Wednesday, July 31, 2019

Daulat Tuanku

Hari ini sungguh membahagiakan apabila diumumkan sebagai hari cuti untuk seluruh negara sempena Pertabalan Agung yang keenam belas. Cuti seperti ini sungguh mendamaikan kerana ia berlaku di tengah-tengah minggu.

Pagi bermula memberi ruang yang lega untuk saya bergolek di katil. Sebaik suami saya keluar ke masjid, saya memiliki masa untuk diri sendiri. Untung bila uzur begini, saya tidak bergerak ke mana-mana pun, keluar dari bilik sekadar untuk memadam lampu di ruang tamu sahaja.

Jam 7.25 pagi suami saya pulang bersama sarapan. Indah kan bila isteri hanya menanti di rumah dan menyediakan air minuman sahaja. Tidak perlu bersilat di dapur pun!

Nasi berlauk Air Dingin memang kegemaran saya. Sebungkus seperti tidak cukup tetapi saya tidak boleh menurut kata hati. Hari ini suami saya turut membelikan sarapan untuk mek dan ma di seberang jalan sana. Selalu pun begitulah bila cuti. Kali ini sarapan untuk ma lebih banyak daripada biasa kerana anak-anak Husna dan pengasuhnya turut berada di rumah ma. Sebungkus nasi dagang, sebungkus nasi berlauk dan dua bungkus nasi kerabu dibeli untuk mereka.

Seterusnya saya bergolek lagi. Kain yang memenuhi bakul hanya perlu dicampak ke dalam mesin dan menanti pusingannya selesai. Makan tengah hari tidak perlu risau kerana suami saya mengajak saya ke Pantai Irama untuk makan di sana. Jam 11.30 pagi kami turun dan menuju ke Pantai Irama yang memakan masa 40 minit perjalanan sahaja.

Ikan dan udang celup tepung, disulami empat cucuk bebola ikan dan ketam amat mengenyangkan. Kami tiba semula di rumah pada jam dua dan saya menidurkan diri sehingga ke jam empat. Nikmat!

Petang ini, sepulang dari solat Asar suami saya belikan apam balik. Saya menyediakan jus oren segar dan kami sama-sama menikmati hidangan petang dengan penuh berselera. Sementara menanti malam, saya menggosok pakaian kerja kami untuk esok.

Malam pula, kami keluar ke Restoran Sawadee di Mulong untuk hidangan istimewa - tom yam campur, bawal tiga rasa, ayam goreng halia dan kailan ikan masin. Untuk minuman, saya meminta jus oren segar dan suami pula menikmati lai ci kang. Sebungkus mihun sup kami bawa pulang untuk mek. Harganya? Hanya RM30 untuk semua itu. Sangat murah bukan? Alhamdulillah.

Pulang ke rumah, sambil menonton Salam Baitullah di TV1 saya membantu suami saya menaip soalan Geografi yang perlu dihantar ke PPD melalui aplikasi Telegram. Sekejap sahaja, tidak sampai setengah jam pun semuanya selesai. 

Begitu cuti hari ini saya penuhi dengan penuh rasa bahagia.

Alhamdulillah.

Sunday, July 28, 2019

Roti Titab

Sewaktu di Cameron Highlands dua minggu lepas, saya kali pertama mencuba roti titab. Walaupun makanan ini berasal dari Kelantan tetapi saya tidak pernah merasanya di sini. Suami saya kelihatan teruja dan menggemarinya sedang saya biasa-biasa sahaja. Dalam perjalanan pulang dari Cameron Highlands itu, suami saya sekali lagi memesan roti titab di restoran yang kami singgah. Wah, sepertinya dia gemar benar.

Petang tadi, saya rasa lapang dan mahu memasak sesuatu yang ringkas untuk minum petang kami. Sambil bersembang dengan suami, saya membuka aplikasi di Youtube dan menggelintar roti titab. Tanya saya kepadanya, mahukah? Dia kata dia mahu. Saya pun melihat video penyediaan roti titab itu dan kelihatannya mudah sahaja. Ok, saya buat sekarang ya! Tunggu...

Di dapur, saya masak dua biji telur selama beberapa minit sahaja supaya ia menjadi separuh masak. Empat keping roti Gardenia saya ambil, sapukan telur dan lekatkan setiap dua keping supaya tebal dan cantik. Seterusnya saya sapu marjerin di kedua-dua permukaan atas dan bawah roti yang sudah dicantum itu dan membakarnya dalam kuali non stick. Apabila warnanya cantik, saya angkat dan pecahkan telur masak separuh ke atasnya dan menyapu setiap penjuru roti dengan kaya. Siap.

Suami saya tidak bertangguh terus mencuba dan memuji kesedapan roti titab saya itu. Alhamdulillah, resepi mudah begini tentulah boleh dibuat selalu-selalu!

