Suasana masih sunyi, guru-guru lain belum sampai. Saya akan terus menuju ke bilik peperiksaan (tempat saya bertugas), menghulur salam saat pintu dibuka, dan mengambil tempat di meja berhampiran penyaman udara.
Rutin saya sebaik berada di meja, saya akan membaca Al-Quran sehingga ke jam 7 pagi. Dalam masa lima belas minit ini saya boleh habiskan sekurang-kurangnya lima muka surat. Alhamdulillah, dalam Syawal ini saya mampu juga mengkhatamkan Al-Quran sebagaimana Ramadan lalu. Harap begitulah juga pada bulan-bulan berikut nanti.
Tepat jam tujuh, saya akan mula menghadap komputer untuk menyelesaikan penyediaan jadual ganti. Ada hari cuma sekejap, ada hari sampai 7.30 belum siap kerana bilangan guru tidak hadir ramai. Saya ok saja. Lama atau sebentar, saya seronok dengan tugas ini.
Sekitar jam 7.15 pagi, rakan setugas saya Hanani akan sampai dan Haida pula sampai sekitar 7.30. Rakan-rakan guru lain pun selalu singgah di bilik ini kerana lokasi yang berdekatan dengan pejabat. Suasana menjadi meriah dengan suara-suara mereka, tiada lagi kesunyian seperti awal tadi.
Selesai jadual ganti, saya akan ke kantin untuk sarapan dan seterusnya ke kelas untuk mengajar. Jadual saya tidak padat, hanya 27 waktu seminggu. Hari Ahad sahaja jadual saya agak penuh (7 waktu mengajar dan 2 waktu perhimpunan) manakala hari-hari lain saya sangat lapang. Alhamdulillah.
Di sekolah ini, saya bahagia. Bahagia yang sungguh-sungguh. Saya suka semuanya tentang sekolah ini walaupun ada yang tidak sempurna. Pentadbirnya, guru-gurunya, murid-muridnya juga persekitarannya sangat mesra di hati saya. Semoga Allah memanjangkan jodoh saya dengan sekolah ini sehingga tamat perkhidmatan saya pada Januari 2032 nanti.
Semakin berusia, semakin saya mahu tenang-tenang. Setiap kali saya mendengar mereka mengomel dan mengkomplen tentang sekolah ini - tidak puas hati itu ini - setiap kali itulah saya akan memekakkan telinga. Ada juga waktunya saya meminta mereka sentiasa bersangka baik, cukup-cukuplah tidak puas hati. Jika benar-benar tidak suka tentang apa saja, suarakan pada saluran yang ada, bukan pot-pet pot-pet di depan saya.
Saya sudah mahu berhenti dari terus mencipta tekanan. Saya mahu berdamai dengan suasana. Saya mahu reda.
Semoga Allah pun reda terhadap saya.
No comments:
Post a Comment