Tuesday, February 15, 2022

Bertahan

Tahun ini, genaplah dua tahun hidup kita bergelumang dengan Covid-19 yang pada awalnya dikenali sebagai Coronavirus. Kali pertama ia muncul ialah pada hujung 2019 di Wuhan, China dan seterusnya semakin merebak ke seluruh dunia dan tiba di Malaysia pada 25 Januari 2020.

Masih jelas di ingatan, pada hari berkenaan saya sedang berlegar-legar di KLIA, baru pulang dari menunaikan umrah selama 11 hari bersama Emraz Travel. Waktu itu suasana masih normal, tiada yang berpelitup muka dan istilah penjarakan fizikal belum diguna pakai. Saya menerima pesanan WhatsApp daripada anak saudara saya yang berpesan supaya kami memakai face mask kerana Coronavirus sudah masuk ke negara kita. Saya melihat di sekitar, tiada siapa yang memakainya jadi saya dan suami mengabaikan sahaja pesanan itu, walaupun terharu dengan keprihatinan anak saudara kami.

Selang sebulan, wabak makin menular dan pada 18 Mac 2020 negara mula memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh PM waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Kami sedang bercuti sekolah Pertengahan Penggal 1 dan sepatutnya tamat pada 21 Mac, tetapi PKP yang pada awalnya hanya dua minggu terus bersambung-sambung sehingga lebih tiga bulan. Awalnya saya seronok, seumpama mendapat cuti percuma yang 'surprise', dan dapat pula berpuasa penuh dalam cuti dengan amannya. Hari raya pula dapat dirayakan dengan sempurna kerana kebanyakan ahli keluarga terperangkap PKP di kampung kecuali abang Lutfi, adik Ismah dan adik Zahidah. Jadi saya begitu menikmatinya waktu itu. PdPR juga belum begitu ditekankan, jadi saya melakukan pengajaran secara tenang dari rumah tanpa perlu laporan-laporan yang pelbagai. Tetapi hati saya semakin lama semakin merindui kelas bersemuka.

Pada 24 Jun 2020, sekolah kembali dibuka dan saya sangat lega apabila dapat kembali bertemu anak-anak SPM saya. Suasana sudah berbeza, kami perlu menyusun semula kelas kepada bilangan lebih kecil dan banyak SOP yang perlu dipatuhi. Pun semua itu tidak mematahkan semangat kami untuk terus berjuang menempuh segala rintangan demi SPM yang cemerlang. Sangka saya panas hingga ke petang, rupanya PKP timbul lagi. Pada 9 November 2020, kami diminta berkurung kembali. Virus ini sudah kembali mengganas dan sekolah perlu ditutup. Hiba sungguh saya mengenangkan anak-anak SPM saya tetapi kami akur dan mula ber PdPR kembali.

Pada 20 Januari 2021, murid-murid SPM dibenar kembali ke sekolah sehinggalah SPM menjelang pada 22 Februari 2021. 

Sesi 2021 untuk murid-murid lain bermula pada 8 Mac bagi sekolah rendah dan 4 April bagi sekolah menengah. Tetapi tidak lama, Kelantan kembali di PKP kan kerana bilangan jangkitan yang tinggi. Hanya dua minggu kami bersekolah, pada 16 April kami berkurung lagi. Dan ini berterusan sehinggalah ke 30 Oktober. Lama!
 
Kini, kami berada di 2022 tetapi masih meneruskan sesi 2021. SPM akan bermula pada 2 Mac nanti.
 
Setakat hari ini saya masih bertahan. Bertahan dari dijangkiti, walaupun di sekitar saya sudah banyak yang terkena. Terbaru, Ahad dua hari lepas saya makan semeja dengan sahabat saya yang disahkan positif pada tengah hari yang sama. Debar di hati Tuhan sahaja yang tahu tetapi saya tidak mahu tertekan. Saya mahu sentiasa reda. Hari ini saya masih normal, belum bergejala walaupun seorang daripada kami yang berada di meja yang sama sudah diuji positif pagi ini, Selasa.

Ahli keluarga saya juga sudah ada yang dijangkiti. Adik saya Aziah dan anaknya Muiz baru selesai kuarantin pada 31 Januari lalu. Anak saudara saya Iman Syazwani pula diuji positif sehari sebelum ujian lisan SPM berlangsung dan masih dalam tempoh kuarantin di rumahnya di Johor. Dan seterusnya adik ipar saya di Perak, Farah turut disahkan positif pada Rabu lepas. Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja, dan doa saya untuk mereka dan keluarga mereka tidak pernah berhenti. Apa pun ujian yang mereka lalui, saya di sini turut bersama merasai. 

Untuk emak, tentunya saya sentiasa risau. Emak sudah tua, persekitaran pula sentiasa mengundang bimbang. Semoga Allah menjaga emak sebaiknya, yang kini ditemani anak saudara saya Amin di rumah pusakanya. Lindungilah mereka ya Allah.

Apa pun ketetapan, saya akan sentiasa mendidik diri untuk reda. Selaras juga segalanya dengan ikhtiar yang dituntut. Saya dan suami, juga emak sudah selesai mengambil suntikan dos penggalak demi sebuah perlindungan untuk diri dan semua. Saya berikhitiar, Allah jua penentu segala.

Doa saya agar virus ini akan semakin melemah bersama masa. Biar pun ia sukar untuk hapus, sekurang-kurangnya biarlah varian yang wujud nanti semakin lemah dan lemah. Amin.

No comments:

Post a Comment