Thursday, May 12, 2022

Yati Yang Cengeng

Semalam, suami saya memberitahu dia dijemput menghadiri majlis hari raya di PPD pada jam 1.30 hari ini, jadi dia minta saya pulang sendiri dari sekolah. Wah! Saya seronok!

Bila saya pulang sendiri, saya akan menumpang sahabat saya Ja dan dia akan menghantar saya ke rumah Ma. Sudah empat hari saya tidak bertemu Ma. Lama, dan saya sudah rindu. Rindu untuk berbual dan mendengar cerita Ma yang tidak pernah habis. Ma memang suka bercerita. Cerita tentang apa saja, dan saya sangat suka mendengar. Ia umpama satu terapi mujarab yang menghilangkan segala resah dan gundah.

Lalu hari ini, saya pun pulanglah ke rumah Ma. Jam 2.30 saya sampai, dan Ma sedang mengaji di tempat rehatnya. Ma puasa ke hari ini? Tanya saya. Ya, ma menjawab. Ma ok ke? Tak penat? 

Tak, Ma segar je. Tadi Ma kemas bilik-bilik tu, kemas almari. Baju-baju siapalah yang banyak sangat Ma jumpa. Jubah hitam tu Yati punya ke?

Eh, tak. Bukan jubah Yati tu.

Begitu kami berbual. Bercerita. Tidaklah lama kerana saya belum solat. Saya minta diri untuk solat sebentar dan nanti kita sambung berbual ya Ma.

Usai solat, Ma mahu berehat di bilik tengah yang sejuk itu. Dia mengajak saya sama-sama berehat di bilik itu. Baiklah Ma. Pun, baru sahaja saya mahu mengambil beg untuk dibawa ke bilik itu, telefon saya berdering. Suami saya sudah pun sampai di hadapan rumah Ma untuk menjemput saya pulang. Allah!

Tidak sempat saya mahu berbual dan bercerita dengan Ma. Hati saya rasa sedih tiba-tiba. Ruang sebegini jarang ada, ingatkan hari ini saya punya masa untuk berada di sisi Ma rupanya tidak sempat lama pun. Jam baru 2.55 petang. Baru 25 minit saya di rumah Ma.

Ma, Abe Di dah sampai, Yati pulang dulu ya! 

Setiba di rumah, saya rasa sebak. Saya menangis. Tidak tertahan rasa terkilan kerana tidak dapat berada dengan Ma lama-lama. Tidak sempat mendengar cerita Ma, juga tidak sempat bertanya banyak perkara dengan Ma. Kalau saya tahu majlis Abe Di tu sekejap, saya akan minta dia datang jemput saya petang sikit, tetapi saya tidak tahu.

Dan saya menangis. Rasa sebak tidak tertahan.

Cengeng!

Begitulah hati seorang Yati. Ada waktu seperti kuat, tetapi pada waktu-waktu tertentu terlalu rapuh. Apatah lagi apabila hasrat yang terpendam sejak semalam tidak tertunai seperti yang dirancang, kesasar jiwa jadinya.

Ma, nantilah sehari dua lagi Yati datang pula ya. Sayang Ma!


No comments:

Post a Comment