Tuesday, May 31, 2022

Dear Diary

Tahukah kalian perasaan itu? Perasaan saat dibuai-buai, seperti di awang-awangan. Perasaan seperti apabila seorang gadis remaja tersapa jejaka idamannya.

Rasa seperti sebuah mimpi bahagia dan kita enggan terjaga.

Seperti lagu Dear Diary.

Kan kutulis semua cerita ini, begitu senangnya hariku. Tenang saat kutatap matanya

Perasaan sebegitu tetap ada walaupun pada usia berapa.

Seorang wanita berusia 68 tahun kerugian wang beratus ribu ringgit kerana perasaan sebeginilah. Dia mengenali seorang lelaki muda hanya di media sosial tetapi jiwanya dibuai cinta. Dia sanggup memberi apa saja, dan lelaki itu bijak mengambil peluang.

Saya terfikir, setiap wanita itu tetap memiliki perasaan halus iaitu bahagia apabila dikasihi lelaki. Walaupun berusia, perasaan itu ada. Walaupun lelaki itu muda dan selayaknya dipanggil anak, tetapi jiwa tetap tersentuh dengan kata-kata manis lagi menghiburkan. Dia mungkin lupa yang usianya sudah tidak betah untuk diminati lelaki muda. Dia lupa kerana dibuai rasa.

Kasihan wanita. Saya juga wanita dan saya tahu perasaan itu bagaimana. Saya pernah melaluinya. Apabila perasaan itu berada di kemuncak jiwa, segala rasional seperti terketepi. Bahaya sungguh bila perasaan ini dilayan tetapi siapa pun tidak menjangka ada bahaya di sebaliknya kerana terkaburi dengan nikmat bahagia yang dirasa.

Berhati-hatilah. Mohon Allah lindungi kita dari tipu daya manusia.

Dear diary, ini hanyalah mimpi. Dan kubuka mata, pagi menyapaku. Ini hanya sebuah mimpi...

Friday, May 27, 2022

Tenang

Setiap pagi, saya akan tiba di sekolah sebelum jam 6.45, waktu yang sangat tenang dan damai untuk saya nikmati.

Suasana masih sunyi, guru-guru lain belum sampai. Saya akan terus menuju ke bilik peperiksaan (tempat saya bertugas), menghulur salam saat pintu dibuka, dan mengambil tempat di meja berhampiran penyaman udara.

Rutin saya sebaik berada di meja, saya akan membaca Al-Quran sehingga ke jam 7 pagi. Dalam masa lima belas minit ini saya boleh habiskan sekurang-kurangnya lima muka surat. Alhamdulillah, dalam Syawal ini saya mampu juga mengkhatamkan Al-Quran sebagaimana Ramadan lalu. Harap begitulah juga pada bulan-bulan berikut nanti.

Tepat jam tujuh, saya akan mula menghadap komputer untuk menyelesaikan penyediaan jadual ganti. Ada hari cuma sekejap, ada hari sampai 7.30 belum siap kerana bilangan guru tidak hadir ramai. Saya ok saja. Lama atau sebentar, saya seronok dengan tugas ini.

Sekitar jam 7.15 pagi, rakan setugas saya Hanani akan sampai dan Haida pula sampai sekitar 7.30. Rakan-rakan guru lain pun selalu singgah di bilik ini kerana lokasi yang berdekatan dengan pejabat. Suasana menjadi meriah dengan suara-suara mereka, tiada lagi kesunyian seperti awal tadi.

Selesai jadual ganti, saya akan ke kantin untuk sarapan dan seterusnya ke kelas untuk mengajar. Jadual saya tidak padat, hanya 27 waktu seminggu. Hari Ahad sahaja jadual saya agak penuh (7 waktu mengajar dan 2 waktu perhimpunan) manakala hari-hari lain saya sangat lapang. Alhamdulillah.

Di sekolah ini, saya bahagia. Bahagia yang sungguh-sungguh. Saya suka semuanya tentang sekolah ini walaupun ada yang tidak sempurna. Pentadbirnya, guru-gurunya, murid-muridnya juga persekitarannya sangat mesra di hati saya. Semoga Allah memanjangkan jodoh saya dengan sekolah ini sehingga tamat perkhidmatan saya pada Januari 2032 nanti.

Semakin berusia, semakin saya mahu tenang-tenang. Setiap kali saya mendengar mereka mengomel dan mengkomplen tentang sekolah ini - tidak puas hati itu ini - setiap kali itulah saya akan memekakkan telinga. Ada juga waktunya saya meminta mereka sentiasa bersangka baik, cukup-cukuplah tidak puas hati. Jika benar-benar tidak suka tentang apa saja, suarakan pada saluran yang ada, bukan pot-pet pot-pet di depan saya.

