Sunday, March 31, 2024

Kontroversi

Semalam geger lagi tentang YBM Fadhlina. Memang kerap betul ucapannya menjadi kontroversi. Kali ini kerana tersebarnya video ucapan yang mengandungi kenyataan dia mengharamkan perkataan kafir di rumahnya.

Geger jadinya. Geger sungguh. Sehingga mufti pun bersuara. Sayangnya, mereka yang mengulas ini tidak pula menghubungi YBM untuk satu penjelasan supaya ulasan mereka adil. Mereka tibai dulu, baru tabayyun.

Bila kita cuba fahami, rasanya tidak susah pun untuk mengerti apa konteks yang dia maksudkan. Sepatutnya tiada isu pun di sini tetapi begitulah, kerana wujudnya penentang yang menentang habis-habisan, maka segalanya dimanipulasi.

Kelakar.

Apa yang mereka (baca: pembangkang) tekankan ialah perkataan "mengharamkan". Mana boleh diharamkan perkataan itu kerana ia ada dalam Quran, jadi macam mana nak baca Quran? Atau keluarga Fadhlina memang tak baca Quran? Nanti takbir raya pun kena ubahlah ya? Aduhai!

Tidak fahamkah mereka maksud tersirat apabila perkataan haram dimelayukan? Malas saya nak kupas, kerana saya benci dan jijik dengan permainan bodoh orang-orang begini. Ramai pula tu, termasuk jugalah ilmuwan tersohor. Haram bagi mereka adalah haram mutlak seperti hukum Tuhan pula, walaupun dalam konteks bahasa Melayu.

Ayah saya dahulu marah jika kami anak-anaknya sebut perkataan bodoh, apalagi mengata orang lain bodoh. Ayah kata, tak molek, kita kena ucap kata-kata yang baik untuk semua orang. Ayah mengharamkan perkataan bodoh dalam keluarga kami. Eh, dalam Quran ada je perkataan bodoh, kena tukar ke?

Begini rupanya politik di Malaysia. Manipulasi selagi boleh. Dosa pahala usah dipeduli, asal tercapai tujuan mencalar luka pihak yang dibenci.

Ini Ramadan. Sesungguhnya saya berpuasa.

Thursday, March 28, 2024

Nuzul Quran

Tahun ini Nuzul Quran jatuh pada hari Khamis, maka dapatlah kami hujung minggu yang panjang. Alhamdulillah.

Saya memang ternanti-nanti hari cuti sekarang ini. Tidak seperti dulu, saya mudah bosan bila cuti panjang kerana saya suka sekolah. Kini saya masih sukakan sekolah tetapi situasi yang sedang saya lalui agak memenatkan. Saya hilang ruang untuk diri sendiri. Banyak masa dikorbankan untuk ke sana ke mari sejak mek sakit September lalu.

Sejak Ramadan tiba, kami setiap hari berbuka dan bersahur di rumah mek kerana kami tidur di situ. Lauk pauk setiap hari dibeli kerana saya tidak sempat memasak. Bayangkan, waktu saya berada di rumah saya sendiri cuma dua ke tiga jam sahaja. Balik sekolah lebih kurang pukul 2.45 dan 5.45 turun ke rumah mek. Dalam waktu sependek itu apalah yang saya sempat buat? Sekadar membasuh kain dan berehat sebentar. Itu pun kadang-kadang tidak terbuat jika pulang lewat dek mesyuarat atau agenda lain. Sampai saja di rumah terus mandi, solat dan turun ke rumah mek.

Sebab itu bila dapat cuti agak lama seperti ini, saya rasa lega. Saya ada ruang untuk selesaikan urusan-urusan yang tertangguh. 

Begitulah. Apa pun saya reda.

 

Sunday, March 24, 2024

Lima Puluh Ringgit

1989.

Saya melangkah ke tingkatan lima dengan semangat yang membara. Ayah tidak henti-henti menitip pesan agar saya sentiasa berusaha untuk peperiksaan SPM yang bakal menjelang. Ayah sangat mengharapkan saya mendapat keputusan cemerlang dan ditawarkan tempat di universiti.

