Thursday, November 30, 2023

Redmi Note 12 5G

Saya membeli telefon pintar lagi. Ini yang ketiga dalam penggunaan saya sekarang, menemani Asus Zenfone 5Z (dibeli pada Januari 2019) dan Iphone 11 (terpakai, dibeli pada Disember 2021).
Sebenarnya, saya sudah berasa terlalu lama menggunakan telefon Asus itu, tetapi masih tidak rosak-rosak lagi. Bagus betul kualitinya, lebih empat tahun dia memberi khidmat kepada saya, baru meragam sekali - lubang cas dan speakernya rosak pada masa yang sama. Apabila dibaiki, ia kembali pulih seperti sediakala. Beribu gambar, video, rakaman audio dan apps yang saya sangat gemar ada di dalamnya. Saya masih belum mahu berpisah dengannya, tetapi dalam hati saya, ada rasa ingin memiliki yang baru. Errr.. begitukah perasaan lelaki yang mahu berkahwin dua? Tiberrr!

Iphone 11 pula, tidak mampu mengambil tempat yang istimewa di hati saya. Dia gagal mencuri perasaan saya untuk jatuh cinta. Saya menyimpannya untuk status sahaja. Hahaha!!

Lalu saya mencari yang ketiga, kerana mahukan sesuatu yang baru tetapi tidak jauh berbeza dari yang pertama. Saya temui Xiaomi Redmi Note 12 5G. Lama saya memendam rasa. Berkali-kali saya 'Add to Cart' dalam Shopee dan padam. Add lagi, padam lagi. Lama-lama, saya tidak mampu menahan gelora, lalu terus check out dan place order. Selesai.

Harga tertera ialah RM1099, tetapi saya diberi baucer RM200. Kemudian saya dapat free shipping dan sejumlah coins yang agak banyak, bernilai RM100++. 

Selepas dua hari menunggu, saya menerimanya dengan selamat pada Khamis 9 November lalu. Hari ini sudah tiga minggu saya memesrainya. Ternyata, saya menyukainya. Alhamdulillah.

Sekian.

Tips

Lebih kurang sebulan lagi saya akan menyambut hari ulangtahun perkahwinan yang ke-26. Tadi saya terbaca, ada orang kata jarang dapat tips rumahtangga bahagia daripada pasangan yang dah kahwin lebih 20 tahun. Selalunya yang baru kahwin 4-5 tahun je duk rajin kongsi tips.

Ok lah, saya nak share lah tips rumahtangga saya.

Sebenarnya, tiada apa-apa tips yang khusus kerana semua pasangan akan menghadapi laluan kehidupan yang berbeza. Jika saya kongsi cara saya, tentu tidak boleh diguna oleh pasangan yang realitinya berbeza dengan kami.

Jadi sesuaikanlah kehidupan kita dengan cara kita, dan carilah ilmu rumahtangga tanpa henti. Ilmu bukan tips, ia satu kewajipan untuk kita ikuti.

Thursday, November 16, 2023

Solat


"Ti, ambil air sembahyang ke Mek," ucap Mek sebaik melihat saya keluar dari bilik seusai saya solat Maghrib. 

Jam di dinding menunjukkan pukul 7:16 malam. Maghrib awal sekarang, 6:53 sudah masuk waktu. Tadi saya beritahu Mek nanti jam 7:30 saya wudukkan Mek jadi tidaklah lama sangat Mek menunggu Isyak, tetapi tidak sempat 7:30 Mek sudah minta mahu solat. Oh ya, Mek tidak mahu solat jamak walaupun saya pernah mengesyorkan padanya, tidak biasa katanya. Tak apalah Mek.

Saya wudukkan Mek menggunakan botol penyembur. Saya picitkan air ke tapak tangan Mek dan Mek menyapu sendiri mukanya. Tangan dan kaki Mek saya tolong sapukan. Kemudian saya sarungkan telekung ungu muda yang saya hadiahkan pada Mek tahun lepas, dan selimutkan kaki Mek.

"Ok, Mek dah boleh solat sekarang," ujar saya kepada Mek dan membiarkan Mek bersolat tanpa gangguan. Saya hanya memerhati kalau-kalau Mek ada masalah. Selalunya tiada, cuma pernah sekali saya nampak Mek hampir terlena jadi saya terus memanggil Mek supaya dia terkejut.

Teringat sewaktu saya solat di katil wad beberapa bulan lepas. Memang solat sambil baring agak mencabar. Ada waktunya saya rasa mengantuk dan hampir terlena. Begitulah.

Semoga Allah memberi kekuatan untul kita menjaga solat walau dalam apa keadaan sekalipun.

Amin.





Tuesday, November 14, 2023

Act of Kindness 2

Suatu hari pada tahun 2006.

Saya masuk wad untuk pembedahan di HUSM Kubang Kerian. Seperti biasa, saya dihantar suami dan apabila selesai urusan pendaftaran serta diberi katil, saya akan meminta suami saya pulang berehat di rumah. Sebelum dia berlalu, dia meninggalkan pesan supaya saya berhati-hati, dan menyimpan beg duit saya di tempat yang selamat. Jadi saya masukkan beg duit saya ke dalam beg pakaian dan meletakkan beg pakaian itu ke dalam loker. 

