Hari ini sudah pun 20 Februari dan hanya tinggal 11 hari lagi SPM akan menjelang. Anak-anak kelahiran 2004 ini akan bertarung dengan sembilan mata pelajaran (atau lebih, ada juga yang kurang) sehingga ke 24 Mac. Segalanya tidak dapat diramal, hanya Allah yang Maha Tahu apa yang bakal mereka hadapi. Saya hanya mengirim doa setiap kali jiwa tersentuh melihat kesungguhan mereka berjuang dalam suasana Covid yang mencengkam.
Saat ini jam sudah ke 4.20 petang dan saya masih bersama-sama mereka. Mereka sedang saya uji dengan soalan peperiksaan percubaan Terengganu, sekadar mahu melihat tahap persediaan mereka.
Kadang-kadang saya simpati melihat betapa padatnya pengisian jadual mereka yang ditetapkan oleh pihak sekolah, sepertinya mereka tidak punya ruang untuk melayan diri sendiri. Pernah beberapa minggu lepas, sewaktu saya meminta mereka mengikuti kelas tambahan yang diadakan oleh rakan saya Kak Rohana pada hari cuti Tahun Baru Cina, mereka merayu untuk keluar bersukan kerana sudah lama mereka tidak diberi peluang bersukan. Sayu hati saya dengan kejujuran mereka, penuh nada memujuk. "Cikgu, kami sudah lama tidak bersukan, bolehkah kalau kami tidak mengikuti kelas itu kerana mahu bersukan pada hari cuti umum begini?"
Aduhai anak, pergilah. Cikgu faham jiwa kamu. Bukanlah dengan bersukan sehari itu kamu sudah lalai dengan pelajaran. Cikgu izinkan.
Apabila kembali ke sekolah pada minggu seterusnya, Kak Rohana bertanya saya kenapa pelajar saya tidak hadir kelas anjurannya itu, dan dengan jujur saya memberitahu yang saya benarkan mereka keluar bermain. Terdiam kak Rohana, entah apa di fikirannya tetapi biarlah. Saya tahu anak-anak murid saya bukan robot yang boleh diprogram. Mereka ada jiwa.
Doa saya untuk mereka bukan sekadar mahu mereka lulus cemerlang dalam SPM, tetapi saya mahu mereka cemerlang sebagai insan yang memberi sumbangan dengan keikhlasan. Saya mahu jiwa mereka besar dan penuh semangat, bukan kerana mahu kekayaan dunia semata.
Teruslah berjuang wahai anak-anak. Cikgu tetap pahatkan wajah-wajah kalian dalam setiap doa cikgu. Biar apa pun nanti keputusan SPM kalian, teruslah melangkah. Bukanlah SPM ini yang akan menentukan hidup kalian, ia cuma satu alat sahaja di antar berjuta-juta lagi proses yang perlu kamu lalui.
No comments:
Post a Comment