Harapan ayah saya junjung tinggi, tetapi saya meminta agar untuk tahun ini ayah dapat memberi saya elaun bulanan. Saya tidak tahu atas dasar apa saya begitu berani memohon sebanyak lima puluh ringgit sebulan dan ayah tanpa banyak soal meluluskannya. Setiap bulan ayah akan mengirim wang kepada saya dua kali - dua minggu pertama saya mendapat RM30 dan dua minggu kedua saya mendapat RM20. Ayah menggunakan pos berdaftar dan saya akan mengambilnya di pejabat sekolah apabila nama saya dipaparkan di papan kenyataan sebagai penerima pos pada hari tersebut.

Terima kasih ayah. Ayah tidak pernah gagal memberi saya wang seperti yang saya minta. Saya pula menggunakan wang itu untuk segala keperluan selama di asrama. Boleh dikatakan pada tahun tersebut saya agak selesa berbelanja kerana wang sebanyak itu begitu besar nilainya. Ditambah lagi dengan wang saku pemberian MARA sebanyak RM30 sebulan, terasa agak mewah pula. Cuma, wang MARA itu tidaklah diberi tetap setiap bulan, ia selalu tertunggak agak lama.

Kini, apabila saya merenung kembali, saya rasa betapa besarnya nilai RM50 itu bila dinisbahkan dengan gaji ayah yang cuma lebih kurang RM1000+ sahaja sebulan tahun itu. Timbul juga rasa bersalah kerana saya seperti mengambil hak adik beradik saya yang lain yang lebih memerlukan. Tetapi ayah tidak pernah merungut, apa lagi mengungkit. Ayah lebih mementingkan keselesaan saya belajar di sana tanpa menghadapi masalah kekurangan wang.

Pun, saya tahu saya perlu membalas segalanya itu untuk adik beradik saya. Hak mereka pada tahun 1989 dulu telah saya ambil tanpa sedar, jadi jika ada ruang dan keperluan saya akan sentiasa memberi. Biar segalanya itu Allah tulis sebagai pahala untuk arwah ayah saya. Dia tidak pernah berkira dengan saya, jadi saya juga tidak mahu berkira dengan adik beradik saya.

Semoga ayah tenang di alam sana.


Friday, March 22, 2024

Hidup dan Kehidupan


Jam baru pukul 7.11 pagi, tetapi badan saya sudah penat.

Hari ini Jumaat, kami di Kelantan bercuti hujung minggu. Usai sahur tadi, saya rehat sebentar. Selepas Subuh, saya memulakan kerja mengurus mek. Saya salin lampinnya, tukarkan pakaian dan kain alasnya, serta mewudukkannya. Mek sukar diduga, setelah siap saya bersihkannya dia kata dia kencing lagi. Tak apa mek, kita cuci lagi sekali.

Sedang mek bersolat, saya ke dapur sediakan sarapan mek. Mudah saja, hanya secawan Nestum pekat dan setengah gelas susu Enercal. Sedang elok mek siap solat Subuh, saya suapkan mek.

Seterusnya, saya ambil kain-kain kotor dalam besen dan masukkan ke dalam mesin basuh. Mesin basuh mek jenis semi auto, saya kena tunggu untuk teruskan pusingan dan spin.

Dan sekarang, mesin basuh sedang bekerja, saya pula bersandar lelah di kerusi sambil melayan mek berbual. Mek nampak seperti tiada mood untuk bercerita pagi ini. Mungkin terkenang kisah-kisah lama. Tadi saya memberitahu mek hari ini tahlil 40 hari arwah Pak Su Mat akan dibuat di masjid petang nanti. Mek sekadar berkata, dah 40 hari ya Pak Su Mat tak ada. Ya mek, jawab saya.

Mek terlalu kasihkan adik bongsunya itu. Mek seperti ralat kerana tidak dapat menziarah Pak Su sewaktu sakitnya kerana mek sendiri pun sakit. Begitulah, hanya doa kepada Tuhan dari mek untuk Pak Su agar tenang di sana.

Saya juga sakit sekarang. Sejak beberapa hari lepas bahagian kanan paha dan lutut saya terasa sakit dan lenguh. Berdenyut. Tidur saya tidak boleh mengiring ke kanan, nanti rasa sakit dan lenguh itu menjadi-jadi. Mujur bila mengiring ke kiri saya selesa dan lena elok. Alhamdulillah.

Kita sebagai manusia beginilah, reda menerima dan pasrah segala. Semoga di akhirat nanti Allah beri ganjaran terbaik untuk kita. Amin. 