Sekian laporan saya kali ini.



Wednesday, July 24, 2019

Selepas Dua Hari

Hari ini berlangsungnya Karnival STEM yang gilang gemilang di sekolah saya tetapi saya langsung tidak mengambil bahagian. Rasa syukur pula apabila diberi sakit yang begini, mereka seperti lebih memberi ruang untuk saya berehat. Alhamdulillah.

Apabila mereka bertanya khabar tentang sakit saya, saya bercerita seadanya. Luaran saya yang nampak sihat menjadikan mereka seperti hairan, tetapi penceritaan saya sentiasa berpaksikan pada sebuah kenyataan. 

Ada beberapa peristiwa yang berlaku kepada saya pada dua hari ini yang saya mahu simpan di sini.

Pertama, petang semalam saya menerima pesanan WhatsApp daripada Uya, adik ipar Husna yang mengajar di SMK Kemumin. Dia menghubungi saya atas arahan Pengetuanya, Puan Hajjah Norriha Abd Rahman. Kata Pengetuanya, analisis peperiksaan yang saya buat di SMK Kampong Chengal sangat terperinci dan beliau mahu SU Peperiksaaan SMK Kemumin melihat analisis saya itu.

Teringat saya pada tahun lepas, sewaktu Pengetua itu di SMK Ketereh, beliau juga meminta SU Peperiksaannya mengambil analisis peperiksaan daripada saya untuk dijadikan panduan kerana beliau tidak berpuas hati dengan analisis yang disediakan. Kebetulan SU Peperiksaan SMK Ketereh itu sekampung dengan saya, jadi dia datang mengambil salinan analisis itu di rumah saya.

Sebenarnya, saya jadi kekok apabila dijadikan penanda aras begitu. Analisis yang saya buat itu biasa-biasa sahaja, cuma mungkin bezanya kerana saya pindahkan dari laman web SAPS ke MS Excel dan menambah sedikit sebanyak elemen perbandingan. Saya ada sedikit kemahiran menggunakan perisian MS Excel jadi saya seronok melakukan analisis perbandingan dengan pencapaian tahun-tahun lepas dan juga dengan KPI tahun semasa. Mungkin SU Peperiksaan sekolah lain cuma mencetak terus dari laman web SAPS.

Tetapi tidak mengapalah, saya sudi sahaja berkongsi dengan mereka lalu menghantar salinan analisis itu melalui emel. Semoga ada manfaatnya.

Peristiwa kedua pula, bulan ini sepatutnya giliran saya menerima bayaran kutu. Nilainya boleh tahan juga, RM5000. Saya bukanlah ada apa-apa keperluan dengan wang kutu itu tetapi seronok rasanya mahu berbelanja bulan ini tanpa mengusik duit gaji. Keterujaan saya itu sudah lama saya rasa dan tidak sabar untuk menikmatinya.

Tiba-tiba pagi ini, rakan guru saya yang menerima giliran terakhir kutu iaitu pada Oktober nanti memohon agar saya memberikan giliran kutu bulan ini kepadanya kerana dia ada keperluan. Katanya, isterinya akan bersalin tidak lama lagi.

Saya ini, tidaklah boleh berkata tidak. Apatah lagi dia seperti sangat memerlukan. Tetapi jika saya bersetuju, giliran saya akan menjadi yang kesepuluh dan saya rasa itu sangat lama. Apatah lagi keterujaan yang ada dalam jiwa saya tiba-tiba terpadam. Saya seperti kecewa!

Entahlah, saya tidak tahu mahu berkata bagaimana. Saya maklumkan kepada ketua kumpulan kutu saya tentang ini dan meminta dia membuat keputusan bagi pihak saya.

Semoga damai.


Tuesday, July 23, 2019

Kembali Bekerja

Sesungguhnya lima belas hari tidak bekerja kerana cuti sakit amatlah saya nikmati. Tidak sedikit pun ada rasa bosan atau jemu di rumah walaupun saya cuma sendirian. Saya amat menikmati dan menggemari cuti  yang sebegini, sungguh! Dan pada hari akhirnya semalam, saya mula rasa sedih. Sedih untuk kembali bekerja dan meninggalkan rasa tenang bersendirian di rumah.

Jam 6.46 pagi saya tiba di sekolah. Orang pertama yang saya sapa ialah Encik Wan Adnan, pembantu pejabat yang tiba kemudian sedikit daripada saya. Seterusnya saya ke bilik peperiksaan dan memulakan tugas seperti biasa.

Di bilik guru pagi ini ada jamuan nasi kerabu istimewa, yang dimasak sepenuhnya oleh cikgu Siti Hasliza dan ditaja oleh cikgu Zainon. Saya tidak ke kantin kerana sudah kenyang menikmati kelazatan nasi kerabu itu. Terima kasih Ja dan Kak Non yang pemurah.

