Sunday, July 14, 2019

Lulus

Dunia pendidikan sekarang rasanya sudah tersasar dari tujuan sebenar. Mendidik bukan lagi untuk mengubah daripada jahil kepada berilmu, tetapi mendidik sekarang tujuan utamanya ialah untuk lulus periksa, atau lebih tepat lagi merangkul A yang berbakul-bakul.

Apa tidaknya, dari UPSR lagi anak-anak kita ditekan untuk mengumpul A dengan pelbagai cara. Kadang-kadang saya rasa peringkat UPSR lebih teruk tekanannya berbanding peringkat SPM yang sedang saya tangani sekarang. Anak-anak UPSR dipaksa belajar(?) sehingga malam, dikurung untuk kem yang pelbagai dan membiarkan mereka lupa yang mereka masih kanak-kanak yang perlu meneroka alam. Sedang anak-anak SPM saya ini, yang sudah sedikit dewasa, tidak pula saya tekan sebegitu rupa. Memadai dengan suntikan motivasi yang berkala dan kelas tambahan yang tidak berkira. Mereka manusia, ada sisi lain pada mereka yang perlu kita peka, selain akademik. Ajak mereka berfikir, bukan menyuap untuk mereka menghafal.

Perlu sekali masyarakat faham yang keupayaan manusia ini berbeza-beza. Saya kasihan sekali kepada anak-anak SPM saya yang tidak faham langsung Matematik Tambahan kerana asas yang lemah dek minat yang kurang tetapi tetap mahu meneruskan mata pelajaran itu. Saya rasa rugi sungguh dia membuang masa mempelajari sesuatu yang tiada dalam jiwa, sedang jika dia mengambil mata pelajaran lain dia boleh menguasai.

Perlu apa Matematik Tambahan jika kalian tidak mampu? Ambillah Geografi atau Ekonomi atau Perniagaan kerana mata pelajaran itu sesuai dengan kalian. Jangan samakan keupayaan semua orang. Negara kita bukan hanya perlukan doktor dan jurutera tetapi penjawat lain yang tinggi ilmu di dada.

Ibu bapa pula, cukup-cukuplah memaksa anak mengikut kehendak kita. Fahamilah upaya dan minat mereka dan beri dorongan yang bersesuaian. Kalau UPSR tidak banyak A pun, ruang di depan masih terbuka. Janganlah ikan mahu bersaing dengan monyet!

Setiap kali memikirkan sistem pendidikan di negara ini, saya jadi lemah jantung. Geram dan risau. Geram kerana pihak penggubal kurikulum masih degil dan enggan berubah, dan risau dengan mentaliti masyarakat yang tak habis-habis membilang A.

Minda masyarakat kita sangat sukar diubah jika minat membaca dan menyelidik masih rendah. Hanya politik dan politik yang mereka bincangkan di mana-mana, seolah perkara lain tiada nilai apa.

Sabarlah wahai hati. Semoga jantungmu sejahtera.

No comments:

Post a Comment