Mek kembali lena selepas bersarapan sebentar tadi.


Thursday, March 21, 2024

5 Chengal 2

 
Tahun ini saya kembali menjadi guru kelas selepas sepuluh tahun tidak memegang tugas itu. Awalnya saya terkejut juga, eh, namaku kah ini? Tetapi saya cepat-cepat mempasrahkan diri pada suratan dan ketentuan.

Menjadi guru kelas bukanlah kesukaan para guru kerana bebannya berat dan sepanjang tahun perlu merelakan diri menjalankan segala tugas perkeranian yang diberi. Saya selalu dikecualikan daripada menjadi guru kelas kerana saya memegang jawatan setiausaha peperiksaan bahagian analisis dan headcount. Tahun ini jawatan itu masih kepunyaan saya tetapi dek bilangan guru yang berkurangan kerana ramai pencen, saya telah diamanahkan jawatan ini. Saya terima saja, dengan rasa besar hati.

Tingkatan 5 Chengal 2 (5C2) diberi kepada saya untuk dijaga sepanjang tahun ini. Anak-anak kelas ini yang seramai 22 orang telah saya kenali kerana sepanjang sesi lepas saya mengajar mereka Matematik Tambahan. Jadi tidaklah susah untuk saya memesrai mereka. 10 orang lelaki dan 12 orang perempuan, semuanya saya kasih dan berjanji untuk memberi yang terbaik.

Tidak susah menjaga mereka kerana mereka sudah dewasa. Usia 17 tahun sememangnya sudah berada dalam fasa kematangan. 
 
Shahmin, Hamizan, Khalid, Lukman, Adib, Arif, Harith, Hasif, Hadif dan Syazrizal ialah anak-anak lelaki saya. Manakala anak-anak perempuan pula terdiri daripada Ayu, Marini, Alieya, Anyss, Hawanis, Iwana, Syaza, Amira, Syafiqah, Ellysha, Rohani dan Nuril.

Doa saya untuk mereka, semoga cemerlang dunia akhirat dan menjadi insan berguna yang dikasihi semua.

Wednesday, March 20, 2024

Mengharap Maaf

9 Ramadan.

Kadang-kadang sukar untuk menyatakan apa yang terisi dalam hati saat menatap wajah Ma. Hari ini saya benar-benar kehilangan kata-kata. Maaf pun cuma terucap dalam hati.

Ma, banyak yang saya mahu lakukan tetapi saya tidak mampu. Saya hanya ada doa.

"Ma letih, lembik beraso," itu jawapan Ma tadi apabila saya bertanya "Ma lagu mana puasa hari ni?" Allah! Seperti dikoyak-koyak hati saya mendengarnya. 

Melalui hari-hari tuanya, saya tahu Ma mahu tenang tetapi waktu ini Ma seperti tidak memiliki itu. Saya bukan mahu menyalahkan siapa-siapa, kerana kekangan yang pelbagai sentiasa menghadirkan situasi yang tidak dapat dielakkan. Dan saya pula, tidak mampu memberi apa-apa demi memudahkan Ma.

Ma, saya minta maaf!

Saya usap kaki Ma yang bengkak sambil memohon kesembuhan, pun ia tidak melegakan rasa. Ma bercerita, saya mendengar dalam hiba. Entahlah, hari ini saya begitu beremosi.

"Esok belikan Ma gulai ayam kampung, Ma berasa nak makan," pinta Ma sebelum saya turun pulang ke rumah Mek di seberang jalan. Baiklah Ma. Semoga Ma terus sihat dan melalui hari-hari mendatang dalam reda Tuhan.

Sunday, March 10, 2024

Rancangan Pengajaran Harian

Hari pertama persekolahan, saya melangkah dengan semangat membara. Semoga semangat ini akan terus membara sehingga penghujungnya, insya Allah.

Seperti arahan KPM, kami beraktiviti tanpa PdPc hari ini. Kebetulan tahun ini kami kembali kepada pelaksanaan e-RPH selepas dua tahun melupainya. Jadi saya mengambil ruang yang ada untuk kembali meneroka dan menyiapkan e-RPH untuk dua minggu pertama ini.

Kelam kabut juga rupanya apabila dua tahun e-RPH terhenti.