Kelas hari ini saya langsaikan seperti biasa. Jadual baru saya bertambah satu kelas maka agak padatlah setiap hari. Saya ok sahaja, dan berazam untuk memberi yang sehabis baik.

Bermula dengan 5 Ibnu Khaldun, saya selesaikan bab Trigonometri dan diikuti dengan 5 Ibnu Haitam saya teruskan bab Kebarangkalian. Selepas rehat sepatutnya saya mulakan bab Bulatan di tingkatan 4 Ibnu Sina tetapi mereka terlibat dengan persiapan Karnival STEM di dewan maka saya biarkan sahaja mereka di situ.

Masa yang berbaki saya penuhi di perpustakaan, bersama-sama Kak Sham dan Mas Adiera. Apabila Kak Sham bercerita tentang kencing manisnya yang tidak diukur bacaan gula sejak lama, saya bermurah hati menghadiahkan Kak Sham glukometer milik saya.

Sebenarnya saya memiliki tiga glukometer. Satu saya guna di rumah dan satu di sekolah. Yang satu lagi saya baru terima melalui pesanan di Lazada, dan ia sebenarnya untuk mengukur bacaan kolesterol tetapi boleh juga diguna sebagai glukometer. Alat berjenama Avometer itu berharga RM109 dan saya akan menggunakannya di sekolah. Dengan adanya Avometer itu, glukometer yang lama tidak lagi saya perlukan jadi saya hadiahkan kepada Kak Sham beserta strip, jarum dan swabnya. Semoga ia berguna untuk Kak Sham.

Lama saya di perpustakaan yang nyaman itu, sehingga jam menghampiri dua. 

Pulang ke rumah, saya dan suami menikmati makan tengah hari masakan Cik Esah tuan kantin sekolah suami saya. Sup tulang, telur dadar, ikan keli goreng dan nanas amat menyelerakan. Alhamdulillah.

Seterusnya saya menidurkan diri dari jam 3.45 petang sehingga 5.15 petang. Selepas Asar saya mencapai telefon Asus ini untuk menulisi hantaran ini.

Sekian.

Sunday, July 21, 2019

Sakit dan Rehat

Apabila doktor memberi saya cuti sakit selama dua minggu, saya rasa sangat seronok. Dalam fikiran saya, saya mahu berehat sepenuh hati. Saya tidak mahu diganggu, jika boleh saya mahu bersendirian sahaja. Nikmat bersendirian bagi saya tiada tandingannya.

Tetapi pada hujung minggu, akan adalah sahabat dan saudara yang datang menziarah. Bukan saya tidak suka, tetapi saya mahu waktu kebersendirian yang lebih lagi. Untuk itu, saya dan suami bersetuju untuk bercuti.

Khamis 18 Julai itu kami bergerak ke Cameron Highlands pada jam 2.04 petang. 

Sebenarnya kami menempah bilik di hotel Rosa Pasadenna pada tarikh 19 Julai. Jadi 18 Julai itu kami pergi tanpa tahu hotel mana bakal kami inap. Suami menghubungi sahabat lamanya di sana, Cikgu Nasir sekadar memaklumkan yang kami akan tiba di CH untuk bercuti lalu dia mempelawa kami menginap di homestay miliknya. Alhamdulillah.

Jam 7 petang kami pun sampai dan terus menuju ke homestay tersebut yang cukup luas dan selesa. Kami makan malam di restoran yang terletak berhampiran.

Esoknya, Cikgu Nasir umpama pemandu pelancong pada kami. Dia dan isteri membawa kami sarapan, seterusnya meninjau kebun sayur kecil-kecilan yang beliau usahakan di rumah dan di PPD, juga menyediakan kami makan tengah hari yang enak di rumahnya. Alhamdulillah, terima kasih banyak-banyak Cikgu Nasir dan Kak Siti.

Selepas Jumaat, kami berpindah ke Hotel Rosa Pasadenna untuk bermalam di sana pula. Sederhana sahaja hotel ini tetapi cukup untuk kami bersantai dan menikmati kenyamanan cuaca Cameron Highlands.

Sabtu 20 Julai, selesai sarapan di hotel dan berehat seketika, kami pun bersedia untuk pulang. Perjalanan kami lancar dan selamat tiba di Chenok pada jam 5 petang. Alhamdulillah.


Wednesday, July 17, 2019

Rehat

Sudah Rabu hari ini, dan sudah tiga hari persekolahan minggu ini saya bersantai-santaian dengan penuh bahagia di rumah.

Rupanya indah sekali bercuti sakit dalam keadaan kita tidak sakit. Rupanya berseorangan di rumah sendiri seperti ini sangat memberi ketenangan. Benar-benar tenang. Bukankah doktor suruh saya berehat? Lalu saya pun berehat bersungguh-sungguh.

