Saturday, January 31, 2026

Di Garis Usia

Menjadi tua adalah anugerah yang tidak semua orang berpeluang merasainya. Malah, istilah "tua" itu sendiri kini terasa semakin jauh maknanya. Mungkin kerana pada usia 54 tahun ini, saya masih merasakan diri "belum cukup tua" untuk memahami sepenuhnya hakikat usia.

​Setiap hari bersama Mek, pelbagai kerenah perlu kami santuni. Sejujurnya, ada ketika rasa jemu datang menyapa, namun sebagai anak menantu, perasaan sebegitu cepat-cepat ditepis. Saya berusaha setulus hati untuk terus rela dan reda, walaupun sering kali diuji dengan situasi yang meruntun jiwa.

​Apabila emak (Ma) saya tidak datang berkunjung, Mek akan bertanya berulang kali, "Bakpo Ma tak mari hari ni? Ma tak cekak ko Ti?" Namun, apabila Ma sudah datang dan pulang, Mek terlupa pula. Sengaja saya menguji, "Mek, Ma mari dok tadi?" Jawab Mek, "Mari ko dok eh? Wei laa... Mek tak ingat..."

​Suami saya pula, hampir setiap petang akan mencempung Mek ke kerusi roda. Dibawanya Mek bersiar-siar di sekitar kampung, menghirup udara luar dan menikmati sisa cahaya matahari petang. Beberapa hari lepas, seorang anak saudara datang menziarah. Mek mula mengadu, "Lama dah aku tak turun tanoh. Lagu mana doh rupa alik luar nu, tak tengok lama doh. Tadok sapo nak wak turun..."

​Suami saya yang mendengar hanya mampu tersenyum tawar lalu mencelah, "Kan ore wak turun sokmo Mek petang-petang?" Mek terdiam.

​Petang kelmarin, sewaktu membawa Mek turun lagi, suami bertanya lembut, "Mek, ni ore wak turun doh ni. Hari-hari ore wak turun. Tapi bakpo baru ni Mek oyak tadok sapo wak turun?"

"Bila gak Mek kata gitu?" balas Mek pantas.

"Hari tu, masa Abe Deraman mari..."

"Mana ada! Doklah!" Mek menafikan keras.

​Begitulah rupa ingatan seorang warga emas berusia 88 tahun. Mungkin memorinya sudah tepu; tiada lagi ruang untuk menyimpan peristiwa harian yang baru. Namun anehnya, bila bercerita tentang kisah-kisah silam, segalanya terpahat kemas dan jelas dalam ingatannya.

​Mungkinkah jika saya diizinkan Tuhan sampai ke usia itu, saya juga akan menjadi sedemikian rupa? Dan siapakah yang akan setia melayan bicara saya nanti?

​Biarlah ia kekal sebagai misteri.

Jemari Besi

Saya terlupa bagaimana kali pertama saya tersapa karya Jemari Besi yang indah-indah ini. Jika tidak silap saya, melalui petikan lagu-lagu di Tik Tok yang liriknya menyentuh jiwa, menyebabkan saya menggelintar YouTube mencari versi penuhnya. Lalu terjumpalah sebilangan lagu yang penuh dengan keindahan bahasa dalam liriknya, dan keindahan melodi dalam iramanya.
 
Dengarlah lagu-lagu ini - "Terus Berjuang", "Bersyukur dan Bahagia", "Aku, Kau dan Jarak" dan banyak lagi lagu yang diisi dengan makna.
 
Bersyukur dan Bahagia
 
Tak harus punya segalanya
Untuk merasa bahagia
Kadang yang biasa saja
justeru yang paling bermakna
 
Aku bersyukur aku bahagia
dengan hidupku yang sekarang
yang dulunya aku keluhkan
kini jadi yang kubanggakan
 
aku bersyukur aku bahagia
 
jika kita belajar menerima
bahagia cukup jadi apa adanya
dengan hati yang sederhana
syukur ini bawa bahagia
 
 

Monday, January 19, 2026

Peraturan?

Sebab itu saya kata, tiada petua untuk rumah tangga bahagia. Tanyalah pasangan suami isteri mana pun, yang sudah berkahwin berpuluh tahun pun, peraturan rumah tangga mereka semua berbeza.

Kalau ada petua pun, satu sahaja untuk semua iaitu persefahaman. Dari persefahaman barulah lahir segala peraturan lain berdasarkan persefahaman itu.