Kisah e-RPH ini pun kelakar juga. Apabila bertukar pengetua, maka bertukarlah arahan mereka. Pengetua pada 2018 dahulu mahu kami menggunakan e-RPH, jadi kami pun belajarlah dan lama-lama mahir dengannya. Tiba-tiba datang pengetua lain, dia tidak mahu e-RPH dan kami terpaksa bertukar kepada RPH manual. Ok, kami ikut saja bermula 2022 (selepas PKP). Tahun ini, datanglah pengetua lain pula yang mahu e-RPH dikembalikan semula.

Saya memang ok. Lama tinggal pun, boleh saja saya godek-godek semula kerana masih tersimpan elok fail e-RPH lama itu dalam Google Drive saya. Malangnya, tidaklah semudah itu bagi guru-guru lain. Mereka sudah lupa bagaimana mahu melakukannya!

Di sini saya bukan mahu membangga diri dan memperlekeh guru lain, tetapi sekadar menganalisis sendiri. Pada saya, kesukaran timbul untuk kembali semula melaksanakan e-RPH dalam kalangan mereka ialah kerana pada masa e-RPH dilaksanakan dahulu mereka bukan faham langkah-langkah yang diajar, tetapi mereka menghafal. Hafalan tidak akan kekal lama. Bila dibuat hari-hari mereka bolehlah buat, boleh ingat langkah tanpa masalah. Apabila sudah terhenti beberapa tahun dan mahu disambung semula, mereka sudah lupa. Lupa yang sungguh-sungguh sehingga terpaksa diajar dari mula.

Saya hairan juga pada awalnya apabila ramai yang datang ke meja saya bertanya itu dan ini pada saat saya sedang tekun memberi tumpuan pada e-RPH saya, sehingga saya berkata “sama macam dululah!” kepada mereka. Saya terganggu sebenarnya, tetapi apakan daya terpaksa juga melayan. Saya ini jenis fokus bila bekerja. Tak boleh nak berhenti-henti dan melayan mereka pada waktu sedang tekun begitu.

Dan mereka menjawab, “sudah tak ingatlah!”

Baru saya terfikir, rupanya sebelum ini mereka hanya menghafal.

Nampak kan perbezaan menghafal dan memahami? Saya memang faham kenapa kita klik itu, kenapa kita klik ini, tahu tujuan dan maksud setiap perkataan yang saya klik, jadi tidak susah untuk saya dapat kembali kemahiran saya pada dua tahun lepas. Tetapi bagi yang mahir kerana menghafal, apabila lupa mereka memang lupa sungguh!

 

 

 

 

 

Thursday, March 07, 2024

Salam Persekolahan

Hari ini bermula.

8.00 pagi, pendaftaran murid tingkatan dua hingga lima.

10.30 pagi, mesyuarat guru kali pertama sesi 24/25.

Bismillah. Semoga Allah reda.

Hari baru, gincu baru. Saya suka. Ginger Rose dari Revlon.

Wednesday, March 06, 2024

Hajarul Aswad


Tahun 2010, saya menunaikan ibadat haji. Sebelum itu, saya telah mengikuti kursus haji di Masjid Telipot anjuran Tabung Haji pada setiap Jumaat dari Mac sehingga Julai. Ustaz penceramah sentiasa mengingatkan agar para jemaah tidak membahayakan diri untuk cuba mencium hajarul aswad terutama jemaah wanita kerana suasana yang sangat bersesak-sesak. Saya ingat pesanan itu, dan bertolaklah saya ke Mekah berbekalkan panduan dan pengetahuan yang diperoleh sepanjang empat bulan berkursus.

Pernah sewaktu saya bersolat di masjid Haram, di sebelah saya ialah seorang jemaah Indonesia, wanita yang masih muda. Kami berbual. Dia bertanya saya sudahkah mencium hajarul aswad dan solat di hijr Ismail? Belum, jawab saya. Tidak mahukah? Saya mahu tetapi keadaan sukar, jelas saya. Dia seperti kesal dengan jawapan saya dan berkata, sangat rugilah kalau kita tidak berusaha mendapatkannya kerana fadilatnya besar dan bukan selalu kita dapat ke sini lagi. Saya diam.

Diam, tetapi berfikir. Waktu itu saya seperti terkesan juga dengan kata-katanya, tidak mahukah saya berusaha mendapatkan peluang mencium hajarul aswad dan bersolat di hijr Ismail? Tidak mahukah saya bersusah-susah sedikit demi mendapatkan pahala sunat? Saya memandang suasana di mataf, tidak mampu rasanya saya mencelah dalam lautan manusia sebegitu demi hajarul aswad dan demi hijr Ismail.

