Sunday, July 29, 2018

Mama

Mama, ibu yang kami kasihi. Lahir pada 1952 di Kampung Chabang Dua, Golok, Selatan Thailand. Dinamakan Rahmah, mama lahir sebagai anak kelima arwah datuk Che Idris (1906 - 1978) dan anak sulung arwah nenek, Tuan Kembang (1936 - 1967). Sebelum menikahi nenek kami, arwah datuk sudah memiliki empat orang cahaya mata dari isteri pertamanya yang meninggal dunia sekitar 1950.

Pendidikan awal mama ialah di sekolah rendah Temaju di kampungnya sehingga berusia dua belas tahun. Pada Ogos 1965, ketika baru berusia tiga belas tahun, arwah datuk menghantar mama menyambung pengajian di sekolah agama di Rantau Panjang. Mama belajar di situ sehingga hujung tahun 1967. Pada tahun 1968, mama berpindah ke sekolah agama Naim Lilbanat di Kota Bharu, dan hanya sempat berada di situ selama setahun setengah kerana pada Julai 1969, mama bernikah.

Usia mama baru tujuh belas, sudah bergelar isteri orang. Walaupun mama tidak sempat menamatkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, saya yakin dan benar-benar percaya mama adalah seorang wanita yang bijak. Jika diberi peluang, mama tentu akan menjejakkan kaki ke universiti juga. Apalah daya, persekitaran waktu itu tidak meletakkan pendidikan untuk anak gadis sebagai sesuatu yang penting. Lebih penting ialah menjadi isteri. Apabila usia mencecah dua puluh tahun sudah dianggap lewat jika belum berkahwin.

Kenapa saya katakan mama saya bijak?

Mama boleh membaca dan menulis dengan baik, dan mama pandai mengaji Quran dengan tajwid yang betul. Mama mudah memahami dan suka belajar. Jika menonton TV, mama sukakan rancangan berbentuk informasi. Mama tidak suka menonton drama dan hiburan. Rutin mama setiap pagi tentunya menonton TV rancangan agama dan juga rancangan  bual bicara. Buletin Utama juga tidak pernah mama kesampingkan. Mama tahu banyak maklumat dan isu semasa.

Dalam usia sekarang - 66 tahun - mama mampu mengendali telefon pintar dengan cemerlang. Malah lebih cemerlang daripada rakan-rakan saya yang lebih muda. Mama tahu menggunakan Facebook, Instagram dan WhatsApp. Mama boleh menonton Youtube mencari video-video kegemarannya, dan mama mengaji Quran dengan aplikasi dari Google Play.

Itu mama saya yang tidak sempat menghabiskan pengajian menengahnya pun. Mama saya yang hebat dan amat saya kasihi. Mama saya yang bukan sahaja cantik, peramah, rajin tetapi juga bijak dan berdikari.

Mama ialah contoh yang baik buat kami adik beradik. Saya bersyukur sungguh memiliki mama sebagai ibu. Setiap hari saya mendoakan kesejahteraan mama di dunia dan akhirat. Semoga mama bahagia selalu, walaupun bersendirian. Semampu mungkin saya mahu memberi yang terbaik buat mama, selagi hayat dikandung badan.

No comments:

Post a Comment