Contoh yang saya lampirkan di atas adalah contoh terpencil. Hanya dia dan isterinya sahaja yang boleh menerima peraturan dan ketetapan itu. Tidak salah untuk keluarga mereka, tetapi mungkin salah untuk keluarga lain. Isterinya okay dan redha maka selesailah. Isteri orang lain tidak sama penerimaan maka janganlah diguna pakai kaedah yang sama.

Rumah tangga adalah satu kehidupan. Ia terlukis pada kanvas berlainan. Sebagai pelukisnya, seorang suami perlu tahu dan mahir untuk melukis corak yang boleh dilihat cantik oleh setiap ahli isi rumah anda.





Saturday, January 17, 2026

Hentikanlah!

Kenapa susah sangat untuk menidakkan isu perkauman di negara Malaysia yang majmuk ini?


Apa yang telah berlaku ini, sangatlah menyedihkan. Sampai ke tahap itu seorang Rex Tan boleh berkata-kata, kemudian semudahnya memohon maaf.

Masa tidak boleh diundur. Kata-kata yang terlajak sudah tidak boleh dipadam. Apa yang menyakitkan akan kekal menyakitkan, sehingga minda dan daya ingatan kita hilang.

Ambillah pengajaran, usah terlalu bersentimen dengan sesuatu yang diada-adakan. Berpijaklah di bumi nyata. Kita mahu berpadu tetapi bagaimana mungkin ia nyata jika masing-masing menjadi terpaling sengsara? Suka menyalahkan dan lebih teruk gemar bersikap prejudis. 

Malaysia negara kita. Hiduplah dengan aman di dalamnya. 

Thursday, January 15, 2026

Rapuh

Hari ini aku belajar bahawa menjadi kuat tidak bermaksud aku tidak boleh terluka. Aku selalu cuba memahami orang lain, menjaga hati mereka, menimbang setiap perasaan. Tapi kadang-kadang aku lupa bahawa hatiku sendiri juga mahu dijaga.

Aku tidak marah. Aku cuma penat. Penat memberi tanpa suara. Penat memendam tanpa keluhan. Penat menjadi yang sentiasa mengalah, sedangkan aku juga mahu dirangkul oleh kata yang lembut.

Bila aku terasa, itu bukan kerana aku lemah tetapi kerana aku terlalu lama bertahan. Dan bila aku menangis dalam diam, itu bukan tanda aku tidak ikhlas, tetapi tanda aku masih manusia, masih ada rasa, masih ada harapan untuk dihargai.

Ya Allah, aku ikhlas dalam memberi, tetapi tenangkanlah juga hatiku yang kadang-kadang sunyi ini.

Jika manusia tidak sempat memahami aku, cukuplah Engkau tahu betapa aku sedang cuba sebaik mungkin.

Hari ini aku ingin berkata pada diriku sendiri, "Aku tidak perlu menjadi kuat sepanjang masa. Aku juga berhak untuk rapuh, kerana di situlah aku sedang belajar menyayangi diriku sendiri."

Friday, January 09, 2026

Refleksi Kasih buat Noorhayati

Selamat ulang tahun, Noorhayati.

​Tahun ini, angka usiamu genap melangkah ke fajar ke-54. Tahukah engkau, angka itu bukan sekadar bilangan tahun, melainkan sebuah gunung pengalaman yang megah bagi seorang insan?

​Bukan sedikit liku yang telah engkau daki, bukan kecil badai yang telah engkau redah untuk sampai ke puncak hari ini. Namun, setiap duri itu telah engkau tepis, dan setiap rintangan telah engkau tempuh dengan ketabahan yang luar biasa. Tidak mudah, namun engkau tetap berdiri tegak. Maka, tanyalah pada hatimu, sudahkah syukur membasahi bibirmu hari ini?

​Lihatlah di sekelilingmu. Engkau tidak pernah berjalan sendirian. Sudahkah engkau zahirkan terima kasih yang paling dalam buat kedua ibu bapamu, yang doanya sentiasa menjadi perisai ghaib sepanjang hayatmu? Engkau dikelilingi taman kasih yang mekar. Keakraban adik-beradik, keceriaan anak-anak saudara, keprihatinan sanak saudara, serta harmoni bersama ipar duai. Dan yang paling utama, seorang suami yang setia menjadi teduhanmu, yang tidak pernah sekali pun melepaskan jemarimu dalam setiap langkah.