Saya sudah mahu berhenti dari terus mencipta tekanan. Saya mahu berdamai dengan suasana. Saya mahu reda.

Semoga Allah pun reda terhadap saya.

Wednesday, May 18, 2022

Merentas Desa


Hari ini sekolah kami mengadakan acara merentas desa. Kali terakhir acara ini kami buat ialah pada Januari 2020, sebelum negara kita dilanda pandemik. Waktu itu saya tiada di sekolah kerana menunaikan umrah.

Kali ini ia berlangsung dengan penuh semangat kesukanan. Tuan PK Ko kami yang begitu berwibawa - Tn. Hj. Zawawi Mat Nor - telah berjaya menjadikan acara merentas desa kali ini sesuatu yang indah dan menyeronokkan.

Seperti pada sebelum ini, tugas saya ialah di bahagian Statistik dan Sijil. Tugas yang santai dan sesuai dengan fikrah saya, alhamdulillah.

Apa yang perlu saya buat ialah memasukkan nama pemenang ke dalam sistem markah dan menjana sijil. Saya meminta bantuan beberapa orang pelajar untuk menolong saya menjadi jurugegas dan jurubaca. Mereka sangat cekap dan pantas. Terima kasih.

Keputusannya, rumah Merah menjuarai acara ini dengan markah 571, diikuti rumah Hijau (568), rumah Biru (566) dan rumah Kuning (489). 

Tuesday, May 17, 2022

Tabung Emas

Ini ialah artikel tulisan Azizul Azli Ahmad di Facebook beliau. Menarik untuk saya kongsi.

SIMPAN EMAS JANGAN SAMPAI LEMAS?

1. Jika kita percaya bahawa sistem kewangan kita dalam keadaan baik, maka jangan menyimpan emas.

2. Jika kita masih yakin dengan nilai matawang kita, sistem bank bagus, pihak kerajaan bagus dan stabil dan derivatif adalah produk terbaik. Maka anda sedang buang masa menyimpan emas.

3. Saya tetap berpegang pada emas bukannya pelaburan yang baik melainkan penyimpan nilai yang baik. Ketika duit kita semakin tidak bernilai, kita ada emas yang bernilai untuk ditukarkan.

4. Ketika duit kita hilang nilai, kita ada emas yang boleh ditukarkan pada nilai semasa untuk dapatkan satu nilai yang sama dengan mana mana negara yang kita kunjungi.

5. Asas kepada belian emas, mestilah dapat emas. Ya, dapat emas fizikal. Boleh gigit dan tokak!

Bukan dapat buku akaun bank, bukan dapat saham emas pada saya. Emas mesti bersifat fizikal. Kita boleh sentuh pegang dan kawal.

6. Bila kita beli emas fizikal, kita ada kawalan sepenuhnya pada emas tersebut. Kita simpan, kita jaga dan kalau hilang padan muka (risiko). Tetapi itulah asas emas, kita tukarkan duit kertas menjadi emas.

7. Jika kita berminat dengan saham emas dan akaun emas, ia tidak memberi 'nilai' emas sebenar untuk kita tukarkan matawang kita kepada aset berharga. Kita hanya ada aset kertas. 

"Dalam akaun saya nie ada RM100,000 bang. Tapi dalam akaun la bang bukan sekarang".

Berbanding,

"Saya ada 10 keping 10 dinar sekarang, boleh tukar dengan matawang asing"

8. Emas tidak beri pulangn dividen seperti instrument lain. Maka jika kita mengharapkan pulangan dividen dan keuntungan emas. Kita dah salah masuk rumah. Banyak instrument pelaburan lain yang lagi baik dari emas.

9. Sifat paling baik bagi emas adalah penyimpan nilai duit kita. Kita bawa 10 dinar ke Indonesia atau Amerika, dia akan bayar pada nilai yang sama disana. 

10. Emas pelaburan jangka 'sangat panjang' pada saya, bukan hanya panjang. Ada nilai nilai yang ditolak waktu kita nak jual atau pajak. Maka jangan mudah teruja dengan peratusan naik turunnya emas. Pedulikan sahaja selagi niat kita penyimpan nilai bukan pelaburan.

11. Jangan tukar semua simpanan duit kita menjadi emas. Tukar antara 10%-20% sahaja simpanan bersih menjadi emas. Beli emas dengan duit yang dalam tempoh 3-5 tahun kita tak akan usik dan guna. 

12. Penyimpan emas tidak peduli sangat naik turunnya emas sebab matlamat mereka menyimpan nilai emas. Harga turun mereka beli simpan, harga naik mereka beli simpan juga untuk lindungi nilai duit mereka.

"Tapi bang, ada ramai orang promote gila gila masuk skim emas macam macam sekarang?"