Ahad itu, saya bekerja juga. Saya menyapu habuk yang banyak dalam bilik tidur saya. Itu sahaja. Makan tengah hari suami saya bawa pulang. Selepas Asar, saya dan suami mengambil ma di rumahnya untuk ke Panji, menghantar Husna dan Hawari ke Tanah Suci. Semoga dipermudahkan segala urusan hendaknya.

Isnin, saya berhajat mahu mengemas meja dan laci dalam bilik saya tetapi ada tetamu yang datang. Rakan guru saya - Kak Sham dan Kak Ma tiba pada jam 9.20 pagi. Lama juga kami bersembang. Apabila mereka pulang, saya sudah hilang mood untuk berkemas. Jadi saya tidak buat apa-apa. Petang pula seorang lagi sahabat guru saya datang iaitu Norita dan suaminya.

Selasa semalam, tiada tetamu dan tiada kerja. Saya rehat serehat-rehatnya. Hari ini pula baru bermula, belum tahu lagi bagaimana.

Tidak langsung saya rasa bosan di rumah ini. Jiwa saya semakin serasi dengan persekitaran rumah ini dan sendirian pun tidak mendatangkan sunyi.

Sebaik suami saya keluar ke sekolah, saya akan menonton Tanyalah Ustaz di TV3. Sambil-sambil itu saya melayari internet di telefon dan laptop, memasak sarapan yang mudah-mudah dan seterusnya bergolek di katil.

Nikmatnya!

Semoga dengan ketenangan sebegini memberi kesembuhan kepada jantung saya.

Amin.

Sunday, July 14, 2019

Anak-anak Murid

Berita saya sakit dan masuk wad selama tiga hari bukan hanya berlegar di sekitar sahabat dan saudara, tetapi turut sampai ke pengetahuan bekas anak-anak murid saya. Siapa sangka mereka masih cakna dan mahu menziarah saya?

Sabtu semalam, mereka tiba. Tuhan jua tahu betapa terharunya saya menyambut kehadiran Badrul Amin dan Wan Muhammad Hafiz yang merupakan pelajar SPM 2016, ditemani juga Wan Muhammad Afnan (abang Hafiz, SPM 2012) dan Wan Muhammad Adli (adik Hafiz, tingkatan 4).

Teringat kembali saat saya mengajar Badrul dan Hafiz pada 2015 dan 2016. Mereka berdua sangat bijak dan cepat faham apa yang saya ajar. Sejak ujian pertama lagi mereka memang sentiasa mendapat A dalam Matematik Tambahan. Mereka tiada tuisyen luar, hanya belajar dengan saya. Natijahnya, mereka muncul pelajar terbaik SPM 2016 yang mana Hafiz mendapat 9A dan Badrul 8A.

Mereka cemerlang akademik kerana sememangnya mereka cemerlang, bukan kerana mereka dipaksa-paksa belajar atau disumbat teknik dan kaedah menjawab. Mereka antara yang mudah diajar, berakhlak mulia dan penuh kesopanan. Kalaulah semua murid seperti mereka, akan sangat senanglah tugas guru!

Sekarang Hafiz sedang mengikuti kursus perubatan di HUSM manakala Badrul pula pelajar Kejuruteraan Aeroangkasa di UIA Gombak. Afnan pula baru tamat kursus perubatan di UM dan sedang menanti panggilan penempatan.

Alhamdulillah, mereka berjaya menuju cita-cita tanpa lupa pada asal usul. Kedatangan mereka sesungguhnya sangat saya hargai dan saya mendoakan laluan di hadapan mereka dipermudahkan.

Sebelah petang pula, saya menerima kunjungan daripada anak-anak murid tingkatan 4 Ibnu Rushd. Lima orang semuanya, Taufiq, Soleh, Najmi, Adam dan Faris. Terharu juga menerima kunjungan sebegini kerana kelihatannya mereka prihatin sekali pada saya. Taufiq yang mula menghantar pesanan WhatsApp dan bertanya khabar saya. Kemudian Faris pula yang memaklumkan mereka mahu datang. Saya hanya mampu mendoakan agar Allah memberi mereka kemudahan dan kebahagiaan hidup yang berpanjangan di dunia dan di akhirat.

Begitulah guru. Anak-anak murid sentiasa dikasihi dan disayangi seperti anak sendiri.


Lulus

Dunia pendidikan sekarang rasanya sudah tersasar dari tujuan sebenar. Mendidik bukan lagi untuk mengubah daripada jahil kepada berilmu, tetapi mendidik sekarang tujuan utamanya ialah untuk lulus periksa, atau lebih tepat lagi merangkul A yang berbakul-bakul.

