Menjadi orang, kenalah melalui fasa-fasa sihat dan sakit. Tiada orang yang sihat selamanya tanpa pernah sakit walau sekuman. Cuma mungkin tahap sakit itu yang berbeza.
Seiring usia, kesihatan amatlah perlu dipantau selalu-selalu. Menjadi orang yang tiada anak seperti saya ini lagilah perlu menjaga kesihatan. Logiknya dah tua-tua nanti kalau sakit teruk siapa yang mahu jaga? Tapi tak kisahlah. Doa saya semoga Allah memberi yang terbaik untuk saya agar tidak menyusahkan siapa-siapa.
Empat puluh enam tahun sebenarnya sudah boleh dianggap tua untuk seorang wanita. Walaupun Rozita Che Wan masih jelita pada usia ini, saya bukanlah dia. Badan yang membelon tanpa rasa bersalah ini menyebabkan kaki saya cepat sakit. Bukanlah saya ini kuat makan sangat tetapi pengambilan hormon untuk melawan penyakit endometriosis saya ini kesannya begitu. Saya redha aje lah.
Akhir-akhir ini saya lebih kerap memantau bacaan gula dalam darah saya kerana bimbangkan diabetes. Sudah lebih setahun saya membeli glukometer True Result di Lazada, dan menggunakannya sepenuh hati. Alhamdulillah bacaan gula saya masih terkawal walaupun di tahap persempadanan. Semoga diabetes tidak berminat dengan saya walaupun ciri-ciri ke arah itu ada.
Nasihat saya untuk semua, pantaulah kesihatan selalu-selalu. Jangan kedekut duit untuk membeli alat menguji tekanan darah dan glukometer kerana ia memudahkan kita mengawal dan menjaga kesihatan. Sering-seringlah ke klinik juga, lakukan ujian darah secara berkala untuk mengenalpasti penyakit yang ada. Jika cepat dikesan, in shaa Allah mudah diubat.
Apa pun semuanya dalam genggaman Allah jua. Jangan lupa untuk terus memohon agar Allah memberi kesihatan yang baik dan kekuatan untuk kita meneruskan hidup dalam perjuangan menuju syurga-Nya.
Amin.
Sent from my Samsung Galaxy smartphone.
No comments:
Post a Comment