Begini dik, tukang promote mungkin memang ikhlas nak bagi kesedaran pada kau, kau sejak dulu kerja sampai sekarang asik beli kereta. Lebih baik simpan emas pula.

Satu lagi, mereka bersungguh sungguh promote sebab dapat komisyen tiap kali kau beli dik. Sebab itu banyak hari ini misleading bab pelaburan emas nie dik.

Jika ada orang buat macam macam skim nama pelik pelik, singkatan pelik pelik, manipulasi pelik pelik bagi dapat emas dan sebagainya.

Percayalah, kalau kau masuk. Kiamat dah makin dekat dik.

Beli emas jangan sampai lemas. 

Dari kau masuk skim pelik peling, baik kau beli gelang tangan buat bini lagi baik.

Azizul Azli Ahmad 
Labur Emas Jangan Sampai Lemas

Monday, May 16, 2022

Hari Guru

Hari ini Hari Guru. Selamat Hari Guru semua.

Saya menjadi guru dengan rasminya pada tanggal 6 Mac 1998. Sekolah pertama saya bertugas ialah SMK Mahmud Raub, kemudian SMK Kuala Krai (1999-2005) diikuti SMK Salor (2006-2008) dan kini masih setia di SMK Kampong Chengal (2009-kini).

Alhamdulillah, walaupun ada cabaran-cabaran yang pelbagai, saya tidak pernah mahu mengalah dan insya Allah saya akan setia menjawat tugas ini sehingga diarah untuk bersara wajib apabila usia saya genap 60 tahun pada Januari 2032 nanti. Doakan agar saya sihat dan panjang umur untuk terus berbakti.

Apa pun rintangan, saya akan cuba tempuhi dengan tabah berbekal semangat dan doa. Wajah-wajah suci anak-anak murid saya menjadi penawar mujarab yang menghilangkan segala gundah. Pada masa yang sama, saya tetap berharap dan mendoakan situasi pendidikan di Malaysia akan berubah ke arah yang lebih baik demi kesejahteraan semua.

Guru Tunjang Sekolah Sejahtera.

Thursday, May 12, 2022

Yati Yang Cengeng

Semalam, suami saya memberitahu dia dijemput menghadiri majlis hari raya di PPD pada jam 1.30 hari ini, jadi dia minta saya pulang sendiri dari sekolah. Wah! Saya seronok!

Bila saya pulang sendiri, saya akan menumpang sahabat saya Ja dan dia akan menghantar saya ke rumah Ma. Sudah empat hari saya tidak bertemu Ma. Lama, dan saya sudah rindu. Rindu untuk berbual dan mendengar cerita Ma yang tidak pernah habis. Ma memang suka bercerita. Cerita tentang apa saja, dan saya sangat suka mendengar. Ia umpama satu terapi mujarab yang menghilangkan segala resah dan gundah.

Lalu hari ini, saya pun pulanglah ke rumah Ma. Jam 2.30 saya sampai, dan Ma sedang mengaji di tempat rehatnya. Ma puasa ke hari ini? Tanya saya. Ya, ma menjawab. Ma ok ke? Tak penat? 

Tak, Ma segar je. Tadi Ma kemas bilik-bilik tu, kemas almari. Baju-baju siapalah yang banyak sangat Ma jumpa. Jubah hitam tu Yati punya ke?

Eh, tak. Bukan jubah Yati tu.

Begitu kami berbual. Bercerita. Tidaklah lama kerana saya belum solat. Saya minta diri untuk solat sebentar dan nanti kita sambung berbual ya Ma.

Usai solat, Ma mahu berehat di bilik tengah yang sejuk itu. Dia mengajak saya sama-sama berehat di bilik itu. Baiklah Ma. Pun, baru sahaja saya mahu mengambil beg untuk dibawa ke bilik itu, telefon saya berdering. Suami saya sudah pun sampai di hadapan rumah Ma untuk menjemput saya pulang. Allah!

Tidak sempat saya mahu berbual dan bercerita dengan Ma. Hati saya rasa sedih tiba-tiba. Ruang sebegini jarang ada, ingatkan hari ini saya punya masa untuk berada di sisi Ma rupanya tidak sempat lama pun. Jam baru 2.55 petang. Baru 25 minit saya di rumah Ma.

Ma, Abe Di dah sampai, Yati pulang dulu ya! 

Setiba di rumah, saya rasa sebak. Saya menangis. Tidak tertahan rasa terkilan kerana tidak dapat berada dengan Ma lama-lama. Tidak sempat mendengar cerita Ma, juga tidak sempat bertanya banyak perkara dengan Ma. Kalau saya tahu majlis Abe Di tu sekejap, saya akan minta dia datang jemput saya petang sikit, tetapi saya tidak tahu.

Dan saya menangis. Rasa sebak tidak tertahan.

Cengeng!

