Sunday, April 27, 2025

Cabut Gigi

Kali terakhir saya masuk bilik doktor gigi ialah pada 1994. Saya memang takut dengan doktor gigi. Takut sungguh.

Hari ini saya tiada pilihan. Gigi sebelah kiri saya sakit berdenyut-denyut sejak 2 Syawal lagi. Cuma dia tidak berterusan. Ada waktu tak sakit langsung, ada waktu sakit nak mati.

Lama juga saya bertahan, sampai suami saya kata saya "besar ko kijo" sampai tak sempat cari masa ke klinik. Agaknya dia tak larat dah nak dengar saya mengadu sakit. Jadi pagi semalam (Sabtu) saya ajak dia ke klinik Ar-Rizqin di Tunjong, klinik gigi terdekat dengan rumah kami.

Doktor kata gigi saya tak nampak berlubang pun. Mungkin lubang tu berada di sisi, di antara dua gigi. Dia minta saya melakukan x-ray di cawangan kliniknya di Kok Lanas dan datang semula ke kliniknya pada Ahad nanti jam 8 malam. Terus kami ke sana, dan sebaik x-ray selesai, doktor nampak lubang itu di sisi gigi geraham atas sebelah kiri.

Malam ini, kami tepati masa yang diberi dan sampai di depan klinik itu pada jam 7.49 malam. Doktor tiba pada jam 8.08 dan saya terus diperiksa.

Doktor memberi dua pilihan, jika tidak mahu cabut boleh saja dia letak ubat dan buat tampalan sementara. Tetapi cara itu tidak dijamin sembuh sepenuhnya. Mungkin nanti gigi itu akan sakit kembali.

Saya diam lama juga, sayang nak cabut tapi tak nak dah sakit gigi. Saya tanya doktor, doktor cadangkan yang mana? Kata doktor, cabutlah, baru selesai. Ok.

Maka hilanglah sebatang gigi geraham kiri saya. Setakat ini saya sudah tiada tiga batang gigi geraham. Yang pertama geraham bawah sebelah kanan dicabut pada 1982 sewaktu saya darjah 4. Kemudian pada 1994 geraham bawah sebelah kiri pula. Dan terkini hari ini, geraham atas sebelah kiri.

Sewaktu dalam bilik doktor tadi, saya betul-betul takut. Takut sakit, takut berdarah banyak, takut ganggu saraf, macam-macamlah. Berdebar betul saya tadi tetapi Alhamdulillah semuanya selamat.

Sekarang sudah jam 9.45 malam, darah belum lagi berhenti. Saya sudah telan sebiji ubat tahan sakit kerana bimbang akan terasa sakit apabila hilang ubat bius nanti.

Semoga esok, saya kembali sihat dan dapat meneruskan kerja dan kehidupan saya seperti biasa. Amin. 

No comments:

Post a Comment