Saturday, December 28, 2024

Impian Tercapai?

Akhirnya setelah lama memendam rasa, saya berhasil juga mendapatkan sebuah laptop baharu pada Isnin 23 Disember lalu.

Saya menyimpan impian untuk membeli laptop baharu apabila mengenangkan betapa tuanya laptop yang sedang saya guna itu. Prestasinya masih ok walaupun suaranya tidak lagi kedengaran nyata, tetapi saya mahu mencari sesuatu yang terkini.

Mereka menyarankan Microsoft Surface, dan saya berminat. Tetapi sukar pula untuk mendapatkan laptop jenama itu dengan segera. Di KB Mall katanya tiada. Saya mahu saja membeli di Shopee tetapi suami saya tidak mengizinkan. Risau kalau nanti bungkusan laptop itu dicampak-campak sesuka hati katanya. Kita cari di kedai saja ya!

Itu janji suami saya yang saya pegang.

Saya menggelintar, mencari maklumat. Hati saya berkenan dengan jenama Asus yang hampir menyamai kualiti Surface. Saya mengajak suami saya ke KB Mall pada Isnin itu, dan di aras 4 tempat kedai telefon dan komputer beroperasi, jenama itulah yang saya cari. Malangnya, sama seperti Surface, juga tiada.

Saya pasrah. Dik, jenama apa yang ada yang ciri-cirinya menyerupai Surface? Tanya saya pada jurujual yang muda dan manis itu.




Hanya Lenovo yang ada di kedai mereka. Saya melihat-lihat, dan bertanya sepuas hati tentang apa yang Lenovo Ideapad Duet 5 ini tawarkan. Saya bersetuju akhirnya untuk membeli laptop ini dengan harga RM4829 (sekali dengan perisian Microsoft Office).

Alhamdulillah, saya menyukainya. Semoga laptop ini memberi manfaat berganda, dan bertahan dalam tempoh yang lama.

Lama, sampai tujuh tahun harapnya sebelum saya pencen wajib bila berusia enam puluh nanti. Amin.

 

No comments:

Post a Comment