pasar ini dan singgah di kedai makannya untuk semangkuk nasi air dan teh o ais. 

Sebentar lagi apabila selesai solat Jumaat, kami akan mencari tempat penginapan dan berehat sebentar sebelum keluar menziarah sahabat dan keluarga yang ada di sekitar sini.

Semoga semuanya dalam redha Allah jua.



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Wednesday, July 04, 2018

Meminta Tabah

Sungguh ia tidak mudah. Sukar malah perit amat. Tetapi itulah laluan yang tersedia di hadapan dan ibu muda ini tiada pilihan selain menempuhinya. 

Adam Rayqal, bayi comel yang baru mencecah lima bulan itu dibunuh kejam oleh pengasuhnya tanpa peri kemanusiaan. Siapa pun tentu akan mengutuk perbuatan gila ini dan pengasuh itu perlu dihukum. Pun begitulah, Adam Rayqal tetap tidak akan kembali. Ibu dan bapanya tetap akan merinduinya sampai bila-bila. Dan itulah keperitan yang tidak terbayang.

Saya hanya mampu berdoa agar mereka yang teruji hebat ini diberi kekuatan oleh Allah dan tabah menerima takdir. In shaa Allah akan bertemu jua dengan Adam Rayqal di syurga nanti. Amin.


Sent from my Samsung Galaxy smartphone.

Harapan

Begini rasa yang ada pada saya sebagai manusia biasa yang menyaksikan asam garam kehidupan dalam pelbagai sudut pandang.

Apabila negara bertukar pemerintah, tentunya hati menjadi cuak walaupun mengharap pada yang terbaik demi Malaysia tercinta. Berpuluh-puluh tahun di bawah satu pemerintahan, kini masanya untuk merasai sesuatu yang baru. Harapan tentunya untuk mendapat sesuatu yang lebih baik dan lebih mesra rakyat. 

Mungkin masa perlu diberi sebelum penilaian dilakukan. Walaupun nampak senget dan longgar di sana sini, saya masih belum mahu berhenti berharap. Saya masih menyimpan rasa yang positif. Semoga positiflah nanti.

Apabila DS Najib ditangkap, saya mula mahu lebih berhati-hati. Saya tidak mampu membaca hati siapa-siapa dan saya tidak tahu apa permainan yang ada. Saya risau, khuatir dan keliru pada masa yang sama. Bukan menyokong, bukan membangkang. Saya mahu keadilan yang tiada pengkhianatan dan saya tidak mahu siapa-siapa teraniaya.

Tuhan, jagakanlah negaraku ini!



Sent from my Samsung Galaxy smartphone.