Begitulah hati seorang Yati. Ada waktu seperti kuat, tetapi pada waktu-waktu tertentu terlalu rapuh. Apatah lagi apabila hasrat yang terpendam sejak semalam tidak tertunai seperti yang dirancang, kesasar jiwa jadinya.

Ma, nantilah sehari dua lagi Yati datang pula ya. Sayang Ma!


Monday, May 09, 2022

Simpan


Adik, bila kita sudah ada gaji tetap bulanan, hendaklah kita disiplinkan diri dengan menyimpan. Mulakan dengan sedikit dahulu. Ya, sedikit pun tak mengapa. Akak dulu, bermula dengan RM100 sebulan potong masuk Tabung Haji. Tak usik. Biar dia di situ. Nanti dia beranak pinak.

Itu saja caranya. Tak payah ceritalah cara lain kerana satu cara ini sudah pun memadai tetapi dengan syarat - berdisiplin.

Apabila gaji bertambah, tambahlah potongan itu. Apabila dapat bonus, simpanlah separuh. Sebarang pembelian untuk keperluan dan kehendak kita, biarlah berkisar pada baki yang tinggal. Ukurlah kemampuan kita pada baki yang ada itu. Usah dicampur dengan simpanan kerana simpanan itu untuk kegunaan masa hadapan.

Begitulah cara akak. Semoga membantu.

Thursday, May 05, 2022

Raya Tetap Raya

Kita simpan kenangan di sini.

1 Syawal 1443 bersamaan 2 Mei 2022, "Raya Terkejut".

Terkejut pun, raya tetap raya.





Sunday, May 01, 2022

Tiba-tiba Raya

Ternyatalah apa yang dibising-bising itu ada landasannya.

Usai berbuka tadi, suami saya terus ke masjid. Saya pula, solat di rumah saja. Selesai solat, terus saya pasang tv, menonton berita RTM. Pengisytiharan Hari Raya Puasa memulakan berita. Saya fokus. 

"... Hari raya puasa tahun ini jatuh pada Isnin 2 Mei 2022."

Hah? Esok?

Saya terkejut. 

Mahu berkongsi tanya, Celcom pula sangat meragam di kawasan saya malam ini. WhatsApp saya loading, Facebook loading, semualah! 

Tetapi tak mengapa, saya tenang kembali. Sekejap saja terkejutnya sebab saya sudah bersedia untuk esok.

Lepad solat Isyak, saya gosok baju raya dan isi biskut dalam bekas. Masak? Nanti suami saya pulang dari masjid baru kami nak bincang. Saya akan masak apa yang dia mahu makan. Menunya tentulah yang ada bahan di rumah. Mungkin nasi putih, mungkin mihun goreng. Ringkas.

Masakan yang pelik-pelik dan renyah memang tiada dalam senarai. Kami hanya berdua, nak makan banyak manalah sangat. Tak padan nak masak yang susah-susah.

Emak? 

Alhamdulillah, ramai yang ada di rumah emak sekarang. Perbincangan mereka merumuskan nasi dagang menjadi hidangan utama raya esok. 

Raya Bila?

Tiba-tiba tahun ini bising pula di media sosial perihal tarikh hari raya Aidilfitri di Malaysia. Isnin ke Selasa?

Sudah lama kita di Malaysia menentukan tarikh hari raya lebih awal dan tiada lagi perasaan teruja dan tertunggu-tunggu pengumuman raya selepas melihat anak bulan pada petang 29 Ramadan. Kini rasa itu kembali, walaupun atas sebab yang kontroversi. Malam ini pastinya ramai yang akan bersedia di depan tv bukan sekadar mahu melihat warna baju melayu penyampai, tetapi lebih menumpukan pada tarikh yang akan diumumkan.

Tak kisahlah Isnin atau Selasa, raya juga.

Pelik juga bila yang bising-bising ini memberi alasan raya kita tak sama dengan negara lain termasuk Arab Saudi. Bukankah sudah selalu berlaku begitu? Mungkin kerana satu tweet dari Mufti Perlis menyebabkan ramai keliru.



Untuk diri saya, saya akan patuh pada ketetapan dari pihak yang bertanggungjawab. Buat apalah nak dilawan-lawan, mereka kan lebih arif.

Masa kecil dulu, selalu juga kami sekeluarga beraya lebih awal kerana kami pulang beraya di Golok. Apa nak buat, kampung kami di sana, bukan saja-saja nak raya cepat. Sampai sekarang pun tarikh raya di Thailand tidak semestinya serentak dengan Malaysia, pandai-pandailah adjust. Kata ayah, kena gantilah sehari puasa kalau raya awal sebab kita mula puasa di Malaysia. Tapi kata kawannya, kalau puasa kita dah cukup 29 hari tak perlu ganti. 

Begitulah. Berlapang dadalah.