Sunday, March 24, 2024

Lima Puluh Ringgit

1989.

Saya melangkah ke tingkatan lima dengan semangat yang membara. Ayah tidak henti-henti menitip pesan agar saya sentiasa berusaha untuk peperiksaan SPM yang bakal menjelang. Ayah sangat mengharapkan saya mendapat keputusan cemerlang dan ditawarkan tempat di universiti.

Harapan ayah saya junjung tinggi, tetapi saya meminta agar untuk tahun ini ayah dapat memberi saya elaun bulanan. Saya tidak tahu atas dasar apa saya begitu berani memohon sebanyak lima puluh ringgit sebulan dan ayah tanpa banyak soal meluluskannya. Setiap bulan ayah akan mengirim wang kepada saya dua kali - dua minggu pertama saya mendapat RM30 dan dua minggu kedua saya mendapat RM20. Ayah menggunakan pos berdaftar dan saya akan mengambilnya di pejabat sekolah apabila nama saya dipaparkan di papan kenyataan sebagai penerima pos pada hari tersebut.

Terima kasih ayah. Ayah tidak pernah gagal memberi saya wang seperti yang saya minta. Saya pula menggunakan wang itu untuk segala keperluan selama di asrama. Boleh dikatakan pada tahun tersebut saya agak selesa berbelanja kerana wang sebanyak itu begitu besar nilainya. Ditambah lagi dengan wang saku pemberian MARA sebanyak RM30 sebulan, terasa agak mewah pula. Cuma, wang MARA itu tidaklah diberi tetap setiap bulan, ia selalu tertunggak agak lama.

Kini, apabila saya merenung kembali, saya rasa betapa besarnya nilai RM50 itu bila dinisbahkan dengan gaji ayah yang cuma lebih kurang RM1000+ sahaja sebulan tahun itu. Timbul juga rasa bersalah kerana saya seperti mengambil hak adik beradik saya yang lain yang lebih memerlukan. Tetapi ayah tidak pernah merungut, apa lagi mengungkit. Ayah lebih mementingkan keselesaan saya belajar di sana tanpa menghadapi masalah kekurangan wang.

Pun, saya tahu saya perlu membalas segalanya itu untuk adik beradik saya. Hak mereka pada tahun 1989 dulu telah saya ambil tanpa sedar, jadi jika ada ruang dan keperluan saya akan sentiasa memberi. Biar segalanya itu Allah tulis sebagai pahala untuk arwah ayah saya. Dia tidak pernah berkira dengan saya, jadi saya juga tidak mahu berkira dengan adik beradik saya.

Semoga ayah tenang di alam sana.


No comments:

Post a Comment