Thursday, December 19, 2024

Cukai

Alhamdulillah hari ini kakitangan awam menerima gaji SSPA yang pertama, dengan kenaikan 8%. Tahniah dan semoga berhemah selalu dalam mengurus perbelanjaan.

Maka bisinglah pula, gaji naik 8% tetapi cukai naik 28%. Saya tidak boleh tersenyum lagi dengan karenah kakitangan awam yang suka menunjuk kejahilan mereka. Cubalah jadi seorang yang suka mencari dan mengetahui tentang segala bab berkaitan kita. Jangan tunjuk sangat kita ini hanya suka mengkritik tanpa menyelidik hujung pangkal.

Bab cukai bukan susah pun. Bukankah setiap tahun kita mengisi borang e-filing,  sepatutnya kita tahu yang bayaran cukai ini ada jadual sifirnya. Lalu mengapa masih mahu mengomen yang bukan-bukan?




Saya tidak pernah risau tentang potongan cukai kerana pada saya, bayaran cukai inilah sumbangan saya untuk negara. Lagi pula, apabila mengisi e-filing nanti, saya dapat menuntut semula jumlah lebihan jika ada. Seronok juga bila dapat duit seketul sedebuk begitu.

Ada rakan saya yang kena tambah bayaran cukai selepas mengisi e-filing kerana potongan cukai bulanannya sedikit. Saya tidak mahu begitu, kerana ia lebih membebankan daripada potongan ansuran bulanan. Jadi kenapa saya mahu melatah bila potongan cukai saya bertambah?

Untuk makluman, cukai saya bulan ini meningkat sebanyak RM100+, dan saya ok sahaja. Hujung tahun ini saya akan ke kaunter zakat untuk membayar zakat emas, dan juga ke kedai komputer untuk membeli komputer riba baru. Kedua-dua itu akan saya isi dalam e-filing nanti dan kiraan cukai tahun 2023 saya akan ditolak. Nanti saya boleh mohon lebihan cukai itu dan boleh gunakan untuk tujuan lain pula.

Jadilah kakitangan awam yang bijak.
 

Wednesday, December 11, 2024

Oh, Peperiksaan!



Sekarang saya sedang mengawas peperiksaan akhir tahun 2024 di dewan. Hanya dua kelas sahaja terlibat pagi ini iaitu 4C1 dan 4C2, yang mengambil kertas Biologi dan Perniagaan.

Sunyi saja suasana. Mengawas kelas hadapan lebih menenangkan berbanding kelas hujung yang suka sangat berbual-bual. Jadi tiada masalah, saya boleh menulisi blog saya.

Murid menengah yang sudah dewasa seperti ini kelihatannya boleh menerima peperiksaan sebagai satu penanda aras dalam pemahaman pembelajaran mereka. Berbeza dengan murid sekolah rendah yang masih mentah dan perlukan pelbagai didikan selain akademik, pandangan saya peperiksaan bukan sesuatu yang baik untuk mereka. Jadi keputusan KPM menghapuskan peperiksaan berpusat di peringkat sekolah rendah amat saya setujui.

Malangnya, masih ramai yang menentang idea sebegini dengan pelbagai alasan. Saya dapat simpulkan, mereka yang menentang ini mahu ada peperiksaan kerana hanya dengan peperiksaan mereka boleh mendorong anak-anak mereka belajar. Aduhai!

Usahlah begitu. Jadikan anak-anak kita memilih untuk belajar kerana cintakan pengetahuan, bukan kerana peperiksaan. Ubahlah minda kita agar anak-anak kita lebih menghargai kehidupan dengan memiliki ilmu pengetahuan. Jangan jadikan peperiksaan sebagai tujuan.

Semoga dengan begini, mereka belajar sepenuh jiwa demi kehidupan bermakna.

Bukan demi peperiksaan. 

Tuesday, December 10, 2024

Cukuplah Shopee Bagiku

Dahulu, saya bermula dengan pembelian online melalui Lazada pada 2014. Kemudian muncul Shopee dan saya beralih kepadanya pada 2018 dan mula meninggalkan Lazada pada tahun 2020. Apa yang menyebabkan saya beralih kepada Shopee ialah apabila tempahan saya di Lazada dipandang sepi oleh penjualnya. Bila saya hubungi, dia meminta saya membuat tempahan yang serupa di Shopee kerana dia lebih aktif di situ.

Kini, muncul pelbagai kedai maya yang selalu tampil di ruang dinding media sosial saya. Malah kawan-kawan saya begitu asyik bercerita tentang Tik Tok Shop. Perlukah saya tergoda?

Beberapa bulan lepas seorang murid menegur baju saya. Cikgu beli di Tik Tok kah baju ini? Tidak, beli di Shopee. Jawab saya. Rupanya dia ada baju yang sama seperti saya tetapi dia membelinya di Tik Tok. Lalu saya membuat kesimpulan apa yang ada di Tik Tok juga ada di Shopee.

Anak saudara saya pernah meminta saya belikan satu barang untuknya di Tik Tok. Apabila selesai membeli, saya membuat carian barang yang sama di Shopee. Eh, lebih murah harganya!

Jadi saya rasa saya masih mahu setia dengan Shopee dan belum mahu beralih ke Tik Tok Shop yang semakin popular itu. Saya sudah begitu serasi dengan Shopee sehingga segala barang keperluan saya dibeli di situ. Susah mahu berpisah dengannya.

Semoga Shopee kekal relevan dalam dunia online shopping dan tidak tenggelam sebagaimana tenggelamnya Lazada di mata saya. 

Saturday, December 07, 2024

Di Sebalik Lagu

Mendengar lagu, lirik adalah perkara pertama yang akan menjadi perhatian saya. Sesedap mana pun lagu itu, jika liriknya tidak menyentuh hati saya, saya tidak boleh mendengarnya. Sampai begitu.

