Dahulu, semasa di sekolah menengah, saya bukanlah seorang yang belajar bersungguh-sungguh sangat. Walaupun saya tidak mengabaikan pelajaran tetapi saya rasa usaha saya berada pada tahap lebih sedikit daripada sederhana, itu sahaja. Saya banyak membazir masa dengan tidur dan berbual-bual.
Saya akui kemalasan saya agak tinggi. Saya hanya mengulangkaji mata pelajaran yang saya suka sahaja iaitu Matematik Tambahan (satu-satunya mata pelajaran yang saya gemar). Setiap hari, mata pelajaran itulah yang saya hadap. Mata pelajaran lain saya cuma belajar dalam kelas dan buat kerja rumah yang cikgu suruh sahaja. Ulangkaji hanya berlaku apabila menjelang peperiksaan.
Ya, sangat teruk dan saya tahu itu.
Sebab itulah saya berangan-angan untuk mengambil semula peperiksaan SPM pada usia kini. Apatah lagi apabila melihat ada ramai orang dewasa berusia lima puluhan mendaftar untuk SPM 2024 dan berjaya dengan cemerlang.
Saya tidaklah mahu ambil banyak mata pelajaran. Cukup tujuh sahaja. Saya mahu ambil semua mata pelajaran teras dan satu mata pelajaran elektif - Matematik Tambahan. Saya yakin saya akan dapat A lurus!
Wah, yakinnya kamu!
Jangan gelakkan saya. Saya tahu soalan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kini lebih susah berbanding 36 tahun dulu tetapi saya akan merajinkan diri untuk mentelaah dari awal. Pendidikan Islam pula ada ujian hafazan (dulu tiada) tetapi saya yakin saya boleh melakukannya. Sejarah dan Sains, saya akan mentelaah buku teks dari kulit ke kulit sehingga lunyai.
Matematik dan Matematik Tambahan saya tidak risau langsung. Saya yakin A+ dalam tangan. Saya kan guru Matematik, takkan tak boleh jawab, betul tak?
Maka akan terteralah sebarisan A dalam sijil saya. Walaupun sijil itu tidak laku, tetaplah saya akan simpan dengan baik dalam fail sijil saya, penuh bangga.
![]() |
Sijil SPM saya pada 1989 |
Amboi, berangan tak hengat!!
No comments:
Post a Comment