Apa tidaknya, dari UPSR lagi anak-anak kita ditekan untuk mengumpul A dengan pelbagai cara. Kadang-kadang saya rasa peringkat UPSR lebih teruk tekanannya berbanding peringkat SPM yang sedang saya tangani sekarang. Anak-anak UPSR dipaksa belajar(?) sehingga malam, dikurung untuk kem yang pelbagai dan membiarkan mereka lupa yang mereka masih kanak-kanak yang perlu meneroka alam. Sedang anak-anak SPM saya ini, yang sudah sedikit dewasa, tidak pula saya tekan sebegitu rupa. Memadai dengan suntikan motivasi yang berkala dan kelas tambahan yang tidak berkira. Mereka manusia, ada sisi lain pada mereka yang perlu kita peka, selain akademik. Ajak mereka berfikir, bukan menyuap untuk mereka menghafal.

Perlu sekali masyarakat faham yang keupayaan manusia ini berbeza-beza. Saya kasihan sekali kepada anak-anak SPM saya yang tidak faham langsung Matematik Tambahan kerana asas yang lemah dek minat yang kurang tetapi tetap mahu meneruskan mata pelajaran itu. Saya rasa rugi sungguh dia membuang masa mempelajari sesuatu yang tiada dalam jiwa, sedang jika dia mengambil mata pelajaran lain dia boleh menguasai.

Perlu apa Matematik Tambahan jika kalian tidak mampu? Ambillah Geografi atau Ekonomi atau Perniagaan kerana mata pelajaran itu sesuai dengan kalian. Jangan samakan keupayaan semua orang. Negara kita bukan hanya perlukan doktor dan jurutera tetapi penjawat lain yang tinggi ilmu di dada.

Ibu bapa pula, cukup-cukuplah memaksa anak mengikut kehendak kita. Fahamilah upaya dan minat mereka dan beri dorongan yang bersesuaian. Kalau UPSR tidak banyak A pun, ruang di depan masih terbuka. Janganlah ikan mahu bersaing dengan monyet!

Setiap kali memikirkan sistem pendidikan di negara ini, saya jadi lemah jantung. Geram dan risau. Geram kerana pihak penggubal kurikulum masih degil dan enggan berubah, dan risau dengan mentaliti masyarakat yang tak habis-habis membilang A.

Minda masyarakat kita sangat sukar diubah jika minat membaca dan menyelidik masih rendah. Hanya politik dan politik yang mereka bincangkan di mana-mana, seolah perkara lain tiada nilai apa.

Sabarlah wahai hati. Semoga jantungmu sejahtera.

Saturday, July 13, 2019

Kronologi

Apa yang akan berlaku di hadapan tidak mampu kita singkap sekarang. Begitu perjalanan, teruskan melangkah biar apa pun halangan.

Seingat saya, degupan jantung yang kencang tiba-tiba telah saya alami sejak 2014, cuma ia tidak kerap. Apabila ia menyerang, dada saya akan sakit, badan akan berpeluh dan saya menjadi mengah. Mahu berjalan pun rasa susah dan penat. Saya akan baring dan biar diri tertidur. Memang lambat untuk lena tetapi saya perlu mencuba. Selalunya bila saya terjaga, degupan jantung saya akan normal kembali.

Bukan saya tidak pernah membawa masalah ini ke klinik, tetapi selalu mendapat keputusan yang baik-baik sahaja. Mungkin saya stressed, kata doktor. ECG pun saya buat juga, sekali di KK Perol dan sekali di Klinik Primer Nilam Puri dan kedua-duanya normal.

Jadi saya simpulkan yang degupan kencang itu tidak berbahaya.

Sehinggalah menjelang tahun ini, ia menjadi semakin kerap. Ditambah pula dengan pernafasan saya yang seperti tidak puas terutama menjelang malam, saya mahu membawa diri ke klinik sekali lagi. Saya mahu memastikan jantung saya ok dan saya sihat. Sedikit pun tidak terfikir yang sememangnya jantung saya perlu dirawat.

Jam 8.15 malam di Klinik Ehsan, Ketereh pada 7 Julai 2019 menjadi titik mula kisah ini. Doktor Mahfuzah memeriksa saya dan melakukan ECG, dan mendapati saya perlu segera ke hospital. Jantung saya bermasalah, katanya.

Saya tenang. Tidak rasa terkejut pun malah memohon untuk ke hospital esok pagi. Doktor kata kalau boleh malam ini juga tetapi terpulanglah.

Dalam fikiran saya, biarlah saya berehat dahulu malam ini dan esok pagi-pagi baru ke hospital. Alhamdulillah keputusan saya tepat kerana Klinik Kecemasan HUSM pada waktu pagi sememangnya lengang. Sampai sahaja di klinik saya tidak menunggu lama, terus dibawa ke zon kuning untuk diperiksa.

Begitulah. Saya sangka mereka hanya akan memberi ubat dan membenarkan saya pulang, rupanya mereka mahu saya berada di wad selama tiga hari untuk rawatan. Saya reda.

