Alhamdulillah hari ini kakitangan awam menerima gaji SSPA yang pertama, dengan kenaikan 8%. Tahniah dan semoga berhemah selalu dalam mengurus perbelanjaan.
Maka bisinglah pula, gaji naik 8% tetapi cukai naik 28%. Saya tidak boleh tersenyum lagi dengan karenah kakitangan awam yang suka menunjuk kejahilan mereka. Cubalah jadi seorang yang suka mencari dan mengetahui tentang segala bab berkaitan kita. Jangan tunjuk sangat kita ini hanya suka mengkritik tanpa menyelidik hujung pangkal.
Bab cukai bukan susah pun. Bukankah setiap tahun kita mengisi borang e-filing, sepatutnya kita tahu yang bayaran cukai ini ada jadual sifirnya. Lalu mengapa masih mahu mengomen yang bukan-bukan?
Saya tidak pernah risau tentang potongan cukai kerana pada saya, bayaran cukai inilah sumbangan saya untuk negara. Lagi pula, apabila mengisi e-filing nanti, saya dapat menuntut semula jumlah lebihan jika ada. Seronok juga bila dapat duit seketul sedebuk begitu.
Ada rakan saya yang kena tambah bayaran cukai selepas mengisi e-filing kerana potongan cukai bulanannya sedikit. Saya tidak mahu begitu, kerana ia lebih membebankan daripada potongan ansuran bulanan. Jadi kenapa saya mahu melatah bila potongan cukai saya bertambah?
Untuk makluman, cukai saya bulan ini meningkat sebanyak RM100+, dan saya ok sahaja. Hujung tahun ini saya akan ke kaunter zakat untuk membayar zakat emas, dan juga ke kedai komputer untuk membeli komputer riba baru. Kedua-dua itu akan saya isi dalam e-filing nanti dan kiraan cukai tahun 2023 saya akan ditolak. Nanti saya boleh mohon lebihan cukai itu dan boleh gunakan untuk tujuan lain pula.
Jadilah kakitangan awam yang bijak.
No comments:
Post a Comment