​Pada gerbang usia 54 ini, biarlah rasa syukurmu melangit dan kebajikanmu membumi. Matlamatmu adalah syurga yang abadi; maka gapailah ia dengan saki-baki kekuatan yang ada.

​Noorhayati, 
Sedarilah bahawa sisa waktu yang berbaki tidak mungkin lagi selama masa yang telah engkau tinggalkan. Jangan biarkan gemerlap dunia yang sementara ini terus menawan hatimu di saat senja kian menghampiri. Lihatlah ke dalam batinmu, sudahkah bekalan untuk perjalanan jauh itu terisi rapi?

​Andai esok fajar tidak lagi menyapamu, biarlah engkau pergi dalam pelukan redha-Nya.



Tuesday, January 06, 2026

Rutin

Selepas 15 hari kesempatan diberi untuk saya berada di rumah sendiri, hari ini saya kembali bangkit pagi di rumah mek. Adik ipar saya Norhafizah dan suaminya Hisham sudah pulang ke Kemunting, Perak pagi semalam dan tanggungjawab mengurus dan menemani mek kembali kepada kami.

Jam 6.18 petang semalam kami bergerak menuju ke rumah mek meninggalkan rumah kami seketika. Jarak yang cuma 1.2 km itu tetap terasa jauh kerana sukarnya kami melintas jalan dek kereta yang sangat banyak di jalan raya pada musim cuti sekolah begini. Tiba di rumah mek, adik ipar saya Rohaimah sedang mengurut perut mek. Mek kata perutnya sakit, dan belum solat Asar lagi. Maka giliran kamilah pula kini untuk menguruskan mek. 

Saya ke bilik, menukar cadar dan mengemas beg. Begitulah, apabila kami datang ke sini semestinya beriring dengan beg yang banyak. Ada 3 beg hari ini kerana selain pakaian, telekung, tuala, cadar dan sarung bantal saya juga membawa bahan untuk memasak makan malam nanti. Sebungkus mi kuning, sepeket bebola ikan dan juga roti dan biskut.

Urusan mek solat (Asar, Maghrib dan Isyak) dan menyuap mek makan suami saya yang sempurnakan. Saya cuma memasak untuk makan malam, mengurus mek solat Subuh (termasuk tukar lampin dan bersihkan mek) dan mencuci kain kotor mek. 

Pagi ini selepas selesai uruskan segalanya, suami saya meminta saya usah pulang lagi dan temani mek dulu sementara dia pulang sendirian ke rumah kami menguruskan binatang peliharaannya. Selalunya kami pulang bersama setiap pagi dan kakak ipar saya Rohaini akan datang mengambil giliran menemani mek, tetapi pagi ini kak Rohaini berada di KL manakala kak Rohaimah pula ke airport menghantar anaknya Najmi. Saya ok sahaja. Saya temani mek sambil menulis catatan ini. 

Mek tak banyak karenah, hanya terbaring di tepi pintu sambil memerhati keluar. Entah apa yang dilihatnya tetapi setiap pagi dia akan meminta untuk berada di tepi pintu. Sesekali dia terlena, sesekali pula dia bertanya soalan yang sudah berapa kali diulang. Saya melayan sahaja.

Begitulah hidup. Apa pun tulisan takdir dari Tuhan, itulah yang terbaik untuk kita. Selagi mampu, saya akan terus reda.

Friday, January 02, 2026

Enam Tahun

Kali terakhir kaki saya menjejak tanah haram ialah enam tahun lalu. Kami bermusafir pada 14 Januari 2020 dan pulang sepuluh hari kemudian. 

Seperti semua orang yang pernah ke sana, kami memohon doa agar Allah mengizinkan kami kembali lagi. Kembali menunaikan ibadah umrah dan kami mahu beri yang lebih baik daei yang pernah kami beri. 

Takdir yang tertulis, selepas enam tahun pulang, kami masih tiada peluang ke sana.  Rindu di hati tidak terkira tetapi ruang seperti tidak mesra. Ada kekangan yang menghalang kami ke sana walaupun kemampuan kewangan ada.

Ya Allah, sungguh saya terlalu rindu. Saya mahu menghadiahkan umrah untuk arwah ayah saya lagi, juga untuk saudara-saudara saya yang telah pergi maka Engkau berilah ruang itu untuk saya. Amin.