Saya melangkah menuju sekolah seperti selalu. Hati merindui emak, kerana hujung minggu lalu saya tidak berani berada lama di sisi emak. Saya singgah di rumah emak sekejap sungguh pada Jumaat itu kerana ramai rakan guru di sekolah saya diuji positif Covid dan saya kerap bersama-sama mereka. Risau kalau saya membawa virus itu.
Sekitar jam 8.15 pagi, seusai sarapan, saya menelefon emak. Saja, jawab saya bila emak bertanya kenapa. Emak seperti selalu, bernada ceria dan banyak cerita.
Emak kata, Amin tidak sihat. Sejak semalam tidak lalu makan dan sakit kepala. Emak beri dia panadol tetapi masih lagi tidak kurang sakitnya. Saya terfikir, Amin perlu melakukan ujian saliva. Maklumlah musim begini, dan Amin kerap ke sana ke mari.
Usai berbual dengan emak, saya kembali meneruskan tugas saya - masuk kelas, menanda kertas, menyediakan bahan pengajaran dan menguruskan hal calon SPM, sekadar membantu Setiausaha SPM yang sibuk sungguh. Ada 13 orang calon yang dijangkiti Covid, saya menguruskan pemakluman penangguhan ujian mendengar mereka yang sepatutnya selesai semalam.
Kebetulan waktu akhir saya lapang, saya selesaikan solat Zohor kerana pulang nanti saya berjanji untuk menemani suami saya mengambil tempahan baju batiknya di Pintu Geng.
Tiba-tiba nada WhatsApp saya berbunyi, berkali-kali. Ada mesej dari adik saya nun di Johor memaklumkan Amin diuji positif Covid sebentar tadi. Terkedu saya, tidak tahu mahu bertindak bagaimana. Saya membalas juga mesej itu, tetapi fikiran masih berkira-kira, tentunya tentang keadaan emak, selain mendoakan Amin.
Ya Allah, lindungilah emak saya! Ya Allah, sembuhkanlah Amin!
Hati saya galau benar. Rasa mahu pulang ke rumah emak dan menemaninya sepanjang tempoh ini. Benar saya mahu tetapi saya tidak mampu!
Maafkan saya emak. Saya tidak mampu memberi yang sehabis baik, hanya doa yang tidak pernah putus terutus untuk emak. Semoga emak terjaga sebaik-baiknya dalam lindungan Allah.
Amin, umi sentiasa mengirim doa agar Amin sembuh kembali. Tabahlah dengan ujian ini, semoga terselit sejuta hikmah buat pedoman kita meniti hari-hari mendatang.
Emak dan Amin, syurga dan jiwa buat saya. Jagalah mereka ya Allah!
No comments:
Post a Comment