Adakah saya terlalu rapuh hingga enggan susah sedikit demi pahala? Terdetik pula rasa yang begitu.

Melihat suasana yang bersesak-sesak penuh dengan manusia yang berebut untuk mencium hajarul aswad, saya tidak tahu mahu bereaksi bagaimana. Jika semua orang Islam di dunia ini berfikir seperti saya - tidak mahu bersesak-sesak begitu dan mengelak bahaya - tentu tempat itu mudah dituju.  Tetapi mengapa orang lain tidak berfikir seperti itu?

Teringat pula kisah kawan saya yang sudah murtad itu. Sewaktu di Mekah mengerjakan umrah, dia nampak suasana beginilah, bertolak-tolak dengan kasar dan membahayakan hanya untuk mencari pahala. Bukan saja di hajarul aswad dan hijr ismail tetapi juga di raudhah dan di dalam masjid. Melangkah dengan kasar hingga terpijak kaki orang lain, menolak jemaah lain hanya untuk dapat bersolat di tempat afdal, dan banyak lagi adegan seumpamanya yang dia rasa teruk. Ya, teruknya Islam, mengajar umatnya mementingkan diri sendiri dan tiada toleransi.

Hari ini, saya masih diam dan masih berfikir. Masih mencari jawapan. 

Monday, March 04, 2024

Ralat


Sejujurnya saya tidak tahu apakah ini ralat atau kecewa atau apa?

Ia bermula apabila suami saya diberi jawatan PKHEM di sekolah tempat saya bertugas pada November 2022. Selepas beberapa ketika, saya nampak dia tidak begitu gembira bekerja di sekolah ini.

Sejujurnya, saya juga tidak begitu selesa berada di sekolah yang sama dengan suami saya. Saya pernah melaluinya sewaktu di SMK Salor (2006-2008) dan sungguh tekanan yang saya rasa agak membebankan. Ia seperti saya memikul rasa risau untuk dua orang. Ada saja perkara-perkara yang membuatkan saya risau walaupun sebenarnya saya tidak perlu risau pun.




Kini ia berulang lagi dan kali ini ia lebih berat kerana beberapa faktor. Saya tidak mahu menceritakan apa faktor-faktor itu kerana bukan itu fokus saya. Cuma, saya rasa keputusan suami saya memohon pencen awal (sudah diluluskan pun) sangat melegakan hati saya.

Masih ada lagi kerisauan-kerisauan di hati saya waktu ini tetapi saya cuba untuk mengambil sisi positifnya. Semoga segalanya akan berakhir dengan indah buat kami di sekolah ini.

Amin. 

Sunday, March 03, 2024

Gaji 1998

Sewaktu saya mula bertugas sebagai guru pada Mac 1998, saya diberi gred lantikan DG3. Waktu itu, hanya ada dua gred kenaikan sahaja iaitu DG2 dan DG1. Itu pun tiada time-based, kena tunggu sampai gaji DG3 maksimum, baru boleh naik DG2. Lama, lebih 20 tahun tempohnya. Guru-guru yang bergred DG2 hanya ada tidak sampai lima orang di sekolah.

Gaji pokok RM1360, ditambah elaun Perkhidmatan Awam RM156 (sebenarnya RM170, tetapi waktu itu negara sedang mengalami kegawatan ekokomi jadi elaun dipotong sebanyak RM14 untuk beberapa bulan) dan elaun Perumahan RM110 kemudian ditolak KWSP sebanyak RM181 maka dapatlah jumlah gaji bersih sebanyak RM1445. Itulah pendapatan sebulan saya pada 1998. Pada 1999, dapatlah kenaikan tahunan RM65. Itu sahaja.

Sedikit, bukan?

Tetapi waktu itu jumlah RM1445 sudah cukup besar. Kos hidup masih rendah dan harga emas pun cuma RM40 segram. Rugi juga tidak membeli emas yang banyak waktu itu ya. Sekarang harga emas sudah menceca RM300 segram. Hitunglah sendiri keuntungannya selepas 26 tahun!

Sekadar mengenang, apabila terjumpa slip gaji lama ini di celah helaian buku Matematik T STPM.