Thursday, November 16, 2023

Solat


"Ti, ambil air sembahyang ke Mek," ucap Mek sebaik melihat saya keluar dari bilik seusai saya solat Maghrib. 

Jam di dinding menunjukkan pukul 7:16 malam. Maghrib awal sekarang, 6:53 sudah masuk waktu. Tadi saya beritahu Mek nanti jam 7:30 saya wudukkan Mek jadi tidaklah lama sangat Mek menunggu Isyak, tetapi tidak sempat 7:30 Mek sudah minta mahu solat. Oh ya, Mek tidak mahu solat jamak walaupun saya pernah mengesyorkan padanya, tidak biasa katanya. Tak apalah Mek.

Saya wudukkan Mek menggunakan botol penyembur. Saya picitkan air ke tapak tangan Mek dan Mek menyapu sendiri mukanya. Tangan dan kaki Mek saya tolong sapukan. Kemudian saya sarungkan telekung ungu muda yang saya hadiahkan pada Mek tahun lepas, dan selimutkan kaki Mek.

"Ok, Mek dah boleh solat sekarang," ujar saya kepada Mek dan membiarkan Mek bersolat tanpa gangguan. Saya hanya memerhati kalau-kalau Mek ada masalah. Selalunya tiada, cuma pernah sekali saya nampak Mek hampir terlena jadi saya terus memanggil Mek supaya dia terkejut.

Teringat sewaktu saya solat di katil wad beberapa bulan lepas. Memang solat sambil baring agak mencabar. Ada waktunya saya rasa mengantuk dan hampir terlena. Begitulah.

Semoga Allah memberi kekuatan untul kita menjaga solat walau dalam apa keadaan sekalipun.

Amin.





No comments:

Post a Comment