Sekarang sudah hari ketiga saya keluar wad dan berehat di rumah. Entah kerana faktor apa, saya rasa kesihatan saya agak berbeza, semakin tidak stabil. Setiap pagi apabila saya batuk, kahak saya bercampur darah. Dada saya juga kerap berasa tidak selesa dan beralun. Di bahagian bawah lengan pula timbul sebiji ketulan yang agak menyakitkan.

Buat masa ini saya anggap ia kesan ubat-ubatan yang sedang saya ambil. Tujuh jenis ubat semuanya yang dibekalkan untuk saya dan tentunya ada kesan sampingan.

Jika minggu hadapan saya masih tidak stabil, saya akan membawa diri ke klinik lagi.

Terima kasih suami, yang sentiasa sabar menemani.

Alhamdulillah.

Thursday, July 11, 2019

Hairan

Selalu kan kita dengar, "sebab kena rotan/tampar lah saya jadi manusia sekarang ni."

Entahlah, jujurnya saya tidak suka ayat ini. Dari segi mantiknya, seolah-olah kalau tak pernah kena rotan maka tak jadi manusialah kita. Atau pun yang tak jadi manusia itu ialah golongan yang tak pernah kena rotan masa kecil dahulu. Begitu?

Eh, saya tak pernah kena rotan!

Mak ayah saya kalau marah pun tak adanya merotan. Paling maksimum kena cubit, itu pun cubit manja je. Di sekolah lagilah saya tak pernah kena rotan. Kena denda pun jarang-jarang. Paling teruk pun kena berdiri je. Eh, pernahlah kena denda lari keliling court tenis sebab rendam baju kat bilik basuh lama sangat, dan tak pulangkan tray dewan makan.

Itu je.

Tak jadi manusia ke saya sekarang?

Sudah-sudahlah bernostalgia. Zaman berubah kot, tak kan kita nak samakan zaman dulu kala dengan zaman sekarang.

Tak ada maknanya denda merotan ke, menampar ke, kalau budak itu tak sedar pun salahnya. Dia lagi benci adalah. Budak zaman sekarang bukan macam kita dulu. Beraninya luar biasa. Silap haribulan dia bertindak dengan tindakan yang langsung kita tidak sangka.

Saya cikgu. Saya tahu cabaran dalam mendidik budak-budak zaman sekarang. Saya bukan tidak pernah rasa marah atau sakit hati, tetapi saya tidak rela mencemar maruah profesion saya dengan marah membuta tuli. Saya marah juga, tetapi mendenda dengah memukul sudah lama saya lupakan. Kali terakhir saya memukul tapak tangan murid dengan pembaris plastik ialah pada 2006. Itu pun saya rasa bersalah sangat. Lepas tu tak nak buat dah. Cukuplah suruh mereka berdiri sampai habis kelas bila tidak siap kerja rumah.

Kadang-kadang bila kita menjadi guru yang baik hati, murid tidak pandai nak buat nakal dengan kita. Mereka mahu manja-manja, kita layankan aje. Beri perhatian lebih, mereka akan rasa dihargai. 

Bila saya sakit dan masuk wad, mereka menghantar pesanan bertanya khabar. Mahu datang rumah lagi. Sayangkan mereka pada saya? Lalu tergamakkah saya merotan bila mereka tidak siap kerja rumah? 

Dan Akhirnya

Ketara benar hari ketiga ini amat bosan. Entah, mungkin kepanasan rasa di wad 7U ini menjadikan duduk laku saya serba tidak kena. Seawal pagi saya dikejut untuk diperiksa tekanan darah, sedikit mengganggu. Memandangkan sudah hampir lima pagi waktu itu, saya abaikan kantuk saya dan mula mencari pengisian rohani.

Usai Subuh, perut lapar pula. Untung ada penjaja makanan di sini, dapatlah sebungkus nasi ayam goreng, lapan biji samosa sayur dan sekoleh teh. Saya menghabiskannya sedikit-sedikit, sambil menunggu sarapan dari wad. Mujur saya tergerak hati untuk membeli, kerana setibanya sarapan hanyalah roti dan susu. Manalah cukup untuk perut saya!

Saya mencuba untuk tidur bagi menggantikan tidur saya yang terganggu malam tadi, tetapi tidak lena. Misi dan doktor pula datang tidak kira masa jadi saya kena selalu bersedia. 



Doktor kata saya sudah boleh pulang hari ini. Seronoknya saya! Tidak elok sebenarnya di wad ini lama-lama sebab ada ramai lagi pesakit di bawah sana sedang menunggu giliran ke sini. Berilah mereka ruang kerana saya sudah sihat.

Jam 1.00 tengah hari, kakak ipar saya cikgu Rohaini dan tiga anaknya datang. Seronok pula apabila ada teman bersembang. Pada masa yang sama misi menyerahkan segala dokumen yang perlu untuk discaj. Saya cuma menanti suami datang sahaja.