Di wad memang kadang-kadang rasa bosan. Tahun 2006 belum ada Facebook atau Instagram, apatah lagi WhatsApp. Jadi saya yang masih sihat dan belum dicucuk apa-apa, turun ke bawah di bahagian kedai. Saya mahu membeli bahan bacaan dan juga makanan.

Saya membawa beg tangan saya tanpa menyedari yang beg duit saya tiada di dalamnya. Saya ke kafe, mengambil makanan yang saya mahu - nasi dalam pek polistrin diisi lauk pauk yang enak. Esok saya akan dibedah, biarlah hari ini saya makan sepuasnya.

Selesai mengisi lauk, saya ke kaunter dan beratur untuk membayar. Panjang juga barisan. Tiba giliran saya, cashier itu mengira dan memaklumkan harga. Saya membuka beg tangan dan mencari beg duit saya. Eh, mana?

Baru saya teringat saya sudah meletakkan beg itu dalam loker.

"Dik, beg duit akak tertinggal...", perlahan suara saya memberitahu adik cashier itu. Ramai orang sedang beratur di belakang saya, malu juga kalau ada yang dengar.

"Tak apa kak, akak ambil dulu nasi ni, nanti lepas ni akak datang bayar."

"Eh, boleh ke?"

"Boleh kak.."

Sangka saya, dia akan menyimpan bungkusan nasi itu dan memberikan kepada saya selepas saya membayar nanti, rupanya tidak. Percaya pula dia kepada saya. Kalau saya tidak datang bayar bagaimana? Mungkin dia tak rasa saya jenis begitu, atau mungkin dia reda sahaja jika saya tidak membayar.

Saya rasa bersyukur sangat waktu itu kerana dia tidak memalukan saya di hadapan ramai. Orang yang beratur di belakang saya mungkin tidak perasan pun perbualan kami kerana adik cashier itu mudah saja memberi izin pada saya untuk membayar selepas ini. Saya pun tanpa lengah terus kembali ke wad dan mengambil duit untuk membayar dengan kadar segera. Dalam hati saya mendoakan yang baik-baik buat adik cashier yang sangat memahami itu.

 

Monday, November 13, 2023

Zaman


Ada mentari sedang tersenyum di belakang
menyaksikan keletah riang kalian meneroka alam
membiar bayu menyapu setiap lekuk tubuh
pasiran pantai kalian himpun menjadi kubu
walaupun nanti terlerai jua ke tanah.

Anak-anak ini sedang menikmati
zaman yang semua serba serbi indah
tanpa gusar risau atau resah
apa lagi gundah dan marah
hanya riuh rendah ketawa meriah.

Anak-anak ini bukan satu pertaruhan masa
mereka jiwa-jiwa murni yang perlu dibina dengan semangat dan kekuatan
hati-hati suci yang belum kenal noda-noda kehidupan
dan harapan masa depan.

Kitalah yang diberi amanah itu
untuk menjaga, membentuk dan menyempurnakan jiwa-jiwa ini
selaras firman dan sabda
dan tidak patah bertaburan dalam perjuangan

Amanah ini biar terjaga 
sampai menjadi pejuang berbisa

Wednesday, November 08, 2023

Grab Food

Saya baru selesai menikmati spaghetti dari Nasken Coffee yang saya pesan melalui grab Food. Ahad lepas, saya pulang ke rumah menaiki Grab Car kerana suami saya ada urusan.

Mereka kata, sila uninstall Grab kerana pemiliknya menyokong Israel. Boikot. Bukan saja Grab, semua yang berkaitan dengan Israel silalah boikot. McDonalds, Nestle, Unilever, semualah!

Israel laknatullah.

Betul, kita benci pada Israel yang sangat zalim dan kejam juga tiada peri kemanusiaan itu. Maka kita pun memboikotlah semua yang menyokong dan menyumbang untuknya. Tetapi sedarkah kita, dengan memboikot Grab, McDonalds dan yang sewaktu dengannya itu, kita juga zalim? Kezaliman kita hampir menyamai Israel laknatullah juga kerana telah menjadikan saudara-saudara seislam kita yang mencari rezeki melalui perkhidmatan itu terkesan dengan teruknya.

Saya tidak tergamak untuk menjadi zalim begitu. Biarlah saya menunjukkan kebencian saya kepada Israel dengan cara lain, yang tidak memberi kesan kepada saudara-saudara seislam saya di negara sendiri. Selain doa, saya akan pastikan saya mampu menyumbang secara material pada kadar yang saya mampu secara konsisten kepada saudara-saudara saya di Palestine. Juga saya akan cuba mencipta kesedaran kepada masyarakat sekitar untuk sama-sama menyumbang.

Semoga Israel lenyap di muka bumi ini dan Palestine kembali merdeka.

Amin.

 

 

Saturday, November 04, 2023

Solidariti Palestine

Kami bersamamu, Palestine, Allahu Akbar!




Pada Rabu 1 November lepas, kami di SMKKC telah melancarkan Minggu Solidariti Palestine sebagaimana arahan pihak KPM. Antara tujuan minggu ini diadakan ialah untuk memberi kesedaran kepada murid tentang isu semasa yang sedang berlaku sekarang, selain mendoakan keamanan sejagat. Semoga Allah melindungi saudara-saudara kami di Palestine.