Jika lagu yang saya tidak suka lirik itu ke udara di radio, saya akan menukar siaran sesegera mungkin. Mendengarnya akan membuat saya libang-libu!

Tetapi jika liriknya indah dan menyentuh jiwa, saya boleh mendengarnya berkali-kali tanpa jemu.

Teringat saya pada tahun 1997, iaitu waktu yang sangat genting dalam hidup saya. Usia sudah 25 tahun tetapi masih solo dan tiada kerja. Menyusahkan emak dan ayah saja rasanya. Memang sangat tidak stabil emosi saya waktu itu. Untung ada adik-adik kecil - Ismah (10 tahun) dan Zahidah (7 tahun) - yang menjadi penghibur hati terbaik. Memesrai mereka membuat saya lupa keadaan saya yang kering kontang tak ada duit, juga tak ada perasaan!

Lagu yang kerap ke udara di radio waktu itu ialah "Cindai" dendangan Siti Nurhaliza. Tahukah, liriknya sangat mengena dengan perasaan saya waktu itu. Boleh menangis saya menghayati Cindai. Hebat penulis liriknya (Hairul Anuar Harun), juga komposernya (Allahyarham Pak Ngah Suhaimi).

Kini ia menjadi kenangan. Segalanya terukir indah bila kembali mendengar lagu Cindai itu.

 

Tuesday, December 03, 2024

Faham Atau Tidak?

Orang kita ni, tak habis-habis dengan menunjuk bangga bila berpoligami. Terbaru, lalu di wall FB saya seorang pemuda berkahwin tiga dan dia menulis dengan panjang lebar dalam nada penuh bangga.

Alhamdulillah, saya ucapkan tahniah kepadanya. Saya tidak baca habis pun tulisannya itu kerana saya takut saya muntah. Maaf ya!

Payah betul mahu melihat lelaki yang benar-benar faham tentang hakikat poligami ini. Baru semalam bacaan Quran saya sampai di surah An-Nisa' dan apabila membaca ayat ketiga surah itu, saya membelek maksudnya juga mencari pemahamannya. Adakah saya tidak faham sebagaimana mereka (lelaki-lelaki seperti orang itu) faham tentang ayat itu? Entah.

Seruan saya, berpoligamilah jika anda mampu, tetapi usah berbangga dengannya. Ia hadir dengan tanggungjawab, bukan untuk dicanang serata alam. Sedarlah, dengan besarnya tanggungjawab terpikul di bahu kalian, semakin luaslah ruang untuk berlaku kekhilafan. Khilaf yang membawa dosa dan mencampak anda ke neraka. Malangnya, bukan itu yang hadir dalam fikiran mereka bila berpoligami, sebaliknya untuk menunjuk hebat dan berbangga semahunya.

Bukankah beristeri satu itu pesanan Tuhan jika kamu tidak mampu berlaku adil? Kerana Tuhan tahu betapa sukarnya meletak adil di tempat sepatutnya. Lalu fahamlah sesungguhnya poligami itu payah dan mencabar, dan bukan untuk semua lelaki. Bukan untuk dipromosi pun. Tidakkah ada rasa takut tentang itu?

 

Monday, December 02, 2024

Selamat Bersara Kak Sham

Sewaktu mula saya datang melapor diri di SMK Kampong Chengal pada 1 Februari 2009, saya melihat suasana yang agak berbeza daripada sekolah-sekolah saya sebelum ini. Guru-guru perempuan di sini sangat bergaya dan cantik, manakala guru-guru lelaki pula sangat peramah.

Risau pula jadinya, terasa kecil pula diri saya dibanding mereka. Saya jadi takut dan segan mahu menyapa guru-guru senior yang gah dengan gaya tersendiri. Lalu saya memencil diri di bilik peperiksaan, bertemankan beberapa orang guru yang kelihatan boleh saya mesrai.

Beransur masa, saya mula didekati oleh guru-guru yang bergaya dan cantik itu. Rupanya mereka sangat mesra dan peramah, cuma saya saja yang menjauh diri.

Puan Hajjah Che Shamsiah binti Che Ali, yang mereka panggil Kak Sham saya lihat begitu anggun dan hebat menyebabkan saya segan untuk menyapa. Gayanya seperti seorang datin, dan dari cerita rakan guru lain, suami Kak Sham seorang kontraktor yang berjaya. Kak Sham pula datang ke sekolah memandu Mitsubishi Grandis yang dibeli tunai, pada saya tentulah dia seorang yang kaya raya. Sungguh, saya rasa segan benar.

Sehinggalah suatu hari, dia datang ke bilik saya dan berbual-bual mesra. Eh, peramah orangnya. Langsung tidak sombong, malah boleh bercerita apa saja. Kak Sham seperti mengadu perasaannya kepada saya.

Sesungguhnya, first impression tidak semestinya benar. Semakin hari saya semakin rapat dengan Kak Sham, sehingga sering menjadi rakan sebilik jika ada kursus di hotel.

Kak Sham seorang yang istimewa. Dalam ramah, ada tegasnya. Dalam jenaka, ada seriusnya. Saya jadi sayang padanya dan banyak saya belajar tentang kehidupan dari Kak Sham.

Hari ini, Kak Sham menamatkan perkhidmatannya sebagai guru apabila memilih untuk bersara pada usia 59 tahun. 15 tahun kami bersahabat, terasa berat mahu melepaskan Kak Sham meninggalkan bumi Chengal ini, tetapi itulah pilihan Kak Sham.

Semoga Kak Sham bahagia menempuh alam persaraan. Kami di sini akan merindui Kak Sham, terlalu.