Seterusnya, usai Zohor saya bersiap untuk pulang. Jam tiga petang suami saya tiba dan kami ke bahagian taksiran dan farmasi untuk urusan bayaran dan ubat-ubatan. Tentulah tiada bayatan dikenakan kerana saya kaki tangan kerajaan. Kebetulan anak murid saya bertugas di kaunter taksiran jadi saya tidak perlu menunggu langsung. Maaf ya, bukan niat saya mahu memotong barisan.

Jam 4.20 petang kami selamat tiba di rumah kami bersama dua bungkus nasi. Niat mahu menyambung tidur di rumah masih tidak kesampaian kerana masa tidak sesuai. 

Lepas maghrib kami keluar makan dan singgau sebentar di rumah mek dan ma untuk menyatakan yang saya baik-baik sahaja.

Pulang ke rumah saya bersolat Isyak, menggosok baju dan tidur.

Jumpa lagi esok.

Wednesday, July 10, 2019

Catatan Hari Dua

Saya masih menunggu tempat di wad 7U, penuh katanya. Tetapi saya senang di wad sementara ini sebab ia sejuk. Lama-lama pun tidak apa. Pelawat pun tiada jadi saya tenang sungguh. Asyik lena saja.

Suami pulang ke rumah jam 11 pagi dan saya kembali menyendiri. Mulanya saya meminta dia belikan nasi ayam untuk makan tengah hari nanti kerana saya sangka di wad kecemasan ini tidak disediakan makanan, rupanya ada. Nasi putih dengan ikan goreng sambal dan sedikit sayur habis saya makan. Saya batalkan pesanan nasi ayam itu dan meminta suami saya usah buru-buru datang. Lepas Asar pun tidak mengapa.

Jam 4.20 petang penantian saya berakhir. Saya dihantar ke wad 7U dengan kerusi roda dan diberi tempat di katil 8. Maka di sinilau saya, tempat yang tiada air cond lagi.

Nasi saya petang ini berlabel LSD. Mungkin bermaksud Low Sugar Diet. Hah! Amik kau! Dah dapat satu lagi penyakit!

Bacaan gula saya tinggi. Awal pagi semalam 8.7. Lepas makan jadi 10. Doktor arahkan bacaan gula saya diambil berkali-kali hari ini. Malam tadi 7. Pagi ini 7.7. Ya, saya bersedia untuk apa sahaja kemungkinan. Saya akan ikut sahaja arahan doktor.

ECG pun berkali-kali dilakukan. Entah bagaimana bacaannya, tidak pula diberitahu. Saya pun malas bertanya. Kadang-kadang keliru dengan doktor. Asyik-asyik HO je yang memeriksa. Mana MO?

Suami saya datang jam enam dan pulang selepas maghrib. Sungguhlah dia suami yang baik, yang tidak pernah saya sangsikan. Hai, mampukah saya menjadi isteri yang baik juga? Rasa nak termenangis fikirkan ini....

Hal sekolah, saya lupa terus. Biarpun sungguh terlalu banyak kerja belum selesai, biarlah. Nanti-nantilah ya!

Anak saudara saya Anis Rashida datang sekeluarga menziarah saya pada jam 6. Terima kasih lah nak, epal yang dibawa manis sungguh, semanis Anis yang baik hati. Semoga Allah merahmati hidup Anis sekeluarga.

Sebenarnya saya malu menerima pelawat sebab saya sihat. Jangan kata pelawat, suami pun saya kasihan sebab kena berulang alik menjaga orang sihat ini. Sebab itu saya minta dia jangan temani saya waktu malam sebab saya boleh urus diri sendiri. Biarlah dia berehat di rumah sahaja. Lebih selesa begitu.

Tidur saya malam tadi boleh tahan lenanya. Mujur tidak terlalu panas, walaupun tiada air cond tetapi hembusan angin luar dari jendela agak menyamankan. Pun tidur saya diganggu berkali-kali. Jam 2.00 misi kejut untuk ambil darah. Jam 3.30 kejut lagi untuk ECG. Jam 4.40 kejut lagi untuk periksa tekanan darah. Tak mengapalah, saya reda saja. 

Lepas ambil tekanan darah saya sudah tidak tidur lagi. Saya mandi dan solat. Lepas Subuh baru saya kembali ke katil dan menulis hantaran ini.

Sekian dulu. Mahu sambung tidur sebelum meneruskan hari ketiga di sini.

Tuesday, July 09, 2019

Diari

Jam hampir lapan pagi. Sudah dua tiga orang jururawat datang kepada saya pagi ini. Yang pertama, mengambil tekanan darah dan melakukan ujian ECG. Yang kedua mencatat suhu badan. Dan yang ketiga membawa beberapa biji pil untuk ditelan dan menyuntik bahu saya.

