Tuesday, November 14, 2023

Act of Kindness 2

Suatu hari pada tahun 2006.

Saya masuk wad untuk pembedahan di HUSM Kubang Kerian. Seperti biasa, saya dihantar suami dan apabila selesai urusan pendaftaran serta diberi katil, saya akan meminta suami saya pulang berehat di rumah. Sebelum dia berlalu, dia meninggalkan pesan supaya saya berhati-hati, dan menyimpan beg duit saya di tempat yang selamat. Jadi saya masukkan beg duit saya ke dalam beg pakaian dan meletakkan beg pakaian itu ke dalam loker. 

Di wad memang kadang-kadang rasa bosan. Tahun 2006 belum ada Facebook atau Instagram, apatah lagi WhatsApp. Jadi saya yang masih sihat dan belum dicucuk apa-apa, turun ke bawah di bahagian kedai. Saya mahu membeli bahan bacaan dan juga makanan.

Saya membawa beg tangan saya tanpa menyedari yang beg duit saya tiada di dalamnya. Saya ke kafe, mengambil makanan yang saya mahu - nasi dalam pek polistrin diisi lauk pauk yang enak. Esok saya akan dibedah, biarlah hari ini saya makan sepuasnya.

Selesai mengisi lauk, saya ke kaunter dan beratur untuk membayar. Panjang juga barisan. Tiba giliran saya, cashier itu mengira dan memaklumkan harga. Saya membuka beg tangan dan mencari beg duit saya. Eh, mana?

Baru saya teringat saya sudah meletakkan beg itu dalam loker.

"Dik, beg duit akak tertinggal...", perlahan suara saya memberitahu adik cashier itu. Ramai orang sedang beratur di belakang saya, malu juga kalau ada yang dengar.

"Tak apa kak, akak ambil dulu nasi ni, nanti lepas ni akak datang bayar."

"Eh, boleh ke?"

"Boleh kak.."

Sangka saya, dia akan menyimpan bungkusan nasi itu dan memberikan kepada saya selepas saya membayar nanti, rupanya tidak. Percaya pula dia kepada saya. Kalau saya tidak datang bayar bagaimana? Mungkin dia tak rasa saya jenis begitu, atau mungkin dia reda sahaja jika saya tidak membayar.

Saya rasa bersyukur sangat waktu itu kerana dia tidak memalukan saya di hadapan ramai. Orang yang beratur di belakang saya mungkin tidak perasan pun perbualan kami kerana adik cashier itu mudah saja memberi izin pada saya untuk membayar selepas ini. Saya pun tanpa lengah terus kembali ke wad dan mengambil duit untuk membayar dengan kadar segera. Dalam hati saya mendoakan yang baik-baik buat adik cashier yang sangat memahami itu.

 

No comments:

Post a Comment