Berada di wad begini sebenarnya seronok juga. Rasa dimanja begitu. Untung saya bukan sakit yang terlantar, boleh sahaja ke sana ke mari sesuka hati, jadi bila jururawat datang saya rasa seperti saya sedang dibelai-belai.

Mengada-ngadanya!

Cuma panggilan makcik sedikit menyentap rasa. Tua benar rasanya bila dipanggil begitu. Tetapi kali ini baru sekali mendengarnya, dari mulut doktor muda. Jururawat semua memanggil saya kakak. Lebih manis didengar.

Begitulah manusia, perkara yang membuat diri terasa tua seperti tidak indah pada hal nyatanya sedang mengarah ke situ. Masih mahu menafi selagi mampu. Aduhai!

Suami saya akan tiba sebentar lagi bersama sarapan. Saya meminta nasi air dingin. Kasihan pula padanya yang perlu bercuti dan berulang alik kerana saya. Saya ini cukup tidak gemar menyusahkan orang walaupun suami sendiri tetapi begini aturan kehidupan. Semoga Allah mengganjari suami saya dengan pahala dan kesihatan yang baik.

Ibu dan saudara-saudara tersayang, usahlah risau. Saya baik-baik sahaja. Sesekali diuji, ada baiknya juga. Terasa mahu dekat dan mahu sentiasa bertaubat pada-Nya.

Semoga sakit saya ini ada penawarnya. Amin.




Monday, July 08, 2019

Wad

Dalam wad lagi. Selepas setahun lapan bulan, saya kembali ke wad lagi. Ini kali keenam saya memanjakan diri di katil wad. Semuanya di sini, HUSM.

Aduhai. Saya ambil peluang ini untuk berehat. Rehat dari apa sahaja. Rehat dari kerja, rehat dari berfikir. Rehat yang sungguh-sungguh.

Kali ini saya ke sini kerana masalah jantung. Saya tidak mahu selepas ia memberat baru mahu merawat. Biar awal begini, harap lebih mudah sembuh. Ya, harap.

Kalau tidak sembuh pun, sekurang-kurangnya saya berikhtiar. Jika ketentuannya begitu, saya reda. Bersyukurlah atas segala, biar manis atau pahit. Kita hamba, Dia lebih tahu, kita tidak tahu.

Terima kasih kepada yang menghulur doa. Saya aminkan untuk semua, semoga Allah merahmati kita.


Sunday, July 07, 2019

Baitullah

Alhamdulillah, saudara kami yang keenam, adinda Noorul Husna dan suaminya Wan Hawari telah terpilih untuk menunaikan fardu Haji pada tahun ini. Semoga Allah memudahkan urusan kalian di sana, menjaga dan melindungi anak-anak yang ditinggalkan di sini. Kami seupaya yang ada akan memberi yang sehabis baik dan mendoakan kalian setiap masa.

Semalam mereka mengadakan majlis solat hajat di rumah ibu Wan Hawari di Pengkalan Chepa. Walaupun saya tidak dapat hadir, setiap waktu saya mendoakan yang baik-baik dan yang indah-indah buat kalian. 

Menunaikan haji adalah impian setiap muslim, cuma masa sahaja yang berbeza. Untungnya Husna, terpilih sewaktu masih muda - baru menginjak 38 tahun dan Hawari 40 tahun. Walaupun ada rasa sedih kerana meninggalkan anak-anak kecil seramai empat orang itu, tetapi Allah ada untuk menjaga. Sufi, Nasih, Wajih dan Wafa anak-anak yang baik. In Shaa Allah semuanya berjalan seperti yang diharapkan.

Ahad 14 Julai nanti mereka akan berangkat dan pulang pada 28 Ogos. 

Tiada apa-apa pesanan untuk dititipkan, cuma doa agar sentiasa dipermudahkan urusan dan selamat dalam menjalani ibadah.


Friday, July 05, 2019

Kehidupan

Kalaulah saya boleh buat apa sahaja yang saya suka dan tinggalkan benda yang saya tak suka tanpa perlu lukakan hati siapa-siapa.

Kalaulah saya boleh buat semua perkara yang saya suka bila-bila masa sahaja yang saya mahu tanpa perlu mendengar arahan siapa-siapa.

Kalaulah saya boleh atur segalanya ikut suka hati saya!

Kalaulah begitu, bukanlah kehidupan namanya. Mungkin nanti selepas mati dan masuk syurga, barulah boleh begitu!

Tapi kalau masuk neraka?

Nauzubillah!

Selagi hidup, selagi itulah tiada kepuasan dalam diri. Setiap perkara yang kita suka, ada saja limitnya. Dan perkara yang kita tidak suka, terpaksa pula kita melakukannya.

Selalu.

Kadang-kadang berasa jemu dengan kehidupan begini, tetapi kehidupan yang bagaimanakah yang tidak jemu?

Ia tiada di sini.